Demi Cinta Transeksual Takut Kembali Ke Malaysia Berani Membelakangi Hukum Allah

Fatine Takut Pulang Ke Malaysia
LONDON: Transeksual warga Malaysia, Mohammed Fazdil Min Bahari berasa takut untuk pulang ke Malaysia ekoran reaksi negatif yang timbul daripada tanggapan salah berhubung perkahwinannya dengan seorang warga British.

Katanya, dia telah menerima banyak emel dan komen orang ramai yang mengkritik dan menuduhnya menghina kerajaan Malaysia.

Mohammed Fadzil atau Fatine kesal kerana orang ramai tidak memahami tujuannya datang ke United Kingdom (UK) adalah semata-mata untuk hidup bersama lelaki yang dicintainya.

Katanya, dia tidak boleh berbuat demikian di Malaysia kerana masyarakat mengkaitkan perkahwinan mereka dengan isu agama.

Saya takut untuk pulang ke tanah air. Saya bimbang akan keselamatan saya,” katanya yang mengulas tentang laporan akhbar tersebut yang didakwa memberikan gambaran kurang tepat mengenai kisah percintaan mereka sehingga mencetuskan reaksi negatif.


Demi Cinta Transeksual Takut Kembali Ke Malaysia, Berani Membelakangi Hukum Allah
Menilai tindakan transeksual ini dari sudut akal mungkin terbit rasa kasihan dan simpati kerana itu adalah haknya untuk memilih hidup sebagai seorang wanita atau lelaki.  Namun Islam yang datang sejak 1430 tahun yang lalu telah lebih dahulu mengajar kita agar menilai sesuatu dari sudut aqidah Islam dan mengatakan yang halal adalah halal dan yang haram tetap haram.

Namun hakikatnya tindakan menyalahi fitrah manusia dan haram disisi Allah ini telah wujud di kalangan masyarakat kita.  Ya, inilah hadiah yang diberikan oleh sistem sekularisma yang mengagung-agungkan nilai kebebasan termasuk bebas menukar jantina sekaligus cara hidup.  Hadiah yang dibungkus cantik dan dijaga dengan baik oleh para pengamal dan pengikut setia sekularisma ini malangnya telah dihulurkan kepada umat Islam agar mereka terus lena dibuai mimpi ‘ngeri’ yang diciptakan oleh sistem yang rosak dan merosakkan ini.

Sedikit masa dahulu kita juga pernah mendengar berita mengenai keinginan seorang lelaki untuk mengandung dan melahirkan anak.  Kini timbul pula isu seorang yang asalnya lelaki kini telah bertukar menjadi wanita (transeksual) dan telah mengahwini pula seorang lelaki.  Dari Ibn Abbas Radiallahu Anhu bahawa (maksudnya): “Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam melaknat kaum lelaki yg menyerupai atau berlagak seperti wanita” [HR Bukhari]

Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu, beliau berkata (maksudnya): “Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yg memakai pakaian lelaki” [HR Abu Dawud dgn sanad sahih] -dipetik daripada kitab Riyadhus Salihin.

Berdasarkan hadis di atas, jelaslah haram hukum lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya.  Jika perbuatan ‘menyerupai’ atau ‘ berlagak’ sahaja pun telah dikira berdosa besar dan dilaknat oleh Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam apatah lagi perbuatan mengubah sesuatu anggota lelaki menjadi anggota wanita. Nauzubillahiminzalik!

Membaca, mendengar dan sekadar mengucap panjang terhadap berita ini bukanlah sikap yang diajarkan Islam untuk menanganinya.  Paling penting adalah wujudnya peranan yang saling terkait dan berintegrasi antara satu dengan yang lain dan ianya hanya wujud apabila sebuah sistem yang diciptakan oleh Tuhan pencipta seluruh makhluknya berfungsi.  Apabila sistem yang dimaksudkan ini masih tiada dalam realiti hidup kita,maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mewujudkannya.

Peranan yang saling berintegrasi ini perlu dimainkan oleh individu itu sendiri, masyarakat dan tentu sekali pihak pemerintah.  Dalam hal ini tentu sekali individu tadi dibesarkan oleh orang tua atau keluarganya dan sudah tentu ibu-bapa dan keluarga tadi berkewajipan untuk mendidik anaknya menjadi seorang muslim yang taat dan bertaqwa kepada Allah.  Lebih-lebih lagi pendidikan aqidah yang menjadi teras kepada keimanan dan tingkahlaku seseorang itu.  Aqidah yang mengingatkan penganutnya terhadap pembalasan neraka bagi setiap amalan yang dilarang Allah dapat menjadi benteng dan menghalang seseorang dari berbuat amalan yang diharamkan Allah.

Cuba renungkan karakter para sahabat dan sahabiyat dahulu yang meninggalkan amalan-amalan jahiliyah dengan aqidah yang benar-benar kukuh.  Dengan modal keimanan inilah pemikiran mereka diubah sehingga mereka yakin akan adanya hari pembalasan serta balasan syurga dan neraka bagi setiap amalan yang mereka kerjakan di dunia.

Peranan masyarakat tidak dapat dipisahkan dalam hal ini.  Masyarakat yang beriman kepada Allah dan Rasulnya pasti tidak akan redha dan menerima individu seumpama ini wujud kerana jika dibiarkan ianya boleh memberi pengaruh dan kesan negatif kepada semua pihak.  Malang sekali isu di atas hanya dikaitkan sebatas transeksual tersebut telah menghina dan membelakangkan kerajaan Malaysia namun bagaimana dengan menghina dan membelakangkan hukum Allah?  Transeksual di atas juga kesal kerana masyarakat tidak memahami tujuan dan kehendaknya tetapi tidakkah pernah terfikir betapa Allah pasti murka jika perintah dan laranganNya tidak dipatuhi?

Bagaimana jawapannya diakhirat kelak jika ditanya oleh Allah akan tindakannya menukar jantina (tanpa alasan yang dibenarkan syarak) dan berkahwin dengan pasangan yang sejantina dengannya?  Mengapa ayat-ayat Allah dalam Al Quran telah didustakan?  Firman Allah: “…dan pasti akan kusesatkan mereka, dan akan kubangkitkan angan-angan kosong pada mereka, dan akan kusuruh mereka memotong teling-telinga binatang ternak, (lalu mereka benar-benar memotongnya), dan akan aku suruh mereka mengubah ciptaan Allah, (lalu mereka benar-benar mengubahnya). Barangsiapa menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sungguh dia menderita kerugian yang nyata (Syaitan itu) memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka.” [TMQ An-Nisa’ (4) : 119-120].

Pemerintah juga bakal diminta bertanggungjawab dihadapan Allah jika membiarkan amalan yang mengundang kemurkaan Allah ini berterusan.  Amalan yang menyimpang seperti ini sepatutnya dari awal lagi telah mendapat perhatian pemerintah untuk ditangani sesuai dengan syariatNya.  Sedikit waktu dahulu, kita dikejutkan dengan isu Kartika Sari Dewi yang insaf dengan perbuatannya meminum arak dan rela dihukum. 
Namun sayang seribu kali sayang, di kala telah wujud keinsafan dan kesedaran dari individu untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, jalannya pula dipersempitkan dengan undang-undang buatan manusia yang mana hukuman yang hendak dijatuhkan juga tidak menepati syarak malah mengundang banyak lagi kemurkaan Allah.

Nyata ramai yang telah dan sedang menangisi dan terasa perit dengan kesengsaraan hidup di bawah naungan sistem yang sedia ada namun malangnya masih ramai juga yang tegar mempertahankan sistem yang sudah tidak sesuai lagi dengan fitrah manusia ini.  Kini tibalah masanya kita diperintah oleh pemerintah yang bertaqwa dan sentiasa terdorong untuk menerapkan sistem Islam dalam pemerintahannya tanpa ada penyimpangan sedikitpun.  Yakinlah dengan usaha dan tekad yang kuat disamping tawakkal sepenuhnya kepada Allah sistem yang dinantikan iaitu Daulah Khilafah Islamiyyah pasti segera tertegak sedikit masa lagi, InsyaAllah.