Demokrasi mula ditolak di Pakistan

Pembangkang menang besar — Parti pemerintah sekutu Pervez mengaku kalah

ISLAMABAD 19 Feb. – Parti pemerintah yang menjadi sekutu Presiden Pervez Musharraf, Liga Muslim Pakistan-Q (PML-Q) kalah teruk di tangan pembangkang, Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan Liga Muslim
Pakistan-N (PML-N) pada pilihan raya Parlimen Pakistan yang diadakan semalam.

Walaupun keputusan itu dianggap tidak rasmi, tetapi ia tetap menjadi tamparan kepada Pervez yang mana masa depannya dilihat sebagai terancam.

Kemenangan parti pembangkang untuk menguasai dua pertiga kerusi Parlimen dilihat akan membolehkan mereka mendakwa bekas jeneral tentera itu.

Sama ada PPP yang kini diterajui oleh keluarga arwah bekas Perdana Menteri Pakistan Benazir Bhutto dan PML-N mampu berkerja sama dalam satu pakatan, ia masih belum jelas.

Pemimpin PML-N, Nawaz Sharif berharap untuk menjatuhkan Pervez bersama-sama saingannya yang lain.

Sementara itu, Chaudhry Shujaat Hussain yang merupakan Perdana Menteri sebelum pilihan raya dan pemimpin PML-Q ketika bercakap kepada AP Television News mengaku tewas selepas kalah teruk di kubu kuatnya di Punjab.

“Kami menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan akan duduk sebagai pembangkang,” katanya

Beberapa menteri penting dalam kerajaan turut kehilangan kerusi mereka.

Pervez yang tidak bertanding dalam pilihanraya itu sebelum ini berkata, beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan pilihan raya.

Kekalahan parti pemerintah dilihat sebagai undi protes rakyat terhadap Pervez, sekutu kuat AS yang mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati di dalam negara apabila bertindak mengisytiharkan darurat dan memecat hakim hujung tahun lalu.

Para penyokong pembangkang yang gembira dengan kekalahan kerajaan keluar ke jalan-jalan raya sambil melaung-laungkan nama Nawaz dan arwah Benazir.

Pilihan raya semalam merupakan langkah terakhir Pakistan menuju ke arah negara demokrasi selepas lapan tahun penuh pergolakan di bawah pentadbiran Pervez yang merupakan jenaral tentera negara ini.

Kemenangan pembangkang juga mendapat reaksi positif apabila pasaran saham di Karachi baik 2.15 peratus kepada 14,669.87 mata dengan mata wang rupee semakin teguh berbanding dolar Amerika Syarikat.

– Agensi

Sumber: Utusan Malaysia 20/02/08

Ulasan:

Keputusan tidak rasmi pilihan raya Pakistan menyaksikan parti pembangkang yang diketuai oleh PPP dan PML-N menang selesa mengenepikan ‘parti Musharraf’ PML-Q di tempat ketiga dengan mengekalkan hanya 38 kerusi dari 118 sebelum ini. Walaupun undi masih sedang dikira, nampaknya PPP dan PML-N yang telah mendapat 87 dan 67 kerusi masing-masing sedang bersaing untuk membentuk kerajaan campuran dengan jumlah majoriti kerusi yang diperolehi.  

Bagaimanapun, salah satu aspek pilihan raya yang jelas, walaupun tidak diperbesar-besarkan, adalah peratusan keluar mengundi yang terlalu sedikit, hanya lebih kurang 30% atau paling tinggi pun 40% sahaja meskipun operasi keselamatan dilakukan secara besar-besaran bagi menghalang segala kejadian buruk. Fakta ini memberitahu kita bahawa majoriti rakyat Pakistan sudah tidak percaya lagi bahawa demokrasi boleh menawarkan ‘kebahagiaan’ dalam negara mereka, sebagaimana digembar-gemburkan oleh media Barat.  Rakyat Pakistan telah mula sedar akan segala pengalaman pahit pemerintahan militer dan demokrasi yang korup yang selama ini hanya membawa sedikit kemajuan, namun yang banyak (dibawanya) adalah penderitaan, pembunuhan dan kemusnahan

Peratusan keluar mengundi yang begitu sedikit dalam keadaan pilihan raya yang mendapat perhatian di seluruh dunia ini, apatah lagi dalam keadaan gelombang simpati terhadap Benazir yang begitu besar, telah memberikan satu isyarat yang jelas kepada dunia bahawa sistem demokrasi sudah semakin tidak dipercayai dan diyakini oleh umat Islam. Justeru, masa nampaknya sudah semakin dekat bahawa rakyat Pakistan sudah mula menoleh kepada sistem Khilafah, satu-satunya sistem yang wajib diambil oleh umat Islam, yang telah terbukti menyatukan mereka dan menyelamatkan umat Islam di seluruh dunia tidak berapa lama dulu. Hanya Khilafahlah, satu-satunya sistem yang akan mengubah segala kemungkaran, kemaksiatan dan penderitaan yang di alami oleh umat Islam sekarang kepada sebuah kemuliaan dan keagungan hidup sebagai seorang manusia sesuai dengan fitrah yang diciptakan oleh Allah swt.