Dera pembantu rumah sampai mati manifestasi penerapan sistem kapitalis

Sepasang suami isteri, Chin Chui Ling, 45, dan suaminya Soh Chew Tong, 48 masing-masing dihukum 10 tahun penjara bagi pertuduhan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat seorang pembantu rumah warga Kemboja, Mey Sichan dengan membiarkan mangsa kebuluran pada tahun 2012.

Pembantu rumah berusia 24 tahun itu hanya mempunyai berat badan 26.1 kg ketika dia ditemukan mati di di rumah kedai pasangan berkenaan di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan 29 kesan kecederaan baharu dan lama pada tubuhnya serta mengalami dehidrasi teruk. Pipi dan matanya juga cengkung

Sumber: Bernama, diakses pada 27/1/2018


Komentar:

Tindakan hakim meringankan hukuman ke atas pasangan tersebut dilihat sebagai suatu yang tidak wajar serta tidak setimpal dengan kekejaman yang dilakukan mereka ke atas mangsa. Tidak tergambar penderitaan yang dialami mangsa sepanjang didera dan dibiarkan mati kebuluran oleh majikan yang tidak berperikemanusiaan.

Kes penderaan terhadap pembantu rumah atau amah bukanlah suatu yang terpencil. Dalam sistem kapitalisme hari ini, pembantu rumah terdedah kepada layanan buruk dan dianggap sebagai hamba, bahkan lebih teruk daripada itu. Di samping kes yang menimpa Mey Sichan, negara juga pernah digemparkan dengan kes penderaan pembantu rumah bernama Nirmala Bonat beberapa tahun lalu yang turut mendapat perhatian Presiden Indonesia pada ketika itu, Susilo Bambang Yudhoyono.

Kes penderaan amah ini bukan hanya terjadi di Malaysia, bahkan turut berlaku di negara-negara lain. Pada tahun lalu, Zariah Mohd Ali, 56, dan Mohamad Dahlan, 58 telah disabitkan bersalah oleh mahkamah di Singapura kerana mendera pembantu rumah dari Indonesia secara berulang kali pada 2012 [Straits Times, diakses pada 27/1/2018].

Dalam sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Human Rights Watch pada November 2017 berjudul “Working Like a Robot – Abuse of Tanzanian Domestic Workers in Oman and the United Arab Emirates”, lebih daripada lima puluh orang pembantu rumah yang ditemuramah menyatakan bahawa pasport mereka telah dirampas oleh majikan serta dipaksa bekerja antara 15 hingga 21 jam sehari. Laporan tersebut juga menyatakan bahawa terdapat dua daripada lima orang pembantu rumah yang ditemuramah dilaporkan mengalami penderaan fizikal, serta dianggarkan bahawa jumlah yang sama juga mendakwa mengalami penderaan seksual oleh majikan.

Kesemua ini hanyalah sebahagian daripada kes-kes penderaan yang terjadi, namun terdapat kemungkinan bahawa lebih banyak lagi kes-kes penderaan pembantu rumah yang tidak dilaporkan. Belum lagi mengambil kira kes pembantu rumah ditipu oleh agensi, dinafikan hak mendapat gaji seperti yang dijanjikan, dan penderaan secara psikologi oleh majikan.

Sesungguhnya, kezaliman sebegini terjadi secara berleluasa akibat penerapan sistem kapitalisme pada hari ini – sebuah sistem yang menjadikan manfaat sebagai ukuran untuk mencapai keuntungan maksimum. Dalam sistem ini juga kita dapat menyaksikan berleluasanya perhambaan zaman moden yang menindas golongan miskin dan yang tidak berupaya.

Sebaliknya, jika sistem Islam diterapkan secara kaffah, nyawa dan harta seseorang itu terjamin, dan sekiranya terdapat sebarang bentuk kezaliman mahupun perlanggaran hak akan ditangani secara adil berlandaskan hukum Allah SWT. Islam juga memberikan penekanan terhadap akad ijarah yang disepakati antara majikan dan pekerja secara adil. Sekiranya terdapat sebarang perlanggaran terhadap akad yang telah disepakati, maka pihak yang tertindas berhak untuk mendapatkan keadilan.

Walaupun tidak mustahil jenayah dan perlanggaran hak masih boleh terjadi biarpun di saat sistem Islam diterapkan, namun Islam mempunyai mekanisme yang adil untuk menanganinya berasaskan bimbingan wahyu. Perkara ini tidak akan tercapai seandainya Islam tidak diterapkan secara kaffah dalam kerangka sistem Khilafah. Wallahua’lam.

Muhammad Fauzi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia