Dewan Rakyat luluskan TPPA, kehendak siapa?
Sebelum Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dibahaskan di Dewan Rakyat, media telah pun melaporkan yang Malaysia merupakan satu-satunya negara yang membawa perjanjian tersebut ke Parlimen untuk dibahaskan. Laporan ini menggambarkan seolah-olah Malaysia adalah negara yang lebih demokratik berbanding 11 negara lain yang turut terlibat dengan TPPA.
Beberapa hari sebelum dibawa ke Parlimen, parti-parti pembangkang, NGO-NGO dan rakyat yang tidak mahu negara meratifikasi perjanjian antarabangsa itu telah berhimpun secara besar-besaran di Padang Merbok, Kuala Lumpur bagi menyuarakan bantahan terhadapnya dan mengharapkan yang kerajaan tidak akan meneruskan perjanjian tersebut.
Dalam masa yang sama, kebanyakan dari mereka yang berhimpun sedar bahawa kerajaan akan tetap meneruskan TPPA dan pembahasan di Parlimen hanya sebagai penutup mulut rakyat sahaja, selain simbolik kepada proses demokrasi. Hakikatnya semua orang tahu bahawa suara majoriti ada pada parti pemerintah yang memustahilkan TPPA tidak lulus apabila dibahaskan. Sebagaimana diduga, Dewan Rakyat meluluskan TPPA setelah dua hari pembahasan dengan 127 ahli parlimen bersetuju dan 84 tidak bersetuju setelah dilakukan undi belah bahagi.
Apa yang sangat menyedihkan bukanlah kelulusan TPPA itu sendiri, tetapi umat Islam yang masih percaya kepada sistem demokrasi. Mereka masih tidak nampak bahawa sistem demokrasi sebenarnya tidak mewakili kehendak atau aspirasi mereka sedikit pun dan mereka terus ditipu dan diperdaya oleh sistem kufur tersebut.
Dalam sistem demokrasi yang kononnya mewakili suara rakyat, realitinya wakil rakyat tidak pernah turun bertanyakan pendapat rakyat sama ada menyokong atau tidak TPPA mahupun mana-mana undang-undang yang ingin diluluskan. Wakil rakyat malah langsung tidak peduli dengan kehendak rakyat kerana hakikatnya mereka tidak mewakili rakyat, sebaliknya hanya mewakili parti masing-masing. Walau sebesar mana sekalipun kehendak rakyat atau bantahan dilakukan rakyat, apa yang diambil kira oleh wakil rakyat hanyalah kehendak ketua parti mereka. Jika ketua parti mereka mahukan TPPA, maka itulah yang akan mereka ikuti. Kehendak rakyat? Hanya mitos demokrasi sahaja!
Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, demokrasi yang mana kedaulatannya ada di tangan manusia, telah menjadikan manusia sebagai pembuat hukum dan penentu halal dan haram. Ahli parlimen dalam demokrasi tidak perlu merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis untuk menentukan halal dan haram kerana hak itu ada pada mereka. Apa yang mereka perlukan ialah undi majoriti. Selama mana suara majoriti bersetuju, maka segala yang halal boleh jadi haram dan yang haram boleh jadi halal.
Atas dasar itu, TPPA walaupun haram di sisi syarak kerana merupakan perjanjian yang ditandatangani dengan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara kafir harbi fi’lan, tetapi ia menjadi halal apabila suara majoriti telah meluluskannya. Bukan sekadar TPPA, banyak lagi keharaman lainnya yang lebih besar, semuanya menjadi halal kerana suara majoriti meluluskannya. Hukum Allah boleh dicampak begitu sahaja dan diganti dengan hukum yang mereka buat sendiri. Inilah realiti demokrasi yang mana ahli Parlimen telah mengambil hak Allah dalam membuat hukum.
Inilah hakikat yang paling menyedihkan kita apabila umat Islam masih berpegang teguh dan berharap pada demokrasi, walhal tidak ada apa yang dibawa oleh demokrasi kecuali kebatilan dan kerosakan.
Justeru, apa yang wajib ditolak oleh umat Islam bukanlah TPPA itu semata-mata, tetapi sistem demokrasi itu sendiri dan semua pemimpin yang terlibat dengannya.