Di manakah Hebatnya MEB Jika Asasnya Adalah Sama – Kapitalisme?
KUALA LUMPUR 28 April – Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat UMNO menganjurkan forum Model Ekonomi Baru (MEB) bagi membincangkan pelbagai aspek berkaitan bagi memastikan ia memberi manfaat sebaik mungkin kepada seluruh rakyat. Presidennya, Tan Sri Adam Kadir (gambar) berkata, rumusan yang diperoleh pada akhir forum tersebut akan dikemukakan kepada kerajaan untuk dijadikan input pelaksanaan MEB tersebut. “Forum berkenaan terbuka kepada orang ramai yang berminat untuk berkongsi idea bagi menjayakan MEB,” katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia hari ini. Menurut beliau, tokoh yang akan terlibat sebagai ahli panel pada forum tersebut antaranya bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Sanusi Junid dan bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines System (MAS), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman. Menurut Adam, forum tersebut akan diadakan di Memorial Tun Hussein Onn pada 1 Mei ini dengan sasaran lebih 250 peserta.
Sumber : Utusan Malaysia, 29/04/2010
Di manakah Hebatnya MEB Jika Asasnya Adalah Sama – Kapitalisme?
Buatlah apa sekalipun dasar dan polisi – ia tetap akan menemui kegagalan dunia dan akhirat jika Islam tidak menjadi asasnya. Begitu jugalah dengan MEB yang baru sahaja diperkenalkan oleh kerajaan yang digembar gemburkan sebagai sesuatu yang dikatakan cukup hebat dan mampu memberikan kebaikan kepada seluruh rakyat. Hakikatnya, MEB adalah idea dan produk yang keluar dari pemikiran politik ekonomi Kapitalisme yang diterapkan oleh pemerintah sekular yang berkuasa pada hari ini. Ianya tidak lepas dari asas ekonomi Kapitalisme yang bertunjangkan idea kebebasan yang meliputi kebebasan kepemilikan harta, kebebasan pengelolaan harta dan kebebasan dalam penggunaannya. Dulu ada DEB, dengan pelbagai bentuk janji-janji manis dalam mengagihkan kekayaan negara secara adil kepada semua rakyat. Apakah ianya berjaya? Terbukti golongan kaya terus menjadi kaya raya sementara golongan miskin terus dihimpit dengan kemiskinan. Hanya kroni yang rapat dengan para pemimpin sahaja yang merasa manisnya sementara yang lain hanya mendapatkan hampasnya sahaja. Kini muncul pula MEB. S
kripnya juga tetap sama. Apa yang pasti adalah, kedua-duanya tetap terbit dari asas yang sama – Kapitalisme. MEB, oleh kerana asas pertimbangannya adalah tetap kapitalisme, tidak akan membawa apa-apa makna, hanyalah kesinambungan dari perlaksanaan sistem ekonomi yang diasaskan kepada aqidah sekularisme. Oleh itu, forum MEB anjuran Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat UMNO ini tidak akan membuahkan hasil jika ianya hanyalah sekadar bertujuan untuk membantu meneruskan dan memperpanjangkan tempoh hayat ekonomi Kapitalisme yang sudah berakar umbi dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara saat ini. Firman Allah SWT:
“orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.[TMQ Al Baqarah (2) : 275].