Di sebalik kilauan 43 pingat emas, hilangnya sebuah nilai kemanusiaan
Dalam kemeriahan sukan SEA dan keghairahan para kontinjen dalam merebut pingat emas serta habuan yang menanti sewaktu kepulangan mereka nanti, sekali lagi umat Islam di Malaysia telah dilekakan daripada penderitaan umat Islam Rohingya di bawah cengkaman rejim Myanmar serta kelompok pelampau Buddha.
Amat menyedihkan apabila liputan tentang sukan di Myanmar terus menjadi topik utama manakala rintihan Muslim Rohingya tidak menjadi perhatian media malah seolah-olah temasya sukan itu lebih penting dari nyawa manusia yang sedang terancam di sana.
Inilah semangat ASEAN agaknya! Semangat yang menjadikan para pemerintah dan sebahagian umat Islam lupa bahawa kaum Muslimin Rohingya adalah saudara seakidah mereka yang wajib diberikan pembelaan. Bahkan ada segelintir pihak yang melihat krisis di Arakan yang sudah berlarutan semenjak sekian lama itu sebagai isu dalaman dan tidak boleh ada campur tangan dari luar. Sedangkan Rasulullah SAW bersabda,
Daripada Nukman bin Basyir r.a katanya: “Kamu lihat orang-orang yang beriman itu dalam saling kasih mengasihi, saling cinta mencintai dan saling tolong-menolong, seperti tubuh yang satu. Kalau ada salah satu anggota yang terkena penyakit, seluruh tubuh ikut menderita tidak dapat tidur dan menderita panas” [HR Bukhari].
Alangkah pentingnya sukan sehingga telah menghilangkan nilai kemanusiaan dalam diri seseorang! Tatkala ramai Muslim Rohingya mati dibantai rejim dan ekstremis Buddha, mereka yang terlibat dengan sukan tersebut bermati-matian mengejar pingat, nama dan kebanggaan!
Sedarlah wahai umat Islam, bahawa rejim Myanmar telah melakukan kezaliman ke atas saudara-saudara Muslim Rohingya kita. Mereka bukan sahaja telah dinafikan pelbagai hak, bahkan nyawa mereka sentiasa terancam dek pembantaian oleh pelampau Buddha yang dibiarkan merajalela oleh pihak rejim. Sedarlah bahawa kekejaman sebegini wajib dijawab dengan pembelaan sebuah negara! Bukan kontinjen atlet yang sepatutnya dihantar, sebaliknya sebuah ketumbukan tentera yang sepatutnya dihantar demi membela dan membebaskan saudara-saudara kita yang tertindas di sana.
Kerajaan Malaysia sepatutnya bukan sekadar memboikot sukan SEA yang baru berlalu ini, bahkan sepatutnya mengenakan tekanan politik dan ketenteraan serta memutuskan hubungan diplomatik dengan rejim Mynmar sebagai bantahan terhadap kebiadaban yang dilakukan oleh rejim Myanmar.
Sesungguhnya kezaliman rejim Mynmar dan kezaliman rejim pemerintah Muslim yang lain di seluruh dunia yang tidak menghantar bantuan ketenteraan yang diperlukan oleh Muslim Rohingya ini akan berakhir tidak lama lagi dan akan diganti dengan sebuah pemerintahan Khilafah Islamiyyah yang akan menyelamatkan seluruh kaum Muslimin dari segala penderitaan. Dengan izin Allah, usaha-usaha yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia untuk menegakkan Khilafah sudah hampir sampai ke titik kemenangan.
“Dan di hari (kemenangan) itu bergembiralah orang-orang yang beriman (kerana pertolongan Allah). Dia menolong siapa yang dikehendakiNya dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang” [TMQ ar-Rum (30):4-5].