Dialog Mencari Kebenaran, Bukan Cacian Terhadap Sembahan Musyrik
Terdapat beberapa iktibar yang perlu kita ambil rentetan daripada insiden ini:
1. Perbuatan mempersendakan sembahan agama lain merupakan suatu tindakan yang tidak wajar, apatah lagi untuk dijadikan jenaka dalam sebuah ceramah agama. Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT;
“Dan janganlah kamu mencerca sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan” [TMQ al-An’am (6): 108].
Perbuatan sedemikian boleh menyebabkan penganut ajaran tersebut bertindak membalas dengan mencela Allah SWT dengan penuh kejahilan. Ditambah pula tindakan tersebut dibuat dengan tujuan untuk berjenaka dalam ceramah sedangkan majlis tersebut sewajarnya dipenuhi dengan pengisian yang bermanfaat, membangkitkan kesedaran melalui pemikiran dan mendekatkan diri kepada Allah.
2. Meskipun kenyataan tersebut dibuat dalam sebuah ceramah tertutup di surau yang dihadiri oleh orang Islam sepenuhnya, namun di zaman ledakan teknologi komunikasi dan maklumat, peristiwa sebegini dengan begitu mudah untuk tersebar kepada khalayak umum tanpa sebarang sempadan dan tapisan. Sebagai seorang pendakwah, kita sepatutnya peka dengan implikasi yang boleh tercetus daripada apa yang disampaikan.
3. Prinsip kebebasan bersuara yang menjadi salah satu tunjang dalam sistem demokrasi kapitalisme telah menyebabkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang bebas dalam menghina Islam dan berbaur perkauman. Penghinaan demi penghinaan terhadap ajaran Islam berlaku saban waktu, namun malangnya kerajaan dan pihak berkuasa dilihat sangat keberatan untuk mengambil tindakan yang tegas kerana ia dikhuatiri akan dilihat sebagai menindas kaum minoriti bukan Islam di Malaysia. Penguasa juga telah didakwa bersikap double standard apabila tindakan segera diambil terhadap laporan polis ke atas Ustaz Shahul, namun kelihatan tidak bertegas terhadap insiden penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, celaan kepada laungan azan, keceluparan Namewee dan lain-lain lagi yang dilakukan oleh segelintir kelompok bukan Islam.
4) Terdapat juga sebilangan umat Islam yang meletakkan Islam di kandang pesalah dengan bersikap defensive apologetic setiap kali isu sebegini timbul. Mereka akur dengan tekanan daripada puak liberal, pluralis dan sekular semata-mata kerana bimbang jika dilabel sebagai ekstremis, radikal dan jumud. Walhal pada hakikatnya sebagai umat Islam, kita sepatutnya sentiasa berpendirian tegas dalam sebarang isu dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan luar tatkala kesucian Islam dicemari kerana sesungguhnya kedudukan Islam itu sentiasa tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.
5) Dalam menangani perselisihan antara agama, umat Islam sewajarnya menjadi duta bagi agama Islam dengan berdialog menyampaikan kebenarannya kepada penganut agama-agama lain. Dialog tersebut sewajarnya membahaskan perkara pokok iaitu persoalan akidah serta berusaha bersungguh-sungguh untuk menarik mereka untuk memeluk Islam dan bukannya dijadikan medan untuk menyebarkan fahaman pluralisme atau idea kesamaan agama yang mengiktiraf agama lain setaraf dengan Islam. Wallahua’lam.
“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapakah yang tersesat daripada jalanNya, dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk” [TMQ al-Nahl (16): 125].
Sumber: Kenyataan rasis: MIC, PPP, NGO lapor polis, Sinar Harian, akses pada 2 Ogos 2014 (http://www.sinarharian.com.my/semasa/kenyataan-rasis-mic-ppp-ngo-lapor-polis-1.303580)