Dirikanlah Perundangan Syariah Sebenar

altPada Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Penyelarasan Penguatkuasaan Fatwa Malaysia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan bahawa kerajaan akan memartabatkan perundangan syariah di negara ini. Di antara langkah-langkah yang akan dilakukan adalah dengan memantapkan lagi aspek pendakwaan dan penguatkuasaan. Menurutnya cadangan itu telah pun dipersetujui oleh Jabatan Peguam Negara.
Adakah Jamil Khir sedar bahawa tindakan beliau itu sebenarnya telah meletakkan sistem perundangan syariah di bawah ihsan Jabatan Peguam Negara. Mengapakah perlu meminta izin daripada Jabatan Peguam Negara untuk memartabatkan perundangan syariah sedangkan perundangan syariah sepatutnya lebih mulia daripada Jabatan Peguam Negara.

Namun, persoalan yang paling utama di sini ialah; bagaimanakah agaknya  cara dan tindakan yang akan diambil oleh Jamil Khir  di dalam rangka usaha untuk memertabatkan perundangan syariah di dalam sistem kufur demokrasi yang digunapakai oleh kerajaan sekular Malaysia hari ini? Inilah persoalan yang pastinya muncul dibenak pemikiran umat Islam.

Jika apa yang dilaksanakan pada hari ini diteruskan, maka kita tidak akan mampu membayangkan betapa besarnya kemurkaan Allah SWT. Sebagai contoh, bilangan jumlah hukuman sebatan yang dikenakan bagi pelaku kesalahan yang hukumannya telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai musyar’i. Jika Allah SWT mewajibkan bagi kesalahan zina untuk pasangan ghairu muhsan adalah 100 kali sebatan  dan bukannya hanya 6 kali sebatan sebagaimana yang ada pada hari ini. Bagi yang sudah berkahwin pula hukumannya adalah rejam sampai mati. Apakah Jamil Khir berani merperjuangkan hukuman dan memartabatkan hukum Allah ini? Pasti setiap daripada kita sudah dapat meneka jawapannya. Untuk itu sebagai umat Islam, kita sememangnya menanti-nantikan keberanian dan kesungguhan Jamil Khir dalam usahanya untuk memartabatkan sistem perundangan syariah di negara ini. Kita tidak mahu beliau hanya berani  berhelah dan bermadah menjelang bahang PRU-13 dan dalam masa yang sama terus menjadikan syariat Islam sebagai mainan dan senda gurau.

Kita tidak menafikan bahawa sudah sememangnya menjadi kewajipan setiap umat Islam untuk memartabatkan syariat Islam termasuklah perundangan syariah itu. Namun, Jamil Khir sendiri mengakui bahawa undang-undang sivil yang sedia ada hari ini adalah undang-undang yang lebih tinggi tarafnya dari sistem perundangan syariah. Jadi, seolah-olah Jamil Khir tidak memahami realiti yang sedia ada. Mana mungkin menerapkan perundangan syariah sedangkan pada masa yang sama undang-undang sekular berada lebih atas dan perundangan syariah berada di bawah. Apakah Jamil Khir gagal memahami atau sengaja tidak mahu memahami persekitaran politik yang ada pada hari ini di mana sistem pemerintahan Islam tidak wujud dan perkara paling utama ketika ini adalah berusaha untuk mendirikan sistem pemerintahan Islam, iaitu Sistem Khilafah agar bukan sahaja perundangan syariah, tetapi syariat Islam yang lain juga dapat dimartabatkan.

Sebagai umat Islam, kita pastinya hanya mahu melihat hukuman syariah sahaja yang diterapkan dan bukannya hukum Allah itu dicampuradukkan dengan undang-undang  thaghut.  Firman Allah SWT:

“sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah. [TMQ al-Maaidah (5) : 60].

Rujukan : Utusan Malaysia 13/4/2012