Diskaun Tol, Suatu Lakonan Babak Wayang

Beberapa pihak konsesi lebuhraya di seluruh negara telah bersetuju untuk memberikan rebat dan diskaun tol pada kadar antara 5 hingga 37.5% bersempena dengan Aidilfitri tidak lama lagi. Langkah ini merupakan langkah polular yang dilakukan oleh pihak konsesi lebuhraya yang dianggap sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat. Umum mengetahui bahawa apabila menjelangnya sesuatu perayaan, kebanyakkan rakyat Malaysia pergi bercuti ke kampung halaman masing-masing dengan menggunakan perkhidmatan lebuhraya. Mereka bukan sahaja terpaksa membayar kos petrol yang sangat mahal yang mana ia sepatutnya dimiliki oleh rakyat (secara percuma) dengan dinikmati melalui harga kos oleh rakyat, tetapi mereka juga turut dipaksa untuk membayar tol bagi setiap kilometer yang mereka lalui di lebuhraya-lebuhraya.

Ini merupakan natijah dalam kehidupan dunia kapitalis di mana segala-galanya pasti akan dikenakan bayaran atau cukai terhadap rakyat. Ini berbeza dengan Islam yang mengharamkan cukai tidak kira apa jua nama yang diberi seperti tol, GST dan lain-lain. Keharaman ini adalah bersifat mutlak di mana pelakunya (pemungut cukai) telah diberi amaran dan ancaman yang keras oleh Rasulullah saw sepertimana sabdanya:

“Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai (mukus)”
[HR Ahmad, Abu Daud & Hakim].

Rasulullah turut bersabda,

“Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad].

Penekanan ini bersifat tegas di mana pemungut cukai akan dicampakkan ke dalam neraka sekiranya mereka melakukan perkara tersebut. Dalam dunia sistem kapitalis yang diamalkan sekarang, keriangan umat untuk menyambut hari lebaran serta melakukan kunjungan ukhwah telah diambil kesempatan oleh syarikat-syarikat kapitalis untuk memeras untung secara berganda. Penipuan melalui topeng ‘diskaun’ ini bukanlah suatu perkara yang perlu diraikan kerana pihak konsesi sudah pasti akan mendapat keuntungan yang berganda kerana semakin bertambahnya pengguna menggunakan lebuhraya di musim perayaan ini. Cukuplah sketsa yang memualkan ini kerana umat sudah jerih dengan masalah yang tidak kunjung padam disebabkan bahana penerapan sistem kapitalis ke atas mereka.

Jalan raya (termasuklah lebuhraya) merupakan kemudahan umum yang sepatutnya disediakan oleh negara kepada rakyat secara percuma dan bukannya diberikan hak kepada syarikat swasta untuk mengeskploitasi kemudahan umum ini demi keuntungan mereka. Penyediaan kemudahan-kemudahan asas ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab negara dalam mengatur urusan umat sebagaimana pengaturan keperluan-keperluan umat yang lain seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan, keselamatan dan keamanan. Oleh itu, drama pemberian diskaun sempena lebaran sebenarnya hanyalah sebuah lakonan wayang pemerintah bersama-sama ejen mereka (pihak konsesi tol) bagi meraih keuntungan di kala rakyat berada dalam kesempitan hidup di bawah sistem kapitalis yang diterapkan dalam negara. Wallahu a’lam.

Sumber : Berita Harian Online, 02/08/2013