Diskusi Muslimah HizbutTahrir Malaysia (MHTM) di Shah Alam
Ahli panel memulakan perbincangan dengan mengupas hadis-hadis yang menjanjikan pahala yang berlipatganda kepada orang-orang yang mengimarahkan bulan Ramadhan. Turut dikaitkan, realiti umat Islam hari ini yang sememangnya bersungguh-sungguh mengejar pahala yang dijanjikan dengan melipatgandakan amalan-amalan sunat yang dianjurkan. Beliau seterusnya mengajak para penonton agar istiqamah mengerjakan ibadat Ramadhan sepanjang tahun sehinggalah bertemu dengan Ramadhan tahun hadapan. Inilah sebenarnya yang seharusnya dilakukan oleh umat Islam.
Beliau mengumpamakan bulan Ramadhan seperti fasa kepompong dalam riwayat hidup seekor rama-rama di mana dalam fasa kepompong ini, rama-rama tersebut cuma berdiam diri dengan keadaan fizikalnya langsung tidak terserlah. Namun setelah selesai fasa kepompong ini, akan muncul seekor rama-rama yang cantik yang berterbangan dan mampu memukau setiap mata yang memandang. Ertinya di sini, kesan dari tarbiyyah bulan Ramadhan (fasa kepompong) berjaya meghasilkan seorang mukmin sejati, yang ketaatan dan penghambaannya semata-mata kepada Rabbnya dan diserlahkan ketundukannya itu sepanjang tahun walaupun Ramadhan telah berlalu.
Perbincangan ini telah berjaya mengajak penonton untuk sama-sama ikut serta di mana seorang penonton telah membuka minda semua yang hadir melalui soalannya iaitu kenapa begitu sukar bagi umat Islam hari ini untuk meneruskan gaya hidup penuh tadayyun sepertimana di bulan Ramadhan. Persoalan ini dikupas oleh Dr.Ainul dengan mengaitkan cara hidup sekular sebagai penyebab dan racun berbisa kepada umat. Racun ini telah meresap dalam diri dan berakar umbi di dalam pemikiran umat Islam hari ini. Umat telah dibutakan dengan gaya hidup sebegini yang mana hal inilah yang menjadikan umat Islam hidup gaya sekular mengatasi gaya hidup Islam.
Majlis terus dihangatkan dengan perbincangan mengenai sejarah sekularisme dan bagaimana ia berjaya di bawa masuk ke negara ini. Sekularisme dibawa dan dikembangkan oleh Barat ke dunia Islam setelah mereka mula menjajah Negara Islam dan memaksakan undang-undang kufur ke atas umat Islam. Kemasukan undang-undang kufur ke Malaysia bermula pada tahun 1786 dengan pendudukan dan tipu helah Francis Light yang mendarat di Penang. Francis Light melaporkan Penang tidak mempunyai penghuni sedangkan pada ketika itu perkampungan Melayu telah wujud. Kenyataannya itu membolehkan undang-undang Inggeris digunapakai di Penang. Seterusnya undang-undang Inggeris diperluas ke atas seluruh Tanah Melayu. Undang-undang Inggeris menjadi asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia yang di buat melalui Suruhanjaya Reid dan digunapakai hingga ke hari ini.
Dr.Ainul turut mengupas bahaya sekularisme dan peranannya yang meracunidan melumpuhkan umat secara keseluruhan. Majlis ditangguhkan dengan seruan kepada penonton untuk sama-sama menyingkirkan sekularisme dan berjuang untuk menegakkan gaya hidup Islam secara kaffah yang hanya dapat direalisasikan dengan tegaknya Daulah Khilafah.