DISKUSI MUSLIMAH: Keruntuhan Generasi, Kelalaian Negara Menerapkan Islam
Pada pusingan pertama, Nurul Ain telah menjelaskan punca sebenar kepada permasalahan yang melibatkan keruntuhan generasi iaitu kerana tidak diterapkan Islam sepenuhnya dalam kehidupan. Ini adalah kerana Islam pada zaman sekarang hanya diwarisi dan tidak benar-benar dijadikan panduan kehidupan. Kebanyakan manusia bangga menjadi seorang Muslim tetapi dengan mudahnya mengamalkan ‘aqidah lain’ seperti liberalisme, sekularisme, demokrasi, nasionalisme, budaya hedonisme dan materialisme. Mereka juga sekadar mempelajari Islam untuk mengisi kekosongan jiwa bukan untuk diamalkan dan diperjuangkan dalam kehidupan sepertimana yang disuruh oleh Baginda Rasulullah SAW.
Ummu Hajar pula menerangkan bahawa pihak yang harus bertanggungjawab terhadap masalah keruntuhan generasi masa kini adalah negara kerana negaralah yang mempunyai tanggungjawab dan kuasa untuk melaksanakan segala hukum syarak yang digariskan oleh Islam baik dari aspek sosial, politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Apabila seluruh hukum syarak diterapkan, pasti masalah-masalah sosial masa kini akan berjaya diatasi dengan tuntas dan efektif. Tambahan pula, kejayaan ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW apabila Baginda memimpin negara dan masyarakat Islam pertama di Madinah.
Selain itu, Ummu Hajar juga mengungkap sejarah generasi awal kegemilangan Islam yang sangat hebat kerana sistem yang mencorakkan kehidupan mereka adalah sistem terbaik yang diturunkan oleh Al-Khaliq, Pencipta seluruh semesta. Beliau turut menegaskan tentang peranan sebenar seorang ibu. Sayangnya, kebanyakan ibu-ibu hari ini mengabaikan tanggungjawab tersebut atau menyerahkannya kepada orang lain. Ibu yang mengandung dan melahirkan dan orang yang paling layak mengasuh anaknya adalah ibunya sendiri. Seorang ibu sepatutnya menjadi guru dan sekolah pertama dan utama bagi anak-anaknya.
Sesungguhnya para ibulah yang bakal mendidik generasi khairu ummah (umat terbaik). Islam telah memberikan penyelesaian masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia dengan syarat kita wajib menerapkan hukum-hukum Allah SWT secara kaffah (keseluruhan). Jika kita tidak mahu mengambil dan menerapkan hukum-hukum Allah, maka akibatnya adalah seperti yang dapat dilihat pada hari ini di mana kerosakan, penganiayaan dan kezaliman berlaku di mana-mana. Hanya dengan Islam, manusia akan selamat, aman dan sentosa.
Semasa rehat, peserta diskusi diajak menonton tayangan video dan melihat pameran menarik. Usai rehat, para peserta diajak untuk turut sama membincangkan isu yang diangkat. Soalan–soalan yang diajukan menunjukkan bahawa mereka juga peka dan mengambil berat tentang kerosakan generasi dan sistem sekarang serta mahukan solusi tuntas terhadap permasalahan tersebut. Sememangnya umat Islam memerlukan sebuah Negara Islam yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang akan menerapkan syariat Islam dalam seluruh kehidupan rakyatnya.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ukhti Safanah. Di kesempatan ini, pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua hadirin yang hadir bagi menyokong usaha mengubah nasib umat di Malaysia, negara yang dicintai ini, menjadi lebih baik sesuai dengan kehendak Allah SWT.