Diskusi Remaja Di Negeri Di Bawah Bayu Anjuran MHTM Mendapat Sambutan Hangat
Dengan tajuk “Ancaman Gejala Sosial dalam Kalangan Remaja Islam”, pembentang pertama iaitu Ustazah Nur Ain telah berjaya menarik perhatian peserta yang hadir dengan membongkar realiti remaja khususnya di Malaysia dengan mendedahkan fakta-fakta yang berkaitan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa gejala sosial remaja hari ini sedang berada di tahap yang amat mendukacitakan. Sebagai perbandingan, pembentang turut mengajak peserta untuk mengamati keadaan remaja Islam di wilayah-wilayah yang telah dizalimi, di mana mereka berani berdepan dengan tentera kuffar Barat demi membela dan mempertahankan Islam.
Seterusnya, pembentang kedua, Ustazah Rahmah telah memberi kupasan yang sangat baik dalam pembentangan beliau yang bertajuk “Punca Masalah Remaja dan Penyelesaiannya dalam Islam”. Secara umumnya, segala permasalahan yang melanda umat khasnya golongan remaja ini adalah natijah kepada pengabaian terhadap syariat Islam dalam kehidupan seperti dalam firman Allah yang bermaksud:
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [TMQ ar-Rum (30): 41]
Pembentang kemudian menekankan bahawa solusi yang diambil berdasarkan pemikiran sekular-kapitalis sesungguhnya tidak mampu menyelesaikan permasalahan remaja secara total Sebaliknya hanya Islamlah satu-satunya jalan penyelesaian yang benar, sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Maka putuskanlah perkara di antara mereka dengan apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka (dengan) meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.” [TMQ Al-Maa’idah (5): 48]
Ustazah Rahmah telah mengupas bagaimana Islam sebagai mualajah lil masyakil insan (penyelesai kepada masalah manusia) adalah jawapan kepada permasalahan remaja. Ini hanya dapat dicapai melalui peranan individu (ketaqwaan dalam diri), masyarakat (amar ma’ruf nahi mungkar) dan negara (penerapan sistem Islam secara kaffah).
Peserta turut dihidangkan dengan tayangan video menarik bertajuk “Remaja Melayu kian hancur!” dan “Robot-robot Kapitalis”. Keprihatinan peserta terhadap isu yang dibincangkan terserlah apabila mereka mengutarakan beberapa persoalan pada sesi soal jawab. Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan doa sebelum bersurai pada pukul 12.30 tengahari.
Di kesempatan ini, MHTM cawangan Tawau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua pembentang, AJK, para peserta dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan diskusi remaja ini. Semoga segala usaha mendapat keredhaan Allah dan diterima sebagai amal kebaikan di sisi-Nya. Wallahu’alam.