Diskusi Wanita Oleh MHTM di Muar, Johor
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an oleh adik Siti Hajar. Seterusnya majlis diteruskan dengan tazkirah yang bertajuk “Melangitkan Al Quran, Membumikan Syariat ” yang disampaikan oleh Ustazah Hajjah Ummu Kalsom, salah seorang aktivis MHTM. Di antara isi kandungan penyampaian tazkirah itu, beliau telah menyentuh realiti yang berlaku hari ini dimana kita dapat menyaksikan bagaimana Al-Quran tidak lagi diletakkan di tempat yang sepatutnya. Al-Quran tidak lagi berfungsi sebagai rujukan utama umat Islam didalam mengatur kehidupan mereka. Sedangkan didalam hadis Rasulullah SAW telah bersabda:-
“Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat suatu kaum dengan Al Quran dan dengannya pula Allah menjatuhkan kaum yang lain”. [HR Muslim]
Beliau juga menjelaskan walaupun amalan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan bersumber daripada Al-Quran, namun hampir keseluruhan sistem hidup umat Islam pada hari ini jauh daripada penerapan hukum seperti yang terkandung di dalam Kitabullah itu. Malahan, lebih mengecewakan lagi, umat Islam sendiri terutamanya para pemimpin mereka tidak mahu melaksanakan hukum-hukum yang terkandung didalamnya.
Buktinya, sistem pemerintahan kini masih lagi bertunjangkan demokrasi, sistem ekonomi berasaskan sistem ekonomi kapitalisme, sistem perundangan pula berpandukan perlembagaan persekutuan hasil rekaan pihak kuffar Barat dan amalan kehidupan seharian umat Islam disandarkan kepada akidah sekularisme. Natijahnya daripada kemungkaran-kemungkaran seperti yang disebutkan di atas, terjadilah pelbagai tragedi ngeri didalam kehidupan umat Islam. Harta milik bersama umat Islam (seperti minyak) telah dimonopoli oleh kuasa-kuasa besar ekonomi dunia., masalah kemiskinan dan kebuluran menghimpit disana sini sedangkan wilayah umat Islam adalah kawasan yang kaya dengan hasil bumi. Syakhsiyah anak-anak Islam telah rosak dengan bermaharajalelanya budaya pergaulan bebas dan lemahnya sistem pendidikan yang tidak berasaskan kepada aqidah Islam.
Beliau telah berjaya mengupas persoalan ini sehingga membawa para hadirin melihat dan menyedari bahawa Al Quran bukan untuk djadikan hiasan ataupun tatapan harian semata-mata tetapi adalah untuk diterapkan dan dilaksanakan sebagaimana yang dituntut oleh syariat. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Firman Allah : “Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan dibukakan pintu-pintu langit (ampunan) dan mereka tidak pula akan masuk syurga hingga unta masuk kelubang jarum. Demikianlah kami membalas orang-orang yang berbuat kejahatan”. [TMQ al-A’raf (7) : 40].
Seterusnya majlis diakhiri dengan iftar dan juga solat maghrib berjemaah dengan para hadirin. Di kesempatan ini MHTM cawangan Muar mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak langsung, semoga apa yang kita lakukan akan mendapat keredhaan Allah SWT dan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda daripadaNya .
Wallahu’alam