Dolak Dalih Sang Mufti – Malaysia Negara Sekular
KUALA LUMPUR 1 Julai – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan orang bukan Islam tidak seharusnya mempertikaikan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam tanpa memahami sejarah serta Perlembagaan negara. Menurutnya, tindakan itu akan menyebabkan pihak luar serta orang bukan Islam lain menganggap Malaysia sebuah negara sekular. ”Malaysia ialah negara Islam. Perlembagaan tidak mengatakan Malaysia adalah negara sekular. “Orang bukan Islam wajib memahami perkara ini terlebih dahulu sebelum memberikan ulasan tanpa memahami latar belakang penubuhan negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam kenyataannya kepada satu portal berita bahawa DAP tidak akan menerima konsep negara Islam seperti yang dibawa oleh Pas jika berjaya memerintah kelak. Menurut Harussani, semua rakyat perlu memahami perjanjian asal ketika awal kemerdekaan supaya tiada pihak cuba mengambil kesempatan daripada isu itu. “Sekarang ini ramai yang sudah lupa tentang perjanjian yang dibuat oleh nenek moyang kita tentang hak keistimewaan Melayu dan Islam di tanah air ini. “Semua kaum di Malaysia perlu tahu tentang budaya serta agama kita (Islam) dan bukannya sekadar lahir di sini tapi tidak mahu mempelajari budaya setempat,” katanya. Menurutnya, untuk meningkatkan pemahaman budaya setempat antara langkah yang boleh diambil ialah mewajibkan semua kaum di Malaysia boleh berbahasa Melayu dan mengetahui hal ehwal budaya Melayu. Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman turut tidak bersetuju dengan pandangan Pengerusi DAP yang menganggap Malaysia ialah negara sekular. Menurutnya, sekular ialah satu konsep yang mengasingkan antara agama dengan kehidupan dan Islam tidak pernah menganjurkan perkara sedemikian. Tegasnya, dalam Perlembagaan Persekutuan telah termaktub Islam sebagai agama rasmi negara, maka sebarang usaha untuk menafikan perkara itu amat mendukacitakan hati umat agama itu. “Sebagai umat Islam yang taat, isu sekular memang tidak boleh diterima langsung dan boleh menyentuh sensitiviti umat secara tidak langsung,” katanya. Jelasnya, jika ada pihak berterusan mempersoalkan isu sensitif itu, maka tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka. “Setiap orang yang memberi pandangan yang bercanggah dengan Perlembagaan negara perlu dikenakan hukuman supaya mereka tidak terus mengungkit isu sama pada masa akan datang,” tegasnya.
Sumber: Utusan Malaysia 02/07/10
Kenapa Mufti ‘Malu-malu’ Untuk Mengakui Malaysia Sebagai Sebuah Negara Sekular?
Malaysia hari ini sememangnya adalah sebuah negara sekular yang menerapkan sistem kufur peninggalan penjajah walaupun para pemimpinnya adalah orang Islam. Itulah hakikat yang sebenarnya. Faktanya ialah Malaysia hari ini adalah negara yang menggunapakai undang-undang ciptaan manusia iaitu perlembagaan yang hasilkan oleh Suruhanjaya Lord Reid. Suruhanjaya Reid merupakan sebuah suruhanjaya bebas yang berperanan merangka Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu sebelum Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 31 Ogos 1957. Suruhanjaya ini telah dinamakan sempena nama pengerusinya iaitu seorang hakim Mahkamah Rayuan England, Lord William Reid. Suruhanjaya Reid ditubuhkan pada Mac 1956. Pertemuan sebanyak 118 kali telah diadakan antara Jun hingga Oktober 1956, iaitu selepas rombongan Parti Perikatan pulang dari Perundingan London, dan telah menerima 131 memorandum dari pelbagai pihak individu dan organisasi. Semua surat memorandum daripada rakyat jelata yang berminat akan dipertimbangkan dan terdapat juga yang ditolak termasuk daripada Parti Perikatan sendiri. Suruhanjaya tersebut telah menyerahkan draf kerja atau laporan pada Februari 1957 yang telah diperhalusi oleh Jawatankuasa Kerja. Jawatankuasa Kerja diwakili oleh empat orang pemerintah Melayu, empat orang lagi daripada parti yang memenangi pilihanraya pertama iaitu Parti Perikatan, Suruhanjaya Tinggi British, Setiausaha Agung, dan Peguam Negara. Perbincangan mengenai laporan yang dikeluarkan mengambil masa dua bulan dan apabila pindaan telah diterima, rang perlembagaan itu dirujuk kepada Majlis Raja-raja untuk disahkan. Kemudian rang perlembagaan itu dibincangkan semula dengan kerajaan British. Cadangan Suruhanjaya Reid diterima oleh Parlimen British pada Jun 1957. Draf perlembagaan dibentang untuk diluluskan Majlis Perundangan Persekutuan. Rang Perlembagaan itu telah diperkenankan oleh Majlis Raja-raja pada bulan Jun 1957 dan Majlis Undangan Persekutuan telah menerima dan meluluskannya pada 15 Ogos 1957 dan Perlembagaan tersebut berkuatkuasa pada 27 Ogos. (Walau bagaimanapun, secara rasminya pada 31 Ogos iaitu selepas kemerdekaan.) Perlembagaan tersebut kemudiannya telah dipinda dengan beberapa perubahan kecil bagi menyesuaikannya menjadi Perlembagaan Malaysia apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak lalu membentuk Malaysia. [http://ms.wikipedia.org/wiki/Suruhanjaya_Reid].
Wahai para mufti! Ketahuilah bahawa setiap apa yang kamu pertahankan dan perkatakan akan dipersoalkan oleh Allah SWT kelak di hari akhirat. Jika kamu mendakwa Malaysia adalah sebuah negara Islam maka selayaknya kamu menjelaskan apakah sebenarnya takrif bagi sesebuah negara itu sehingga ia layak dikatakan sebagai sebuah negara Islam beserta dengan dalil-dalilnya sekali agar apa yang kamu perkatakan itu ada nilainya di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW pernah berpesan “katakanlah yang benar biarpun ianya pahit”. Lihat: SN132 – MALAYSIA – NEGARA ISLAM ATAU SEKULAR?