Dunia akan terus kebuluran di bawah cengkaman Kapitalisme
Jumlah individu yang memerlukan bantuan makanan mendesak di 16 negara di wilayah Sahel, Afrika meningkat lebih dua kali ganda, tahun ini, kepada kira-kira 9.4 juta ekoran peningkatan keganasan dan faktor ketidaktentuan, menurut laporan beberapa sumber. Kira-kira 9.4 juta penduduk dalam keadaan memerlukan bantuan segera bagi tempoh Oktober hingga Disember 2019 di 16 negara yang dianalisa termasuk empat juta di Nigeria, 1.5 juta di Niger dan 1.2 juta di Burkina Faso tidak termasuk Liberia. Menjelang Jun hingga Ogos 2020, 14.4 juta orang dijangka berada dalam situasi krisis atau lebih teruk termasuk 1.2 juta dalam situasi darurat [AFP, BH Online, 9/12/2019].
Tidak dinafikan bahawa faktor kemarau serta beberapa faktor lain turut menyumbang kepada masalah kekurangan makanan, termasuklah faktor ketidakstabilan politik dan konflik bersenjata yang berterusan di rantau tersebut. Namun, kita perlu sedar bahawa konflik yang tercetus ini merupakan kesan tinggalan daripada kolonialisasi dan neo-kolonialisasi oleh kuasa-kuasa besar seperti Perancis dan British.
Dalam pada itu, kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet (sebelum keruntuhannya) turut menyumbang kepada kemelut yang berpanjangan di benua Afrika. Kuasa-kuasa besar kuffar saling bersaing untuk mengukuhkan cengkaman serta melebarkan pengaruhnya, dengan menaja pihak-pihak di negara-negara Afrika untuk menjadi ejen-ejen mereka. Kesannya, rantau Afrika dilanda pergolakan saban tahun dan situasi ini berlarutan sehingga ke hari ini.
Keadaan diperparah dengan penerapan sistem ekonomi kapitalisme yang membuka ruang kepada konglomerat dan golongan pemodal global untuk bersekongkol dengan para penguasa di rantau Afrika demi mengaut hasil bumi serakus-rakusnya di benua tersebut. Dalam masa yang sama, penduduk tempatan yang tidak berdaya terus ditindas dan terbelenggu dengan kemiskinan yang berpanjangan.
Pastinya kita tidak dapat membayangkan bagaimana wilayah Afrika yang cukup luas dan subur itu boleh menghadapi krisis makanan. Tetapi inilah realiti yang terjadi di depan mata, apabila dunia berada di bawah cengkaman Kapitalisme. Kekayaan bumi hanya dikaut oleh golongan yang berkuasa dan juga pemilik modal, yang tidak dapat dipisahkan dengan penjajah dan kesan penjajahan.
Penderitaan yang berlaku di Afrika di bawah cengkaman Kapitalisme saat ini cukup berbeza dengan keadaan di rantau tersebut yang suatu ketika dahulu pernah berada di bawah naungan Khilafah. Terdapat coretan emas di zaman Khilafah bahawa kemakmuran di bawah pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang dicatat oleh Ibnu Abdil Hakam di dalam ‘Sirah Umar bin Abdul Aziz’ yang meriwayatkan bahawa Yahya bin Said, seorang petugas zakat pada masa itu berkata, “Saya pernah diutus oleh Umar Abdul Aziz untuk memungut zakat di Afrika. Setelah memungutnya, saya ingin memberikannya kepada orang-orang miskin. Namun saya tidak menjumpai seorang pun”.
Demikianlah gambaran kemakmuran dan kesejahteraan di bawah pemerintahan Khilafah yang didasari dengan ketakwaan dan penerapan sistem Islam secara menyeluruh (kaffah), baik dalam sektor ekonomi, politik, sosial, dan lain-lainnya oleh Sang Khalifah. Catatan ini bukanlah sekadar sorotan sejarah yang sekadar untuk dikenang semata-mata, tetapi di dalamnya terdapat tuntutan kewajipan untuk kita sama-sama berusaha mengembalikannya.
Selagi ideologi Kapitalisme mendominasi dunia, maka selagi itulah masalah kebuluran dunia akan berterusan, sehinggalah kembalinya seorang Khalifah seperti Umar bin Abdul Aziz.
Umar Hussein
Pimpinan Pusat
Hizbut Tahrir Malaysia