Edar risalah: Mahkamah tangguh perbicaraan ke bulan Februari tahun hadapan
Shah Alam, 12 Nov – Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini menangguhkan perbicaraan kes pendakwaan ke atas anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Azmi Rahman Mat Zuini pada satu tarikh yang ditetapkan bulan Februari tahun hadapan.
Azmi didakwa atas kesalahan menghina pihak berkuasa agama, di bawah Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, kerana mengedar risalah Sautun Nahdhah keluaran HTM. Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum 3 tahun penjara atau dua ribu ringgit denda jika sabit kesalahan.
Proses perbicaraan hari ini diteruskan dengan pihak pendakwaan memanggil saksi ketiga dan keempat daripada pihak Penguatkuasa Agama, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk diambil keterangan. Perbicaraan yang sepatutnya dijalankan selama tiga hari itu terpaksa ditangguhkan kerana ketiadaan saksi seterusnya, pihak pendakwa memohon kepada hakim untuk menangguhkan perbicaraaan kerana saksi seterusnya tidak dapat hadir kerana ada urusan lain.
Ketika ditanya lebih lanjut oleh hakim adakah saksi tersebut telah menerima sepina, pihak pendakwa kemudiannya menukar kenyataan dengan menyatakan bahawa Jabatan Mufti masih lagi belum menentukan siapakah saksi yang akan dihantar untuk memberi keterangan di mahkamah.
Mengulas tentang penangguhan sesi perbicaraan ini, Ustaz Mu’adz Abu Thalhah selaku Pimpinan Pusat HTM menyatakan kekesalannya terhadap pihak pendakwaan dan Jabatan Mufti kerana tidak serius untuk menghadapi perbicaraan.
“Kita kesal dengan JAIS dan Jabatan Mufti, mereka ingin mendakwa kita hanya kerana edar risalah dakwah tapi mereka sendiri tidak serius, dan hanya merugikan masa orang lain.
Kami sarankan kepada pihak pendakwaan jika mereka tidak mampu bersikap profesional untuk menghadapi perbicaraan ini, maka lebih baik mereka gugurkan sahaja kes ini agar kita tidak membuang banyak masa,” katanya.