Edisi khas KUPAS ingatkan kewajipan jihad ke Gaza
Buletin HTM – Program Edisi Khas Kupas Tuntas Bersama Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) 8 Ogos 2025 membuka ruang kepada penonton untuk mengemukakan soalan secara langsung kepada Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman, berhubung pelbagai isu semasa dalam dan luar negara.
Sesi yang agak santai tetapi padat ini menyentuh beberapa perkembangan terkini yang membabitkan kepentingan umat Islam, dengan menjawab persoalan mengenai gerakan solidariti dan bantuan untuk Gaza, kes kematian Zara Qairina, kes rasuah projek terowong Pulau Pinang, kedatangan Donald Trump ke Malaysia, kenyataan Mufti Wilayah mengenai kilang arak, serta persoalan tentang calon Khalifah.
Menyentuh isu Palestin-Gaza, Ustaz Abdul Hakim mengakui bantuan kemanusiaan oleh NGO, gerakan Islam dan rakyat adalah penting untuk membantu mangsa, namun menegaskan bahawa masalah tidak akan selesai selagi “pemangsa” – entiti Yahudi –tidak dihapuskan.
Menurut beliau, pemangsa ini mesti dihapuskan segera melalui jihad oleh tentera Muslim kerana tentera wajib dilawan dengan terang, dan perang wajib dibalas dengan perang. Beliau menyeru agar para tokoh dan gerakan-gerakan mana pun yang prihatin isu Gaza, agar tidak hanya memfokuskan kepada bantuan kemanusiaan, tetapi lebih penting dari itu ialah desakan agar penguasa dan tentera melancarkan jihad untuk menghapuskan entiti Yahudi.
Walaupun penguasa dan tentera tidak bergerak setakat ini, tetapi muhasabah kepada mereka wajib terus dilakukan dan dalam masa yang sama umat Islam wajib bergerak menegakkan Khilafah, yang dengan berdirinya institusi politik ini, Khilafah pasti akan melancarkan jihad ke atas ‘Israel’. Inilah yang sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia, tegas Jurucakap HTM itu.
Mengulas kematian adik Zara Qairina, beliau menyatakan bahawa isunya sekarang bukan sahaja mengenai buli, tetapi rakyat sudah tidak percaya kepada pihak berautoriti di semua peringkat, baik peringkat sekolah, polis dan kehakiman. Rakyat, khususnya di Sabah sudah lama menjadi mangsa kepada ketidakadilan sistem, dan kini kes kematian Zara merupakan klimaks kepada kemarahan rakyat terhadap sistem dan para pemegang kuasa yang korup.
Beliau turut menjelaskan mengenai hukum Islam terhadap kes kematian dan bagaimana Islam menjamin keadilan dalam kes seperti ini, tidak sebagaimana hukum sekular yang telah terbukti tidak adil dan penuh kerosakan.
Menjawab soalan mengenai post mortem ke atas mayat yang menjadi salah satu tuntutan dalam kes kematian Zara, Abdul Hakim berkata bahawa Islam mengharamkan mayat dibedah atau dilakukan apa-apa bentuk pemeriksaan dalaman, kecuali pemeriksaan luaran sahaja, Islam sangat menghormati mayat dan Rasulullah (saw) melarang sebarang bentuk pembedahan pencederaan, pemukulan dan sebagainya ke atas mayat.
Jurucakap HTM itu menjelaskan panjang lebar mengenai hukum pembuktian dalam Islam, yang berbeza dengan undang-undang sekular.
Berkaitan kes rasuah projek terowong Pulau Pinang, di mana saksi utama kes telah mengalami kejadian samun, beliau mengkritik sistem yang ternyata sering berpihak kepada mereka yang berkuasa berbanding rakyat atau saksi. Menjawab persoalan sejauh mana umat Islam perlu bersabar dengan situasi sebegini, beliau menekankan bersabar memang merupakan satu keperluan, tetapi bukan bererti tinggal diam tanpa melakukan sesuatu. Umat Islam wajib bergerak melakukan perubahan dengan menukar sistem sekular kepada Islam, dan dalam masa yang sama bersabar dengan segala ujian.
Mengenai soalan apakah tindakan HTM terhadap kedatangan Donald Trump ke Malaysia bagi menghadiri mesyuarat ASEAN Oktober ini, beliau menyatakan pendirian tegas HTM menolak kedatangan musuh Allah itu, dan insya Allah HTM akan melakukan aktiviti yang sewajarnya bagi menyuarakan bantahan.
Mengulas mengenai kenyataan Mufti Wilayah yang mempertahankan operasi kilang arak atas alasan para pekerja akan kehilangan kerja (jika kilang ditutup) dan kerajaan kehilangan hasil cukai, beliau menegaskan bahawa yang haram tetap haram sampai kiamat, tidak kira siapa yang berkata. Bekerja di kilang arak adalah haram, dan cukai adalah haram. Mufti, katanya, sepatutnya menyeru penutupan kilang arak dan menolak cukai yang haram, bukan mempertahankannya.
Menjawab soalan tentang calon Khalifah jika Khilafah ditegakkan di Malaysia, beliau menjelaskan bahawa sistem Khilafah adalah global, dan apabila ia tegak, Khalifah tidak semestinya warganegara negara tersebut. Jika Hizbut Tahrir berjaya menegakkan Khilafah di mana-mana negara pun, Amir Hizbut Tajrir, Syeikh ‘Atha bin Khalil Abu ar-Rasytah, insya Allah akan diangkat sebagai Khalifah.
Program diakhiri dengan seruan agar umat Islam menjadikan syariat sebagai satu-satunya rujukan dalam memahami dan menyelesaikan masalah. Syariat Islam adalah rahmat untuk seluruh alam. Hanya dengan penerapan syariat secara menyeluruh, umat Islam akan benar-benar bebas daripada kezaliman sistem sekarang.