LAPORAN SEMINAR NEGARA ISLAM: KEWAJIPAN YANG DILALAIKAN

altHizbut Tahrir Malaysia (HTM) Cawangan Kedah telah mengadakan seminar pemikiran Islam di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar. Tujuan seminar yang bertajuk Negara Islam ini adalah untuk mendedahkan isu Negara Islam yang masih kabur di mata umat, serta menjelaskan kewajipan utama ini yang telah dilalaikan mengakibatkan umat Islam tidak lagi menjadi umat terbaik seperti mana dinyatakan di dalam Al Quran. Negara Islam, menurut Imam As Syafie merupakan ummul faraid (ibu segala kefardhuan) di mana kewujudannya akan membolehkan keseluruhan syariat Islam dapat dilaksanakan.
Seminar yang bermula jam 9 pagi ini membariskan dua pembentang kertas kerja yang terdiri daripada aktivis Hizbut Tahrir Kedah. Pembentang pertama, Ustaz Fakhruz Hadfi membentang tajuk Imbasan Negara Islam yang berkisar di sekitar sejarah Negara Islam pertama yang didirikan oleh Rasullullah SAW dan diteruskan oleh para khalifah selepasnya di zaman pemerintahan Khilafah Ar Rasyidin, Kekhilafahan Bani Umayyah, Kekhilafahan Bani Abbasiyyah dan Kekhilafahan Bani Uthmaniyyah. Zaman kekhilafahan Islam ini berakhir pada 3 Mac 1924 apabila khalifah terakhir umat Islam digulingkan oleh Mustafa Kamal Attaturk.
Sejarah menunjukkan banyak kejayaan dan kegemilangan telah dicapai selama pemerintahan Islam yang berjalan lebih 1300(H) tahun itu. Kesucian Agama Islam dan kemaslahatan umatnya, termasuk kaum non-muslim terjaga di sepanjang tempoh pemerintahan Islam. Namun demikian selepas keruntuhan institusi ini, kesucian Islam sering tercemar dan umat Islam hidup dalam keadaan mundur di segenap bidang kehidupan tidak kira politik, ekonomi, sosial, pendididkan, sains dan teknologi; malah nyawa dan kehormatan umat Islam itu sendiri tidak dilindungi. Kenyataan ini boleh kita lihat di seluruh dunia saat ini.

Pembentang kedua Ustaz Ahmad Zakaria Hamidon membincang tajuk Kewajipan Mendirikan Negara Islam.  Beliau antara lain mengupas nas-nas tentang kewajipan umat Islam untuk menegak semula Khilafah Islam yang bersumber dari Al Quran, Hadis, Ijma Sahabat, Qias, dan pandangan para ulamak muktabar serta kaedah-kaedah syara’. Beliau menekankan bahawa ini merupakan kewajipan terbesar yang mesti diutamakan oleh umat Islam dan tidak boleh ada kelalaian terhadapnya. Seterusnya beliau menjelaskan usaha menegakkan Negara Islam atau Khilafah Islam ini tidak boleh tidak mestilah mengikut jalan yang dibenarkan oleh syara’ sepertimana dilakukan oleh Rasulullah ketika menempuh jalan untuk mendirikan Negara di Madinah.

Beliau juga memperjelaskan kekeliruan umat Islam tentang Negara Islam dari segi takrifan, bentuk sistem pemerintahannya dan metod yang ditempuh oleh Rasulullah sehingga berjaya mendirikan sebuah negara. Ustaz Ahmad Zakaria juga memperingatkan bahawa metod inilah yang mesti ditempuh oleh setiap gerakan Islam untuk mengembalikan Islam ke tempat yang paling tinggi sesuai dengan hakikat agama ini yang menjadi pengatur kepada semua masalah kehidupan manusia. Beliau mengakhiri pembentangan dengan menyatakan bahawa Islam itu telah lengkap dan telah terbukti berjaya memimpin dunia dalam satu tempoh masa yang sangat panjang dengan satu sistem yang unik berbanding sistem lain seperti Sosialisme dan Kapitalisme yang sedang menuju ke penghujungnya dan sudah tiba saatnya umat ini kembali kepada sistem yang diwahyukan oleh Allah dan membuang semua sistem ciptaan manusia.

Seminar yang hadiri oleh hampir 100 peserta ini berakhir pada jam 1 tengahari dan pihak penganjur berjanji akan mengadakan siri-siri seminar seperti ini di masa akan datang.

Johari Othman (Penyelaras Seminar/Ketua HTM Cawangan Kedah)

alt
alt