Elemen-elemen Utama Dalam Polisi Luar Daulah Khilafah

[Teks Ucapan daripada Abu Anas, Ismail al-Wahwah yang disampaikan semasa Muktamar Online Rajab 1443H: Islam Kaffah Hanya Akan Terealisasi Di Bawah Khilafah yang berlangsung pada 28 Rajab lalu].

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam semoga tercurah ke atas Rasulullah (saw), keluarga dan sahabat-sahabat baginda semuanya.

Saudara dan saudari yang dimuliakan.

Dalam ucapan ringkas ini, saya akan menjelaskan mengenai polisi luar negeri, Negara Khilafah. Oleh kerana keterbatasan waktu, saya akan hanya menyentuh aspek terpenting daripada polisi luar negeri, tanpa menjelaskan dalil-dalilnya. Siapa yang ingin menyemak dalil-dalilnya boleh merujuk kepada buku “Pengantar Kepada Perlembagaan” keluaran Hizbut Tahrir dalam bab polisi luar negeri.

Saudara dan saudari yang dimuliakan.

Pengertian politik pada umumnya adalah mengurus urusan rakyat dan hal itu dimanifestasikan menerusi polisi dalam dan luar negeri yang dipraktikkan oleh negara. Adapun bagi umat, ia bertanggungjawab untuk memuhasabah dan mengawasi negara (pemerintah) bagi memastikan ia benar-benar memerhatikan urusan negara. Ada pun mengenai polisi dalam negeri, Negara Khilafah wajib menerapkan hukum-hakam Islam, yang mengatur pelbagai muamalat, menerapkan hudud, melaksanakan hukuman, menyelesaikan persengketaan di antara masyarakat melalui pengadilan (mahkamah), menegakkan keadilan, menjaga akhlak, memastikan penunaian segala bentuk ibadah, dan menjaga semua urusan rakyat sesuai dengan hukum Islam.

Ada pun polisi luar negeri, ia terkait dengan menjaga urusan umat berhubung negara-negara luar. Maksudnya antara lain ialah:

Pertama: Pelaksanaan polisi luar negeri dan hubungan dengan negara-negara luar, dibatasi pelaksanaannya hanya oleh negara (Khilafah) sahaja, dan umat boleh memuhasabah negara dalam hal ini.

Kedua: Tidak dibenarkan sama sekali bagi mana-mana individu, parti politik atau kelompok mana pun, untuk memiliki hubungan dengan mana-mana negara luar. Demikian juga, tidak ada mana-mana individu, selain negara, yang boleh berkomunikasi dengan kedutaan asing dan duta besar di dalam negara.

Ketiga: Dalam pelaksanaan polisi luar negeri, kita melaksanakannya sebagai Muslim. Kita berpegang kepada Islam dan hukum-hukumnya, baik dari segi perkataan mahu pun perbuatan, baik secara rahsia mahu pun terbuka. Dalam hal ini, matlamat tidak menghalalkan cara. Seseorang tidak boleh melakukan suatu yang fardhu atau yang mubah menerusi cara yang haram. Sarana kita dalam politik tidak boleh bertentangan dengan metode yang sah menurut Islam.

Keempat: Dalam pergerakan (percaturan) politik, merupakan satu keperluan dalam polisi luar negeri, sekali gus menjadi tanda kehebatan dalam hal ini, iaitu dengan menzahirkan tindakan tetapi menyembunyikan tujuan.

Kelima: Negara Khilafah mewakili Islam, keyakinannya, pemikiran-pemikirannya dan nilai-nilainya. Atas dasar ini, polisi luar negerinya mesti menunjukkan keberanian untuk mendedahkan kejahatan negara-negara luar dan bahayanya polisi-polisi mereka (terhadap umat Islam); juga mendedahkan konspirasi mereka serta menghancurkan keperibadian (tokoh-tokoh) mereka yang menyesatkan; juga untuk membela mereka yang tertindas (di negara luar tersebut), membela kebenaran dan keadilan. Bentuk pembelaan seperti ini merupakan salah satu tindakan yang akan menarik perhatian orang (kafir) terhadap Islam.

Keenam: Elemen penting yang menjadi asas kepada polisi luar negeri ialah menyampaikan dakwah Islam ke seluruh alam. Allah tidak mengutus Muhammad (saw) kecuali untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan menuju cahaya. “Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat untuk seluruh alam.” Metode mengembangkan dakwah Islam ialah dengan jalan dakwah dan jihad. Metode ini bersifat tetap dan tidak akan berubah walau dalam keadaan apa sekali pun dan tanpa mengira siapa pun yang berkuasa.

Ketujuh: Antara aktiviti dakwah dalam polisi luar negeri adalah untuk menunjukkan kehebatan pemikiran-pemikiran Islam dalam mengurus urusan individu dan negara. Hal itu dilakukan melalui semua sarana termasuklah audio, visual, penulisan, menghantar delegasi, lawatan dll.

Kelapan: Apabila negara Khilafah berdiri nanti, atas kehendak Allah, di salah satu wilayah kaum Muslimin sama ada di Turki, Indonesia, Pakistan atau lainnya, hubungannya dengan negara-negara yang ada di dunia adalah seperti berikut:

  1. Negara-negara yang sedia ada di dunia Islam semuanya dianggap tidak sah darihal persempadanan dan perbatasan, dan Khilafah akan melihat mereka sebagai sebahagian daripada urusan dalaman, sehingga hubungan dengan mereka tidak dianggap termasuk polisi luar negeri. Usaha-usaha wajib dilakukan untuk mempersatukan mereka semua ke dalam negara Khilafah dengan segala cara yang sah, samada dengan cara aman atau peperangan.
  2. Negara-negara yang mana kita memiliki perjanjian dari segi ekonomi, perdagangan atau bertetangga baik, maka kita terikat dengan perjanjian yang telah ditandatangani.
  3. Negara-negara yang kita tidak memiliki perjanjian, serta negara-negara penjajah yang berusaha mengeksploitasi tanah kita, dianggap sebagai negara kafir harbi, sehingga semua tindakan berjaga-jaga diambil terhadap mereka. Dengan mereka, hubungan diplomatik yang kekal stabil tidak diwujudkan. Warganegara mereka dibenarkan memasuki negara kita dengan pasport dan visa khusus untuk setiap individu dan untuk setiap perjalanan. Kehati-hatian harus diambil terhadap negara-negara tersebut kerana suatu hari nanti mereka mungkin jatuh ke dalam kategori keempat iaitu;
  4. Negara-negara yang sedang berperang dengan kita seperti entiti haram Yahudi, yang mana hubungan perang diambil terhadap mereka. Warganegaranya tidak dibenarkan memasuki negara kita.

Kesembilan: Perjanjian ketenteraan dengan negara-negara luar, seperti penyewaan pangkalan tentera, lapangan terbang, pelabuhan, dan apa sahaja perjanjian yang boleh memusnahkan umat Islam dalam rangka mempertahankan mereka, adalah dilarang.

Kesepuluh: Organisasi-organisasi yang penubuhannya tidak didasarkan pada Islam atau menerapkan peraturan selain Islam, seperti Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), maka tidak diperbolehkan untuk menyertainya. Begitu juga tidak diperbolehkan menyertai badan antarabangsa seperti PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia. Sebaliknya, kita harus berusaha untuk menjatuhkan badan-badan ini dan mencari alternatif atas dasar keadilan dan pemenuhan keperluan dunia dan bangsa-bangsa di dunia. Demikian juga dengan organisasi serantau seperti Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kesatuan Afrika dan Negara-negara Berkecuali (NAM), yang juga tidak diperbolehkan menyertainya.

Ini adalah beberapa elemen penting yang membentuk polisi luar negeri Negara Khilafah. Mungkin ada orang akan menyatakan bahawa undang-undang antarabangsa tidak mengizinkan polisi luar negeri seperti itu. Maka, saya ingin katakan bahawa undang-undang antarabangsa adalah produk dari negara kuasa besar untuk menjaga kepentingan mereka. Walaupun undang-undang tersebut tidak adil, tetapi negara-negara besar tidak pernah mempertikaikannya. Di manakah undang-undang antarabangsa ketika Amerika menceroboh Iraq dan Afghanistan? Di manakah undang-undang antarabangsa ketika Soviet Union menceroboh Afghanistan? Di manakah undang-undang antarabangsa sekarang ini untuk menghadapi entiti haram Yahudi serta tindakan penjajahan mereka?

Jadi, Khilafah akan berusaha untuk mempengaruhi undang-undang antarabangsa sejak hari pertama ia berdiri. Siapa pun yang ingin menunggu izin dari negara-negara penjajah (untuk Khilafah melaksanakan polisi luar negeri), maka tunggulah hingga kiamat.

Kebenaran mesti didapatkan kembali, walau berapa pun kosnya. Menegakkan Khilafah dan berjuang untuk membawa perubahan adalah lebih murah kosnya, daripada membayar kos untuk menjadi hamba kepada Barat.

Di akhir ucapan ini, saya ingin mengajak seluruh kaum Muslimin di Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada umat Islam yang mulia dan terhormat, yang memiliki sejarah dan sumbangan tersendiri (terhadap Islam), untuk berganding bahu dengan saudara-saudari seIslam anda di seluruh dunia, untuk berjuang dengan segenap kekuatan dan tekad untuk menegakkan kembali Khilafah, sehingga kedaulatan akan kembali ke tangan syariah, bendera Islam akan berkibar, hukum Islam akan diterapkan, dan kekuasaan akan kembali ke tangan kaum Muslimin, sehingga segala dominasi negara-negara kafir penjajah ke atas kaum Muslimin dan negara mereka akan berakhir.

Kesimpulannya, adalah tidak mungkin untuk menerapkan syariat Islam secara kaffah, kecuali dengan mendirikan Daulah Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah.

Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakatuh.