Erdogan: Antara Dua Wajah

Bumi Aqsa masih lagi panas dengan darah kaum muslim yang dizalimi oleh rakyat negara haram  Israel. Perdana Palestin  Mahmoud Abbas pula telah diredamkan kebimbangannya apabila Presiden Turki Reccep Erdogan menghubungi beliau lalu dengan lantangnya mengecam segala tindakan keganasan yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk bumi Aqsa. Namun amat menyedihkan apabila  tidak berapa lama setelah itu  Erdogan  menghubungi rakan sejawatnya Isaac Horzeg di Israel  , yang mana beliau telah mengadakan perbincangan dua hala. Perbincangan  tersebut memberi penekanan tentang  kepentingan menjaga  hubungan Turki-Israel demi keselamatan dan kestabilan di Asia Barat. Di samping itu beliau juga menekankan yang masyarakat antarabangsa menjangkakan ‘penyelesaian dua negara’ yang komprehensif serta kekal kepada konflik Palestin-Israel, dalam kerangka resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (bharian.com.my 13/7/2021).

Dari satu sisi kita melihat yang Erdogan menentang kezaliman yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Palestin. Namun di sisi lain dilihat dengan jelas pengkhianatan yang ditunjukkan apabila mempunyai hubungan yang mesra dan kukuh dari segi hubungan   perdagangan dua hala antara Turki dan Israel dan berpotensi untuk menjalin hubungan dalam sektor lain seperti pelancongan , teknologi dan tenaga .

Dari segi sejarahnya hubungan antara Turki – Israel telah terjalin  sejak tahun 1949 apabila Turki menjadi negara majoriti Muslim yang pertama mengiktiraf negara Israel. Malahan hubungan erat ini ditunjukkan dalam aktiviti latihan bersama ketenteraan dan hubungan perdagangan dua hala yang mesra antara keduanya. Walaupun timbul sedikit ketegangan apabila Israel membunuh seramai 9 orang rakyat Turki dalam episod rampasan armada Gaza. Namun tetap hubungan baik tersebut terus berjalan malahan semakin kukuh. Jadi tidak menghairankan apabila Israel tidak memberi tindakbalas yang keras terhadap apa jua kecaman yang dilontarkan oleh Erdogan.

Apabila kita teliti penyataan yang dikeluarkan oleh Erdogan kita dapat melihat yang beliau sebenarnya mendukung kewujudan negara haram Israel. Ini secara langsung atau tidak  membenarkan penjajahan Israel ke atas Palestin dan ini dapat dilihat dengan kukuhnya hubungan Turki – Israel dengan adanya pejabat kedutaan di kedua-dua negara tersebut . Malahan penyataan beliau yang mengatakan ‘penyelesaian dua negara’ yang komprehensif dan kekal’ (bharian.com.my 12/7/2021)  yang telah dipersetujui dalam rundingan Camp David , jelas menunjukkan  pengkhianatan beliau . Iaitu bersetuju untuk tertubuhnya dua negara dalam wilayah Palestin . Tidak malukah beliau sebagai  pemimpin negara Turki, yang dahulunya pernah menjadi saksi bagaimana Sultan Abdul Hamid II mempertahankan Palestin daripada dibeli oleh Yahudi Theodor Herzl. Inilah kata-kata hebat Sultan Abdul hamid kepada Yahudi Herzl  “ Aku tidak akan menjual walau seinci pun wilayah Palestin kerana wilayah itu bukan milikku. Ia milik umat Islam. Mereka membayar empayar ini dengan darah mereka. Maka kami akan menebusnya dengan darah kami. Simpan saja wang kamu itu. Kamu akan mendapat wilayah Palestin secara percuma jika empayar ini berpecah. Selagi aku hidup, aku tidak akan benarkan perkara itu berlaku”. Lalu akibat daripada itu,  Sultan Abdul Hamid II dilucutkan jawatan Khalifah lalu dibuang  negara.

Berbeza dengan situasi hari ini, pemimpin-pemimpin Islam yang sepatutnya menjadi junnah (perisai) kaum muslimin, tetapi malah mereka yang menyerahkan leher kaum muslimin untuk disembelih oleh kuffar. Begitulah indikasinya apabila  Turki dan beberapa negara Arab telah mengiktiraf kewujudan negara haram Israel di bumi Palestin.

Apatah lagi apabila sesebuah negara itu memilih untuk berpegang kepada asas manfaat dalam setiap perkara , jadi walaupun ada rasa kebersamaan dari segi aqidah dan emosi namun tetap juga manfaat akan diutamakan apabila ia terkait dengan kepentingan politik negara. Begitulah keadaan  Turki yang mana lebih memerlukan hubungan perdagangan ini lebih daripada Israel. Laporan di Trading Economics (13/05/2021) menunjukkan eksport Turki ke Israel pada bulan Mac 2021 adalah sebanyak US$495.5 juta . Ini mejadikan Israel menjadi rakan dagang Turki yang besar daripada Arab Saudi dan Indonesia. , keadaan ekonomi Turki yang semakin merudum selama beberapa tahun ini , khususnya ketika pandemik ,  membuatkan Erdogan sangat menjaga hubungan dagang dengan negara-negara yang memberi kepentingan kepada ekonomi Turki.

Seharusnya sebagai pemimpin negara yang dahulunya merupakan wilayah yang menjadi pusat pemerintahan Islam selama beberapa abad sepatutnya ada rasa malu dengan perbuatannya . Turki seharusnya memutuskan segala hubungan diplomatik dan juga perdagangan dengan Israel. Dia sepatutnya bukan hanya lantang mengecam tetapi seharusnya menggunakan segenap usahanya khususnya ketenteraan supaya memastikan Palestin itu diambil semula oleh umat Islam. Dalam hal ini  PBB tidak akan membantu menyelesaikan masalah tetapi   mengeluarkan resolusi yang hanya sekadar di atas kertas.

Ingatlah bahawa ancaman Allah amat keras apabila hambaNya mengutamakan yang lain daripada menunaikan kewajipan yang telah diwajibkan oleh Allah kepadanya. Sebagaimana firman Allah swt :

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (TMQ At Taubah [9]:24)

 

Safiyyah (Aktivis MHTM)