Facebook Amir Hizbut Tahrir dibuka semula
Setelah ditutup oleh pihak pengurusan facebook pada awal Disember lepas, facebook Amir Hizbut Tahrir, Sheikh Atha’ Bin Khalil Abu al-Rashtah kini telah dibuka semula. Pengurusan facebook telah menutup akaun Sheikh Atha’ pada hari Selasa, 1 Disember 2015 jam 4.00 petang tanpa sebab yang munasabah kecuali kerana keaktifan interaksi dan sambutan terhadapnya.
Laman tersebut tetap ditutup, walaupun pada hakikatnya ia sangat aktif dan dinamik. Laman tersebut mengandungi interaksi harian dalam pelbagai bentuk soalan yang berbeza, dari persoalan politik, intelektual dan doktrin/fiqh, yang telah dihantar kepada Amir Hizbut Tahrir, kerana menaruh kepercayaan terhadap ilmu pengetahuan dan pendapat beliau yang berwawasan, serta respon ‘Like’, ‘Share’ dan ‘Comment’ yang meluas terhadap posting beliau.
Sebelum ditutup, bilangan pengikut dalam laman tersebut melebihi 263,500 orang. Hal ini telah mengganggu tidur para penindas dan memaksa mereka untuk menajamkan lagi lidah-lidah kebencian dan kedengkian mereka terhadap Islam dan pendakwahnya. Justeru, mereka telah melancarkan kempen notifikasi negatif secara teratur dan bertalu-talu terhadap laman tersebut, selama kira-kira sepuluh hari secara berterusan dan tanpa lelah.
Alhamdulillah, laman facebook Amir Hizbut Tahrir kini boleh dilayari di pautan di bawah. Semoga Allah menggagalkan segala usaha jahat musuh-musuh Islam di dalam memadamkan cahaya kebenaran.