Fahami hukum murtad dengan benar – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Islam telah menggariskan penentuan yang spesifik bagaimana seseorang itu boleh dikatakan murtad, dan ada proses yang juga spesifik sebelum hukuman boleh dijatuhkan ke atas seseorang yang telah terbukti murtad. Demikian antara intipati program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, pada Jumaat 23/10/2026.

Mengulas fenomena semasa, termasuk isu seorang lelaki Muslim yang didakwa melakukan ritual agama Hindu serta kemunculan fahaman New Age Movement yang dikaitkan dengan pelbagai kepercayaan metafizik, beliau menjelaskan bahawa persoalan ini sangat serius kerana melibatkan akidah, dan masyarakat mesti faham apa dan bagaimanakah ukuran untuk seseorang itu dikatakan murtad, dan juga kepentingan melaksanakan hukum Islam ke atas si murtad.

Beliau menjelaskan bahawa murtad bermaksud keluarnya seseorang daripada agama Islam, sama ada lelaki atau perempuan, dengan syarat individu tersebut telah baligh dan berakal. Beliau merujuk Surah al-Baqarah ayat 217 yang menjelaskan kedudukan orang yang murtad yang secara automatik menjadi kafir, dan jika mati dalam keadaan murtad, maka nerakalah akibatnya.

Dalam menghuraikan ukuran murtad, Abdul Hakim menggariskan empat perkara utama yang boleh menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam iaitu i’tiqad (keyakinan), syak (keraguan), fi‘l (perbuatan) dan qaul (perkataan).

Dari sudut i’tiqad, seseorang boleh terkeluar daripada Islam apabila meyakini perkara yang jelas bertentangan dengan akidah atau mengingkari hukum yang telah ditetapkan secara qath‘i oleh Islam. Beliau memberikan contoh keyakinan bahawa Allah mempunyai sekutu, adanya nabi selepas Nabi Muhammad (saw), serta pengingkaran terhadap kewajipan solat atau keharaman riba, semua ini akan menjadikan seseorang itu murtad.

Namun, beliau menegaskan bahawa perlu dibezakan antara melakukan maksiat dengan mengingkari hukum. Seseorang yang tidak menunaikan solat sedangkan masih meyakini kewajipannya adalah berdosa, tetapi tidak murtad. Berbeza dengan orang yang menafikan atau mengingkari kewajipan solat, dia akan dikira murtad.

Begitu juga dengan syak (keraguan), iaitu keraguan terhadap perkara asas akidah dan hukum yang bersifat qath‘i, seperti meragui Al-Quran itu Kalamullah, meragui hari kiamat, syurga dan neraka, dan sebagainya, atau meragui hukum potong tangan bagi pencuri, semua ini akan menjadikan seseorang itu murtad.

Dari sudut fi’l (perbuatan), beliau membezakan antara perbuatan yang jelas menunjukkan kekufuran dengan perbuatan yang masih mempunyai kemungkinan tafsiran lain. Menurutnya, melakukan ritual agama lain tidak sama dengan sekadar memasuki rumah ibadat bukan Islam. Menyembah berhala atau melakukan ritual agama selain Islam akan menjadikan pelakunya murtad. Berbeza dengan seseorang yang sekadar masuk ke kuil atau gereja, atau seseorang yang membaca Injil, ini tidak menjadikan seseorang itu keluar dari Islam.

Bagi qaul (perkataan) pula kata beliau, perkataan yang secara jelas menafikan perkara asas akidah mempunyai implikasi berbeza daripada ucapan yang masih boleh ditakwil. Beliau memberi contoh jika seseorang Muslim menyatakan “aku sudah tidak percaya kepada Tuhan”, maka jelas dia keluar dari Islam. Namun, jika ada seorang Muslim menyatakan “aku mencari Allah tetapi tidak berjumpa”, perkataan seperti ini masih mengandungi takwil kerana kemungkinan dia memaksudkan “tidak berjumpa” sebagai “tidak dapat melihat Allah”.

Beliau seterusnya menjelaskan sebab-sebab lain yang boleh mengeluarkan seseorang daripada Islam (murtad) seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, atau meremeh-remehkan ajaran Islam di mana beliau memetik Surah at-Taubah ayat 65–66 sebagai dalil.

Menyentuh mengenai hukuman, Abdul Hakim menjelaskan satu-satunya hukuman ke atas mereka yang murtad ialah bunuh, namun pelaksanaannya merupakan urusan Qadhi, bukannya individu. Beliau memberikan banyak hadis mengenai hukuman murtad, di mana orang yang murtad perlu diberi tempoh untuk bertaubat dan hukuman mati hanya dijalankan setelah mereka enggan bertaubat setelah tamatnya tempoh.

Dalam konteks Malaysia, beliau mengkritik ketiadaan peruntukan hukuman murtad sebagaimana yang diperintahkan oleh Islam, lalu beliau menekankan peri pentingnya usaha menegakkan Khilafah bagi memastikan hukum Allah dapat diterapkan secara kaffah.

Perbincangan turut menyentuh kedudukan anak-anak dan harta orang yang murtad, termasuk perbezaan hukum berdasarkan keadaan ibu bapa ketika anak dilahirkan, serta pengurusan harta si murtad menurut Islam.

Jurucakap HTM itu menyimpulkan di akhir program mengenai perbezaan antara kesesatan dengan kemurtadan. Menurutnya, sesat dalam persoalan akidah berbeza dengan sesat dalam persoalan hukum syarak. Sesat dalam persoalan akidah boleh menjadikan seseorang itu murtad, tetapi tidak demikian jika sesat dalam persoalan hukum syarak. Sesat dalam persoalan hukum syarak akan menjatuhkan seseorang ke dalam dosa, kata beliau.

Beliau mengakhiri pembentangan dengan memuhasabah sikap segelintir pihak yang suka menabur fitnah dengan menyesatkan orang lain tanpa usul periksa. Memfitnah orang lain sebagai sesat dan kafir sangatlah merbahaya bagi pelakunya kerana jika pihak yang difitnah itu tidak kafir, maka kekafiran itu akan berbalik kepada si fitnah.