Fikratul Ummah – Dis 2012


Muqaddimatul Qalam
 
Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh…
.
 
 
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
 
Limpahan syukur dipanjatkan kepada Rabbul Jalil Allah Ta’ala yang sentiasa melimpahkan rahmatNya kepada kita. Alhamdulillah kita masih diberi ruang dan peluang untuk menikmati kehidupan ini. Selawat dan salam dititipkan buat junjungan mulia Rasulullah S.A.W.
 
Pembaca yang dirahmati Allah,
 
Masa bergerak pantas tanpa memperdulikan samaada kita bergerak seiring dengannya atau tidak. Kini kita sudah pun memasuki tahun baru 1434 Hijriyah dan bakal memasuki tahun baru 2013 Masihi. Kita meninggalkan peristiwa lepas sebagai pengajaran, dan memasuki tahun baru dengan harapan.
 
Sebagai majalah yang berusaha untuk meluruskan dan menjana pemikiran umat, FU bulan ini menghidangkan kepada anda semua tentang tingginya kedudukan wanita dalam Islam. Mengapa topik ini? Ini kerana umat manusia pada hari ini telah memilih satu jalan hidup yang asing dan berlawanan dengan fitrah mereka. Jalan hidup ciptaan manusia durjana ini telah mengakibatkan kaum wanita beramai-ramai terjatuh ke kancah kehinaan, sama seperti pada zaman jahiliyah. FU ingin memberikan input kepada anda, bahawa satu-satunya jalan hidup yang sejahtera, yang dapat meletakkan semula wanita pada kedudukannya yang tinggi, adalah Islam yang datangnya dari Allah Pencipta alam dan manusia!
 
Firman Allah S.W.T, “Katakanlah (wahai Muhammad). “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, samada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri,kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu) [TMQ  Saba’ (34): 46].
 

Akhir kalam, kami sidang redaksi FU sentiasa mengharapkan semoga Allah   menetapkan hati kita atas jalanNya dan menemukan kita semua di alam yang abadi sebagai hamba-hamba yang memperoleh nikmat dan rahmatNya… Amin!
 
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wa barakatuh.

 


DOA MENGELAK DARI KEZALIMAN
 

رَبَّنَا لاَ تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلَّذِينَ كَفَرُوا وَاغْفِرْ لَنَا
رَبَّنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya:
 
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana“.
 
[TMQ al-Mumtahanah (60): 5]
 


ARTIKEL PILIHAN:  2012: MASIH JAHILKAH KITA?

Muqaddimah
 
Rasulullah S.A.W bersabda,
 
Barangsiapa mempunyai dua anak perempuan dan diasuh dengan baik maka mereka akan menyebabkannya masuk syurga”.  [HR al-Bukhari].
 
Barangsiapa memelihara (mengasuh) tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan wajib baginya masuk syurga”. [HR Aththahawi].
 
Sama ratakan pemberianmu kepada anak-anakmu. Jika aku akan meng-utamakan yang satu terhadap yang lain tentu aku akan mengutamakan pemberian kepada yang perempuan”.  [HR at-Thabrani].
 
Begitulah mulianya kedudukan perempuan dalam Islam sehingga RasulNya menjamin syurga bagi para lelaki yang menanggung atau memelihara lebih daripada tiga orang  perempuan. Namun, hari ini kedudukan perempuan yang dipandang mulia telah pun berubah corak mengikut arus permodenan yang dibawa oleh amalan demokrasi.
 
Adakah Wanita Kembali ke Zaman Jahiliyah?
 
Apabila ditanyakan berkenaan gejala sosial kepada individu-individu dalam Malaysia, samada dia rakyat biasa, pelajar, ahli akademik atau ahli politik, mereka sepakat menyatakan bahawa gejala sosial dan jenayah terhadap manusia telah, sedang dan akan berterusan merebak dengan pantas.
 
Namun, majoriti masih keliru dan berbeza pendapat tentang apakah yang menjadi punca berlakunya masalah ini dan apakah langkah penyelesaian yang terbaik. Tidak kurang juga yang mengeluh bahawa fenomena dalam masyarakat kita saat ini menyamai situasi umat manusia di zaman jahiliyah dan sepertinya masyarakat kita ini tiada pegangan agama. Benarkah demikian? Sama-sama kita selidiki dengan membandingkan fakta sejarah dan fakta realiti sepanjang   tahun 2012 ini.
 
1. Buang Bayi:
 
Pada zaman jahiliyah, wanita diletakkan di kedudukan yang paling rendah dalam masyarakat. Beberapa contoh yang buruk malah paling kejam ialah menguburkan bayi perempuan hidup-hidup. Kekejaman terhadap bayi perempuan di kalangan Arab zaman jahiliyah amat menyedihkan dan sangat hina. Hal ini dikhabarkan Allah S.W.T dalam firmanNya,
 
Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan kelahiran anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya dan dia sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya dari orang ramai disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan apakah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup), ketahuilah alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu[TMQ an-Nahl (16): 58-59].
 

Pada zaman sekarang, bukan bayi perempuan sahaja yang dibunuh hidup-hidup. Malah ada yang dibunuh (digugurkan) sebelum sempat dilahirkan ke bumi. Betapa parahnya jenayah buang bayi ini sehinggakan Kabinet Malaysia membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada pesalah buang bayi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Berita Harian Online (13/8/2010), diakses pada 17/11/2012]. Perkara ini membuktikan masyarakat zaman sekarang bukan sahaja telah kembali ke zaman jahiliyah, malah mereka lebih zalim lagi daripada itu.
 
2. Jenayah seks:
 
Menjadi kelaziman dalam masyarakat jahiliyah, kaum wanita dijadikan objek melampiaskan hawa nafsu. Wanita dijadikan hamba seks lelaki kerana bagi mereka wanita itu tidak mempunyai kedudukan dalam masyarakat dan tidak layak dimuliakan.
 
Tahun 2012 pula tidak sunyi daripada pembongkaran kes-kes sindiket pelacuran wanita di serata Malaysia. Misalnya di Kota Kinabalu, empat wanita dipaksa menjadi pelacur oleh empat bapa ayam di sebuah premis [Borneo Post Online (10/2/2012) diakses pada 15/11/2012]. Manakala di Kuala Lumpur, 19 premis di sekitar Petaling Street, Jalan Brickfields dan Jalan Tun Tan Siew Sin dikesan menjalankan aktiviti pelacuran.
 
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan mengeluarkan   kenyataan bahawa kegiatan merekrut wanita didapati telah dilakukan oleh puluhan sindiket yang menggunakan modus operandi sama. Beliau menyatakan lagi bahawa kegiatan jenayah itu memberi keuntungan lumayan kepada kumpulan sindiket kerana mereka sendiri mengaut separuh daripada bayaran khidmat seks daripada gadis-gadis yang dilacurkan [Utusan Online (15/11/2012), diakses pada 18/11/2012]. Secara global pula, penganjuran Euro 2012 telah membuka pintu yang luas kepada bisnes-bisnes pelacuran. Dari sisi lain, wanita sendiri sebenarnya sanggup melacurkan diri demi mengejar pendapatan atau keuntungan yang lumayan kerana sememangnya khidmat seks mendapat permintaan yang tinggi.
 
3. Eksploitasi wanita sebagai tenaga buruh:
 
Wanita kini lebih memilih hidup   berkerjaya dibandingkan menjadi wanita klasik yang sinonim dengan gelaran ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga).  Kehebatan wanita pada dekad ini semakin menyerlah dalam hampir   kesemua bidang kerjaya kerana mengejar kedudukan sama taraf dengan lelaki. Inilah yang dinamakan fahaman feminisme yang mem-perjuangkan isu kesetaraan gender. Hasilnya, tidak kurang  wanita yang mempunyai pencapaian yang lebih tinggi berbanding lelaki kerana tingginya taraf berpendidikan, jawatan dan kemampuan mereka menguasai ekonomi.
 
Jika dahulu di zaman jahiliyah, wanita dinafikan hak mereka untuk keluar menuntut ilmu apatah lagi untuk bekerja mencari pendapatan sendiri.  Lanjutan daripada sejarah hitam itu, wanita dimomokkan dengan perjuangan feminisme yang kononnya boleh membela maruah dan nasib mereka.  Hakikatnya, ia memberi lebih kesengsaraan kepada wanita. Diatas keinginan yang tinggi untuk bekerja, wanita hilang pertimbangan sehingga membenarkan diri sendiri menjadi mangsa ekploitasi industri yang memandang wanita sebagai objek pelaris produk atau perniagaan mereka. Lihat sahaja bagaimana wanita diketengahkan sebagai model-model iklan dengan pakaian yang seksi dan aksi yang menggoda, yang mana akhirnya menjadikan wanita itu sebagai simbol seks.
 
Fakta yang juga perlu diberi perhatian serius adalah bahawasanya wanita merupakan mangsa jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang paling ramai [Utusan Online (26/2/2012), diakses pada 18/11/2012]. Jenayah kedua tertinggi di peringkat global ini membabitkan pelbagai jenis kes termasuklah eksploitasi seks, perhambaan dan kerahan tenaga buruh tanpa bayaran gaji. Baru-baru ini pula negara dikejutkan dengan sebuah iklan yang mempromosikan “Indonesian Maids Now on Sale” (Pembantu Rumah Indonesia Sekarang untuk Dijual”).
 
Di samping itu, kerana kesibukan bekerja, maka ibu-ibu mula mengabaikan komitmennya pada suami dan anak-anak. Masa lebih  banyak dihabiskan untuk bekerja sehingga tiada masa untuk menguruskan rumah dan keluarga. Tidak kurang juga terdapat para wanita yang terpaksa berhijrah jauh dan meninggalkan keluarga demi kerjaya. Maka, tidak hairanlah kadar penceraian dalam masyarakat saat ini turut meningkat kerana faktor suami isteri tidak serasi. Tidak dapat dinafikan juga, berleluasanya gejala sosial dalam kalangan remaja adalah kerana faktor keruntuhan institusi rumahtangga di mana ibu memainkan peranan yang paling penting dalam mendidik syakhsiyyah anak-anak di rumah.
 
Bagi wanita yang bujang pula, dilema ‘andartu’ membelenggu diri. Apa tidaknya, taraf pendidikan dan jawatan yang tinggi berbanding lelaki membuatkan golongan lelaki takut untuk mendekati mereka. Tidak kurang juga wanita-wanita ini membuat keputusan untuk memilih lelaki yang lebih tinggi kedudukannya berbanding mereka sendiri. Malangnya, sebahagian mereka akhirnya tetap tidak menemui calon suami yang sesuai.  Akibatnya, terpaksalah mereka berhadapan dengan buah mulut dan perlian orang yang memandang serong pada golongan andartu.
 
4. Jenayah-jenayah lain:
 
Antara budaya masyarakat jahiliyah juga adalah apabila seorang lelaki meninggal dunia, maka anaknya yang tertua atau anggota keluarganya yang lain mewarisi isteri/jandanya.  Pewaris tersebut boleh mengahwini perempuan itu atau dikahwinkan dengan orang lain dan maharnya diambil oleh pewaris atau wanita itu tidak boleh berkahwin lagi.  Di samping itu, kaum lelaki dalam masyarakat jahiliyah bebas berkahwin dengan siapa sahaja yang dikehendaki tanpa dihadkan bilangan isteri.
 
Begitu juga di era 2012 yang serba moden ini, kes-kes kezaliman dan keganasan terhadap wanita persis di era jahiliyah. Di Klang dilaporkan seorang pelajar perempuan dan kakak tirinya yang bekerja di kelab malam telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh ibu tiri mereka yang merupakan seorang guru agama [HMetro, (27/07/2012) diakses pada 20/11/2012].  Di Kedah pula seorang anak lelaki sanggup menetak mati ibunya yang berusia 60 tahun demi mendapatkan wang [Berita Harian, (22/2/2012) diakses pada 20/11/2012].  Manakala di Sungai Besi, Kuala Lumpur, telah dilaporkan bahawa seorang lelaki telah membunuh isterinya yang sedang hamil dua bulan dengan menikam seluruh badan menggunakan pisau [Berita Harian, (17/03/2012) diakses pada 20/11/2012].  Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang 2007 sehingga Februari 2012 sebanyak 18,124 kes keganasan rumah tangga di awal perkahwinan dilaporkan iaitu 3,756 kes pada 2007; 3,769 (2008); 3,643 pada 2009; 3,173 (2010); 3,277 (2011) dan 506 kes untuk dua bulan pertama tahun ini. 35% daripada jumlah kes merupakan mangsa yang merupakan golongan wanita berusia lingkungan 26 tahun sehingga 35 tahun. [Bernama, mystar.com.my, (18/04/2012) diakses pada 20/11/2012].
 
Fakta ini sesungguhnya turut diakui oleh mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Beliau menyatakan purata 10 wanita negara ini dilaporkan menjadi mangsa kes keganasan setiap hari, mencakupi keganasan seksual, fizikal dan emosi. Jumlah sebenar mangsa bagaimanapun dipercayai lebih daripada itu kerana angka yang diberikan hanya membabitkan jumlah kes yang dilaporkan.  Pendek kata keganasan terhadap wanita boleh berlaku kepada sesiapa saja dan di mana saja.  [Berita Harian Online (28/11/2010) diakses pada 15/11/2012].
 
Demikianlah rendahnya martabat wanita di zaman jahiliyah walaupun setelah dia berstatus sebagai seorang isteri dan ibu. Status tersebut tetap tidak menjadikannya dihormati jauh sekali dimuliakan. Ini ternyata jauh berbeza dengan Islam yang mana Allah S.W.T memuliakan wanita khususnya sebagai seorang isteri di sisi suaminya atau sebagai seorang ibu dalam keluarga. Tambahan lagi, Allah telah menjamin kemuliaan dan ganjaran bagi setiap wanita yang solehah.  Islam juga menghendaki seorang anak agar berbuat baik pada ibunya walaupun ibunya seorang yang kafir.
 
Jadi, berdasarkan sebahagian permasalahan-permasalahan di atas, tidak cukup deritakah wanita sekarang???
 
Punca Kemunduran
 

Penjelasan di atas telah cukup membuktikan bahawa wanita saat ini telah kembali ke zaman jahiliyah. Dengan kata lain, wanita zaman sekarang telah mengalami fasa kemunduran kerana kembali ke suatu zaman di mana manusia hidup tanpa pegangan agama yang benar. Kenapa ini berlaku?
 
Tidak lain dan tidak bukan iaitu kerana sekali lagi agama tidak menjadi kayu ukur dalam mengatur urusan kehidupan manusia.  Inilah yang kita namakan sekularisme iaitu ajaran agama tidak diberi peranan dalam mengatur hidup manusia.  Benarlah firman Allah S.W.T:
 
Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Thaaha (20): 124].
 
Wanita sepatutnya kembali sedar bahawa Rasulullah S.A.W telah diutuskan oleh Allah S.W.T untuk membawa ajaran Islam yang mulia untuk mengubah keadaan masyarakat jahiliyah yang rosak kepada kehidupan yang sejahtera.  Ajaran itu termasuklah supaya seluruh umat Islam menghormati wanita dan memelihara hak-hak mereka.  Ini dapat diperhatikan dalam firman Allah dan sabda Rasulullah di bawah.
 
Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata.  Dan bergaullah dengan mereka secara patut.  Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak”  [TMQ an-Nisaa’ (4): 19].
 

Aku wasiatkan kepada kalian untuk berbuat baik kepada para wanita [HR Muslim].
 
Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku”  [HR Tirmidzi].
 
Selain itu, wanita sentiasa diberi pembelaan di dalam Islam, sebagai contoh:
 
• Zaman Rasulullah, wanita di-singkap aurat oleh Yahudi Bani Qainuqa’ sehingga Rasulullah mengepung perkampungan Bani Qainuqa’ dan berhasrat untuk membunuh mereka.

• Kisah berulang zaman Khalifah Mu’tasim. Seorang muslimah diganggu oleh orang kafir Rom, lalu menjerit “Ya Mu’tasim dimana kamu?” Lantas, Mu’tasim melancarkan perang ke atas tentera Rom dan menang.

• Kisah Uwais Al-Qarni (tabi’in). Rasulullah S.A.W pernah bersabda kepada Umar bin al-Khaththab,
 
Akan datang kepada kalian Uwais bin Amir bersama pasukan bantuan Yaman dari suku Murad dan Qarn. Ia memiliki ibu dan ia sangat berbakti kepadanya. Jika ia bersumpah dengan nama Allah, Allah pasti mengabulkan sumpahnya. Jika engkau dapat memintanya untuk memintakan ampunan untukmu, lakukanlah”  [HR Muslim dan Abu Nu’aim].
 
Dia mendapatkan kedudukan istimewa kerana baktinya kepada ibunya.
 
Ada juga hadis yang masyhur di mana seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah,
 
“Ya Rasulullah siapa yang paling berhak diperlakukan dengan baik?” Rasul menjawab, “Ibumu, ibumu, ibumu, lalu bapakmu, baru kemudian orang yang lebih dekat dan seterusnya  [HR Bukhari].
 
Khatimah
Rasulullah diutuskan dengan membawa ajaran Islam yang syumul. Islam diturunkan untuk menjadi rahmat ke sekalian alam. Justru, satu-satunya penyelesaian kepada permasalahan wanita dan seluruh umat ini ialah dengan menerapkan pengaturan hidup Islam berlandaskan syariat Islam. Untuk itu institusi Negara diperlukan untuk menerapkan sistem Islam sepenuhnya. Hanya melalui institusi ini seluruh pandangan hidup Islam dapat diterapkan dan sekaligus menyelesaikan semua permasalahan termasuklah masalah yang melibatkan wanita.
 
Wahai kaum wanita marilah kita sama-sama kembali kepada kehidupan Islam yang sebenar.  Tempatmu begitu mulia jika hidupmu sentiasa berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah RasulNya.

[F.U. / BIL: 50/ DISEMBER 2012]


TAFSIR AL-QURAN DAN HADIS:  AMANAH YANG DISIA-SIAKAN

Imam al-Bukhari rahimahullâhu ta’âla meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a, ia berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:

 
إِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

 
Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah saat-saat kehancurannya”. Salah seorang bertanya: “Bagaimana bentuk mensia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Apabila urusan itu diserahkan (dipercayakan) kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya”.
 
Syeikh Al-Karmani berkata:
 
وَالْمُرَادُ مِنَ ” الْأَمْرِ” جِنْسُ الْأُمُورِ الَّتِي تَتَعَلَّقُ بِالدِّينِ كَالْخِلَافَةِ وَالْإِمَارَةِ وَالْقَضَاءِ وَالْإِفْتَاءِ وَغَيْرِ ذَلِكَ

 
Maksud dari kata al-amr, adalah semua jenis perkara (urusan) yang berkenaan agama seperti institusi Khilafah, kepemimpinan (al-imârah), kehakiman (al-qadhâ’), jawatan mufti dan lain-lain”.
 
Syeikh Ibnu Battal pula berkata:
 
مَعْنَى ” أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ ” أَنَّ الْأَئِمَّةَ قَدِ ائْتَمَنَهُمُ اللَّهُ عَلَى عِبَادِهِ وَفَرَضَ عَلَيْهِمُ النَّصِيحَةَ لَهُمْ فَيَنْبَغِي لَهُمْ تَوْلِيَةُ أَهْلِ الدِّينِ فَإِذَا قَلَّدُوا غَيْرَ أَهْلِ الدِّينِ فَقَدْ ضَيَّعُوا الْأَمَانَةَ الَّتِي قَلَّدَهُمُ اللَّهُ – تَعَالَى – إِيَّاهَا

 
Makna ayat ‘urusan itu diserahkan (dipercayakan) kepada orang yang bukan ahlinya’ adalah sesungguhnya para imam itu telah diberi amanah oleh Allah untuk hamba-hambaNya dan mereka diwajibkan memberi nasihat kepada mereka. Oleh sebab itu, wajib bagi umat Islam menyerahkan kekuasaan kepada orang yang ahli (fakih – memahami betul) tentang agama. Sehingga, apabila mereka menyerahkannya kepada orang yang bukan ahli (tidak fakih) agama, maka sesungguhnya mereka telah mensia-siakan (merosak) amanah yang telah diberikan Allah kepada mereka”.
 
Perhatikanlah firman Allah S.W.T:
 
Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh, sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”  [TMQ al-Ahzab (33):  72-73].
 
Sesungguhnya Allah menyuruh kalian untuk menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan menyuruh kalian  jika kalian menetapkan hukum di antara manusia hendaklah menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”  [TMQ an-Nisa’ (4): 58].
 
Jelas difahami di sini bahawa pelaksanaan hukum syarak sebagaimana yang diwahyukan Allah untuk sekalian manusia adalah amanah. Sebagaimana layaknya amanah, syariat tersebut wajib dipertanggungjawabkan dan ditunaikan. Tidak boleh disia-siakan dan dibiarkan, apalagi ditolak dan diingkari.  Memang, amanah tersebut bukanlah ringan hinggakan langit, bumi dan gunung-ganang pun tidak sanggup memikulnya.  Namun bagi orang yang mahu menunaikannya, Allah S.W.T akan memberikan ampunan terhadapnya.  Juga, pahala yang besar, syurga dan redhaNya.  Sebaliknya, sesiapa pun yang sengaja membiarkannya, bahkan mengingkari dan menolaknya, akan ditimpakan azab ke atasnya.
 
Syariat pula hanya dapat ditegakkan melalui pemerintahan. Inilah perkara yang dipelajari daripada hukum syariat itu sendiri dan pelaksanaannya yang telah dipikul sebelum ini oleh Rasulullah S.A.W dan pewaris-pewaris pemerintahan umat Islam iaitu para Khalifah.
 
Namun kini, kita hidup pada zaman di mana perkara yang paling penting iaitu pemerintahan diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, iaitu penguasa yang khianat sepertimana yang kita dengar dan lihat. Mereka tidak layak memerintah kerana apabila mereka berkuasa, mereka menyakiti rakyat jelata sendiri dengan melakukan kekufuran yang nyata dalam pemerintahan.
 
Golongan yang mengkhianati amanah Allah ini tidak terhad kepada para pemerintah sahaja. Pengkhianatan juga dilakukan oleh orang-orang yang diharapkan ilmunya atau yang kelihatan berilmu, iaitu mereka yang menduduki kerusi para ulama, mufti, qadhi dan seumpamanya.  Apabila mereka meredhai kesalahan pemerintah khianat ini sedangkan mereka tahu benar bahawa mereka patut berperanan dalam hal ini.
 
Pengkhianatan terus menjadi-jadi apabila golongan ilmuan menyelewengkan ajaran Islam untuk membela penerapan kufur yang dilaksanakan oleh penguasa mereka. Inilah pengkhianatan terhadap amanah kekuasaan dan ilmu.
 
Pengkhianatan ini hanya akan dapat dihilangkan apabila urusan umat iaitu pemerintah diserahkan kembali kepada orang-orang yang bertakwa dan layak memikulnya. Orang-orang ini ialah hamba-hamba Allah yang berusaha menyerukan tegaknya amanah dengan mendirikan kembali Daulah Khilafah yang mengikut jalan kenabian. Maka dengan berdirinya Daulah Khilafah sahajalah amanah-amanah akan terlaksana dan pengkhianatan-pengkhianatan akan dapat dilenyapkan. Maka marilah kita memohon agar Allah menyegerakan berdirinya Daulah Khilafah, dan menjadikan kita sebagai tentera-tenteranya dan penolong-penolongnya.
 
Rujukan
 
• Ibnu Hajr Al-Asqalani. Fathul Bari Syarah Sahih Al-Bukhari. Kitab Ar-Riqaq Bab Raf’ al-Amanah No. 6131 .
 
• Pejabat Media Hizbut Tahrir http://www.hizb-ut-tahrir.info/info/index.php/contents/entry_17382 dan terjemahan, http://hizbuttahrir.or.id/2009/02/25/bersama-hadits-asy-syarif-mengapa-engkau-sia-siakan-amanah-itu/
 
[F.U. / BIL: 50/ DISEMBER 2012]

 


SERIKANDI TAULADAN:  LUBABAH AL-KUBRA: WANITA KEDUA MASUK ISLAM

Jika kita tidak membaca sirah Nabi Muhammad S.A.W, kita mungkin tidak akan mengenalinya. Meskipun tidak terkenal seperti para sahabat yang termasuk dalam Qutlatul Ulaa (kumpulan sahabat terawal Islam), beliau merupakan serikandi yang mampu menginspirasi semua orang yang beriman, baik lelaki mahupun perempuan.
 
Beliau adalah Lubabah binti al-Harith atau nama lengkapnya Lubabah binti al-Harith bin Huzn bin Bajir bin Hilaliyah.  Diberi gelaran Lubabah al-Kubra ataupun Ummu Fadhl, isteri kepada al-Abbas bin Abdul Mutalib, bapa saudara Nabi Muhammad.  Beliau adalah salah seorang sahabat Nabi pada masa awal penyebaran Islam di Mekah. Ummu Fadhl adalah salah seorang daripada empat wanita yang telah disaksikan keimanan mereka oleh Rasulullah S.A.W selain Maimunah, Asma’ dan Salma.  Adapun Maimunah Ummul Mukminin r.a. adalah saudara kandung Ummu Fadhl. Sedangkan Asma’ dan Salma adalah saudara dari sebelah bapanya, ibu mereka ialah ‘Umais.
 
Meskipun beliau tertindas akibat keIslamannya sebagaimana dinyatakan oleh puteranya, Abdullah bin al-Abbas r.a. “Aku dan ibuku adalah termasuk orang-orang yang tertindas dari kalangan wanita dan anak-anak”, beliau berjaya menempa kedudukan yang tinggi dalam sirah sebagai wanita yang berilmu, bijak, berani, dan sebagai ibu dan pengasuh yang berjaya.
 
Menurut Abdullah bin Yazid. “Tiada seorangpun yang telah melahirkan ramai orang yang terkemuka sebagaimana aku lihat enam putera Ummu Fadhl!”.  Enam putera Ummu Fadhl yang dimaksudkan ialah al-Fadhl, Abdullah al-Faqih, Ubaidillah al-Faqih, Ma’bad, Qutsam, dan Abdur¬Rahman.
 
Penindasan yang ditanggungnya di Mekah tidak menghalang beliau untuk bersikap gagah dan berani, meskipun sebagai wanita.  Ini terbukti melalui peristiwa beliau membunuh Abu Lahab sebagaimana yang telah diceritakankan oleh Ibnu Ishak dari Ikrimah:
 
Abu Rafi’ bercerita: “Aku adalah seorang lelaki yang lemah, aku bekerja membuat gelas, aku juga memahat di batu-batuan sekitar telaga zam-zam.  Demi Allah pada suatu ketika aku sedang duduk berhampiran dengan Ummu Fadhl yang mana sebelumnya kami berjalan  namun tidak ada kebaikan yang sampai kepada kami. Kemudian datanglah Abu Lahab berlari-lari bertanyakan khabar Perang Badar, lalu jawab seseorang (yang terlibat dalam perang Badar, “Demi Allah tatkala kami menjumpai mereka, tiba-tiba mereka tidak henti-hentinya menyerang pasukan kami, mereka memerangi kami sesuka hati mereka dan menawan kami sesuka hati mereka. Demi Allah sekalipun demikian tatkala aku menghimpun pasukan, kami melihat ada sekelompok lelaki yang berkuda hitam putih berada di tengah-tengah manusia, demi Allah mereka tidak menjejakkan kaki di tanah!”Abu Rafi’ berkata lagi:  “Aku mengangkat batu yang berada di tanganku, kemudian berkata:  Demi Allah itu adalah malaikat!
 
Tiba-tiba Abu Lahab mengepalkan tangannya dan memukul aku dengan pukulan yang sangat kuat kerana penyataanku membuatnya marah, kemudian dia menarikku dan menghentakku ke tanah, selanjutnya dia dudukkan aku dan terus memukulku sedangkan aku adalah seorang lelaki yang lemah.”
 
Lalu berdirilah Ummu Fadhl r.a. mengambil sebuah tiang batu, beliau memukulkannya dengan kuat kepada kepala Abu Lahab sehingga menyebabkannya cedera parah. Ummu Fadhl r.a. berkata; “Saya telah mencederakannya sehingga parah fizikal dan kredibilitinya!”. Kemudian bangunlah Abu Lahab dalam keadaan terhina. Demi Allah ia tidak hidup setelah itu melainkan hanya tujuh malam lalu Allah S.W.T menimpakan kepadanya penyakit bisul yang menyebabkan kematiannya.”
 
Demikianlah kesan pembinaan Islam, hinggakan seorang wanita mukminah berjaya menjatuhkan bukan sahaja kesombongan Abu Lahab, malah riwayat hidupnya.
 
Sebagai wanita yang mulia, Ummu Fadhl telah diberi penghormatan untuk mengasuh dan menyusukan cucu Rasulullah S.A.W, Al-Hassan bin Ali. Ummu Fadhl r.a berkata, “Suatu ketika aku mendatangi Rasulullah S.A.W dengan membawa bayi tersebut maka Rasulullah S.A.W segera mengendong dan mencium bayi tersebut, namun tiba-tiba bayi tersebut mengencingi Rasulullah S.A.W, lalu baginda bersabda, “Wahai Ummu Fadhl, peganglah anak ini kerana dia telah mengencingiku.”Ummu Fadhl r.a. berkata, “Maka aku ambil bayi tersebut dan aku cubit sehingga dia menangis, aku berkata,“Engkau telah menyusahkan Rasulullah kerana engkau telah mengencinginya.” Tatkala melihat bayi tersebut menangis Rasulullah S.A.W bersabda, “Wahai Ummu Fadhl, justeru engkau yang menyusahkanku kerana telah membuat anakku menangis.” Kemudian Rasulullah S.A.W meminta air lalu baginda percikkan ke tempat yang terkena air kencing kemudian bersabda,“Jika bayi lelaki, maka percikilah dengan air, akan tetapi jika bayi perempuan maka cucilah.” Ummu Fadhl inilah yang menjadi asbabul wurud (sebab keluarnya hadis) mengenai tatacara penyucian najis dari air kencing bayi ini.
 
Kebijaksanaan Lubabah binti al-Haris r.a. terserlah tatkala orang ramai bertanya kepada beliau ketika Hari Arafah apakah Rasulullah S.A.W berpuasa ataukah tidak. Untuk memperoleh jawapannya, beliau menyuruh salah seorang anaknya agar menghantar segelas susu kepada Rasulullah S.A.W yang berada di Arafah. Dengan dilihat oleh semua orang, Rasulullah S.A.W menerima susu tersebut lantas meminumnya.
 
Di sisi yang lain, Ummu Fadhl r.a. mempelajari Hadis asy-Syarif dari Rasulullah S.A.W dan beliau meriwayatkan tiga puluh hadis. Antara yang meriwayatkan daripada beliau adalah putera beliau Abdullah bin al-Abbas r.a. Tamam (hambanya) dan Anas bin Malik.
 
Ummu Fadhl r.a. meninggal dunia semasa pemerintahan khalifah Uthman bin Affan r.a. Beliau adalah contoh tauladan sebagai ibu solehah yang melahirkan tokoh hebat seperti Abdullah bin al-Abbas r.a. iaitu tokoh yang sangat arif dikalangan para sahabat dan Turjuman-ul-Qur’an (yang ahli dalam hal tafsir al-Qur’an).  Lubabah al-Kubra ini juga telah memberikan contoh terbaik buat kita dalam banyak perkara, sebagaimana hebatnya jiwa kepahlawanan yang memancar dari sinar akidah yang benar yang mampu menjatuhkan musuh Allah S.W.T yang paling keras permusuhannya.
 
 
Sumber:
Kitab Nisaa’ Haular Rasuul, karya Mahmud Mahdi al-Istanbuli dan Musthafa Abu an-Nashr asy-Syalabi.

[F.U./ BIL:50/ DISEMBER 2012]
 
 


FIKIH:  POLIGAMI: PERLUKAH IZIN ISTERI?

SOALAN:
 
Assalamu’alaikum, ustazah.
 
Suami saya telah memberitahu saya bahawa dia ingin berkahwin seorang lagi. Saya amat tidak bersetuju kerana menganggap suami saya tidak mampu. Akhirnya, suami saya menikah seorang lagi tanpa pengetahuan saya. Walaupun telah mempunyai isteri baru, suami saya tidak pernah sekalipun mengabaikan saya dan anak-anak.  Madu saya redha gilirannya untuk bersama suami hanya seminggu sekali memandangkan jarak tempat tinggal yang jauh dan masih dalam keadaan rahsia.  Apabila saya mengetahuinya, saya mendesak suami supaya menceraikan isteri keduanya.  Saya juga menghasut anak-anak kami supaya membenci suami. Suami menjadi begitu tertekan, lantas menceraikan isteri keduanya.  Adakah saya berdosa kerana memaksa suami saya menceraikan isteri keduanya hanya kerana saya tidak izinkan?  Adakah sah pernikahan kedua suami kerana dilakukan tanpa keizinan saya sebagai isteri pertama?  Harap ustazah boleh memberi penjelasan tentang masalah saya ini.

JAWAPAN:
Antara persoalan yang menimbulkan masalah paling kontroversi dalam urusan perkahwinan umat Islam ialah keharusan berpoligami. Persoalan ini dijadikan bahan oleh sesetengah golongan untuk mengecam Islam dan ramai wanita yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaannya.  Maka, hal yang perlu diperjelaskan di sini adalah mengenai hukum poligami serta hak poligami itu sendiri.
 
Hukum Poligami
Poligami (lelaki mengahwini lebih daripada satu) adalah sesuatu yang diharuskan dalam Islam.  Hukum poligami (Ta’addudi al-Zaujat) menurut jumhur ulama adalah mubah (boleh).  Hal ini berlandaskan firman Allah S.W.T.,
 
Nikahilah oleh kalian wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja, atau kamu nikahi hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat pada sikap tidak berbuat aniaya”  [TMQ an-Nisa’ (4): 3].

Ayat ini diturunkan kepada Nabi S.A.W. pada tahun kelapan hijrah.  Ayat ini diturunkan untuk membatasi jumlah isteri pada batas maksimum empat orang sahaja kerana sebelum turunnya ayat ini, jumlah isteri bagi seorang lelaki tiada batasnya. Ayat tersebut juga memerintahkan seorang suami yang berpoligami supaya berlaku adil terhadap isteri-isterinya, namun jika khuatir tidak mampu berlaku adil, lebih dianjurkan agar membatasi jumlah isteri kepada seorang sahaja. Hal ini kerana pembatasan jumlah isteri kepada seorang sahaja merupakan tindakan yang lebih dekat pada sikap tidak berlaku zalim yang mana sikap ini harus dimiliki oleh setiap Muslim.
 
Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa keadilan bukanlah syarat bagi kebolehan untuk berpoligami.  Keadilan hanya merupakan kewajipan yang muncul kerana keputusan seorang lelaki untuk hidup dalam keluarga poligami.  Allah S.W.T telah menjelaskan secara sempurna mengenai hal ini.

Nikahilah oleh kalian wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga atau empat   [TMQ an-Nisa’ (4): 3].
 
Ayat ini menunjukkan dengan jelas bolehnya berpoligami secara mutlak. Ayat ini telah selesai dan berdiri sendiri. Selanjutnya dimulai dengan kalimah lainnya iaitu. ‘Fa in khiftum’ (Kemudian, jika kalian khuatir).  Kalimah ini bukanlah syarat poligami melainkan ia merupakan kalimah baru yang berdiri sendiri.  Seandainya hal ini adalah ayat pensyaratan, tentulah ayat tersebut akan berbunyi: “Nikahilah oleh kalian wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga atau empat jika kalian dapat berlaku adil.”
 
Namun, susunan ayat seperti di atas tidak ada, sehingga aspek keadilan bukanlah syarat untuk berpoligami.  Potongan ayat pertama menunjukkan hukum syariat yang berbeza dengan potongan ayat kedua.  Potongan ayat pertama menunjukkan hukum bolehnya berpoligami sebatas empat orang sahaja, sedangkan potongan ayat kedua menunjukkan hukum lain, iaitu Allah lebih suka jika seorang  lelaki menikahi seorang sahaja jika dengan berpoligami itu akan menyebabkan suami tidak berlaku adil antara mereka (isteri-isteri).
 
Dalam kes ini, tindakan suami Puan berpoligami adalah boleh di sisi syarak.  Namun demikian, suami Puan telah melakukan kezaliman terhadap isteri keduanya dengan tidak adil dalam giliran bermalam (walaupun isteri kedua tersebut redha) dan akhirnya menceraikan isteri kedua tersebut setelah rahsia terbongkar lantaran didesak oleh Puan.  Di sini, suami Puan perlu memainkan peranan sebagai seorang suami dan juga ketua keluarga serta bersikap tegas dengan Puan dan anak-anak.
 
Sesungguhnya poligami merupakan satu hukum yang dibolehkan oleh syarak, namun tanggungjawab yang perlu dipikul oleh sang suami amatlah berat bermula daripada aspek keadilan sehinggalah ke aspek didikan ilmu agama terhadap isteri-isteri dan anak-anak.
 
Hak Poligami
Ketika ini, masyarakat di sesetengah tempat seolah-olah memahami kuasa poligami ini berada di tangan isteri.  Contohnya seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.  Seksyen 23 memperuntukkan bahawa lelaki yang telah berkahwin tidak boleh membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah. Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut syarat-syarat tertentu termasuklah memberi kenyataan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak.  Undang-undang yang digubal oleh manusia ini memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa jika isteri tidak memberi tandatangan kebenaran, maka poligami itu tidak sah dan menjadi batal.
 
Hakikatnya dalam Islam, keizinan daripada isteri itu bukanlah satu hal yang wajib kerana poligami merupakan hukum Allah yang diberi kepada seorang suami.  Jadi isteri tidak ada kewajipan atau hak untuk mengatur suami dalam hal poligami.  Sebagaimana yang berlaku dalam kes di atas,  Puan berkeras untuk tidak dimadukan sehingga sanggup mendesak suami Puan untuk menceraikan isteri keduanya.  Jelas di sini bahawa Puan telah melakukan kemaksiatan kepada Allah, dengan menjadi penyebab runtuhnya sebuah masjid yang dibina oleh suami bersama wanita lain tanpa sebarang alasan yang berlandaskan nas-nas syarak.
 
Sepatutnya, Puan perlu ada kefahaman dan kesedaran dengan sepenuh hati bahawa kebolehan poligami adalah hukum Allah, dan hukum Allah pastilah hukum terbaik yang akan membawa kemaslahatan bagi umat manusia.   Allah S.W.T. berfirman,
 
Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila   Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata[TMQ al-Ahzab (33): 36].
 

Dengan ketaatannya kepada hukum Allah, dia akan rela dimadukan, dan inilah yang akan membuat Allah melimpahkan pahala yang sangat besar kepadanya. Sesungguhnya, ketaatan kepada Allah dan suami serta mengakui hak-haknya (seperti kebolehan poligami) akan membuatkan seorang wanita mendapat pahala yang besar, bahkan setara dengan pahala berperang di jalan Allah S.W.T.
 
Ibnu Abbas meriwayatkan sebuah hadis sebagai berikut,
 
“Sesungguhnya pernah ada seorang perempuan datang kepada Rasulullah S.A.W, lalu ia berkata, “Wahai Rasulullah, saya ini utusan dari kaum perempuan kepadamu Jihad (perang) diwajibkan Allah kepada kaum laki-laki. Jika mereka menang, mereka mendapatkan pahala, jika mereka   terbunuh, mereka masih tetap hidup di sisi Tuhan mereka lagi mendapat rezeki, sementara kami, kaum perempuan membantu mereka. Lalu apa bahagian bagi kami dalam hal ini?” Rasulullah S.A.W bersabda (yang ertinya), “Sampaikanlah kepada perempuan-perempuan yang kamu temui, bahawa taat kepada suami dan mengakui hak-haknya adalah sama dengan itu (jihad di jalan Allah)”  [HR Ibnu Abdil Barr].
 
Namun demikian, suami yang baik dan menyayangi isterinya pasti akan memberitahu isterinya terlebih dahulu sebelum menikah lagi sebagai menghargai hak seorang isteri dan agar isterinya bersedia untuk menerima orang baru dalam keluarga.
 
Wallahua’lam. [F.U./ BIL:50/ DISEMBER 2012]