Fikratul Ummah – Disember 2014


Oleh: Ketua Pengarang

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh...

Diam tidak diam, kita sudah pun berada di penghujung tahun 2014. Rentetan peristiwa suka dan duka telah kita lalui pada tahun ini. Apabila diamati kembali, peristiwa duka lebih banyak menyelimuti umat Islam berbanding dengan khabar gembira. Seperti biasa, kita tidak kesunyian daripada mendengar berita tentang kerosakan akhlak remaja, pembunuhan sesama manusia, pengabaian tanggungjawab oleh yang dipertanggungjawabkan, usaha orang-orang kafir untuk menyesatkan umat Islam dan pelbagai lagi kezaliman-kezaliman fizikal dan emosi yang masih lagi menimpa umat Islam di Malaysia.

Pembaca yang semoga dirahmati Allah SWT sekalian,

Jika dipandang sejenak ke luar batasan negara assabiyah ini, keperitan pasti menggamit lagi jiwa orang-orang yang beriman apabila saudara seakidah dibantai dengan begitu kejam sekali tanpa diperhatikan hak-hak mereka sebagai seorang manusia apatah lagi sebagai seorang Muslim. Semua kenyataan ini seharusnya menuntun kita kepada satu momentum baru iaitu perubahan hakiki yang bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah umat Islam selama ini tetapi juga bakal memelihara kemuliaan Islam dan umatnya sebagai umat yang terbaik.  Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri[TMQ ar-Ra’d (13):11].

Namun perubahan yang bagaimana harus dijalankan dan didikan yang bagaimana harus dibina kepada setiap individu dan masyarakat, itulah yang bakal dirungkaikan dalam FU kali ini. Semoga dengan pengungkapan realiti kehidupan umat Islam di seluruh dunia ini dapat menyedarkan kita semua tentang perubahan yang benar yang harus dijalankan sehingga dapat menyatukan seluruh pemikiran umat Islam menuju kepada satu matlamat iaitu menegakkan Daulah Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah, insya Allah.
Wallahu’alam…


الَّلهُمَّ اجْعَلْ لَنَا دَوْلَةً إِسْلاَمِيَّةً كَرِيمَةً. الَّتِي تُعِزُّ بِهَا اللإِسْلَامَ وَأَهْلَهُ. وَتُذِلُ بِهَا الكُفْرَ وَالطُّغْيَانَ وَأَهْلَهُ. الَّلهُمَّ اجْعَلْ بِلَادَ المُسْلِمِينَ. خِلَافَةً رَاشِدَةً عَلَى مِنْهَاجِ نَبِيِّكَ. الَّتِي تَجْرِي فِيهَا أَحْكَامُكَ وَ سُنَّةُ رَسُولِكَ. الَّلهُمَّ ارْحَمْنَا بِالتَّوْفِيقِ وَالهِدَايَةِ. الَّلهُمَّ ارْحَمْنَا بِإِقَامَةِ الخِلَافَةِ. الَّلهُمَّ ارْحَمْنَا بِتَطْبِيقِ الشَّرِيعَةِ. بِرَحمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Ya Allah, jadikan untuk kami Negara yang Islami lagi mulia, yang dengannya Engkau muliakan Islam dan umatnya, dan dengannya (pula) Engkau hinakan kekufuran dan thaghut beserta para pembelanya. Ya Allah, jadikan negeri-negeri Muslimin sebuah Khilafah Rasyidah yang mengikuti metod NabiMu, yang berlaku di dalamnya hukum-hukumMu dan sunnah RasulMu. Ya Allah, berikanlah kami taufiq dan hidayah. Ya Allah, sayangi kami dengan penegakan Khilafah. Ya Allah, kasihi kami dengan penerapan Syari’ah, dengan rahmatMu, wahai Zat yang paling Pengasih di antara para pengasih, yang paling Penyayang di antara para penyayang.”
 


Oleh: Ustazah Nurain Abdul Rahman (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Muqaddimah
2014 bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi. Maka, Fikratul Ummah (FU) ingin mengajak para pembaca mengimbau sorotan isu-isu yang diangkat dan dibawakan kepada para pembaca sepanjang keluarannya. Kami mengajak para pembaca sekalian untuk berfikir tentang keadaan umat Islam yang amat kritikal dengan belenggu seribu satu permasalahan yang tiada penghujungnya. Apa yang menjadi kepastian, perjuangan menyampaikan yang hak tetap diteruskan, usaha menanamkan kefahaman kepada umat tentang penyelesaian hakiki kepada segala permasalahan tetap menjadi agenda utama FU. Islam, melalui mekanisme Daulah Khilafah akan terus diserukan kepada umat agar menjadi opini umum dan segera mendapat dukungan umat. Ini tidak lain kerana Islam adalah satu-satunya penyelesaian terbaik.

Sorotan Peristiwa 2014
Bermula dengan keluaran Februari 2014, FU mengangkat tajuk Barat Takutkan Islam, Pemisahan Gender Dipersoalkan. Berkisar kepada realiti aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan pelajar Islam di sebuah Universiti di Britain. Aktiviti rutin persatuan yang dihadiri oleh pelajar-pelajar Muslim yang mengasingkan tempat duduk di antara pelajar lelaki dan wanita dilihat sebagai sesuatu yang sukar diterima. Ini bukanlah realiti yang baru berlaku, ia justeru disensasikan sebagai satu agenda Barat untuk menyerang Islam. Barat menonjolkan aturan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang digariskan oleh Islam sebagai suatu amalan yang tidak baik malah merugikan. David Cameron, Perdana Menteri Britain menyifatkan pemisahan ini adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak akan dibenarkan. Akibat campur tangan Cameron, Universities UK (UUK) telah menarik semula garis panduan tentang pemisahan gender.

Telah banyak keyakinan dan prinsip Islam yang telah diserang oleh Barat. Daripada isu larangan berjilbab, sekolah-sekolah Muslim, pengadilan Syariah, perkahwinan, larangan membina masjid, larangan laungan azan sehinggalah kepada isu penutup wajah (niqab) dan terkini, isu pemisahan gender. Media Barat dilihat sengaja mencipta kontroversi dengan memburuk-burukkan Islam. Islam dilabel ekstrem, diskriminatif dan tidak sesuai di abad 21.

Mac 2014, Malaysia dikejutkan dengan satu peristiwa yang amat menyedihkan apabila pesawat komersial MAS MH370 yang dalam perjalanan menuju ke Beijing hilang tanpa dapat dikesan sehingga ke hari ini. Bulan Mac juga sebenarnya merupakan tarikh dukacita bagi umat Islam apabila 90 tahun lalu iaitu 24 Mac 1924, Daulah Khilafah Islamiyyah yang menjadi perisai umat Islam telah dihancurkan. Kerana itu, FU Mac membawakan artikel yang bertajuk Perjuangan Politik Wanita bagi menerangkan kepada pembaca bagaimana wanita boleh memainkan peranannya dalam bidang politik untuk mengembalikan penerapan sistem Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT selaku Pencipta alam dan seluruh isinya.

Populasi wanita Islam hari ini menjangkau lebih daripada 10% jumlah penduduk dunia (hampir 20% daripada jumlah keseluruhan wanita) iaitu bersamaan dengan 700 juta orang. Namun, angka sebesar ini tidak secara automatik menunjukkan kekuatan peranan Muslimah dalam medan perjuangan politik hari ini. Realitinya, sejak beberapa dekad kebelakangan ini, Muslimah di kebanyakan negara majoriti Muslim seringkali digambarkan sebagai golongan yang dibelenggu penindasan, kemiskinan, kekerasan, diskriminasi dan golongan kelas kedua di bawah kaum lelaki.

Gambaran ini turut disokong oleh pelbagai kajian yang dijalankan oleh pihak Barat bagi menonjolkan kemunduran wanita Islam yang dilihat daripada perspektif sekular kapitalis. Contohnya, kajian terbaru yang dijalankan oleh World Economic Forum yang bertajuk ‘The Global Gender Gap Report 2012’ mencatatkan deretan negara majoriti Muslim, khasnya di kawasan Timur Tengah-Afrika (Yaman, Afghanistan, Mali, Pakistan, Arab Saudi, Bangladesh, Syria, Libya dan lain-lain) sebagai negara-negara yang terburuk layanannya terhadap wanita daripada 135 negara kajian [http://www3.weforum.org/docs/WEF_GenderGap_Report_2012.pdf]. 

Keadaan ini semakin parah dengan keadaan sosio-budaya masyarakat Arab yang membataskan penglibatan wanita dalam kehidupan umum. Contohnya di Arab Saudi, golongan wanita tidak dibenarkan untuk memandu, tidak memiliki hak bersuara dalam bidang politik, bahkan tidak boleh memiliki telefon bimbit. Keadaan inilah yang sering menjadi perhatian serta modal murahan Barat dan aktivis-aktivis pejuang gender dan feminisme untuk membuat tuduhan buruk terhadap Islam. Islam dipropagandakan sebagai ideologi penindas Muslimah dan mengekang kebebasan wanita.

April 2014 pula mengangkat isu kanak-kanak sebagai tajuk utama iaitu Selamatkan Anak-Anak Daripada Jenayah. Jenayah terhadap kanak-kanak semakin mengerikan apabila media melaporkan bahawa jenayah dan kekejaman terhadap kanak-kanak semakin berleluasa kerana pelbagai cara yang tidak berperikemanusiaan telah dilakukan oleh pemangsa. Manusia seolah-olah semakin hilang pertimbangan dan tersasar jauh daripada norma-norma kehidupan kerana sanggup melakukan kekejaman terhadap insan kecil yang sepatutnya dijaga dan dilindungi. FU dalam keluaran tersebut mengungkapkan kepada pembaca bagaimana Islam dan sistem Khilafah melayan dan menjaga insan kecil ini.

Pada bulan Mei 2014, seruan untuk terus konsisten dalam memperjuangkan sistem Khilafah yang dijanjikan kemenangannya oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW terus dilaungkan. FU mengajak para pembaca untuk sama-sama menyahut seruan tersebut dalam artikel yang bertajuk Tinggalkan Demokrasi, Terapkan Syariah, Tegakkan Khilafah! Sejarah dunia menyaksikan Islam menguasai peradaban dunia selama lebih 1300 tahun. Bermula dengan Negara Islam di Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, diikuti pula oleh Khulafa al-Rasyidin dan seterusnya dilanjutkan oleh Khilafah Bani Umayyah, Khilafah Bani Abbasiyyah sehinggalah yang terakhir iaitu Khilafah Utsmaniyyah. Sepanjang tempoh pemerintahan itu, hanya syariat Islam (hukum Allah SWT) yang diterapkan dalam negara. Selepas kejatuhannya pada 3 Mac 1924 maka umat Islam tidak lagi hidup dengan berlandaskan sistem Islam. Demokrasi yang lahir daripada rahim sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan) telah mendarah daging dalam jasad seorang Muslim dan ia perlu ditinggalkan segera demi memastikan Islam kaffah kembali menjadi hukum yang diterapkan ke atas kaum Muslimin.

Pada Jun 2014, FU memuatkan teks ucapan daripada para pembentang Konferens Muslimah yang bertemakan Selamatkan Wanita Dan Anak-Anak Dengan Syariah Dan Khilafah yang telah berjaya dianjurkan pada 4 Mei 2014. Konferens tersebut adalah acara kemuncak dalam Kempen Kebangkitan Khilafah anjuran MHTM yang diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya wanita, bahawa kehidupan saat ini adalah kehidupan yang sempit dan sengsara serta kepentingan untuk mengubahnya. Walaupun Malaysia adalah negara yang aman daripada peperangan fizikal atau kezaliman pihak tentera seperti di negeri umat Islam yang lain, namun Malaysia tidak aman daripada pelbagai jenis masalah sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Jadi, masalah yang sedang dan akan terus merosakkan wanita dan generasi ini harus ditangani segera dengan benar.  Konferens yang telah dihadiri oleh wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat ini telah membongkar punca permasalahan wanita yang berakar umbi daripada peranan sebuah negara yang berkewajipan untuk mengatur urusan rakyatnya.

Sempena bulan Ramadan 1435H yang penuh berkat, FU Julai 2014 mengajak pembaca menghayati semangat Ramadan dalam artikel yang bertajuk Dakwah Dan Penerapan Syariat. Realiti umat Islam menunjukkan bahawa Ramadan pada zaman ini hanya tinggal sebagai bulan ibadah kerana bahana sekularisasi yang membuatkan umat Islam cuma mengamalkan Islam daripada sudut ruhiyyah (spiritual) semata-mata. Hukum syarak daripada pelbagai lagi aspek kehidupan yang sepatutnya diamalkan oleh setiap Muslim yang telah mukallaf tidak lagi menjadi sebuah perintah yang wajib dipenuhi tetapi ianya menjadi pilihan secara peribadi! Untuk menghayati semangat berlumba-lumba dalam beramal di bulan Ramadhan, FU menjelaskan tentang kewajipan dakwah yang sepatutnya diamalkan oleh setiap Muslim demi memastikan syariat Islam dapat diterapkan secara sempurna dalam pemerintahan Daulah Islam.

Kedatangan Syawal disambut dengan rasa kesyukuran atas kemenangan individu dalam melaksanakan ibadah puasa. Pada bulan Ogos 2014 juga, umat Islam di Malaysia menyambut Syawal seiring dengan Hari Merdeka. Namun, makna kemerdekaan yang dilaung-laungkan masih jauh daripada makna kemenangan sebenar yang sepatutnya diraikan oleh seluruh umat Islam dalam bulan Syawal. Realiti menunjukkan umat Islam khususnya di Malaysia masih berada di bawah hegemoni (penjajahan) Barat yang tidak berkesudahan terutamanya daripada sudut pemikiran. Bulan Syawal sepatutnya disambut dengan kemenangan dakwah dan perjuangan umat Islam terhadap kaum kuffar sekiranya negara memainkan peranannya dalam mempertahankan agama Islam dan menyebarluaskannya ke seluruh dunia. Inilah kupasan istimewa dalam FU Ogos 2014 melalui artikel yang bertajuk Sambutan Aidilfitri Makna Kemenangan Hakiki.

Pada penghujung bulan Ogos, Malaysia menyaksikan sebuah pesta kemaksiatan besar-besaran diadakan di Hotel Sunway iaitu pertandingan ratu cantik Mrs Universe World Final (MU) 2014. Malaysia sebagai sebuah negara Asia yang pertama menjadi tuan rumah pertandingan tersebut begitu bangga dengan acara yang mengundang murka Allah SWT. Alasannya acara sebegini dapat memberi impak yang positif kepada negara daripada sudut ekonomi dan politiknya. Sehubungan dengan itu, MHTM menyatakan secara tegas bantahan terhadap pesta maksiat ini. Pelbagai aktiviti diadakan, antaranya bertemu dengan masyarakat melalui kempen Tolak Mrs Universe, demonstrasi aman, penghantaran memorandum bantahan ke Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta lain-lain lagi.

Artikel yang bertajuk Pentingkah Identiti Negara Islam? dalam FU September 2014 sekaligus menjelaskan tentang hakikat sebenar sebuah negara Islam yang sepatutnya menjadi identiti Malaysia jika ingin mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Dengan berleluasanya pesta maksiat seperti pertandingan ratu cantik itu, identiti Negara Islam yang sebenar tidak langsung identik dengan identiti Malaysia saat ini. Hanya dengan penerapan sistem Islam sahajalah sesebuah negara itu layak digelar ‘Negara Islam’ dan bukannya penerapan hukum demokrasi tetapi mengaku Negara Islam seperti Malaysia.

Oktober 2014 pula menyaksikan agenda liberalisasi semakin parah, malahan diperkemaskan secara lebih terbuka dan ‘mesra pengguna’. Pesta Oktoberfest, No Bra Day dan I Want To Touch A Dog  adalah siri kesinambungan agenda liberalisasi di tengah-tengah umat. Dalam asakan agenda liberalisasi ini, MHTM tanpa mengenal penat dan lelah terus menyeru umat kepada kebangkitan Islam yang sebenar. Program Suara Wanita Untuk Wanita (SWUW) telah berjaya diadakan pada 21 September yang lalu bertemakan Wanita Cemerlang Membangun Peradaban Gemilang. Wanita daripada segenap lapisan masyarakat mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri dalam menepis arus liberalisasi yang semakin deras. SWUW mengambil peluang mengungkapkan kepada para Muslimah tentang agenda Barat melalui slogan memperkasakan wanita yang dilaungkan dalam sambutan Hari Wanita bahawa ia sebenarnya agenda Barat untuk mengalihkan para wanita khususnya Muslimah daripada tugas hakiki mereka iaitu ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengatur rumahtangga).

Sempena tahun baru 1436H, FU edisi November 2014 membawakan tema khas iaitu Hijrah. Peristiwa Hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat sering diingati oleh kaum Muslimin sebagai bermulanya perkiraan kalendar Islam dan bebasnya kaum Muslimin pada saat itu daripada penindasan dan kezaliman kaum musyrik. Namun, FU mengajak para pembaca sekalian untuk menghayati kesan paling penting daripada Hijrah tersebut iaitu tertegaknya sebuah Negara Islam yang berperanan menerapkan hukum Islam secara kaffah (keseluruhan) dan meluasnya penyebaran Islam apabila negara memainkan peranannya.

Khatimah
Setiap isu yang diangkat di dalam setiap keluaran FU sentiasa bertujuan untuk mengajak para pembaca mengenali dan memahami penyelesaian hakiki terhadap semua permasalahan di atas dalam pandangan Islam. Dalam Islam, setiap permasalahan manusia dipelihara dan dijaga melalui tiga tiang yang utama iaitu kawalan individu, kawalan masyarakat dan kawalan negara. Antara ketiganya, kawalan daripada negara adalah mekanisme yang paling berkesan. Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Imam (Khalifah) adalah pemelihara/pengatur urusan rakyat dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas rakyatnya [HR Bukhari].

Institusi Daulah Khilafah inilah yang umat Islam perlukan saat ini. Kewajipan menegakkan Daulah Khilafah adalah sangat mustahak dan kritikal. Pemimpin umat Islam yang bergelar Khalifah akan memerintah dan memutuskan perkara sesuai dengan ketentuan hukum syarak semata-mata dalam memenuhi perintah Allah SWT dalam firmanNya,

Putuskanlah perkara di antara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu[TMQ al-Maidah (5):48-49].

Semoga fajar tahun 2015 akan menyingsing dengan cahaya penegakan Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah yang akan memerintah demi kelestarian dan kesejahteraan seluruh umat manusia.

Wallahu’alam..
 


Oleh: Ustazah Ummu Hajar (Ahli Lajnah Muballighah MHTM)

﴿إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمْ
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri[TMQ ar-Ra’d (13):11].

Tafsir Ayat
Imam Ibnu Kathir ada menukilkan dalam kitab tafsirnya bahawa Ibn Abi Hatim ada meriwayatkan bahawa Ibrahim berkata, “Allah ada mewahyukan kepada salah seorang Nabi daripada kalangan bani Israil, katakanlah kepada kaummu: Sekiranya seseorang di kampung atau di rumahnya yang telah memberi ketaatannya kepada Allah, tetapi beliau kemudiannya mengubah tingkah lakunya menjadi seorang yang derhaka kepadaNya, maka Allah akan mengambil daripada mereka apa yang mereka sukai dan menggantikannya dengan sesuatu yang tidak disukai”. Ibrahim seterusnya menyatakan bahawa kenyataan ini ada buktinya daripada Kitab Allah iaitu,
﴿إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمْ﴾
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” 

Pembinaan Umat: Landasan Perubahan Masyarakat
Masyarakat merupakan kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi antara mereka diatur oleh satu aturan (nizham) yang tertentu. Untuk masyarakat sekular yang menerapkan ideologi Kapitalisme hendak diubah menjadi masyarakat yang menerapkan Islam, maka perlu ada perubahan dalam pemikiran dan perasaan yang mereka miliki. Pemikiran yang menyangkut keyakinan mahupun cara penyelesaian masalah di tengah-tengah masyarakat perlu diubah kepada asas akidah dan syariat Islam. Reda atau benci dan senang atau sedih mereka pun perlu diubah menjadi reda dan senang sesuai dengan syariat Islam.

Jika majoriti inginkan perubahan atau kehendak tersebut menjadi dominan, iaitu masyarakat inginkan perubahan ke arah Islam, maka pada saat itulah perubahan akan terjadi. Apabila rakyat menghendaki penerapan Islam, mereka akan menjadikan orang-orang yang membela Islam sebagai pemimpinnya, yang mana peraturan Islam akan mampu ditegakkan.

Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk mewujudkan pemikiran dan perasaan yang sama, iaitu menjadikan peraturan Islam sebagai satu-satunya jawapan kepada kesemua permasalahan kehidupan? Jawabnya hanya satu, iaitu masyarakat perlu melalui proses pembinaan (tatsqif) untuk menjana perubahan.

Realiti hari ini menunjukkan bahawa masyarakat itu berbeza-beza sikapnya terhadap perubahan. Ada sebahagian masyarakat yang memiliki kemahuan yang tinggi, tahu visi dan misi, serta memahami bagaimana cara melakukan perubahan daripada kehidupan jahiliyyah kepada kehidupan Islami. Kelompok masyarakat yang sebegini sentiasa bersedia untuk mengorbankan waktu, tenaga, wang ringgit, bahkan jiwa raga mereka bagi tertegaknya Islam. Merekalah kelompok penting dalam masyarakat yang menjadi penggerak utama kepada perubahan. Kelompok yang memiliki karakter beginilah yang perlu dibina dan diarahkan untuk berperanan dalam masyarakat sebagai agen perubahan. Oleh itu mereka perlu dibina secara intensif dalam halaqah pembinaan (tatsqif murakkaz).

Dalam menjana perubahan, satu hakikat yang perlu diterima adalah, tidak semua orang dapat dibina secara intensif. Perlu disedari bahawa ada orang yang waktunya amatlah terhad, tidak dapat mengikuti aktiviti pembinaan intensif dan rutin. Bahkan, ada juga sebahagian masyarakat yang tidak peduli terhadap perubahan sedikitpun. Prinsip yang dipegangnya adalah ‘yang penting hidupnya selesa, makan kenyang, tidur nyenyak dan anak-anak dapat bersekolah’. Orang-orang demikian tidak boleh dipaksa menjadi penggerak kepada perubahan. Namun, mereka perlu menjadi pendukung kepada perubahan. Setidaknya, jangan sampai mereka menjadi penghalang kepada perubahan. Lantaran itu, pembinaan tetap perlu diberikan kepada orang-orang kelompok ini; bukan secara intensif, melainkan pembinaan secara umum. Inilah pembinaan umum (tatsqif jama’i).

Secara amnya, jelaslah bahawa realiti yang kita hadapi menuntut adanya pembinaan intensif dan pembinaan umum dalam melakukan perubahan daripada masyarakat sekular menjadi masyarakat Islam. Pembinaan perlu dibuat secara intelektual dan bukan dengan kekerasan atau keganasan fizikal.

Pembinaan Umat Oleh Nabi SAW
Nabi SAW merupakan contoh terbaik dalam melakukan pembinaan untuk mengubah masyarakat Arab Jahiliyyah menjadi masyarakat Islam. Sejak baginda diutus menjadi Rasul, baginda sentiasa menyampaikan wahyu yang diterimanya. Orang pertama yang didakwahinya ialah isterinya sendiri, Siti Khadijah RA dan beliau menerima dakwah dan mengimaninya. Baginda juga mendakwahkan sepupunya, Saidina Ali RA, diikuti maulanya, Zaid bin Haritsah RA dan teman terdekatnya, Saidina Abu Bakar ash-Shiddiq RA.

Baginda SAW terus-menerus menyampaikan Islam, ada antara mereka yang beriman, ada pula yang kafir. Orang-orang yang beriman terus dibina oleh Nabi SAW. Antaranya pembinaan intensif di rumah Arqam bin Abi Arqam. Al-Quran dibacakan kepada mereka, jiwa-jiwa mereka ditempa hingga menjadi suci, al-Quran dan as-Sunnah pun ditanamkan dalam diri mereka. Baginda membina mereka, solat bersama mereka, bertahajud pada malam hari dan para sahabat pun menirunya. Ruhiyyah mereka dipenuhi dengan solat dan bacaan al-Quran. Kajian terhadap al-Quran dan perenungan terhadap makhluk-makhluk Allah SWT mempengaruhi fikiran mereka. Baginda menempa akal para sahabat dengan makna al-Quran, serta dengan pemahaman Islam dan pemikiran-pemikirannya. Baginda mencetak mereka menjadi orang-orang sabar dan taat dalam keikhlasan total kepada Allah, Zat Yang Maha perkasa. Allah SWT dengan indah mengabadikan hal ini,

Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan Hikmah (as-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”. [TMQ al-Jumu’ah (62): 2].

Para sahabat yang dibina oleh Rasulullah SAW tidak berhenti pada kesolehan peribadi. Sebaliknya, mereka pun membangun suatu kelompok dakwah di bawah pimpinan Nabi SAW. Di dalam Surah al-Maidah ayat 56, Allah menyebut mereka sebagai hizbullah (parti Allah), mereka melakukan dakwah, menyedarkan masyarakat, dan membinanya. Abu Bakar misalnya, mendakwahkan tetangganya dan masyarakat sekitarnya. Melalui beliau berimanlah Utsman bin Affan, Zubair bin Awwam, Abdurrahman bin Auf, Saad bin Abi Waqash dan Thalhah bin Ubaidillah. Sebelum hijrah, Rasulullah SAW mengutus Mus’ab bin Umair untuk membina masyarakat di Madinah.

Bukan hanya pembinaan intensif yang dilakukan Nabi SAW malah baginda turut melakukan pembinaan umum bagi masyarakat. Kitab-kitab sirah menuliskan bahawa Rasul SAW pernah mengundang makan para keluarganya lalu baginda menyampaikan Islam dan mengajak mereka untuk beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Rasulullah SAW juga pernah mengumpulkan masyarakat Arab daripada pelbagai kabilah di Bukit Safa. Maka hadirlah masyarakat Banu Abdul Muthalib, Banu Abdil Manaf, Banu Zuhra, Banu Taim, Banu Makhzum serta Banu Asad dan baginda pun menyampaikan Islam.

Arah Pembinaan
Merujuk kepada aktiviti Nabi SAW dalam membina masyarakat, jelas bahawa pembinaan yang baginda contohkan bukanlah pembinaan tanpa tujuan, bukan pembinaan yang hanya merupakan pemindahan ilmu atau keahlian, bukan pula sekadar pembinaan untuk melepaskan kewajipan. Pembinaan yang dimaksud adalah menyampaikan tsaqafah (tatsqif). Perubahan yang mesti terjadi adalah perubahan sikap dan perilaku.

Pembinaan intensif (tatsqif murakkaz) merupakan pembinaan untuk mencetak individu/masyarakat yang sanggup menggalas tugasan dakwah. Orang-orang yang dibina secara intensif seharusnya memahami bahawa proses pembinaan tersebut ditujukan untuk memahami Islam yang akan diterapkan dan didakwahkan ke tengah-tengah masyarakat. Pembinaan intensif diarahkan untuk membentuk keperibadian Islam (syakhsiyyah Islamiyyah) dalam diri para penggalas tugasan dakwah. Di sana mereka dibina pola fikirnya menjadi pola fikir Islami (‘aqliyyah Islamiyyah) dengan kajian dan penanaman pemahaman, pola jiwanya juga dibina menjadi pola jiwa Islami (nafsiyah Islamiyyah) melalui keyakinan terhadap idea-idea Islam yang dikaji serta pengamalannya. Pembinaan tersebut dilandaskan pada:

1.    Kaedah fikriyyah. Ertinya, pemikiran Islam disampaikan dengan disertai dalil dan cara penarikan maknanya (istinbath, atau dengan faktanya jika berkaitan dengan realiti). Para ahli harus benar-benar memahami apa yang dikaji.
2.    Landasan iman. Ertinya, pemikiran Islam (baik akidah maupun syariatnya) yang sedang dikaji diyakini sebagai pedoman hidup, diyakini berasal daripada Allah SWT yang bersumber daripada wahyu. Pembinaan intensif bukan sekadar untuk kepuasan intelektual semata.
3.    Amal. Ertinya, apa yang telah diketahui diamalkan dalam kehidupan sehari-hari. Setiap hukum syariat yang dipelajari dan belum dapat diterapkan mesti diperjuangkan agar dapat diterapkan.
4.    Dakwah. Ertinya, pemahaman yang telah dipelajari bukanlah untuk diri sendiri, tetapi untuk disebarkan kepada masyarakat.

Dengan pembinaan intensif seperti ini akan muncullah pendakwah yang rajin beribadah di masjid (ahlul mihrab) sekaligus pahlawan di medan jihad (bathalul jihad), pejuang (mujahid) dan ahli ibadah (‘abid). Mereka menyatu dalam kelompok dakwah dengan padu. Para pendakwah inilah yang akan berjuang menyatukan Islam dengan umat di tengah-tengah masyarakat melalui pelbagai pembinaan, baik intensif maupun umum. Ibarat air yang sedang dididihkan di atas tungku, mereka adalah bahagian air yang telah memiliki tenaga yang akan dipindahkan kepada bahagian air lainnya sehingga air segera mendidih dan menghasilkan gerak perubahan. Mereka juga adalah ibarat kenderaan yang bersedia untuk menarik gerabak panjang di belakangnya. Tanpa pembinaan intensif, penggerak perubahan di tengah masyarakat tidak ada. Akibatnya, perubahan tidak akan terjadi. Sungguh, pembinaan intensif amat penting dalam proses perubahan masyarakat.

Khatimah

Pembinaan, sama ada bersifat intensif untuk pendakwah mahupun umum bagi masyarakat keseluruhan, amat penting dalam perubahan masyarakat demi tegaknya Islam. Tanpa pembinaan intensif (tatsqif murakkaz) perubahan tidak akan terjadi. Meskipun terjadi, itu hanyalah tampal sulam dan menuju ke arah yang tidak jelas. Demikian pula, tanpa pandangan umum, masyarakat tidak akan bergerak melakukan perubahan. Pandangan umum yang tidak lahir daripada kesedaran umum hanya akan berhenti pada sikap ‘asal berubah’. Akibatnya, perubahan yang terjadi hanya bersifat simbolik, asal berubah saja. Sementara itu, sistem yang selama ini merupakan pembentuk kemunduran tidak berubah. Di sinilah kepentingan pembinaan umat, baik pembinaan intensif untuk membentuk pendakwah mahupun pembinaan umum untuk mewujudkan pandangan umum, dalam proses perubahan masyarakat ke arah Islam.

Wallahu’alam…

Rujukan :

1. Terjemahan Al Quran oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al Quran Menteri Agama Indonesia. 

2. English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged) Darussalam. 1. Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, 13/303; Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsîr al-Bahr al-Muhîth, 8/111.

3. At Takattul Al Hizbiy (Pembentukan Partai Politik) oleh Sheikh Taqiyuddin Nabhani (Terjemahan).

4. Daulah Islam oleh Sheikh Taqiyuddin Nabhani (Terjemahan).

5. Islam Bangkitlah oleh Abdul Rahman al Baghdadi – Gema Insani Press.

6. Majalah al Waie pelbagai siri.
 


Oleh: Hidayah Muhammad (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Muqaddimah
Pernahkah kita terfikir tentang ‘life without knowledge’? Tanpa ilmu, manusia akan berada dalam kegelapan dan kebodohan kerana ilmu merupakan cahaya bagi kehidupan. Seperti yang dikatakan oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyah rahimahullah, “Ilmu adalah kehidupan dan cahaya, sedangkan kebodohan adalah kematian dan kegelapan. Semua kejahatan dan keburukan penyebabnya ialah tidak adanya kehidupan dan cahaya (ilmu)[Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Buah Ilmu, Pustaka Azzam, hal 18].

Betapa pentingnya ilmu sehingga Islam juga menempatkan orang yang memiliki ilmu pada kedudukan yang istimewa. Sebaliknya Islam memberi kecaman terhadap orang-orang yang enggan menuntut ilmu. Allah SWT berfirman,

“…Katakanlah, ‘Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran” [TMQ az-Zumar (39):9].

Definisi Ilmu Dan Keutamaan Dalam Menuntut Ilmu
Ilmu berasal daripada perkataan Bahasa Arab al-‘ilmu. Secara bahasa (etimologi), kata al-‘ilmu adalah bentuk masdar atau kata sifat daripada perkataan ‘alima-ya‘lamu-ilman’. Lawan kepada kata al-‘ilmu adalah al-jahl (jahil/tidak tahu). Sehingga jika dikatakan alimtuasy-syai’a bererti ‘saya mengetahui sesuatu’. Ilmu secara istilah (terminologi) pula bererti pemahaman tentang hakikat sesuatu [Tim penyusun, Majma’ ai Lughah al-Arabiyah, ai Mu’jam al-Wasith, Cairo 1980, Jilid 2, hal 624].

Ada banyak penjelasan dalam Islam mengenai keutamaan menuntut ilmu bahkan hukumnya wajib. Rasulullah SAW bersabda, “Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap Muslim[HR Ibnu Majah dan Tabrani].

Orang-orang yang menuntut ilmu juga dijanjikan dengan ganjaran yang tiada galang gantinya. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa menempuh satu jalan untuk mendapatkan ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga[HR Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Baihaqi daripada sahabat Abu Darda RA, sanadnya sahih].

Kewajipan menuntut ilmu  terletak pada bahu setiap individu umat dalam rangka beribadah kepada Allah SWT. Memetik kata-kata Fudhail bin Iyadh rahimahullah, “Orang yang berilmu pada dasarnya bodoh sehingga ia mengamalkan ilmunya. Apabila ia mengamalkan ilmunya, barulah dia layak disebut orang yang berilmu[‘Awa’iqath-Thalab, hal 17].

Belajar Daripada Sahabiyah Dalam Menuntut Ilmu
Apabila kita menelusuri sejarah pemerintahan Daulah Islam selama lebih 1300 tahun, disitulah kita dapat temui sejarah tokoh-tokoh ilmuwan yang hebat. Mereka hidup dalam keadaan dimana pemimpin menunaikan kewajipannya menyediakan segala kemudahan untuk menjana minda umat Islam pada ketika itu. Dalam kalangan wanita juga muncul generasi-generasi yang hebat dalam usahanya menuntut ilmu dan seterusnya menyumbang dalam penyebaran Islam. Mudah-mudahan kita dapat belajar daripada sifat-sifat serikandi Islam ini.

Salah seorang daripada mereka ialah Ummu Hisyam binti Haritsah RA. Beliau adalah anak kepada Ummu Khalid bin Ya’isy al-Ansyariyah yang berasal daripada suku  Malik. Ummu Khalid telah masuk Islam dan berbaiat kepada Rasulullah SAW. Ummu Khalid menikah dengan Haritsah bin Nu’man daripada suku Najar dan dikurniakan beberapa orang anak iaitu Abdullah, Abdurahman, Saudah, Umrah dan Ummu Hisyam sendiri.

Ummu Hisyam RA dan saudara-saudara perempuannya ikut serta dalam pembaiatan kepada Rasulullah SAW. Beliau hidup dalam keluarga yang diberkahi apabila semua ahli keluarganya masuk Islam sehingga ajaran Islam teguh dipelajarinya. Keluarga Ummu Hisyam RA adalah antara orang-orang terawal yang masuk Islam daripada kaum Ansar. Apabila Rasulullah SAW menawarkan Islam kepada suku Khazraj di Madinah dan mendengarkan ayat-ayat al-Quran, keluarga Ummu Hisyam RA terus masuk  Islam. Bahkan mereka berjanji akan menyebarkan Islam kepada penduduk Madinah lainnya. Kedekatan beliau dengan Rasulullah SAW memberikan pengaruh positif kepada Ummu Hisyam RA. Rasulullah  SAW bersabda, “Orang yang dikehendaki Allah menjadi baik, pasti akan difahamkan urusan agama” [HR Bukhari dan Muslim].

Ini membuatkan Ummu Hisyam RA bersemangat tinggi dalam mempelajari Islam dan ia tidak berputus asa dalam menghafal al-Quran dan Hadis sehingga beliau menjadi seorang Hafizhah (hafal seluruh al-Quran) dan telah meriwayatkan beberapa Hadis Nabi SAW. Antara para perawi hadis yang meriwayatkan hadis daripada Ummu Hisyam RA ialah Umrah (saudaranya),  Muhammad bin Abdurahman bin As’ad bin Zurarah, Yahya bin Abdullah dan Habib bin Abdurrahman bin Yasaf [Ibnu Hajar al-Atsqalani dalam kitabnya Tahdzibut-Tahdziib, hal 482, al-Ishaabahfii Tamyiiz ash-Shahaabah, hal 480].

Diakhir hidupnya, Ummu Hisyam mendapat khabar yang sangat menggembirakan bahawa beliau akan menjadi penghuni syurga apabila Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan masuk neraka orang yang bersumpah setia di bawah pohon[HR Muslim]. Ummu Hisyam RA adalah salah seorang yang bersumpah setia untuk sanggup berkorban demi Islam dalam peristiwa Baiat Ridwan. Ummu Hisyam RA telah mencoretkan catatan emas dalam sejarah yang tidak akan dilupakan oleh generasi-generasi sesudahnya. Semoga Allah SWT meredainya.

Sahabiyah seterusnya yang wajar kita teladani sifat kerajinannya dalam menuntut ilmu ialah anak kepada seorang panglima Islam iaitu Aisyah binti Sa’ad RA atau nama sebenarnya Aisyah ash-Shughra binti Sa’ad bin Abi Waqqas. Beliau lahir pada masa pemerintahan Uthman bin Affan RA iaitu sekitar tahun 33H di Madinah. Aisyah bin Sa’ad membesar dalam keluarga yang mendapat kedudukan tinggi kerana ayahnya Sa’ad bin Abi Waqqas RA antara seorang sahabat yang dijanjikan syurga. Sa’ad bin Abi Waqqas ialah seorang perawi Hadis seperti yang dikatakan oleh Imam Nawawi, “Sa’ad bin Abi Waqqas meriwayatkan 270 hadis daripada Rasulullah SAW”.

Aisyah bin Sa’ad mengikuti jejak langkah ayahnya apabila beliau sendiri menjadi perawi Hadis dan termasuk dalam kalangan perawi yang terpercaya. Semangat dan kegigihan beliau dalam mencari ilmu cukup mengagumkan apabila beliau bertemu dengan enam isteri Rasulullah SAW. Beliau banyak menuntut ilmu daripada mereka terutamanya Ummul Mukminin Aisyah bin Abu Bakar RA. Beliau seorang yang suka bertanya kepada isteri-isteri Rasulullah SAW tentang masalah-masalah agama dan apa sahaja ilmu yang bermanfaat bagi wanita dalam urusan agama. Aisyah bin Sa’ad RA mendapat gelaran ahli fekah dan seorang ahli ibadah serta meninggalkan catatan emas untuk tatapan generasi umat Islam dalam bidang ilmu Hadis.

Khatimah
Inilah kisah dua orang sahabiyah RA yang sarat dengan ilmu yang bermanfaat. Semoga kisah kecekalan mereka menjadi teladan bagi kita (wanita-wanita masa kini) dalam usaha menuntut ilmu dan menjadikan ilmu-ilmu Islam sebagai penerang dalam pelayaran kehidupan masa kini serta memandang bahawa ilmu bukan sekadar pengetahuan tetapi juga untuk diamalkan atau diterapkan dalam kehidupan sehari-hari.

Wahai Muslimah!
Sesungguhnya menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap Muslim. Hanya dengan berusaha menyiapkan diri dengan ilmulah maka kita mampu untuk melaksanakan satu lagi kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT iaitu berdakwah. Marilah bersama-sama kelompok Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia dalam usaha menuntut ilmu dan mendakwahkannya sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh serikandi-serikandi Islam terdahulu sehingga tersebarnya syiar Islam di bawah pemerintahan Daulah Islam. Dengan berdakwah, layaklah kita mendapat gelaran khairu ummah (umat terbaik) sebagaimana Allah SWT berfirman,

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah[TMQ Ali-‘Imran (3):103].

Wallahua’lam..

Rujukan
1.    Terjemahan Al-Quran
2.    Tim penyusun, Majma’ ai Lughah al-Arabiyah, ai Mu’jam al-Wasith, Cairo 1980, jilid 2, hal 624
3.    Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Buah Ilmu, Pustaka Azzam, hal 18
4.    Muhammad Nashirudin al bani, sahih targhibwa at-tarhib, jilid 1, hlm 17
5.    ‘Awa’iqath-Thalab, hlm 17]
6.    Mahmud al-Mishri, 35 Sirah Shahabiyah jilid 1, hlm 51-52, 55-57, Al-I’tishom, cetakan ke 8, 2012.
7.    Ahmad Khalil Ama’ah, Puteri Sahabat Rasulullah
 


Oleh: Ustazah Sakinah (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Soalan:
Apakah hukumnya orang yang reda hidup dalam sistem kufur dan tidak berusaha untuk mengubah sistem yang ada kepada sistem Islam?

Jawapan:
Syeikh Taqiyuddin al-Nabhani mendefinisikan Islam sebagai sebuah agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan Allah SWT, manusia dengan dirinya sendiri dan manusia dengan manusia yang lain. Daripada pengertian ini, dapat disimpulkan bahawa Islam mengandungi 3 skop ajaran yang utama. Pertama; ajaran yang menyentuh hubungan manusia dengan Allah SWT (mencakupi permasalahan yang berkaitan dengan akidah dan ibadah yakni berupa hubungan langsung manusia dengan Penciptanya). Kedua;   ajaran yang menyentuh hubungan manusia dengan dirinya sendiri (mencakupi persoalan akhlak, math’umat (makan dan minum) dan malbusat (pakaian). Manakala skop yang ketiga ialah ajaran yang mengatur hubungan manusia dengan manusia yang lain. Skop ini merupakan skop paling besar dalam ajaran Islam iaitu hukum syarak dalam aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara, sama ada dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan, pemerintahan, sosial, uqubat dan lain-lain.

Merujuk betapa detailnya ajaran Islam seperti yang dinyatakan di atas (ditambah lagi secara imani kita meyakini tidak ada satu perkara pun yang tidak ada jawapannya dalam Islam) menunjukkan Islam sebagai sebuah deen yang menyeluruh tentang manusia dan kehidupannya, yang mana pemikiran asasnya ialah akidah dan pemikiran cabangnya ialah syariah (hukum-hakam Islam). Ini menjadikan Islam  bukan semata-mata sebuah agama yang memberikan ajaran yang bersifat ritual, tetapi juga sebuah ideologi atau cara hidup kerana wujudnya pengaturan yang sempurna (nidzam atau sistem) dalam semua bidang kehidupan manusia.

Allah SWT telah meletakkan posisi orang-orang yang mengambil ideologi selain Islam, termasuk tunduk dan reda kepada sistem kehidupan yang lahir daripada ideologi kufur tersebut seperti ideologi Kapitalisme dan Sosialisme), sebagai orang-orang yang rugi di mana segala amalannya tertolak. Allah SWT berfirman,

Barangsiapa yang mencari selain Islam sebagai deen, maka tidak akan diterima (amalannya) dan di Akhirat nanti ia termasuk orang-orang yang rugi[TMQ Ali Imran (3):85].

Menurut Tafsir Ibnu Kathir I/343, “deen” dalam ayat di atas merujuk kepada ‘jalan hidup’ sehingga barangsiapa yang menempuh suatu jalan selain jalan yang disyariatkan oleh Allah, maka jalan itu tidak akan diterima darinya. Ini merujuk bukan sekadar dari aspek akidah dan ritual (ibadah), malah merangkumi seluruh aspek kehidupan.

Keharaman untuk mengambil dan tunduk dengan sistem dan ideologi selain Islam ini disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran di mana Allah SWT mencela manusia yang mengambil aturan selain yang telah diperintahkanNya.

Barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir[TMQ al-Maidah (5):44].

Barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah  orang-orang yang zalim [TMQ al-Maidah (5):45].

Barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik[TMQ al-Maidah (5):47].

Bagaimana pula dengan perbuatan mendiamkan diri tanpa melakukan usaha untuk mengubah sistem kufur yang ada pada hari ini?

Sesungguhnya sistem selain Islam ialah sistem yang mungkar dan setiap kemungkaran bukan sahaja wajib ditinggalkan, malah wajib diubah. Tidak mengubah sistem yang mungkar dan berdiam diri darinya merupakan suatu dosa. Daripada ayat-ayat yang dinyatakan di atas, sangat jelas bahawa melibatkan diri dalam sistem yang berasaskan ideologi selain Islam, termasuklah perbuatan mendiamkan diri, tanpa berusaha untuk mengubahnya adalah suatu perbuatan yang haram. Firman Allah SWT,

Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan yang telah diturunkan sebelummu. Mereka hendak berhukum kepada thaghut padahal mereka telah diperintahkan mengingkari thaghut. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya[TMQ an-Nisa’ (4):60].

FirmanNya lagi,

Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan[TMQ an-Nisa’ (4):65].

Tidak mengambil hukum Allah bermaksud seseorang itu berhukum dengan hukum taghut. Tidak mengambil apa yang dibawa oleh Rasulullah bermaksud seseorang itu mengambil ajaran selain Islam. Oleh kerana itu, mereka yang masih ada sekelumit iman di dalam hatinya dan meyakini Islam sebagai akidah dan sistem hidup yang sempurna, namun berdiam diri, tidak beraktiviti untuk menghapuskan sistem kufur dan menegakkan hukum Allah, maka mereka dikira berdosa. Ini kerana mereka bersikap lepas tangan, tidak berbuat apa-apa, walhal mereka wajib meninggalkan kemungkaran dan mengubahnya, jadi Allah SWT  akan meminta pertanggungjawaban (menghisab) mereka atas sikap diam mereka ini.

Kewajipan Mendirikan Khilafah
Perlu difahami bahawa kewujudan Khalifah (ketua Negara Islam) dalam penegakan syariah merupakan taj al-furudh (mahkota kewajipan). Ini kerana, penerapan Islam secara kaffah (menyeluruh) hingga tercapai kehidupan berkah di bawah sistem Islam itu mustahil diwujudkan tanpa adanya Khalifah dan tegaknya Khilafah (Negara Islam). Oleh kerana itu, menegakkan Khilafah dan mengangkat Khalifah merupakan kewajipan yang paling penting. Al-Hashkifi al-Hanafi berkata,

وَنَصْبُهُ أَهَمُّ الْوَاجِبَاتِ فَلِذَا قَدَمُوهُ عَلىَ دَفْنِ صَاحِبِ الْمِعْجِزَاتِ

Menegakkan Khilafah merupakan kewajipan yang paling penting. Oleh kerana itu, para Sahabat Nabi SAW mendahulukan kewajipan ini atas pemakaman jenazah pemilik mukjizat (Rasulullah SAW)[Al-Hashkifi, al-Durr al-Mukhtar, hal. 75].

Saidina Umar RA sebagaimana yang terdapat di dalam sahih Bukhari dan Muslim menyebut
Sesungguhnya Allah telah membangkitkan Muhammad SAW secara benar dan diturunkan kepadanya al-Quran, dan antara yang telah diturunkan kepadanya adalah ayat berkenaan hukum rejam, maka kami (sahabat) telah membacanya, menyedarinya dan memikirkannya, maka Rasul sendiri telah merejam (penzina) dan kami juga merejamnya selepas itu, maka aku bimbang sekiranya berlalu zaman (tanpa Khalifah), akan timbul mereka yang berkata “Kami tidak dapati hukum rejam di dalam kitab Allah”. Maka jadilah mereka sesat dengan meninggalkan kewajipan yang diturunkan Allah, sesungguhnya rejam adalah hak dalam kitab Allah (di kenakan) bagi penzina muhsan (sudah berkahwin) dari kalangan lelaki dan perempuan.” [HR Bukhari No.6829,  Muslim No.4394, Abu Daud No.4418, Tirmizi No.1432, Ibnu Majah No.2553]

Hal ini menunjukkan bahawa menegakkan Khilafah dan mengangkat seorang Khalifah merupakan kewajipan yang paling penting (ahammu al-wajibat). Ini kerana, tanpa adanya Khilafah dan Khalifah akan banyak kesesatan dan kemaksiatan di tengah-tengah masyarakat akibat tidak diterapkannya hukum-hukum Islam dan berleluasanya sistem kufur.

Jika diteliti, tidak ada seorang pun yang terbebas daripada dosa (berdiam diri) ini kecuali orang yang aktif berjuang dengan penuh kesungguhan untuk mewujudkan kembali Khilafah bersama jemaah yang ikhlas dan benar. Ini kerana, hanya dengan cara itulah mereka akan selamat daripada dosa, seperti yang dijelaskan oleh hadis Rasulullah SAW,

وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِى عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Siapa saja yang mati, sementara di pundaknya tidak ada baiat (kepada Khalifah), maka dia mati (dalam keadaan berdosa) seperti mati jahiliyyah[HR Muslim].

Adanya celaan dalam hadis tersebut, iaitu berupa sifat kematian jahiliyyah (mati dalam keadaan berdosa), menunjukkan besarnya dosa ketika kaum Muslimin hidup tanpa memiliki Khalifah yang mereka baiat. Namun, apabila kaum Muslimin telah berusaha keras untuk menegakkan Khilafah (dalam rangka menegakkan deen Allah secara kaffah) dan ternyata mereka belum berhasil mewujudkan Khilafah selama tiga hari (tempoh masa yang wajib mengangkat Khalifah berdasarkan ijma’ sahabat) disebabkan oleh hal-hal yang memaksa, yang berada di luar kemampuan mereka, maka dosa telah gugur daripada mereka. Rasululah SAW bersabda,

إِنَّ اللهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Sesungguhnya Allah menggugurkan (dosa) daripada kerana tersalah (tidak sengaja), terlupa dan terpaksa [HR Ibnu Majah].

KHATIMAH
Sesungguhnya tidak ada alasan sedikit pun bagi kaum Muslimin di seluruh dunia untuk meninggalkan apa yang telah diwajibkan oleh Allah atas mereka dalam rangka menegakkan agama, iaitu usaha untuk mengangkat seorang Khalifah bagi keseluruhan umat Islam yang tanpanya tidak ada orang yang akan menyatukan jemaah kaum Muslimin di bawah bendera La ilaha illallah Muhammad Rasulullah. Ingat! Dalam Islam tidak terdapat satu rukhsah (keringanan) pun untuk meninggalkan kewajipan ini sampai ia selesai dilaksanakan dengan adanya seorang Khalifah yang dibaiat. Maka sesiapa sahaja yang berdiam diri dari kewajipan ini, sesungguhnya ia telah mengundang murka Allah ke atasnya dan sekali gus telah mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan. Na’uzu billah min zalik.

Wallahu’alam.

Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Kathir
2. Peraturan Hidup Dalam Islam, Taqiyuddin al-Nabhani.