Fikratul Ummah – Mei 2012


LIDAH PENGARANG

Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh….
 
Segala puji bagi Allah kerana dengan izin-Nya, FU sekali lagi dapat menemui pembaca sekalian. Sedar atau tidak, kita telah berada di pertengahan tahun 2012. Benarlah seperti yang dikatakan oleh Rasulullah dalam hadis baginda, “Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; “Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api[HR Tirmizi].
 
Dalam kehidupan akhir zaman ini, masa yang ada kebanyakannya habis dengan kesibukan bekerja mencari nafkah diri dan keluarga. Kerana itu tarikh 1 Mei dianggap sebagai satu tarikh yang amat bermakna kepada golongan masyarakat yang bekerja. Hari cuti umum itulah yang digunakan oleh golongan yang berkerja ini untuk berehat atau menghabiskan masa bersama keluarga.
 
Bagi kaum wanita pula, hari cuti ini dimanfaatkan untuk menyelesaikan kerja-kerja rumah yang tertangguh. Inilah realiti yang dihadapi oleh kaum wanita saat ini apabila masa mereka terpaksa dibahagikan antara urusan rumahtangga dengan komitmen kerja. Kerja di luar rumah sepertinya telah menjadi satu kewajipan baru bagi para isteri atau ibu yang hidup dalam sistem ekonomi kapitalis demi memenuhi keperluan kehidupan sehari-harian. Untuk penjelasan lebih lanjut mengenai isu ini, ikuti kupasan menarik dalam edisi FU kali ini.
 
Akhir kalam, kami barisan sidang redaksi FU sekali lagi mengajak pembaca sekalian untuk memerhatikan permasalahan yang dihadapi kaum wanita saat ini dengan pandangan Islam dan bersama-sama kami dalam perjuangan untuk menegakkan Daulah Khilafah yang pasti dapat menyelesaikan segala permasalahan tersebut. Hayatilah hadis Rasulullah, “Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. berkata, “Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw. akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah!  Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami.” Lalu baginda pun bersabda, “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang meminpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar-Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat [HR Abu Daud dan Tirmizi].


ARTIKEL PILIHAN:  WANITA DAN EKONOMI DALAM JERUT KAPITALISME

Muqaddimah
 
Wanita merupakan golongan yang tidak terkecuali daripada menerima kesan akibat penerapan ideologi kapitalisme pasca kejatuhan entiti politik Islam (Daulah Khilafah). Walaupun sesetengah pihak masih mempertikaikan kerelevanan membincangkan isu ini, namun ia tetap menjadi topik yang patut mendapat tempat di minda umat Islam. Ini adalah kerana penaja sistem kapitalisme ini (Barat) terus-menerus mempropagandakan dengan gigih ke seluruh dunia bahawa hanya sistem ekonomi kapitalisme yang mampu “mengimbangi” dunia dan mensejahterakan alam.
 
Hakikat Kapitalisme
 
Ideologi kapitalisme juga menanam persepsi bahawa kebahagiaan manusia akan tercapai dengan menikmati sebanyak-banyaknya kepuasan jasmani, tanpa unsur spiritual. Ideologi ini mengajarkan bahawa hanya manusia yang memahami manusia dan hanya manusia yang tahu apa yang manusia mahukan. Dengan kata yang lebih mudah, hanya manusia yang mampu memuaskan kehendak dan keperluan manusia, maka kerana itu manusia jugalah yang harus mencipta satu sistem untuk merealisasikan tujuan itu.
 
Dalam memenuhi kehendak yang tidak terbatas tersebut, cara dan metodologinya tidak lagi dipedulikan kesesuaiannya dengan fitrah penciptaan manusia sebagai hamba kepada Al-Khaliq, asalkan ia mampu meraih seberapa banyak potensi yang menguntungkannya. Inilah konsep  Machiavelli yakni “matlamat   menghalalkan cara”.

Jadi, antara kesan daripada pemahaman dan penerapan ideologi kapitalisme ini adalah, dunia kini semakin rakus ‘mempergunakan’ wanita sebagai sumber pendapatan. Wanita dianggap setaraf dengan lelaki dalam segala aspek termasuk taraf  ekonominya. Wanita kini telah kuat, bebas dan mempunyai sumber ekonominya sendiri. Dengan kata lain wanita telah mula menjadi pencari nafkah utama keluarga.
 
Contohnya di Malaysia, wanitanya lebih cenderung memiliki karier (baca: pencari nafkah) sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta. Buat masa ini, wanita membentuk hampir setengah daripada jumlah tenaga buruh negara. Jabatan Penerangan Malaysia memaparkan bahawa penyertaan wanita meningkat dari 37.2 peratus dalam tahun 1970 kepada 46.7 peratus dalam tahun 1990 [Sumber: http://pmr.penerangan.gov.my]. Manakala menurut Dato’ Seri Najib Tun Razak pula dalam ucapannya sempena Hari Wanita Sedunia ke-100 baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa pada masa ini, kaum wanita membentuk 47.3%  tenaga kerja, berbanding 30.8% pada tahun 2000. Menjelang tahun 2015 kerajaan berharap angka itu akan   meningkat ke 55% [Sumber: http://www.1malaysia.com.my].
 
Serapan Yang Menjadi Kebiasaan
 
Serapan ideologi asing ke dalam masyarakat Islam di negara ini sudah lama melanda dan penularannya berlaku secara halus sehingga tidak disedari oleh umat Islam. Sama ada sedar atau tidak, pemikiran masyarakat Islam masa kini telah berubah kepada pemikiran asing dan kalau tidak dibanteras melalui pelbagai kaedah, hal ini boleh menjejaskan akidah umat Islam itu sendiri [Laporan dan Kajian R&D Ogos 2010: Serapan Ideologi Dan Pemikiran Asing- Jabatan Agama Islam Selangor].
 
Masyarakat Islam hari ini merupakan generasi yang mindanya telah ditanam dengan motivasi hidup untuk meraih kemewahan dunia bukannya untuk hidup dengan meraih ketaatan kepada Allah. Ungkapan-ungkapan seperti “Wahai anakku, inginkah kau miliki kereta yang cantik? Rumah yang besar? Mendapat apa sahaja yang kau inginkan? Jika ya, maka belajarlah bersungguh-sungguh hingga ke menara gading dan mendapat kerjaya impian yang akan menjamin tercapainya segala impianmu,”  menjadi kebiasaan bagi ibu bapa untuk memotivasikan anaknya.
 
Oleh sebab itu, seorang wanita yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dianggap janggal jika tidak mempunyai kerjaya yang hebat. Kerjaya dan pendapatan yang hebat pula perlu diselaraskan dengan ‘kekuatan’ materialnya. Kereta yang hebat, perhiasan rumah yang bertaraf agam dan tidak kurang juga perhiasan peribadi yang mewah. Persoalannya di sini, berjayakah wanita-wanita ini meraih kebahagiaan hakiki? Bahagiakah wanita setelah mencapai standard ‘kepuasan yang sebenar’???

Jawapannya tentu tidak. Keadaan  ekonomi yang ‘menekan’ ini ‘memaksa’ wanita untuk keluar dari fitrah kewanitaannya dan kebiasaan yang seharusnya menjadi hak bagi   seorang wanita. Dalam Islam, wanita tidak wajib menafkahi dirinya apatah lagi orang lain. Yang wajib menafkahi dirinya adalah lelaki (bapanya atau suaminya). Allah SWT berfirman, “Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu [TMQ al-Baqarah (2):233]. Inilah buktinya bahawa fitrah kewanitaan mereka   tersepit duka dalam jerut kapitalisme.
 
Wanita Sebagai Kuasa Ekonomi, Benarkah?
 
Kuasa wanita sebagai tenaga penggerak ekonomi dengan menjadi pengguna, pengeluar, pekerja dan   usahawan sudah mula mendapat perhatian. Jika selama ini, kelompok ini dibayangi oleh China dan India dengan kuasa penggunanya yang melebihi satu bilion penduduk, kini wanita dianggap sebagai “Bilion Ketiga”. Malah, kepentingannya sebagai kuasa beli menurut Harvard Business Review (edisi September 2009) melebihi daripada jumlah kuasa beli di China dan India jika digabungkan.
 
Wanita global keseluruhannya mengawal AS$20 trilion (RM70 trilion) perbelanjaan pengguna dan dijangka akan meningkat kepada AS28 trilion (RM98 trilion) pada lima tahun yang akan datang. Pendapatan tahunan mereka menjangkau AS$13 trilion (RM45.5 trilion) dan akan meningkat kepada angka AS$18 trilion (RM63 trilion) dalam jangka masa yang sama. Dengan kuasa beli yang sedemikian, ternyata “Bilion Ketiga” tidak boleh diabaikan dan disalah ertikan dalam strategi pemasaran untuk wanita [petikan artikel “Wanita Sebagai kuasa Ekonomi”- http://yksm.com.my/mainpage/?p=444].
 
Inilah yang dinamakan sebagai ‘feminisi tenaga pekerja rasmi’. Bagi sesetengah wanita, ia memberi mereka kebebasan kerana mereka boleh merangkul lebih banyak pilihan dalam kehidupan mereka. Bagi sesetengah wanita yang lain pula, wanita yang keluar bekerja menanggung ‘beban berkepala dua’ kerana mereka juga mempunyai peranan dan kewajipan dalam keluarga. Wanita ini cuba mendukung sambil mengimbangi antara pekerjaan (mencari nafkah) dan fitrah wanita dalam kehidupan berkeluarga (ummun warabbatul bait-menjadi ibu dan pengurus rumah tangga).
 
Di serata dunia, dalam perkhidmatan-perkhidmatan seperti perbankan dan komputer, kaum wanita telah menggantikan kaum lelaki dalam pekerjaan yang kini dibayar gaji yang lebih rendah dan diproletarianisasikan (situasi pekerja boleh disuruh apa sahaja oleh majikan). Selain itu wanita juga terdedah dengan  ‘syarat- syarat’ khusus dari para majikan yang berideologikan bajingan Kapitalisme, yang mana pelbagai ‘keperluan’ perlu dipatuhi jika ingin meneruskan  pekerjaan yang dijanjikan. Wanita mesti sanggup melakukan apa jua pekerjaan asalkan dibayar dengan  pulangan yang lumayan. Wanita juga terus dilaungi slogan feminisme yang menyatakan apa jua lelaki boleh lakukan wanita juga boleh!
 
Tambahan pula, dengan bekerja di luar rumah dan mempunyai kebebasan ekonomi bermaksud wanita tidak dikuasai atau terikat oleh mana-mana lelaki. Tetapi, kesan buruknya adalah tugas menjaga dan membesarkan anak menjadi lebih susah. Bagi segelintir wanita, menjadi sebahagian daripada tenaga pekerja global mengancam peluang mereka untuk melahirkan anak. Untuk wanita yang lain, ia mengakibatkan pengabaian terhadap anak-anak kerana mereka terpaksa bekerja untuk menyediakan makanan. Apabila fitrah wanita dilanggar, maka pelbagai masalah sosial pula timbul. Masalah gejala sosial semakin parah kerana wanita telah mengabaikan  kefardhuannya sebagai ummun wa rabbatul bait.
 
Walaupun wanita bertarung dengan masalah-masalah di atas, kebanyakan wanita yang bekerja berkata mereka tidak dapat membayangkan jika mereka kembali ke peringkat tidak bekerja. [Sumber: arts.anu.edu.au/suara/horgan1.rtf]. Ini adalah kerana faktor ekonomi yang sangat menekan menyebabkan wanita ini merasa menderita mendapatkan bahan primer yang mana semuanya prabayar.
 
Bermacam-macam pekerjaan dilakukan oleh wanita demi menjadi pencari nafkah ataupun membantu meringankan beban ekonomi ketua isi rumah. Dalam keadaan yang terdesak wanita sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan demi sesuap nasi, dalam keadaan yang menekan. Sedar atau tidak, wanita sedang dieksploitasi dan dijerut semaksimumnya apabila dijadikan alat dan produk dagangan.
 
Di Barat, faktor ekonomi yang menghimpit menyebabkan wanita mereka sanggup tidak berkahwin kerana bimbang dengan taraf ekonomi yang tidak stabil dan tidak mampu memberikan komitmen yang terbaik apabila berumah tangga kelak. Maka ada di antara mereka sanggup melunaskan naluri kewanitaan mereka dengan menjadi ‘ibu tunggal’ tanpa berkahwin. Masalah sosial pula muncul apabila anak-anak dilahirkan sebelum berkahwin (anak tidak sah taraf). Ini memberikan gambaran bahawa cara membentuk sebuah keluarga baru telah menentang fitrah manusia.
 
Sebenarnya, cara sesebuah keluarga disusun telah berubah berkali-kali sepanjang sejarah. Engels mengatakan bahawa perubahan dalam struktur kekeluargaan dan dalam cara anak dijaga sebenarnya berhubungan dengan cara keperluan materialis kehidupan dihasilkan (sistem ekonomi yang   mengatur) [Sumber: Engels: Origin of the Family, Private Property and the State].
 
Kembali kepada Fitrah
 
Sesungguhnya Islam adalah satu agama dan ideologi yang sempurna dan lengkap kerana Islam datang    daripada Allah SWT yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan.  Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu itu telah menegaskan dalam firman-Nya, “Pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah aku cukupkan nikmatKu ke atasmu, dan telah aku redai Islam itu sebagai agamamu[TMQ al-Maa’idah (5):3]. Penegasan Allah SWT sangat nyata dan jelas semasa menjelaskan bagaimana Islam yang dibawa oleh Muhammad SAW itu  merupakan satu jawapan dan tanda aras bahawa Islam adalah sempurna, sebagaimana kalam-Nya yang suci, “Dan tidaklah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat untuk sekalian alam[TMQ al-Anbiyaa’ (21):107].
 
Islam datang dan meletakkan manusia di atas landasan fitrah kemanusiaan. Dalam bidang pekerjaan, Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas di mana segala bentuk eksploitasi terhadap tarikan seksual wanita mahu pun lelaki (contohnya kecantikan dan ketampanan) untuk menarik ‘manfaat’ darinya, adalah dilarang. Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani menjelaskan dalam fasal 115 Muqaddimah ad-Dustur bahawa: “Seorang lelaki mahupun wanita tidak dibenarkan  melakukan sesuatu pekerjaan yang dapat membahayakan akhlak dan mengundang kerosakan dalam masyarakat meskipun perbuatan itu termasuk dalam salah satu hukum yang mubah. Sebagai contoh, menggaji wanita sebagai pramugari atau pemuda yang tampan digunakan sebagai daya penarik untuk salun kecantikan, restoran dan lain-lain lagi”. Fasal ini diletakkan atas tiga asas utama dan ia berdasarkan nas seperti di bawah [Ringkasan Muqaddimatu Dustur, Al-Nabhani ms 263]:
 
Pertama: Rafi bin Rifaah berkata: “Nabi SWT melarang kami dari memperkerjakan seorang pelayan wanita kecuali yang dikerjakan oleh kedua tangannya. Beliau bersabda, ‘Seperti inilah jari-jemarinya yang kasar sebagaimana halnya tukang roti, pemintal atau pengukir[HR. Ahmad].

Kedua: Kaedah usul menyebut, al wasilatu ila al haram, haram (sarana menuju perkara haram adalah haram).

Ketiga: Kaedah usul menyebut, asy syai`u al mubahu idza adda fardun min afradihi ila adh dharar yumna’u dzalika al fardu wahdahu wa yabqa asy syai`u mubah (suatu perkara mubah apabila salah satu bahagiannya menyebabkan dharar (bahaya), maka dilaranglah bahagian itu sahaja, sementara bahagian yang mubah tadi itu tetap mubah).

Sesungguhnya Islam telah menjamin setiap umatnya, sama ada lelaki atau wanita, mendapatkan ganjaran yang setimpal sekiranya umat ini tunduk dan patuh atas segala perintah dan larangan serta petunjuk dari Allah yang ditinggalkan buat umat Islam iaitu al-Quran dan Sunnah kekasihNya.
 
Khatimah
 
Wanita tidak akan mungkin selamanya terbela selagi Kapitalisme ini terus menjerut mereka dengan belenggu yang tiada noktahnya. Wanita yang ‘moden dan maju’ ini wajib berusaha untuk menjadikan Islam sebagai aspirasi dan inspirasi buat mereka   sekiranya mereka benar-benar ingin mengubah nasib dan keadaan hidup mereka. Ketahuilah bahawasanya Islam tidak mungkin dapat diterapkan dengan kaffah (sempurna) tanpa adanya institusi yang menerapkan dan mengaplikasikan syariatnya sebagai  tunggak iaitu Sistem Khilafah yang akan dinaungi oleh seorang Khalifah.
 
Kembalinya sistem ini di atas muka bumi Allah merupakan suatu janji yang pasti pada suatu masa nanti sebagaimana yang diungkapkan oleh Rasulullah dalam hadisnya yang mutawatir: “….Kemudian akan datang Khilafah yang berdiri atas jalan kenabian…[HR. Ahmad]. Apa yang dituntut (wajib) saat ini adalah usaha kita untuk merealisasikan janji tersebut.
 
Wallahu’alam.


ISU SEMASA: MEMILIH JODOH 

Muqaddimah
 
Cuti persekolahan pertengahan tahun bakal tiba tidak lama lagi. Dalam masyarakat  Malaysia, musim cuti sekolah selalunya dimanfaatkan untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Pada musim inilah, ahli keluarga yang tinggal berjauhan dapat berkumpul di kampung halaman untuk meraikan hari bahagia bersama kaum keluarga dan pada saat inilah tererat semula ikatan silaturahim.
 
Bagi bakal pengantin pula, jantung semakin berdebar-debar menantikan detik indah untuk bergelar isteri atau suami. Ada juga yang diselubungi kebimbangan kerana memikirkan  bahawa pernikahan merupakan permulaan satu komitmen baru dalam hidup. Tidak ketinggalan juga ada yang masih tertanya-tanya adakah pilihannya ini tepat, adakah dia ‘Mr.’, atau ‘Mrs. Right’ untuk dirinya, `adakah dia mampu membimbing aku?’ dan sebagainya. Edisi Fikratul Ummah kali ini bersama-sama menyelami perasaan raja sehari dengan berkongsi panduan dalam memilih jodoh yang diredai Allah SWT.
 
Rumah Tangga: Perjuangan Menunggu Syurga

 
Rumah tangga menuju ke syurga adalah sebuah rumah tangga yang ideologis, iaitu hanya menjadikan  Islam dan syariatnya sebagai asas dan panduan dalam seluruh masalah kehidupan berkeluarganya. Pembentukan rumah tangga ideologis bagi seorang Muslimah bermula dengan proses pemilihan calon suami. Muslimah yang memilih calon suami dengan bimbingan ideologi Islam akan memahami bahawa pemimpin rumah tangga bukanlah sebatas seorang Muslim sedangkan akhlaknya bercelaru. Seorang pemimpin rumah tangga juga bukan dalam kalangan mereka yang sentiasa mementingkan aspek kecantikan atau kebendaan semata-mata. Kepimpinan rumah tangga yang dipegang oleh lelaki seperti ini tentu tidak akan pernah membawa rumah tangganya menuju ketaatan kepada Allah SWT.
 
Seorang Muslimah yang memilih calon suami berdasarkan tuntutan Islam tidak akan terpedaya oleh ketampanan atau ciri-ciri fizikal mahupun kekayaan bakal suaminya. Calon pemimpin dalam rumah tangga ideologis mestilah bersedia untuk memimpin rumah tangganya dengan landasan ideologi Islam dan meletakkan setiap keputusannya  dengan pertimbangan ideologi Islam semata-mata.
 
Suami sebagai seorang pemimpin tidak sepatutnya menjadikan rumahnya hanya sebagai tempat  istirahat setelah seharian beraktiviti di luar rumah. Keteladanan diperlukan untuk membantu proses pembinaan isteri dan anak-anaknya. Suami yang memiliki kesedaran ideologi Islam selalu berfikir secara serius agar setiap keputusan yang diambil bukan dari pertimbangan hawa nafsu semata-mata. Suami seperti ini akan selalu menimbang dan mengukur perbuatannya dengan ukuran ideologi Islam, tidak terjebak menukar yang wajib dengan yang mubah apatah lagi dengan yang haram.

 Asas memilih calon suami atau isteri dalam rumah tangga ideologis bukanlah seperti memilih boneka yang mesti memenuhi cita rasa seseorang, tetapi memilih sesuatu yang jauh lebih besar daripada itu. Calon itu mestilah dilihat sebagai pencetak generasi Muslim yang mengutamakan kesediaan seorang isteri berjuang bersama si suami dalam rangka isti’naf al-hayah al-Islamiyyah (mengembalikan kehidupan Islam).
 
Islam memerintahkan memilih pasangan dengan pertimbangan agama (deen), seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Wanita itu dinikahi kerana empat aspek iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita kerana agamanya, nescaya engkau akan beruntung[HR Bukhari & Muslim]. Tidak sewajarnya bangunan rumah tangga ideologi dimulai dengan memilih isteri atas dasar tertarik kepada keayuan wajahnya, kelangsingan badannya atau melimpah ruah hartanya.
 
Isteri dalam rumah tangga ideologis adalah model Muslimah berwawasan, bersedia mengasuh anak-anak dan menguruskan rumah tangganya sesuai dengan syariat Islam. Kewibawaan yang terpancar daripada kesedaran ini memudahkan seorang isteri dan ibu untuk membina anak-anaknya agar membesar sebagai    seorang pejuang. Seorang ibu yang memiliki kesedaran ideologis akan membina anak-anaknya sepanjang waktu dan tidak terikat dengan kurikulum atau jadual waktu tertentu yang memperuntukkan waktu tertentu sahaja. Kesedaran ini mendorongnya untuk mengendalikan setiap ucapan dan perbuatannya terutama di hadapan anak-anak kerana setiap pola langkah ibu adalah bahan pembinaan secara langsung mahupun tidak langsung terhadap anak-anaknya.
 
Muslimah sebagai isteri dalam rumah tangga ideologis pula selalu menenteramkan suami dalam ketaatannya kepada Allah. Tidak  dapat dinafikan bahawa suasana rumah berpengaruh terhadap suami dalam menjalankan setiap kewajipannya. Pada saat suami menjalankan amal dakwah misalnya, ia tidak akan berjalan lancar ketika si isteri membebaninya dengan  permasalahan di rumah seperti perabot pecah lantaran kenakalan anak-anak yang melepaskan kemarahannya dengan membaling barang atau duit simpanan habis sebelum waktunya tanpa dijelaskan untuk apa dibelanjakan lantaran sikap si isteri yang boros.
 
Pernikahan: Permulaan Kehidupan Persahabatan
 
Satu-satunya cara memulakan pembentukan rumah tangga ideologis yang didasarkan kepada syariat Islam adalah dengan pernikahan, yang   didahulukan dengan khitbah (meminang). Anjuran untuk bernikah adalah sebahagian daripada peraturan Islam untuk pemenuhan naluri seks/melestarikan keturunan. Penciptaan naluri ini adalah bertujuan untuk melestarikan generasi manusia sesuai dengan izin Penciptanya. Sering kali naluri ini dilampiaskan dengan cara yang salah, khususnya oleh  muda-mudi pada era sistem kapitalis saat ini seperti dengan ber`coupling’ yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Tidak dapat dinafikanbahawa aktiviti coupling yang paling minimum sahaja sudah pasti mengundang murka Allah kerana jelas melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT berhubung interaksi antara  lelaki dan perempuan. Apalagi dengan pergaulan bebas dewasa ini dan berleluasanya propaganda seks bebas, menunjukkan seakan-akan coupling menjadi perkara biasa.  Walhal Allah telah melarang untuk mendekati zina yang termasuk apa sahaja perbuatan yang boleh menjurus ke arah itu.
 
Islam telah mengatur perbuatan manusia dengan sumber-sumber yang pasti iaitu al-Quran, hadis, ijma’ sahabat dan qiyas. Pernikahan merupakan sebahagian dari amal manusia, yang mana tatacaranya  telah pun tersedia dalam Islam sejak dulu lagi. Bermula dari proses awalnya dengan khitbah sehingga ke akad nikah, hubungan suami-isteri, penjagaan anak-anak dan segala kehidupan berumah tangga yang  lainnya, semuanya telah diterangkan oleh Islam dengan terperinci.
 
Anjuran bernikah tercantum dalam al-Quran dan juga hadis.  Antaranya adalah dalam firman Allah SWT: “Nikahilah oleh kalian wanita-wanita yang kalian senangi dua, tiga atau empat[TMQ an-Nisa’(4):3]. Adapun hadis yang menganjurkan untuk bernikah yang diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa   Rasulullah bersabda: “Wahai para pemuda, siapa sahaja di antara kalian yang telah mampu memikul beban, hendaklah ia segera bernikah,  kerana hal itu dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Sebaliknya siapa sahaja yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa kerana hal itu dapat menjadi perisai baginya”.
 
Dalam kehidupan Islam, pernikahan merupakan sebahagian daripada ibadah, bukan pemuasan seksual  semata-mata. Ini bermakna,   pembentukan rumah tangga ideologis akan diawali dengan niat yang tulus ikhlas semenjak memilih pasangan sehinggalah menginjak kepada proses pernikahan, iaitu niat untuk menyempurnakan ketaatan kepada Allah SWT. Pemeliharaan niat sangat penting agar rumah tangga ideologis tidak tersasar daripada tujuan yang dikehendaki iaitu untuk meraih reda dan syurga Allah. Acap kali hala tuju rumah tangga tersasar daripada tujuan ini. Maka, tidak hairanlah kesinambungan perjuangan suami isteri untuk menyumbang dalam memperjuangkan ideologi Islam yang sepatutnya meningkat dengan adanya persahabatan dalam rumah tangga, menjadi semakin menurun bahkan menghilang.
 
Dalam perjalanan melayari bahtera rumah tangga, kedua-duanya mesti saling bermuhasabah sekiranya    terjadi pengabaian kewajipan atau ketidaksempurnaan dalam perjuangan di jalan Allah. Persahabatan suami isteri dalam rumah tangga ideologis melahirkan kesinambungan dalam perjuangan mengembang ideologi Islam. Itulah bukti kasih sayang pasangan ideologis iaitu kasih sayang sejati berdasarkan Islam. Masing-masing tidak akan membiarkan pasangannya tersentuh api neraka walau sehelai hujung  rambut sekalipun.
 
Khatimah
 
Pemilihan pasangan yang tepat  sebelum bernikah akan memudahkan penyesuaian dan pengaturan hala tuju rumah tangga sesuai dengan tuntutan Islam. Islam mengingatkan umatnya bahawasanya setiap perjuangan menuntut pengorbanan. Jika suami atau isteri mempunyai kesedaran ini, hal ini pasti akan memudahkan pasangannya dalam menyempurnakan kewajipan.
 
Tuntutan pengorbanan yang dimaksudkan adalah berupa harta, tenaga, buah fikiran bahkan jiwa/nyawa sekalipun. Inilah kelaziman perjuangan di manapun atau pada bila-bila masa sekalipun. Oleh kerana itu untuk mewujudkan rumah tangga ideologis bukanlah mustahil. Apa yang penting, mesti ada keinginan untuk meningkatkan potensi diri, menggunakan kelebihan masing-masing dan menghilangkan segala halangan demi kesempurnaan perjuangan mengembang ideologi Islam yang telah diwajibkan oleh Allah SWT.
 
Wallahua’lam.