Fikratul Ummah – November 2009

 

 


Dari Lidah Pengarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Ketika ini, walaupun ancaman gelombang kedua pandemik Influenza A H1N1 telah bermula, ia tidak sedikitpun merencatkan impian bakal-bakal jemaah haji menyempurnakan rukun Islam ke lima. Ruhiyah tinggi menjadi pencetus semangat menggelora untuk menyahut seruan dari Rabbnya. Pastinya antara anugerah Allah Subhanahu wa Taala ialah ketenangan jiwa untuk hamba-hambanya yang dapat menunaikan sesuatu ibadah. “Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang membenci engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat perkara yang diingininya).” [TMQ al-Kauthar: 1-3]. Malangnya, virus hedonisme menyebabkan korban yang amat sinonim dengan kedatangan 10 Zulhijjah ini seringkali hanyut dalam gelombang ibadah bermusim dan bersifat individualistik. Korban difahami sebatas pengorbanan untuk meraih lebih banyak kesenangan duniawi. Kekejaman sistem Sekular-Kapitalis yang mana sebahagian Muslimah menjadi mangsa yang sebenarnya perlukan pengorbanan kaum Muslimah untuk menyelesaikannya melalui aktiviti dakwah jarang dititik-beratkan dan sering dianggap remeh.

Fikratul Ummah kali ini mengemukakan dua artikel dan bahagian kedua dan akhir artikel terjemahan bertajuk Adakah Islam Menindas Wanita. Dua artikel dengan tajuk ‘Wanita, Berkorbanlah Sebelum Kamu Dikorbankan‘ dan ‘Iktibar Zulhijjah Buatmu Muslimahdiharapkan akan dapat memberi kesedaran  bahawa peristiwa korban memberi teladan kepada kita bahawasanya untuk meraih kemuliaan pastilah dilalui dengan pengorbanan. Berjuang untuk mencapai kemuliaan mesti ditempuh dengan pengorbanan.
Wallahu ‘alam bisshawab.



Wanita, berkorbanlah sebelum kamu menjadi korban!


“Berkorban apa saja, harta atau pun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia.” Malangnya pengorbanan yang dinyatakan dalam lagu malar segar dendangan Seniman Agung P. Ramlee sebatas pengorbanan demi cinta. Akhbar Utusan Malaysia pada 12hb November 2009 melaporkan bahawa “Lima tahun selepas kematian Norzi Ayu Md. Noor, bekas penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Irawadi Mohamad hari ini dihukum gantung sampai mati kerana membunuh teman wanitanya itu dengan sebilah pisau”.  Demi cinta yang mungkin tak kesampaian, nyawa menjadi taruhan. Ibarat pantun pusaka: tanam pinang rapat-rapat, biar senang puyuh berlari. Ku pujuk-pujuk tak dapat, ku tusuk-tusuk sampai mati.

Demi cinta, seorang ibu tergamak membiarkan anak kecilnya yang berusia 3 tahun menjadi mangsa dera, rogol dan liwat oleh  teman lelakinya, warga Sudan sehingga mati malah tergamak berbohong kononnya semuanya angkara pembantu rumahnya semata-mata mahu melindungi teman lelakinya. [Harian Metro, 21 Oktober 2009].

Ada wanita yang sanggup menggadai maruah, menjadi GRO dan pelacur semata-mata untuk mencari kemewahan dengan jalan mudah. Menggunakan modus operandi yang baru iaitu  sebagai ’call girl’ yang boleh dilanggan dengan hanya membuat panggilan telefon pada bila-bila masa sahaja. [Harian Metro, 27 September 2009].

Tiada yang lebih menyayat hati dari seorang ibu yang terpaksa mengorbankan anaknya dengan menekup mulut bayinya yang berusia 10 bulan dengan bantal kecil sehingga mati gara-gara sudah tidak tahan mendengar tangisan bayinya yang dahagakan susu kerana tidak mampu membeli susu akibat dihimpit kemiskinan. [Harian Metro, 28 Oktober 2009]

Kisah-kisah yang dipaparkan di adalah seribu rencah kehidupan yang mana wanita menjadi korban.

Secara umumnya,  sebahagian anggota masyarakat terutamanya dari kalangan wanita sendiri merasa sedih dan sayu dengan ‘pengorbanan’ yang dilakukan oleh wanita hingga mereka sendiri menjadi mangsa korban.

Penganut fahaman Sekular-Kapitalis yang mana darinya terbit idea kebebasan dan konsep matlamat menghalalkan cara yang dipelopori oleh Niccoló Machiavelli (1469-1527) merasakan bahawa antara jalan keluar dari kemelut yang melanda wanita adalah dengan perjuangan kesetaraan gender yang mana duduknya wanita di dalam barisan kepimpinan negara seperti menjadi ahli parlimen dan menteri diharapkan akan dapat membantu mencari sinar di penghujung terowong melalui penggubalan undang-undang yang cenderung kepada feminisme. Hakikatnya, setelah lebih 50 tahun negara ‘mengecapi’ kemerdekaan, jenayah melibatkan wanita tidak pernah surut.

Disisi lain, golongan yang cenderung kepada penyelesaian Islamik memiliki perspektif berbeza. Pengorbanan wanita untuk bebas dari menjadi korban bermula seawal usia gadis sunti apabila telah kelihatan secara fizikal ciri-ciri kewanitaannya yang semakin terserlah. Dari saat itu, gadis Muslimah mestilah rela berkorban untuk menutup auratnya, membungkus seluruh tubuh kecuali muka dan telapak tangannya demi menyelamatkan dirinya dari pandangan mata liar yang tertuju padanya. Tidak sekadar menutup aurat, seorang gadis juga mesti mampu menjaga pergaulan dalam kehidupan sehariannya. Seorang gadis pasti dipandang serong jika berpeleseran di waktu malam, bergurau berlebihan di tempat umum dan berdandan hingga mencuri pandangan sang jejaka.

Setelah melalui fasa kematangan, seorang wanita bersedia untuk melakukan banyak lagi pengorbanan iaitu fasa berumahtangga. Demi memastikan kelancaran tanggungjawab asas suami selaku ketua rumahtangga patut mencari nafkah untuk seisi keluarga dan menyumbang bakti kepada masyarakat, wanita perlu berkorban untuk memastikan tiada hambatan atas tugas-tugas ini tadi. Dalam era globalisasi dan mordenisasi, wanita juga diminta berkorban dengan menahan dirinya dari tergiur dengan pelbagai peranan yang disodorkan kepadanya dengan mengatasnamakan emansipasi dan persamaan hak.

Walaubagaimanapun, penyelesaian yang dipaparkan di atas lebih bersifat penyelesaian individu, bukan penyelesaian holistik untuk meraih matlamat tertinggi seorang Muslim iaitu meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Taala. Penyelesaian di atas juga hanya akan membawa seorang wanita Muslimah memahami dan melaksanakan sebahagian hukum syarak dalam kapasiti sebagai individu, bukan dalam kapasiti sebagai Muslimah yang turut berperanan dalam masyarakat dan berkorban demi agama demi memastikan seluruh perintahNya terlaksana secara keseluruhan. Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu [TMQ Al-Baqarah (2) :208].

Apakah Pengorbanan Hakiki buat Wanita?

Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna [TMQ Az-Zumar (39):9]

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya [TMQ Al-Baqarah (2):269].

Ayat Quran di atas menjelaskan tentang peri pentingnya ilmu dalam kehidupan manusia.  Dengan ilmu manusia dipandu untuk mencari penyelesaian tuntas atas permasalahan yang menimpanya, tak terkecuali kaum wanita.

Pada hari ini, insiden korban yang melibatkan wanita sebagaimana paparan media amat menyebakkan dada. Wanita sedih melihat kaum sejenisnya menjadi mangsa keadaan. Wanita tahu bahawa antara punca sebahagian mereka menjadi korban adalah disebabkan kejahilan dan jauhnya hidup mangsa-mangsa ini dari hukum syarak selain dari faktor tidak adanya pemerintah untuk melaksanakan sistem perundangan yang menjaga kemaslahatan mereka.

Walaubagaimanapun, sebahagian wanita Muslimah masih tidak mengetahui bahawa jalan keluar dari suatu permasalahan hanya dapat diraih dengan memiliki ilmu agama yang mana kaum wanita perlu berkorban untuk mendapatkannya. Akan tetapi sebahagian kaum wanita, disebabkan jangkitan virus penyakit wahan, lebih sanggup berkorban untuk meraih ilmu demi sekelumit ganjaran dunia yang terlalu jauh dari nikmat syurga Allah di akhirat.

Sebahagian wanita yang telah dijangkiti virus individualisme juga merasakan bahawa mereka hanya perlu menumpukan kepada ibadah khusus dan sebahagian hukum hakam yan melibatkan diri individu seperti makan-minum dan tatacara berpakaian menurut syarak, bertanggungjawab untuk memastikan keluarga selamat dan anak-anak mendapat didikan sempurna, menyebabkan tumpuan hanya untuk menjaga diri dan keluarga. Mereka tidak menyedari bahawa mendidik dan mendakwahkan masyarakat itu juga adalah satu tuntutan yang dibebankan di atas batu jemala setiap kaum Muslimin lelaki dan wanita sebagaimana firman Allah: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. [TMQ Ali Imran (3):110].

Wanita-wanita ini mahu menjadi sebahagian dari khayru ummah (umat terbaik) sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Ali Imran ayat 110. Akan tetapi mereka tidak memahami bahawa jalan yang mesti ditempuh adalah dengan melibatkan diri dalam aktiviti dakwah, mengajak manusia kembali kepada kehidupan Islam (istinafil hayatil islam) yang mana untuk melaksanakannya perlukan pengorbanan masa, tenaga, harta, keselesaan dsb pastinya ia akan menjadi bukti wanita itu telah sanggup melakukan tijarah (perniagaan) yang paling utama. Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?[iaitu] kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya [TMQ as-Saff (61):10-11].

Hakikatnya, perintah Allah dalam firman Nya “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” [TMQ At-Tahrim (66):6] sepatutnya menyedarkan wanita bahawa jalan untuk menjauhkan diri dan keluarga dari azab yang pedih dan api neraka hanya dapat diraih melalui pengorbanan demi untuk agama yang mulia ini lebih dari sekadar melaksanakan ibadah ritual semata-mata.

Satu perkara penting yang mesti juga difahami oleh wanita adalah penyelesaian atau jalan keluar untuk kes-kes jenayah melibatkan wanita tidak akan selesai hanya dengan individu-individu dan anggota masyarakat menumpukan kepada aktiviti dan dakwah ritual semata. Keujudan pemerintah yang melaksanakan seluruh hukum syarak lebih dari sekadar hukuman hudud, takzir dan qisas akan dapat memberikan kesejahtaraan kepada seluruh umat manusia, sama ada lelaki atau wanita.,

Akan tetapi jalan untuk menegakkan semula sistem pemerintahan Islam yang melaksanakan Islam Kaffah ini tadi tidak akan dapat diraih tanpa penyertaan dan pengorbanan dari wanita sebagaimana yang pernah ditunjukkan kepada kita dalam sirah. Ibu Nabi Musa alaihissalam berkorban melepaskan anakanda tercinta dengan mengapungkannya di sungai demi menyelamatkan nyawa baginda dari Fir’aun. Begitu juga dengan kisah Asiah yang berkorban dan terpaksa bersabar hidup dengan suaminya, Fir’aun yang angkuh dan zalim. Air mata kita juga luluh mengenangkan hebatnya Khansa radiallahu anha yang meniupkan semangat juang kepada keempat-empat anaknya untuk berjihad hingga kesemuanya gugur syahid.

Khatimah
Tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Tidak mungkin terlaksana suatu kewajipan atau kehidupan sejahtera yang jauh dari gangguan dan ancaman apabila kaum wanita yang menjadi anggota masyarakat bersikap individualistik dan hanya menumpukan kepada urusan peribadi, rumah tangga dan kerjaya semata-mata hanya menadah tangan memohon kesejahteraan. Ibarat kata pepatah lama. Yang bulat tidak akan datang menggolek. Yang pipih tidak akan datang melayang. Kejayaan dan kesejahteraan hanya akan menjelma apabila kaum wanita sanggup bersusah payah mengetahui tanggungjawab dan peranannya sebagai individu dan anggota masyarakat, serta kesediaannya untuk berkorban. Pengorbanan ini juga bermakna wanita mesti bersedia melakukan perkara yang tidak mereka sukai kerana ia jauh dari rutin harian dalam rumah tangga dan kerjaya. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi [pula] kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. [TMQ Al-Baqarah (2): 216].

Wallahu ‘alam bisshawab.



Iktibar Dzulhijjah buatmu Muslimah

Pengenalan – Bercermin pada Haji Wida’
Secara umumnya, umat Islam sering membaca mengenai kisah Haji Wida’. Hari yang bersejarah ini berlaku pada Hari Tarwiyah, iaitu pada tahun ke 10H. Ketika itu Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam pergi ke Mina dan melaksanakan solat zohor, asar, maghrib, isya’ dan subuh di sana. Setelah menanti beberapa saat hingga matahari terbit, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam melanjutkan perjalanan hingga tiba di Arafah. Khemah–khemah waktu itu telah didirikan di sana. Baginda pun masuk khemah yang telah disiapkan.

Setelah matahari tergelincir, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam meminta agar al-Qashwa’, unta tunggangannya, didatangkan kepadanya.  Baginda kemudian menungganginya hingga tiba di tengah Padang Arafah.  Baginda berdiri di hadapan mereka seraya me¬nyampaikan khutbah haji terakhir yang lebih dikenal dengan sebutan Haji Wida.’ Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam antara lain bertutur:

Wahai manusia…

Sesungguhnya darah dan harta kalian terpelihara/haram atas diri kalian hingga kalian menjumpai Tuhan kalian, sebagaimana haramnya hari ini dan bulan ini. Sesungguhnya kalian pasti akan menjumpai Tuhan kalian dan kalian akan ditanya tentang amal-amal kalian…

Sesungguhnya riba Jahiliyyah dihapuskan seluruhnya. Kalian hanya menerima pokok harta kalian; kalian tidak menzalimi dan tidak dizalimi…

Semua persoalan yang terjadi pada zaman Jahiliyyah yang selama ini masih di bawah telapak kakiku, mulai hari ini dihapuskan…

Sesungguhnya aku telah meninggalkan di tengah-tengah kalian sesuatu yang menjadikan kalian tidak akan sesat selamanya jika kalian berpegang teguh dengannya, yaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya…

Wahai manusia…

Sesungguhnya Tuhan kalian itu satu. Sesungguhnya kalian berasal dari satu bapa. Kalian semua dari Adam dan Adam dari tanah. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kalian di sisi Tuhan adalah yang paling bertakwa…[HR al-Bukhari dari ‘Abdullah bin ‘Umar dan sebuah kisah yang dituturkan oleh Ibnu Hisyam dalam As-Sîrah an-Nabawiyyah].

Dari khutbah Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam di atas, ada beberapa pelajaran penting bagi umat Islam: Pertama, umat Islam adalah umat yang mulia, yang tegak dan terikat oleh iman. Inilah ikatan ideologi yang paling kukuh dan menjadikan umat Islam istimewa dan berbeza dengan umat lain. Yang membezakan umat Islam dengan umat lainnya adalah ketaqwaan mereka sebagai pembuktian atas keimanan mereka kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

Kedua: umat ini sejak awal berdirinya di bawah kepemimpinan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam  telah membuang sistem yang melahirkan derita dalam kehidupan ekonomi mereka: sistem riba! Sistem ekonomi riba ini penuh dengan kezaliman dan manipulasi. Kerana itu, Islam telah menguburkan sistem ekonomi riba ini sejak awal berdirinya masyarakat Islam di Madinah.

Ketiga:
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam dengan jelas menggambarkan telah tumbangnya sistem Jahiliyyah yang rendah dan sangat tidak berharga dengan bahasa majaz (perkara yang ada di bawah telapak kaki).  Ini adalah gambaran tentang tegaknya kepemimpinan Islam atas semua yang berbau Jahiliyyah. Pemimpinnya adalah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Sistem dan hukum-hukum yang tegak di dalam masyarakatnya adalah sistem dan hukum Islam.

Keempat:
Istiqamah dalam memegang teguh Kitabullah dan Sunnah Rasulullah adalah pangkal keselamatan dunia dan akhirat.

“Turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Maka jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, lalu barangsiapa yang mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, Maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Thaha (20): 123-124]

Iktibar Pengorbanan
Dalam bulan Dzulhijjah, Baitullah, yang terletak di Tanah Haram, Makkatul Mukarramah dipenuhi oleh tetamu Allah yang sedang melangsungkan ibadah haji. Dari seluruh penjuru dunia kaum Muslim berbondong-bondong datang ke Tanah Suci dengan pelbagai latar belakang; suku, bangsa dan bahasa. Namun, perbezaan itu mereka tanggalkan semuanya. Yang ada adalah kesamaan iman dan Islam yang mengikat mereka untuk berkumpul di satu tempat bersama-sama, demi mengerjakan semua perintah Allah Subhanahu wa Taala dengan penuh ketundukan dan ketulusan.

Pengorbanan waktu, tenaga, harta dan fikiran mereka persembahkan hanya kepada Allah Subhanahu wa Taala. Mereka sentiasa berharap, perniagaan mereka dengan Rabbul ‘Izzati diterima dan dibeli dengan redha dan syurga-Nya.

Sejenak kita hayati bersama-sama, samada ibadah haji hari ini sama keadaannya dengan ibadah pada masa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam? Apakah umat Islam sekarang, khususnya muslimah, boleh memahami makna sebenar rukun Islam kelima ini? Adakah ia tercermin dari pengorbanan untuk kemuliaan agamanya?

Salah satu syiar Islam yang agung ialah peristiwa pengorbanan Hajar isteri kedua kepada Nabi Ibrahim ’Alaihi as-Salam. Siti Hajar telah ditinggalkan bersama bayinya, Nabi Ismail ‘Alaihi as-Salam oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihi as-Salam di tanah Mekah yang kering dan tandus. Beliau tetap sabar dan tabah, berlari-lari dari Bukit Safa ke Bukit Marwa mencari air apabila si kecil menangis hinggalah terbit air dari celah-celah jari kaki Nabi Ismail yang kini dikenali sebagai perigi Zamzam. Teladan yang amat penting yang dapat kita hayati dalam kehidupan kita sekarang adalah ketaatan beliau kepada perintah Allah. Beliau akur dengan permintaan suami apabila diberitahu bahawa apa yang dilakukan itu adalah perintah dari Allah Subhanahu wa ta’ala. Inilah bukti cinta seorang wanita yang berlandaskan keimanan dan ketaatan kepada Allah.

Sebagai contoh, pernahkah anda meneladani pengorbanan semulia pengorbanan Al-Khansa? Al-Khansa adalah seorang ibu yang terkenal dengan sifatnya yang mampu memberikan dorongan yang kuat kepada puteranya untuk berjihad. Al Khansa memiliki iman, kesabaran dan ketaqwaan yang mantap. Dia selalu ikut serta dalam setiap perjuangan demi tegaknya Islam. Pada tahun 14H, saat terjadi perang Qodisyiah dia datang bersama keempat-empat anaknya untuk ikut bergabung bersama kaum Muslimin lainnya.

Beliau seorang ibu yang sabar dan tabah menerima berita bahawa semua anaknya telah syahid satu demi satu dalam satu peristiwa, iaitu di peperangan Qodisyiah. Beliau merupakan contoh wanita yang mempunyai kebesaran jiwa melebihi wanita-wanita lain. Keberanian putera-puteranya, keluhuran akhlak mereka, kefasihan lidah dan keahlian mereka dalam bersyair menjadikan Al Khansa tersohor sebagai wanita yang berjaya sebagai ibu dan layak menjadi teladan.

Bagaimana Umat Islam Hari Ini?
Dalam media massa bernuansa Islam kerap disentuh mengenai umat Islam secara umum tetapi cukup jarang mengkhabarkan kisah-kisah terbilang dan pengorbanan Muslimah sedangkan sejumlah mereka seperti Dr Marwah As-Syarbini, 32, warga Mesir yang sudah lama menetap di Jerman sanggup mati mempertahankan maruahnya sebagai seorang Muslimah dengan menutup aurat sepenuhnya. Kisah Marwah tidak diangkat sewajarnya oleh media massa, hatta di negara kita. [http://www.islamonline.com]

Marwah adalah contoh Muslimah Barat yang sanggup mengorbankan diri, menghadapi tribulasi dalam menegakkan perintah Allah Subhanahu Wa Taala dalam dirinya. Mereka mengetepikan kepentingan diri, tidak tunduk kepada tekanan hatta daripada pemerintah bagi menegakkan hukum-hakam Allah Subhanahu Wa Taala.

Bagaimana pula golongan wanita melihat pengorbanan yang dilakukan oleh Hajar? Mungkin sahaja ramai yang bertanya kepada diri sendiri: apa yang akan dilakukan sekiranya ditinggalkan sendirian oleh suami bersama anak yang masih memerlukan belaian dan kasih sayang seorang ayah? Di padang pasir yang kering kontang, tiada berpenghuni baik haiwan mahupun tumbuhan, relakah kita ditinggalkan tanpa sebarang jaminan saraan?

Mungkin ramai yang akan menyatakan kesanggupan bergantung kepada kemampuan diri seseorang wanita itu. Justeru ramai yang menganggap bahawa masing-masing telah melakukan pengorbanan mengikut kemampuan diri mereka. Ada yang berpendapat pengorbanan wanita yang paling tinggi ialah mendidik anak-anak, menjaga rumah tangga, melayan suami dengan baik dan seumpamanya. Persoalannya apakah itu sudah memadai? Adakah wanita hanya dituntut untuk mendidik anak dan menjaga rumah tangga sebagai jalan melayakkannya menjadi penghuni Syurga Allah?

Realiti yang dihadapkan kepada kita sekarang tidak mencerminkan hal yang serupa. Wanita lebih mudah untuk mengorbankan segala apa yang ada pada dirinya demi cinta kepada manusia yang tidak dilandasi dengan ketaqwaan kepada Allah. Ini dapat kita lihat daripada laporan akhbar Harian Metro pada 17hb Februari 2009 apabila seorang wanita sanggup minum cecair pencuci lantai akibat tertekan dengan khabar angin bahawa kononnya suami akan berkahwin lagi. Sungguh malang bagi dia apabila cintanya pada suami itu membawanya kepada kematian. Inilah contoh yang menunjukkan cinta kepada manusia akan membawa kepada kebinasaan jika tidak berlandaskan ketaqwaan kepada Allah. Padahal Allah telah mengingatkan kita dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal).
[TMQ Al-Baqarah (2): 165]

Dari sudut lain pula, wanita lebih mengutamakan tawaran duniawi berbanding ganjaran-ganjaran yang telah Allah janjikan untuk kita nikmati di alam akhirat yang kekal abadi nanti. Apabila kita membaca Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 Julai 2009, kita akan didedahkan dengan kisah mengenai usaha seorang perenang muda negara, Zahra Masoumah Abdul Halim, menyeberangi Selat Inggeris sejauh 34 kilometer (km). Walaubagaimanapun usaha beliau gagal ekoran arus deras di perairan tersebut. Cabaran berenang dari Dover, England ke Calais, Perancis terpaksa dihentikan disebabkan oleh pertembungan arus yang merubah laluan renangnya.

Pelajar wanita sebuah universiti awam ini bersungguh-sungguh mahu menyeberangi Selat Inggeris demi mengejar status ‘wanita Islam pertama menyeberangi Selat Inggeris’. Apakah berenang menyeberangi Selat Inggeris ini lebih penting dari segala-galanya? Apakah kesan dari kejayaannya mengulangi sejarah kejayaan Datuk Abdul Malik Maidin pada tahun 2003 kepada kemaslahatan umat Islam terutamanya Muslimah?

Mungkin saja penangan virus H1N1 membuatkan masyarakat seperti lupa tentang satu lagi virus yang memberi kesan yang lebih buruk kepada mereka, bukan setakat di dunia malah di akhirat nanti. Itulah penyakit wahn. Masyarakat tidak takut dijangkiti virus wahn menyebabkan mereka lebih suka mengejar glamour dan kemasyhuran seolah-olah gejala sosial yang berleluasa ketika ini tidak ada kena mengena dengan mereka. Orang seperti ini akan merasakan bahawa pengorbanan mereka mempertaruhkan nyawa untuk mendapat gelaran wanita Islam mencatat sesuatu rekod seperti memberi kebanggaan kepada Islam. Tetapi pernahkah kita terfikir, adakah apa yang golongan seperti ini lakukan sebagai sesuatu yang dipertanggungjawabkan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada mereka?  Padahal apa yang telah diperintahkan dan dilarang oleh Pencipta kita dan penghulu kita sudah terang dijelaskan dalam Kitabullah dan Sunnah Rasulullah.

Dari Tsauban dia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah bersabda: “Akan terjadi masa dimana umat-umat diluar Islam berkumpul disamping kalian wahai umat islam. Sebagaimana berkumpulnya orang-orang yang menyantap hidangan. Lalu seorang Sahabat bertanya: ‘Apakah kami pada saat itu sedikit wahai Rasulullah? “Beliau menjawab: “Tidak. Bahkan ketika itu jumlah kalian banyak. Akan tetapi kalian ketika itu bagaikan buih dilautan. Ketika itu Allah hilangkan dari musuh-musuh kalian rasa kegerunan terhadap kalian dan kalian tertimpa penyakit wahn. Sahabat tadi bertanya lagi: ‘wahai Rasulullah apa yang baginda maksud dengan wahn itu? Rasulullah menjawab: “cinta dunia dan takut mati. [HR Abu Dawud. Shohih lighairihi].

“Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, Maka Sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya). Dan Adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, Maka Sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya”[TMQ  an-Naazi’at (79) : 37-41]

“Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” [TMQ Ali-Imran (3) : 85]

“Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan Sesungguhnya akhirat Itulah negeri yang kekal.
“[TMQ Al-Mukmin (40) : 39]

Cerita pengorbanan muslimah moden tidak berakhir di sini. Konsep pengorbanan demi menegakkan hukum-hukum Islam telah disalah-ertikan oleh sesetengah pihak yang mengaku mereka ini berjuang atas nama Islam. Di Malaysia, kita melihat kemunculan Sisters in Islam (SIS) yang tanpa segan silu mendabik dada mengaku kononnya sebagai pejuang utama wanita. Mereka ini adalah pihak yang menerima matlamat perjuangan golongan feminisme.  Mereka telah berjaya menyebarkan idea feminisme di kalangan umat Islam yang didorong oleh banyaknya permasalahan yang dihadapi oleh kaum wanita, daripada masalah kemiskinan, kekerasan hinggalah kepada masalah ketidakadilan atau diskriminasi.

Kaum feminme ini berusaha mengubah struktur pembahagian tugas kehidupan menjadikan kebebasan menentukan tugas antara lelaki dan wanita. Gerak kerja ini membawa konotasi seolah-olah mereka ingin menjadikan kaum wanita seperti lelaki sepenuhnya dalam segenap bidang.

Memang benar seperti yang tercatat dalam sejarah, sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab memperlakukan wanita sebagai manusia yang rendah nilainya.  Kaum wanita ketika itu dianggap sebagai harta benda yang boleh diwarisi.  Bayi perempuan dianggap sebagai meng’aibkan sehinggakan orang-orang Arab Jahilliyyah menguburkan hidup-hidup bayi perempuan yang baru lahir.

Namun Rasullullah Sallallahu alaihi wa Sallam datang membawa risalah Islam yang di wahyukan oleh Allah Subhanahu wa Taala, untuk melenyapkan semua bentuk kezaliman tersebut dan mengembalikan hak-hak kaum wanita. Tindakan yang memeras dan mengabaikan hak-hak wanita semuanya dihapuskan sebagaimana dijelaskan dalam banyak firman Allah Subhanahu wa Taala. Antaranya firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka Kerana hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang Telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) Kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” [TMQ An Nisa’ (4):19]

Namun, indahnya dan lengkapnya sistem ajaran Islam seperti dipandang sebelah mata oleh golongan feminisme ini apabila mereka membuat kenyataan bahawa hukum itu dan ini mendiskriminasi wanita manakala hukum lain melupakan hak-hak wanita. Pandangan akibat sistem demokrasi inilah yang telah mengaburkan mata wanita-wanita ini daripada memerhatikan makna perjuangan menegakkan Islam yang sebenar. Mereka tanpa sedar telah mengorbankan kemuliaan Islam itu sendiri, bukannya berkorban apa yang telah Allah kurniakan kepada mereka untuk jalan Deen Allah ini.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” [TMQ At-Taubah (9):111]

Kesan Sekularisme ke atas umat khususnya wanita
Umat pada hari ini tenggelam dalam kubangan sekularisme di negeri masing-masing.  Negara yang dihadiahkan ke’merdekaan’nya oleh para penjajah atas tiket nasionalis. Mereka sentiasa memisahkan urusan ibadah ritual dengan aspek kehidupan lainnya. Mereka menganggap seolah-olah kewajipan untuk tunduk dan patuh pada perintah Rabbul ‘Izzati hanya dalam rangka ibadah ritual seperti solat, haji, korban dan semisalnya. Sebaliknya, di luar itu, seperti kewajiban mereka untuk berada dalam satu kepemimpinan Islam (Khilafah) dan kewajipan mereka untuk membuang sikap ‘ashabiyah yang sempit, seolah-olah tidak pernah diwajibkan oleh Allah dan tidak pernah tertuang dalam lembaran wahyu (al-Quran dan as-Sunnah).

Jadi, adakah kita benar-benar meletakkan ketaatan kepada Allah melebihi segala-galanya? Adakah benar kita telah menjadi seorang yang mempraktikkan ikrar setia harian kita نَّ صَلَاتِيإِ وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ dan ia benar-benar terlaksana? Sesungguhnya Allah telah menegaskan kepada kita bahawa:

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.”
[TMQ Al-Ahzab (33):36]

Khatimah
Inilah intisari ibadah haji dan ibadah korban pada bulan Dzulhijjah ini. Kita diajarkan nilai ketundukan dan kepatuhan menyeluruh sebagai tanda wujud keimanan dan kecintaan kita kepada Allah Subhanahu wa Taala Kita pun diajarkan untuk mengorbankan segala yang ada pada diri kita, yang sesungguhnya bukan milik kita, tetapi milik Dzat Yang Maha Memiliki. Tentu apa yang kita korbankan layak mendapatkan balasan dari Allah Subhanahu Wa Taala:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin jiwa dan harta mereka dengan syurga untuk mereka
[TMQ at-Taubah [9]: 111]

Wahai Muslimah…

Sesungguhnya umat ini akan hidup mulia dan meraih kemuliaan hanya dengan Islam. Menegakkan Islam dalam kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara adalah kewajiban hamba yang beriman. Ini suatu keniscayaan dan tentu memerlukan pengorbanan.

Allah sama sekali tidak akan memberikan kemenangan kepada umat Islam selagi mana umat ini tidak mahu tunduk dan patuh kepada Allah. Allah akan terus menjadikan umat ini hina di sisi musuh selagi mana mereka masih lagi redha untuk mengabdikan kehidupan mereka pada manusia dan sistem jahiliyyah moden rekaan tangan-tangan manusia yang dicipta tanpa mengambil peduli kehendak Allah Rabbul Alamin.

Firman Allah maksudnya:  “Dan kami turunkan Al-Quran agar kamu menerangkan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka, dan agar supaya mereka berfikir” [TMQ  An-Nahl (16) : 44].
Wallahu ’alam bishawab.


(BAHAGIAN 2)

Oleh: Lopa Hussain & Adnan Khan, Khilafah.com

…..sambungan dari bulan September
Wanita Barat diabad 21       

Pemikir-pemikir dan ahli – ahli falsafah yang mencipta konsep kesetaraan gender diantara lelaki dan wanita mempercayai bahawa wanita boleh dikeluarkan dari kesengsaraan yang telah berabad dialami mereka. Oleh yang demikian, beberapa soalan perlu ditanyakan:

    1)    Adakah wanita moden hari ini telah keluar dari kesengsaraan yang berabad menghantui mereka?
    2)    Adakah sejarah ketidak seimbangan gender telah diperbaiki?
    3)    Apakah wanita mempunyai peluang yang lebih baik dari segi politik, sosial dan ekonomi?

Kejayaan wanita hari ini telah diukur dari segi kejayaan kerjayanya, berdikari dari segi kewangan  dan maju atau setidak-tidaknya terjamin dari segi kebendaan. Personaliti seperti Michelle Obama, seorang yang dikatakan berjaya menguruskan kerjayanya dan pada masa yang sama menjadi ibu kepada dua orang anak dan isteri kepada seorang Presiden, sering disebut-sebut sebagai model contoh. Berserta ini ada satu pandangan bahawa kebergantungan kepada suami atau bapa akan menjadikan status seseorang wanita itu inferior dalam masyarakat. Terdapat satu sentimen bahawa jika seorang isteri atau ibu itu tidak mempunyai kerjaya sendiri, dia telah dikatakan gagal dalam kehidupan. Perkara ini tidak disuarakan secara terbuka tetapi ia terbukti apabila ramai wanita merasakannya apabila soalan ini ditanyakan kepada mereka (terutama dalam rancangan-rancangan ‘game- show’ ditelevisyen),”Apakah pekerjaan anda?” Perasaan tidak senang mereka ini tergambar dalam reaksi mereka apabila menjawab, “Saya hanya seorang ibu” atau “Saya hanya seorang suri rumahtangga”.    

Sejarah masalahnya adalah ketidaksetaraan yang dialami oleh wanita berkaitan dengan hubungan dengan lelaki, semenjak mereka berjuang untuk mendapat kesetaraan hak dengan lelaki dari segi kerjaya, pendapatan, peluang dan politik. Ini telah membawa perubahan sikap yang nyata terhadap peranan gender dalam masyarakat, dengan mempercayai bahawa wanita seharusnya mempunyai hak yang sama dengan suami dalam mencari nafkah untuk menanggung keluarga. Satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Cambridge dalam tahun 1996 mendapati pandangan terhadap tugas lelaki dalam mencari nafkah untuk menanggung keluarga dalam masyarakat telah jatuh dari 65% dalam tahun 1984 kepada 43% dalam tahun 1994. 45% dari ibu – ibu British adalah bekerja dan bergaji manakala di US, 78% dari wanita yang berada dalam tenaga kerja mempunyai anak – anak yang berusia diantara 6 ke 17 tahun.

Kerajaan-kerajaan Eropah turut mendorong pandangan kejayaan seperti yang disebutkan tadi. Mereka memuji wanita-wanita yang telah berjaya mencapai kejayaan dalam kerjaya mereka, malah turut juga memberi insentif kewangan bagi para ibu –ibu untuk memasuki pasaran kerja. Kerajaan Buruh di UK telah memperkenalkan “National Childcare Strategy” dalam tahun1998 bagi menyediakan ribuan tempat- asuhan kanak-kanak bagi ibu-ibu untuk meninggalkan anak-anak mereka ketika meneruskan kerjaya mereka. Mereka juga diberi faedah dari segi kewangan, contohnya seperti “Working Families Tax Credit” bagi memastikan penjagaan anak mampu dilaksanakan. Jill Kirby dari organisasi “Full – Time Mothers”  memberi komen, “Insentif kewangan disediakan untuk keluar bekerja tetapi tidak ada insentif kewangan untuk tinggal dirumah.”

Ini secara natural telah memupuk satu pandangan dalam masyarakat bahawa  salah satu objektif terpenting dalam kehidupan adalah mengejar kejayaan dalam kerjaya. Kepercayaan ini beranggapan bahawa kerjaya akan memberi wanita status dan kehormatan dalam masyarakat sehinggakan sanggup menangguh atau menggelak dari berkahwinan kerana ia dianggap sebagai satu penghalang kepada objektif kerjaya. Memiliki anak juga akan ditangguhkan atau barangkali juga memilih untuk tidak  memilikinya langsung. Kepercayaan ini juga beranggangapan bahawa menjadi seorang ibu akan menghalang peluang untuk mendapatkan kedudukan yang lebih tinggi atau cemerlang dalam kerjaya. Wanita-wanita yang tidak bekerja juga sentiasa merasa tekanan untuk berbuat sedemikian.

Wanita pada hari ini agak bernasib baik, bahkan dari segi pendapatan. Walaupun Undang –undang Kesetaraan Gaji (Equal Pay Legislation) telah berlaku selama tiga puluh tahun di negara-negara maju, wanita masih terus mendapat pendapatan yang lebih rendah berbanding lelaki dalam melakukan pekerjaan yang serupa. Ini bukanlah satu perkara yang menghairankan apabila wanita digalakkan untuk memasuki pasaran kerja kerana keperluan ekonomi apabila mereka telah diminta untuk menyumbang kepada sektor ekonomi ketika Perang Dunia Kedua:

“Satu faktor yang utama dalam emansipasi wanita adalah keperluan ekonomi… Pemodenan ekonomi telah membawa kepada keperluan tenaga kerja wanita yang ditambah pula dengan mobilisasi peperangan moden…Penglibatan wanita dalam bidang ekonomi dan perubahan sosial adalah hasil dari ini dan telah berterusan sepanjang tempoh peperangan dan juga selepas peperangan, dan malah telah membawa kepada beberapa perubahan perundangan yang lebih memihak kepada wanita. Ini telah mengakibatkan beberapa kesan dalam kehidupan sosial dan keluarga”.

Ini juga memperjelaskan mengapa selepas lebih dari seabad melaungkan kesetaraan gender dan hak-hak wanita, dalam abad ke 20, di UK hanya mempunyai 4% hakim wanita, 11% pengurus wanita, dan hanya 2% dari 100 orang direktor FTSE adalah dari golongan wanita. Wanita berkerjaya juga sentiasa merasa bersalah apabila masa yang dapat dihabiskan bersama anak-anak adalah terhad. Ini ditambah pula dengan keadaan dimana kehidupan seorang wanita sentiasa juga sebagai seorang isteri, ibu dan wanita berkerjaya.  Dalam kebanyakan keluarga, bahkan status seorang wanita yang berkerjaya, tidak juga dapat mengurangkan tugas-tugas rumahtangganya.

Joseph H. Pleck, seorang pakar sosiologi memberi komen bahawa:

“Para cendikiawan juga bersetuju bahawa, walaupun dalam kajian yang dibuat, ada statistik yang menunjukkan suami-suami yang mempunyai isteri-isteri yang berkerjaya membuat lebih kerja-kerja rumah, tetapi malangnya, penambahan ini adalah kecil disegi magnitud, malah isteri-isteri  yang berkerjaya ini terus melakukan kebanyakan tugas – tugas dirumah.”

Harinya dihabiskan dengan bergegas dari melakukan satu tanggungjwab ke satu tanggungjawab yang lain, membuat sarapan untuk keluarganya, menyediakan makan tengahari untuk suaminya, memandi, menyiap dan menghantar anak-anak kesekolah, bergegas ketempat kerja, seharian melakukan kerja-kerja rumah yang berat, bergegas mengambil anak-anak dari sekolah dan menghantar mereka kekelas-kelas tambahan, menyediakan makan malam, menyiapkan anak-anak untuk tidur dan rutin ini akan terus berulang. Biasanya dia akan merasakan bahawa dia tidak dapat melakukan tugas-tugasnya dengan baik kerana terlalu letih, stres dan sengsara. Lisa Belkin didalam sebuah buku yang bertajuk “Life’s Work: Confessions of an Unbalanced Mom”, menulis:

“Sepertinya tidak ada seorang dari kita pun yang dapat memberi 100% diri kita untuk pekerjaan kita dan 100% diri kita untuk keluarga kita, dan 100% diri kita untuk diri sendiri”.

Oleh itu, walaupun telah berabad berjuang dengan prejudis usang ini, wanita masih tidak mendapat pengiktirafan yang lebih baik. Malah, dalam sesetengah perkara adalah lebih buruk lagi.  Diabad ke 21 ini, wanita telah beralih dari hanya ‘other half’ lelaki kepada satu objek yang tidak lain hanya memenuhi keinginan lelaki. Walaupun wanita telah berhadapan dengan dilema ini semenjak mereka mula memasuki pasaran kerja, hari ini wanita berdepan dengan diskriminasi gender yang lebih teruk. Dalam banyak bidang, bukan hanya di Kota London, wanita kini diambil bekerja bukan kerana keupayaan dan keintelektualan mereka tetapi, kerana paras rupa mereka. Daya tarikan seksual mereka merupakan asas utama untuk mendapat sesuatu pekerjaan, samada untuk menarik klien dengan keseksualannya, atau untuk ‘fit into the team’.  Dalam satu artikel oleh BBC News Online (Laddism in the City, 10/4/2001) telah memperlihatkan kesengsaraan ramai wanita yang bekerja dibandar; dimana ramai diantara mereka yang berkata bahawa mereka “telah disentuh oleh rakan sekerja, kenalan atau pesaing…dan berfikir untuk melawan adalah buruk untuk perniagaan”.  Mesyuarat ‘team building’ dan ‘client facing’ biasanya dilakukan di kelab –kelab tarian bogel atau di bar-bar, seperti mana yang diungkapkan oleh seorang wanita, memilih untuk tidak menyertai bukanlah satu pilihan, “Anda harus menjadi sebahagian dari kumpulan… mereka melihatnya sebagai satu perkara serious yang melibatkan keuntungan (jika anda tidak menghadiri acara- acara tersebut)”. Ada satu perkara yang menarik yang diperkatakan oleh pengarang artikel BBC dimana seorang peniaga bon yang telah ditemuramah untuk artikel tersebut mencadangkan kepada beliau bahawa “satu layanan seksual adalah satu bayaran yang munasabah bagi mendapat pandangannya mengenai kejatuhan pasaran bon kerajaan UK dalam urusniaga tengahari.”

Oleh kerana itu, terdapat seperti ada kesalahan tentang hubungan diantara lelaki dan wanita. Wanita mungkin tidak lagi ditindas sepertimana yang mereka hadapi beberapa abad yang lampau, tetapi, penindasan masih tetap dialami mereka hari ini, yang berbeza hanyalah dari segi manifestasinya. Masalah sebenarnya terletak pada pernyataan bahawa lelaki atau wanita, tidak inferior dari satu dengan lain. Memperbetulkan sejarah prejudis ini sahaja bukanlah dasar untuk menerangkan tentang hubungan diantara manusia. Pernyataan yang menyatakan bahawa lelaki dan wanita adalah setara (i.e. wanita tidak inferior dari lelaki), jika konteks sejarahnya diambil kira, ia adalah satu perkara biasa. Walaupun begitu, ia tetap meninggalkan beberapa persoalan yang tidak terjawab. Ia tidak menerangkan  bagaimana lelaki dan wanita dapat bekerjasama untuk membentuk satu masyarakat yang berpadu.  Dalam konteks yang lebih luas, kesetaraan itu sendiri adalah terhad didalam menangani pertelingkahan dan mengatur hubungan natural yang wujud diantara manusia. Satu pernyataan yang biasa tentang kesetaraan sesama manusia tidak dapat memberi panduan keatas isu perbezaan dan fakta ini memerlukan  idea-idea dan prinsip-prinsip tambahan yang lebih terperinci huraiannya. Pada realitinya, laungan tentang kesetaraan hanya membuatkan manusia menjadikannya kayu pengukur untuk inspirasi memanggil dan melaungkan bahawa kesetaraan itu sendiri adalah satu penindasan.

Hubungan Lelaki dan Wanita

Kita dilahirkan dengan mempunyai keluarga dan saudara-mara dan secara  semulajadi kita mempunyai hubungan dengan mereka. Kita berinteraksi dengan teman –teman dalam aktiviti sosial, dan hubungan yang wujud diantara lelaki dan perempuan akan menentukan halatuju keturunan manusia melalui reproduksi manusia. Oleh itu, beberapa kerangka diperlukan untuk menjelaskan hak-hak dan tanggungjawab lelaki, wanita dan anak-anak mereka bagi melahirkan satu masyarakat yang koheren(berhubungan/bersangkutpaut).
Perbezaan diantara lelaki dan wanita yang mempunyai keperluan-keperluan tertentu dan persoalan-persoalan yang kompleks, dimana pengurusannya adalah satu elemen penting dalam memastikan satu perpaduan sosial. Sebarang kegagalan untuk mengenalpasti atau mengurus keperluan-keperluan dan persoalan-persoalan ini dalam erti kata kesetaraan akan membawa kepada satu penindasan, sama seperti mempercayai bahawa ia adalah satu simbol bahawa satu gender adalah lebih superior dari  gender yang satu lagi.

Masalahnya adalah pemikir-pemikir feminis dan liberal ini memandang perbezaan diantara lelaki dan wanita adalah akibat konstruksi sosial, bukan satu fakta biologi. Mereka juga menyatakan bahawa perbincangan dari segi perbezaan yang telah pernah dilakukan pada masa lampau, hanyalah satu alat untuk memberi wanita peranan-perana yang lebih rendah. Pada masa lampau di Eropah terdapat beberapa andaian yang tidak munasabah,  yang bukan fakta mengenai perbezaan diantara lelaki dan wanita (contohnya, adakah wanita kurang cerdik, kurang keupayaan untuk membuat penghakiman, dan rendah keupayaan untuk belajar dan berfikir). Perbezaan diantara gender dan seks kelihatan seolah-olah menjustifikasi dan membantu untuk memisahkan perkembangan dari fakta biologi, tetapi, menolak segala perbezaan yang dikatakan akibat produk dari keadaan sosial sebenarnya tidak boleh dijadikan satu penerangan akan sifat semulajadi manusia.
Terdapat beberapa perbezaan yang ketara diantara lelaki dan wanita dimana ia telah menjadi perdebatan dalam bidang sains dan syarahan-syarahan ahli-ahli falsafah sejak beberapa milenia; dari kajian oleh ahli psikologi dan neuro saintis, kepada kesimpulan oleh Pluto and Aristotle. Malah, diantara pecahan gerakan feminis yang semakin meningkat adalah mereka yang mempertahankan hak dan rela tidak menafikan perbezaan diantara lelaki dan wanita.  Mereka melakarkan perbezaan diantara lelaki dan wanita untuk mengenalpasti keunikan wanita dan menafikan asimilasi lelaki  yang dihasilkan dari interpretasi ciri-ciri wanita dalam istilah lelaki. Mereka memperlihatkan kewanitaan dan ciri-ciri berfikir kontemporari dalam banyak perkara. Satu kajian oleh Prof. Jacqueline Adhiambo-Oduol dapat dibuat satu kesimpulan bahawa:

“Ketegangan emosi wujud diantara konsep kesetaraan yang mengandaikan kesamaan, dan konsep gender yang mengandaikan perbezaan. Kesetaraan gender menjadi kontradik dari segi istilah, malah sesuatu yang bodoh”.  

Kesimpulan dari kajian saintifik dan falsafah ini adalah berbeza dan perbagai. Banyak telah didapati dengan jelas tidak diiktiraf dan salah, malah kaedah yang digunakan untuk memahaminya terutama alat Freudian atau survey Gilligan (juga persoalan mengenai pengetahuan yang relevan keatas perbezaan semulajadi  dalam menyelesaikan masalah sosial yang pratikal). Walau bagaimanapun, huraian ini menunjukkan bahawa perbezaan diantara lelaki dan wanita sentiasa diperhatikan dan bukanlah satu fenomena  yang baru. Adalah penting untuk diambil perhatian bahawa tidak seperti sesetengah kesimpulan, perbezaan boleh diterjemah sebagai satu inferioriti atau superiority bagi mana-mana gender.    

Dari itu, adalah jelas bahawa seorang wanita Barat yang berjaya, secara ironinya telah dijadikan sebagai satu penanda aras untuk mengukur kejayaan dan pastinya bebas memilih untuk berseronok dengan apa yang dilakukan, walaupun hanya dibayar setengah ke tiga suku dari amoun yang diperolehi lelaki dalam melakukan pekerjaan yang serupa. Sesungguhnya ini adalah satu kebenaran kecuali jika dia seorang pelacur atau seorang model dimana hanya dalam kedua-dua bidang ini sahaja wanita menjana pendapatan yang lebih tinggi dari lelaki untuk pekerjaan yang sama.

bersambung ke bahagian terakhir dari sudut pandang Islam di edisi Disember…….