Fikratul Ummah – Ogos 2008
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,
Diskriminasi keatas wanita tidak pernah sunyi dari diperkatakan. Sejak zaman berzaman, walaupun tangan yang menghayun buaian ini dikatakan mampu menggoncang dunia, akan tetapi mereka sering dianggap makhluk kelas kedua. Dalam kalangan umat Islam, kesalah-fahaman tentang Surah An-Nisa ayat 34 iaitu “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita” telah menyebabkan sebahagian umat Islam sendiri beranggapan bahawa Islam cenderung untuk melebihkan kaum lelaki berbanding kaum wanita. Akibatnya, wanita Islam bersama-sama wanita bukan Islam mahu memperjuangkan idea feminisme yang dianggap mampu mengangkat darjat mereka agar setanding dengan lelaki dalam banyak aspek kehidupan.
Alhamdulillah, bersempena dengan peristiwa Isra’ Mikraj dan kedatangan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 51, Fikratul Ummah kali ini akan mengemukakan dua artikel yang berkaitan dengan dua peristiwa yang tercatit dalam kalender umat Islam di negara ini. Semuga penjelasan yang dikemukakan akan memberi kefahaman kepada Muslimah khususnya, apakah mereka mampu mengecap sebuah kebebasan dan kemerdekaan jika mekanisme dan jalan yang ditempuh adalah sistem Kufur yang mendominasi dunia saat ini. Muslimah juga diharapkan akan dapat meneladani dan melakukan muhasabah diri samada mereka telah menjalankan fungsi, peranan dan tanggungjawab menurut syarak yang bakal membebaskan mereka dari balasan buruk yang diceritakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui peristiwa Isra Mikraj.
Fikratul Ummah juga mengemukakan sebuah artikel terjemahan sebagai memperingati 87H tahun kejatuhan Daulah Islamiyyah pada 28hb Rejab 1342H. Semuga ia juga memberi inspirasi kepada kita bahawa hukum-hakam dan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 iaitu “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya” tidak akan dapat direalisasikan melainkan ujudnya negara iaitu Daulah Islamiyyah dan institusinya iaitu Khilafah.
Isra’ Mikraj adalah satu peristiwa penuh bersejarah dalam Islam. Umumnya, untuk memperingati peristiwa yang disebutkan dalam ayat pertama Surah Al-Isra’ iaitu “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya” [TMQ Al-Isra’(17):1], sebahagian umat Islam di seluruh negara mengadakan pelbagai kegiatan seperti ceramah-ceramah agama khususnya di masjid-masjid, surau-surau, sekolah-sekolah, pusat-pusat pengajian tinggi dan sebagainya. Sebahagian ulamak berselisih pendapat dalam menentukan ketepatan tarikh berlakunya peristiwa penting ini. Ibnu Ishaq mengatakan ia berlaku setelah 10 tahun keRasulan Baginda Salallahu Alaihi Wa Sallam. Az-Zuhri mengatakan setahun sebelum Hijrah. As-Saddi mengatakan ia berlaku pada bulan Rabi’ul Awal 16 bulan sebelum Hijrah. Manakala Al-Hafiz Abdul Ghani Ibn
Surur al-Maqdasi berpendapat ia berlaku pada 27 Rejab sebelum Hijrah Baginda ke Madinah.
Walaubagaimanapun, apa yang paling penting bukanlah hanya berhujah tentang tarikh sebenar peristiwa hebat yang dikatakan berlaku pada tahun yang disebut sebagai ‘Amul Huzmi (tahun dukacita) lantaran kematian dua orang yang disayangi Baginda iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Abu Talib, tetapi yang paling penting ialah menggali pengajaran dan teladan dari peristiwa ini sehingga pada akhirnya, peristiwa Isra’ Mikraj tidak lagi menjadi satu ritual tahunan yang diraikan dengan puasa sunat dan lain-lain amalan nawaafil yang dinisbatkan dengan peristiwa ini secara khusus. Sebagai Muslimah, peristiwa Isra’ Mikraj hendaklah difahami bukan hanya sebagai satu maklumat umum seperti mana isi ceramah-ceramah umum yang tidak memberi bekas pada emosi dan perasaan pendengar. Akan tetapi peristiwa ini mesti dikaitkan dengan taklif syarak yang dibebankan di atas bahu mereka, yang mana natijah pelanggaran pada hukum-hakam ini adalah balasan buruk sebagaimana yang diceritakan oleh Junjungan Mulia Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam.
“Antara sebahagian kejadian yang ditunjukkan kepada Nabi semasa Baginda menjalani peristiwa ini, manusia diazab dengan cara memotong lidah sendiri kerana dosa yang dilakukan semasa hidup di dunia disebabkan terlalu suka mengumpat, mencela dan mencaci orang lain. Rasulullah juga ditunjukkan bagaimana seorang yang mengangkat kayu api walaupun dia sudah tidak mampu memikulnya dia masih menambah beban itu sehingga membinasakan dirinya sendiri. Keadaan ini tidak terkecuali masih terjadi dalam masyarakat kita dengan menerima bebanan amanah sedangkan mereka sudah tidak mampu memikulnya. Begitu juga diperlihatkan kepada beliau terhadap mereka yang mengingkari, serta tidak mahu melaksanakan sembahyang dengan dirantai dengan besi yang dinyalakan api melingkari tubuh mereka dan betapa siksanya mereka ketika itu”.
Walaupun perbuatan mengumpat, mencela dan mencaci orang lain bukan hanya dilakukan oleh kaum wanita sahaja, akan tetapi perbuatan yang bakal dibalas dengan memotong lidah sendiri ini seringkali dikaitkan dengan wanita. Di sini, wanita Muslimah berperanan untuk mengingatkan diri sendiri dan Muslimah lain akan natijah perbuatan tersebut. Akan tetapi, peringatan yang dilakukan dalam rangka melaksanakan amar makruf nahi mungkar itu tidak sekadar mengatakan – ‘Jangan mengumpat. Jangan mencela….”. Sebaliknya, mereka juga hendaklah menerangkan tentang hukum asal perbuatan seseorang sama ada lelaki atau wanita Muslim adalah tertakluk pada hukum syarak sebagaimaa kaedah usul fiqh untuk perbuatan iaitu al-aslu fi af’al at-taqayyudu bi hukmi syar’ie (hukum asal perbuatan adalah tertakluk pada hukum syarak).
Pemahaman akan hukum ini bukan sahaja bakal melahirkan wanita Muslimah yang tidak melakukan perbuatan mengumpat dan mencela sahaja, tetapi Muslimah-muslimah akan turut menjadi Mukminat sejati apabila taqwa (takutkan balasan buruk dari Allah) menjadi tolok ukur dan sandaran perbuatan mereka sehingga mereka takut untuk melakukan maksiat iaitu sebarang bentuk pelanggaran hukum. Walaubagaimanapun, amat penting memahami bagaimanakah cara untuk seorang Muslimah mengelakkan dirinya dari melanggar hukum? Adakah cukup sekadar meninggalkan aktiviti mengumpat dan mencela orang lain dirinya akan terbebas dari Neraka? Tidak lain dan bukan melainkan dia memahami apakah taklif syarak yang dibebankan di atas batu jemalanya.
Peranan sebagai Isteri
Dalam sesebuah perkahwinan, wanita memainkan peranan yang paling penting bagi mewujudkan keluarga yang harmoni dan diberkati Allah. Kebahagiaan sesebuah keluarga akan membawa kebahagiaan kepada masyarakat. Keluarga yang pada hari pertama diikat dan diasaskan atas iman dan taqwa akan melahirkan anak-anak yang membesar dengan keberkatan dari Allah dan terhindar dari gangguan syaitan.
Isteri yang solehah adalah cahaya yang menyinari hidup berumah tangga. Isteri dituntut supaya setia dan taat kepada suami dalam rangka patuh kepada Allah. Wanita solehah merupakan perhiasan dunia yang paling berharga sebagaimana sabda Rasulullah: “Dunia itu adalah barang perhiasanbahan kesedapan dan sebaik-baik perhiasan di dunia ini ialah wanita yang soleh.” [HR Muslim]
Peranan sebagai Ibu (Ummu wa Rabbatul Bayt)
Dari wanita dan ibu yang solehah akan lahirlah generasi anak-anak. Di tangan merekalah amanah ini diserahkan oleh Allah Subhanahu wa Taala untuk mendidik dan mengajar anak-anak mengenali tanggungjawab mereka terhadap agama Islam. Ibu yang solehah akan sentiasa mengajar anak-anak supaya menanamkan rasa cinta kepada Allah dan Rasulullah mengatasi segala-galanya. Dengan rasa kasih dan cinta kepada Allah dan Rasul akan membenih rasa kasih terhadap ibu bapa dan kaum Muslimin keseluruhannya. Ini akan melahirkan generasi yang berakhlak dan sentiasa beriman serta terikat dengan hukum-hakam dan peraturan Allah dalam menjalani kehidupan.
Sehubungan itu, Imam Ghazali pernah berkata yang bermaksud “Anak-anak itu adalah amanah Allah di sisi ibu bapanya. Hatinya suci bersih. Bersih dari sebarang lukisan dan ukiran. Menerima apa saja yang dicorakkan, condong dan tertarik apa saja yang ditarik kepadanya. Jika didedahkan dengan kebaikan dan diajarkannya, maka dia membesar di atas keadaan itu, berbahagialah hidupnya di dunia dan di akhirat dan berkongsilah pahala kebaikan ayah ibu dan setiap pendidik yang mendidiknya. Kiranya didedahkan kepada perkara-perkara yang jahat (keburukan , ke arah kebinatangan, maka binasa dan musnahlah anak itu dan dosanya di atas tanggungan pendidik dan penjaganya.”
Oleh itu para ibu perlulah mengetahui, anak-anak sebenarnya mengharapkan asuhan dan didikan yang sempurna dari seorang ibu. Ibu lebih rapat hubungannya dengan anak-anak daripada seorang bapa. Bagaimanakah asuhan dan didikan yang sempurna dapat diberikan sekiranya ibu-ibu sentiasa sibuk berperanan di luar urusan rumahtangga mereka?
Adalah menjadi tugas seorang ibu Muslimah apabila anaknya sudah pandai bertutur, mengajarkannya ucapan syahadat dan ucapan-ucapan lain yang baik-baik yang banyak dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam hadisnya.
Demikian pula apabila anak-anak sudah berumur tujuh tahun. Seorang ibu hendaklah menyuruh anak-anak mereka menunaikan sembahyang. Apabila berumur sepuluh tahun, jika dia cuai menunaikan sembahyang, maka dia boleh dipukul. Ibu boleh menceritakan tentang balasan buruk kepada orang yang melalaikan tanggungjawab ini dengan mengaitkannya dengan peristiwa Isra’ Mikraj iaitu “Begitu juga diperlihatkan kepada beliau terhadap mereka yang mengingkari, serta tidak mahu melaksanakan sembahyang dengan dirantai dengan besi yang dinyalakan api melingkari tubuh mereka dan betapa siksanya mereka ketika itu”.
Bagaimanapun mendidik anak-anak mengerjakan ibadah hendaklah disertai dengan keterangan yang jelas supaya mereka mengetahui serta memahami tujuan sebenar ibadah yang mereka laksanakan. Contohnya, sembahyang adalah lambang kepatuhan kita kepada hukum syarak yang mana dalam sembahyang kita telah berjanji kepada Allah agar kita sentiasa terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Kita tidak boleh mengambil selain peraturan Allah. Jika undang-undang selain itu yang diambil, maka nantikanlah azab Allah di Akhirat kelak.
Seorang ibu Muslimah juga perlu menerangkan kepada anak mereka bahawa ketaatan kepada pemimpin adalah pemimpin yang mendirikan solat iaitu pemimpin yang menjalankan pemerintahan berdasarkan hukum Allah. Jika pemimpin itu tidak menjalankan pemerintahan berdasarkan hukum Allah, maka tercabutlah ketaatan darinya. Jadi untuk menerangkan semua itu, memerlukan ibu yang mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang agama. Tanpa pengetahuan yang tinggi, kemungkinan seorang ibu itu gagal mendidik anaknya menjadi insan yang soleh dan sentiasa taat kepada Allah.
Amat wajar seorang ibu, menjadikan Luqman Hakim sebagai contoh dalam mendidik anak-anaknya. Antara nasihat Luqman kepada anaknya ialah: “Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”. [TMQ Luqman(31): 13].
Melalui ayat ini, kita dapat memerhatikan bahawa Luqman memulakan nasihat kepada anaknya dengan memberi penekanan kepada aspek aqidah, iaitu tidak melakukan syirik kepada Allah Subhanahu wa Taala. Jiwa anak yang masih suci itu mesti dibersihkan daripada sebarang kekotoran, kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi.
Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan aqidah untuk beriman kepada Allah subhanahu wa Taala. Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan per-buatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan. Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap anggota masyarakat yang beragama Islam membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang belajar, bermain, bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa.
Peranan dalam meninggikan Syiar Allah
Wanita Islam wajib mencari ilmu pengetahuan sebagaimana kaum lelaki. Dengan ilmu itu, mereka mengajak wanita lain di sekelilingnya untuk beriman dengan Allah dan hari kiamat, berpegang kuat dengan Islam, berbuat makruf dan mencegah mungkar, memahamkan golongannya akan keadilan Islam. Memperlihatkan contoh yang baik sebagai Mukminah solehah dalam menunaikan amanah Allah Subhanahu wa Taala bagi membangun dan mempertahankan ummah.
Peranan ini sebenarnya telah pernah ditunjukkan oleh wanita-wanita utama sahabat-sahabat Rasulullah baik dalam bidang ilmu pengetahuan seperti Sayyiditina Aisyah radiallahu anha, seorang cendikiawan, alim tentang al Quran dan Sunnah, meriwayatkan lebih seribu hadis, malah suku bahagian undang-undang syarak diriwayatkan oleh beliau. Pernah Rasulullah mengatakan yang lebih kurang bermaksud: “Ambillah separuh dari Deen kamu dari anak yang masih merah ini ( Sayyiditina Aisyah radiallahu anha ). “
Di medan jihad pula kita melihat Nasibah binti Kaab radiallahu anha adalah wanita Ansar yang telah berbaiah dengan Rasulullah bersama golongan lelaki dalam Bai’atul Aqabah Kedua, merawat mereka yang cedera dan memberi minum kepada mereka yang dahaga di medan Uhud, malah beliau mengangkat senjata mempertahankan Rasulullah Salallahu Alaihi Wa Sallam dan beliau juga luka parah. Di medan perang lain, beliau telah mendapat sepuluh luka-luka dan telah kehilangan sebelah tangannya untuk bangun menegakkan ummah pertama.
Peranan seperti mereka ini akan tetap wujud berkekalan sehingga hari Kiamat bagi mana-mana generasi yang ingin membangunkan semula Ummah Islamiyyah dan melalui proses yang sama sepertimana yang telah dilalui oleh generasi awal yang ditarbiyyah di Madrasah Rasulullah Salallahu Alaihi Wa Sallam.
Khatimah
Apabila seorang Muslimah itu telah memahami sebahagian fungsi dan peranannya, maka hendaklah beliau memastikan bahawa apa yang dilakukannya mestilah menurut keutamaan (awlawiyat). Sesuatu yang mubah (harus) hukumnya tidak boleh mendahului yang fardu dan mandub (sunat). Kewajipan mesti didahulukan dan pada masa yang sama, mengusahakan semaksima kemampuan mereka untuk melaksanakan kewajipan dan amanah dengan cemerlang. Semua ini untuk memastikan seorang Muslimah itu tidak mencari-cari fungsi dan peranan sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam yang melihat fungsi, peranan dan tanggungjawab wanita Islam dari perspektif Kapitalis sehingga membawa natijah buruk iaitu kemurkaan Allah sebagaimana yang ditunjukkan dalam Isra’ Mikraj Rasulullah iaitu Rasulullah juga ditunjukkan bagaimana seorang yang mengangkat kayu api walaupun dia sudah tidak mampu memikulnya dia masih menambah beban itu sehingga membinasakan dirinya sendiri. Keadaan ini tidak terkecuali masih terjadi dalam masyarakat kita dengan menerima bebanan amanah sedangkan mereka sudah tidak mampu memikulnya.
Semoga dengan pemahaman akan peranan dan tanggungjawab Muslimah sebagai seorang individu Muslim, seorang isteri dan ibu akan membawa kepada penghayatan peristiwa Isra’ Mikraj dengan lebih mendalam yang mana natijahnya ialah pelaksanaan seluruh kewajipan dan tanggungjawab semata-mata demi untuk meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Taala. Wallahu alam bisshawab
Bulan kemerdekaan muncul lagi. Bulan yang membawa seribu satu makna dalam kalendar sejarah tanahair. Kemunculannya dinantikan, ketibaannya disambut penuh kemeriahan. Kehadirannya dihayati dengan penuh semangat patriotisme dan kecintaan yang padu kepada tanahair. Sesetengah golongan alim ulamak yang menyokong semangat patriotisme ini menjustifikasikan hujah mereka berdasarkan sebuah hadis palsu iaitu “hubbul wathan minal iman” yang bermakna mencintai tanah air sebahagian dari iman. Di bulan ini juga pelbagai kempen dijalankan untuk menyemarakkan lagi suasana. Antara suatu kemestian yang lazim dan ‘wajib’ ialah mengibarkan jalur gemilang, lambang kemegahan negara. Pelbagai persoalan bermain di minda rakyat jelata. Selain persoalan tentang hukum merayakan kedatangan bulan kemerdekaan dengan rutin tahunan yang sudah sedia ada termasuk peruntukan wang hangus untuk acara pertunjukan bunga api, adakah acara itu akan terus diadakan juga pada tahun ini? Ironinya, di saat seluruh rakyat diminta berjimat cermat akibat kenaikan harga barang dan minyak, pemerintah yang bermazhab Islam Hadhari terus istiqamah dengan aktiviti yang membuatkan rakyat jelata ‘naik minyak’.
Hakikatnya bukanlah bulan kemerdekaan itu yang perlu dihayati sebaliknya apa yang lebih penting ialah satu persoalan yang perlu ditanya kepada setiap individu khususnya Muslimah iaitu adakah Muslimah hari ni benar-benar merdeka jika dilihat dari sudut pandangan Islam?
Kejatuhan Daulah Islamiyyah setelah dimakamkan secara rasminya pada tanggal 28hb Rejab 1342H oleh Mustafa Kamal Attarturk laknatullah alaihi telah menyebabkan pemikiran Islam sebahagian penganutnya yang sebelumnya lemah punah berderai. Natijah yang memilukan ini yang bermula seawal abad ke 16 Masehi dengan usaha golongan Missionaries menyuntik benih-benih pemikiran Kufur ke dalam minda umat Islam. Idea feminisme yang sebenarnya lahir hasil dari kebencian pada pemikiran Barat yang cenderung pada male chauvinism atau penguasaan kaum lelaki ke atas wanita yang kononnya dianggap ‘ubat’ atau ‘penawar’ rupa-rupanya telah menjadi virus yang menjerat diri kaum wanita. Seluruh dunia seolah-olah mengiktiraf bahawa wanita adalah spesis yang tidak pernah mendapat hak dan menikmati kebebasan sebagaimana kaum lelaki. Buktinya, kewujudan suatu konvensyen di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (‘PBB’) iaitu Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (Konvension tentang Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi keatas Wanita) yang diadopsi oleh PBB pada tahun 1979 seringkali dianggap sebagai dokumen undang-undang antarabangsa berkenaan dengan hak asasi wanita [www.un.org/womenwatch]. Menerima-pakai konvensyen ini bermakna setiap negara yang menganggotai PBB akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menghentikan diskriminasi ke atas wanita dalam pelbagai aspek termasuk:-
i) Sistem perundangan yang mengandungi prinsip persamaan lelaki dan wanita, menghapuskan undang-undang yang mendiskriminasikan kaum wanita dan mengguna-pakai undang-undang yang menghapuskan diskriminasi pada golongan ini.
ii) Mengadakan tribunal dan institusi awam untuk memastikan perlindungan pada wanita dari didiskriminasi dan
iii) Memastikan penghapusan semua bentuk diskriminasi pada wanita oleh individu, organisasi dan syarikat.
Konvensyen ini menyediakan teras untuk merealisasikan persamaan hak atas lelaki dan wanita dengan memberi mereka akses dan peluang yang sama dalam bidang politik dan kehidupan umum termasuk hak untuk mengundi dan menjadi calon pilihanraya dalam sistem demokrasi, bidang pendidikan, kesihatan dan bidang pekerjaan. Negara-negara anggota juga bersetuju mengadopsi langkah-langkah yang sewajarnya termasuk aspek perundangan dan mengambil tindakan jangka pendek supaya wanita dapat menikmati hak asasi dan kebebasan umum.
Akibat dari mengambil jalan penyelesaian dari perspektif PBB yang berideologikan Kufur-Barat telah menyebabkan kaum wanita termasuk wanita Islam terjebak dalam kehidupan yang jauh dari kemerdekaan dan kebebasan yang mereka kejar dan perjuangkan. Ruang yang diberikan untuk terlibat dalam politik telah dimanfaatkan oleh wanita Islam bukan untuk memahami politik (siyasah) dari perspektif Islam iaitu pengaturan urusan umat di dalam dan di luar negara Daulah, sebaliknya menceburi bidang politik menyebabkan wanita Islam terlibat dalam maksiat (sebarang bentuk pelanggaran hukum) bilamana sebahagian mereka yang dianggap ‘heroin’ dan ‘serikandi’ kerana memenangi pilihanraya telah terlibat dalam membuat undang-undang sama ada di peringkat dewan undangan negeri (‘DUN”) atau di Parlimen sedangkan menggubal undang-undang itu adalah hak prerogatif Allah Subhanahu wa Taala selaku As-Syarik (Sang Pembuat Hukum). Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah [Surah Al-An’am (6 ):57].
Dalam bidang pekerjaan pula, demi merealisasikan sebuah impian bahawa kemerdekaan dan kebebasan dapat dikecapi oleh kaum wanita dengan terlibat dalam semua bidang pekerjaan yang lazimnya didominasi kaum lelaki, akibatnya kaum wanita menceburi bidang baru untuk menempatkan diri setaraf dengan kaum lelaki. Semua ini menyumbang pada runtuhnya institusi keluarga apabila sebahagian umat Islam berpendapat bahawa bekerja bagi kaum wanita adalah wajib iaitu sama seperti kaum lelaki. Hakikatnya, bekerja bagi kaum wanita secara umumnya adalah mubah (harus) selagi diizinkan wali atau suaminya dan tiada sebarang pelanggaran hukum dalam pekerjaannya.
Sistem Sekuler-Kapitalis yang bermaharajalela di persada pemerintahan negara yang telah melahirkan penguasa-penguasa yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan setiap warga negara sama ada Muslim atau bukan Muslim terpenuh keperluan asasi mereka telah memburukkan keadaan. Fakta ini, ditambah dengan kurang pemahaman tentang peranan utama wanita selaku ibu (ummu) dan pengatur rumahtangga (rabbatul bayt) telah menyebabkan berlaku insiden sumbang mahram dan terjebaknya anak-anak remaja dalam gejala seks luar-nikah hingga lahir anak-anak haram serta pembuangan bayi hingga menjadi sebuah episod ngeri yang tidak bernoktah.
Selain dari itu, wanita Islam juga telah menjadi hamba pada dunia apabila melihat dan berpandangan bahawa kejayaan wanita diukur dari status perkahwinannya termasuk kebolehan mereka menarik perhatian lawan jenis. Sebahagian wanita Asia yang berkulit gelap dan sawo matang menggunakan pelbagai jenis krim pemutih kerana beranggapan bahawa cantik bermakna ‘memiliki kulit yang putih dan gebu’. Selain itu, sindrom 3G iaitu hasil kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan menunjukkan hampir 20 peratus penduduk dewasa dan 21 peratus kanak-kanak di negara ini mengalami masalah 3G ini turut memberi impak negatif kepada kaum wanita hingga sebahagian mereka berpendapat ‘if you’re thin you’re happy’ (jika anda kurus, anda bahagia). Persepsi negatif pada golongan 3G ini adalah selari dengan satu penemuan orang Barat iaitu kesan jangka masa panjang pula ialah mereka (golongan 3G) menerima layanan yang kurang adil di tempat kerja dan kadar perkahwinan yang rendah [Puhl & Brownell, 2003]. Akibatnya wanita menjadi hamba pada produk pil dan program pelangsingan hingga ada yang menjadi mangsa terlebih dos yang membawa kematian, bukan terfokus pada tingginya risiko penyakit pada golongan 3G ini. Sebaliknya mereka melakukan semua aktiviti ‘kecantikan melalui penderitaan’ demi untuk ‘diterima’ masyarakat. Menurut kajian Strauss dan Pollack (2003), kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan berlebihan sering menerima stigma oleh rakan-rakan sebaya mereka. Menerima ejekan dan panggilan nama serta mengalami pengasingan sosial, tidak diterima oleh rakan-rakan adalah antara kesan-kesan yang boleh diterima oleh pelajar-pelajar sekolah yang menghadapi masalah kegemukan berlebihan [Strauss & Pollack, 2003]. Realiti ini menyebabkan kaum wanita seawal usia kanak-kanak telah memasang impian bahawa mereka mesti berusaha memiliki tubuh seperti patung Barbie sedangkan pada hakikatnya, jika seorang wanita memiliki ‘vital statistic’ seperti pasangan Ken ini, pinggang mereka akan patah kerana saiz payu dara yang terlalu besar tidak dapat ditampung oleh pinggul yang kecil.
Semua ini seolah-olah telah terprogram dalam minda bahawa mereka mesti mencari jawapan akan persoalan yang dikemukakan oleh ibu tiri Snow White pada cermin ajaib iaitu ‘mirror mirror on the wall.. who’s the fairest of them all?’ (wahai cermin di dinding, siapakan yang paling cantik dari semua wanita?’. Hakikatnya, wanita Kaukasia (Caucasian) yang umumnya berkulit putih berusaha keras untuk memiliki kulit gelap atau ‘tan’ yang membuktikan bahawa manusia sama ada lelaki atau wanita, amat susah untuk merasa puas dan redha dengan apa yang mereka miliki, apabila pemikiran dan perasaan mereka dirasuk pemikiran Kufur-Barat yang sangat mementingkan penampilan fizikal.
Sebahagian umat Islam khususnya kaum wanita seperti Muslim Women League (Liga Wanita Muslim) yang berpangkalan di Los Angeles, California melalui laman web http://www.mwlusa.org/topics/equality/issues.htm memahami bahawa Islam mampu memerdekakan wanita dengan syarat persoalan-persoalan seperti di bawah hendaklah dirungkaikan terlebih dahulu:
i) Undang-undang keluarga Islam (munakahad) yang berkaitan dengan perkahwinan dan perceraian hendaklah menguatkuasakan hak suami atas isteri dan lelaki atas wanita (atas kapasiti selaku wali) yang mana penguatkuasaan ini akan dapat menghalang wanita dari bertindak menurut hawa nafsu mereka sahaja.
ii) Keganasan ke atas wanita yang berlaku di rumah, dalam masyarakat dan kesan peperangan yang dibolehkan oleh sesetengah pihak, sedangkan pada hakikatnya tidak.
iii) Penyalah-gunaan hukum-hakam Islam yang memberi kesan negatif kepada kaum wanita seperti poligami dan perkahwinan secara muta’ah yang dilaksanakan tanpa kawalan.
iv) Mengecualikan wanita dari aktiviti keagamaan seperti mengimarahkan masjid yang telah diiktiraf sebagai salah satu hak wanita.
v) Kegagalan mempromosikan sumbangan wanita kepada masyarakat lebih dari sekadar melahirkan anak.
vi) Kegagalan untuk memberi peluang kepada wanita mendapat hak harta dan pewarisan sepertimana yang digariskan oleh hukum syarak.
vii) Fokus masyarakat pada perilaku wanita yang dianggap sebagai penanda aras (benchmark) status akhlak dan moral dalam masyarakat sehingga wanita menjadi mangsa gangguan (harrassment), intimidasi dan diskriminasi.
viii)Kurangnya kesedaran tentang peranan lelaki untuk menyumbang dan berperanan dalam melayarkan bahtera rumahtangga seperti membesar dan mendidik anak-anak sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam.
Walau apa jua saranan dan penyelesaian untuk memerdekakan wanita, Islam selaku rahmatan lil alamin tidak akan dapat menyelesaikan kemelut ini sekiranya keujudannya tidak secara menyeluruh (kaffah) dan pelaksanaan secara bersepadu. Pada hari ini, hukum-hakam Islam masih terpisah dan tercerai (fragmented) dan hanya terfokus pada ibadah khusus, sebahagian hukum-hakam kekeluargaan (munakahad) dan fara’id. Maka, sekadar mengubati gejala (sign & symptom) sahaja dan melaksanakan aktiviti islahiyyah (penambah-baikan) sebelum isu pokok iaitu keujudan Islam dalam bentuk Negara (Daulah) yang akan melaksanakan Islam secara kaffah tidak akan mampu mengubati duka-nestapa yang menyebabkan wanita terpenjara dan menjadi hamba pada sistem Kufur.
Sebuah Negara (Daulah) yang menerapkan Islam Kaffah sebagaimana perintah-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 iaitu “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya” tidak sekadar melaksanakan hukum-hakam Islam sahaja. Sebaliknya Negara yang pernah memayungi 2/3 dunia ini akan memerdekakan minda wanita dan menjernihkan pemikiran mereka agar bebas dari virus Sekuler-Kapitalis yang selama ini menjadikan mereka hamba melalui sistem pendidikan Islam. Natijahnya, wanita Islam masih boleh melakukan sebarang aktiviti dan tindakan dalam rangka untuk memenuhi keperluan jasmani (hajat al-udhuwiyyah) dan naluri-naluri (al-ghara’iz) mereka seperti bekerja untuk mengukuhkan ekonomi rumahtangga dan menyumbang tenaga dan kepakaran kepada masyarakat, semua ini dilakukan dalam ruang-lingkup yang dibenarkan syarak.
Negara yang memenuhi keperluan asas setiap warganegara akan turut memerdekakan wanita kerana mereka tidak lagi dihambat oleh keinginan pada duniawi semata-mata hingga menjejaskan tanggungjawab dan fungsi asas selaku ibu dan pengatur rumahtangga itu tadi. Apa yang paling penting sekali, negara yang bakal menerapkan sistem pendidikan Islam wanita akan melahirkan wanita-wanita solehah yang akan memahami bahawasanya cantik dan bahagia bukanlah untuk mendapat pengiktirafan dan dipandang tinggi oleh manusia, sebaliknya apa jua yang mereka inginkan, selama mana tidak menjejaskan tanggungjawab asas mereka seiring dengan tanggungjawab selaku pengemban dakwah yang juga satu kewajipan yang terbeban di bahu mereka, selagi tiada pelanggaran hukum dalam rangka untuk merealisasikannya, akan memberi mereka ketenangan, pahala dan balasan syurga di akhirat kelak.
Wahai Muslimah yang dirahmati Allah,
Marilah kita mengembeling usaha dan tenaga untuk mengembalikan Islam dalam kehidupan sehingga agama yang mulia ini akan wujud dalam bentuk negara iaitu Daulah Islamiyyah yang akan membebaskan seluruh umat manusia dari keburukan sistem buatan manusia iaitu ideologi Sekuler-Kapitalis.
“Hai Nabi sesungguhnya kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru kepada Agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi“. [Surah Al-Ahzab (33) :46].
“Dan mengutus seorang Rasul yang membacakan kepadamu ayat-ayat Allah yang menerangkan [bermacam-macam hukum] supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh dari kegelapan kepada cahaya”. [Surah Al-Talaq (65):11]
Wallahu alam bisshawab.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Semenjak lahirnya Islam, pihak Kuffar sentiasa berjuang tanpa henti menentang Islam dan umat Islam.
Disebalik penentangan ini, umat Islam pernah mencapai kegemilangan selama 13 abad dengan pengecualian beberapa peperangan seperti Perang Salib dan Perang Tartar. Dengan kekuatan ideologi Khilafah dan semangat keimanan yang kental berserta pengorbanan umat Islam yang berterusan membuktikan bahawa Islam sangat kuat bagi pihak Kuffar. Walau bagaimanapun, pada 28 Rejab 1342 H, bersamaan dengan 3hb Mac 1924, dunia Barat ketika itu yang diketuai oleh England, akhirnya mencapai impian mereka setelah sekian lama mengembelingkan tenaga, memusnahkan Khilafah Islamiyyah, memisahkan Ad-deen dari negara, dan Islam dari politik. Akibatnya, Barat yang Kufur ini melebarkan kekuasaan dan pengawalannya terhadap umat Islam dan tanah mereka. Malapetaka ini terjadi dengan sokongan padu dari agen – agen Barat dari dunia Arab dan Turki yang mana pengkhianat Mustafa Kamal adalah ketuanya.
Disebalik ketiadaan Khilafah selama lebih 80 tahun, dunia Barat terpaksa menerima hakikat bahawa kejayaan mereka terhadap umat Islam hanya sementara sahaja kerana laungan untuk Khilafah bangkit kembali bergema dengan lantang dan jelas di seluruh pelusuk dunia. Hati kecil umat Islam mendambakan kebangkitan Khilafah. Lidah–lidah mereka sentiasa berucap mengenainya siang dan malam, dan mereka gelisah menantikan fajar kehidupan yang baru.
Tatkala pertelingkahan diantara pihak Islam dan Kufar hampir mencapai penghujungnya, Barat dan kuncu-kuncunya berusaha menyesatkan umat Islam dari realiti sebuah Khilafah, dari malapetaka yang dihadapi oleh umat Islam kerana ketiadaan Khilafah, dan segala kesenangan yang bakal dibawa apabila Khilafah kembali berdiri, untuk umat Islam di dunia dan Akhirat.
Sebagai tujuan untuk memahami realiti pertelingkahan hari ini, kami lontarkan soalan – soalan berikut:-
- Mengapa Barat meruntuhkan Khilafah?
- Mengapa Barat berusaha menghalang penegakkan semula Khilafah?
- Mengapa wajib bagi umat Islam mengembalikan dan mendirikan Khilafah?
- Khilafah adalah pemerintah umat Muslim yang menerapkan hukum syarak dan membawa dakwah Islam kepada dunia.
- Kekhilafahan melambangkan kesatuan umat Islam dibawah satu Imam (pemimpin) dengan dinaungi oleh panji-panji Tauhid.
- Kekhilafahan akan memastikan bahawa umat Islam terikat dengan satu ikatan persaudaraan yang sama dan tanah air mereka adalah satu.
- Kekhilafahan bermakna kedaulatan hanyalah untuk syari’ah Allah, yang mana dilaksanakan penerapan hukum–hakam Islam yang komprehensif dalam kehidupan dan segala hukum–hakam Kufur dan taghut dihapuskan.
- Kekhilafahan juga bererti kekuasaan umat Islam terletak secara mutlak di tangan umat Islam sendiri dan memastikan umat Islam sendiri yang menentukan halatuju politik mereka serta membebaskan diri dari belenggu kolonial Barat yang merantai dan menghambakan ummah.
- Kekhilafahan juga bererti umat Islam memainkan peranan sebenar di dunia, menyelamatkan umat Islam dari keburukan Kapitalis global dan melindungi mereka di bawah sinar dan keadilan Islam dengan memimpin dan menjadikannya pegangan manusia.
- Kekhilafahan melambangkan pembebasan dan penghapusan semua kekerasan dari setiap pelusuk tanah umat Islam yang dijajah serta menghalang sebarang anasir Kolonial/penjajahan dari segi ketenteraan, politik, budaya, ekonomi dan sebagainya.
- Kekhilafahan bererti kesemua sumber asli terletak di tangan pemilik yang sebenar, iaitu ummah, dan akan menyingkirkan syarikat–syarikat Kapitalis Barat yang merompak sumber–sumber ini yang membiarkan umat Islam mati kebuluran dan mengemis kepada Barat untuk kehidupan harian mereka.
- Kekhilafahan juga bererti lambang kembalinya ummah didalam bidang pelajaran, sains dan penyelidikan, rekacipta, penemuan dan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur yang berdaya maju dengan keikhlasan untuk memenuhi keperluan ummah.
- Kekhilafahan bererti umat Islam sendiri yang akan membajak ladang-ladang, memenuhi keperluan dan memperolehi sumber makanan supaya tidak akan ada seorang individu pun yang hidup dalam kemiskinan dan diancam kebuluran kerana ummah tidak lagi bergantung kepada kemahuan musuhnya.
- Kekhilafahan bererti menyingkirkan kesukuan dan nasionalisme yang dilarang oleh Islam, dan kembalinya ikatan persaudaran Islamiyyah bagi semua umat Islam –“ Muslim itu bersaudara diantara satu sama lain”.
- Kekhilafahan melambangkan kembalinya keamanan kepada masyarakat yang kucar-kacir, yang akan membawa kedamaian dan ketenangan di hati ummah dengan zikir kepada Allah dan manusia juga akan tenang dengan agama, maruah dan harta mereka.
- Kekhilafahan bererti perlindungan akidah, ibadah, nilai moral dan peraturan-peraturan yang ditentukan oleh Allah.
- Kekhilafahan bererti ummah akan mempunyai sektor perkilangan dan ketenteraan serta bebas menentukan polisi sendiri di dalam bidang-bidang ini.
- Kekhilafahan berdiri untuk keredhaan Allah melalui penerapan Syari’ah; berdiri untuk kemuliaan umat yang mengakui keEsaan Allah, berdiri sebagai perisai ummah, dan pelindung kepada wanita beriman; berdiri sebagai tempat ibadah untuk para mujahid dan berdiri sebagai pelindung kepada hak-hak Allah dan ummah.
Sesungguhnya, syaitan dari jin dan manusia, dari orang-orang yang ingkar, sekutu dan agen mereka, telah membisikkan kepada kamu bahawa kebangkitan Khilafah adalah mustahil, dan Barat yang mempunyai kekuatan material akan mencabar kebangkitannya dan umat Islam pasti tidak mempunyai peluang menentang kuasa Barat dan negara Israel berserta dengan negara–negara umat Islam yang terpecah-pecah (statelets) akan menentang dari dalam, malahan akan diadakan sekatan ekonomi keatas negara Islam, dan, dan, dan……..
Jika ini adalah bisikan– bisikan dari syaitan diantara jin dan manusia, sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia, Raja dari sekalian Raja, dan Rasul-Nya Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai contoh dan teladan, telah menjanjikan kita sesuatu yang lain.
Allah Subhanahu wa Taala berfirman;
“Dan Allah telah berjanji kepada orang –orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal –amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang –orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang tetap (kafir) sesudah ( janji) itu, maka mereka itulah orang –orang fasik” [TMQ An nur(24): 55]
dan, Rasulullah bersabda;
“Allah telah menunjukkan aku bumi dan aku melihat keTimur dan ke Baratnya. Sesungguhnya, hak umatku memerintah akan sampai keseluruh kawasan yang aku lihat”. [Riwayat Muslim, Abu Dawud]
dan Rasulullah bersabda lagi;
“Kerasulan akan berlangsung keatas kamu selama yang Allah kehendaki, kemudian Allah akan mengambilnya. Kemudian, ia akan diikuti oleh Khilafah yang berpetunjuk diatas jalan Rasulullah. Ia akan berlangsung selama yang Allah kehendaki, kemudian Allah akan mengambilnya. Kemudian, akan ada pemerintahan kejam yang berlangsung selama mana yang Alah kehendaki, kemudian Allah akan mengangkatnya jika Dia mahu. Selepas itu, akan ada pemerintah yang menindas, dan ia berlangsung selama mana yang Allah kehendaki, dan Dia akan mengangkatnya jika Dia mahu. Kemudian akan ada pemerintahan Khilafah yang berpetunjuk kepada jalan (minhaj) Rasulullah, kemudian dia (Rasulullah) senyap”. (Riwayat Musnad Ahmad)
Oleh itu, wahai umat Islam, mintalah pertolongan Allah Yang Maha Mulia, bekerja dengan ikhlas untuk-Nya, dan ketahuilah bahawa umat kamu adalah kuat dan berkuasa, dan musuh-musuh kamu adalah lemah, malah lebih lemah dari sarang labah-labah. Dan kepada sesiapa yang ikhlas bertanya. “Bilakah pertolongan Allah akan datang?” Kita katakan pada mereka sebagaimana firman Allah;
أَلآ إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
“Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat!” [al-Baqarah: 214]
َ وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰ أَمْرِهِ وَلَـٰكِنَّأَكْثَرالنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
“Dan, Allah mempunyai seluruh kekuasaan keatas urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [Yusuf: 21]
Hizb ut-Tahrir Australia
08 Rajab 1429 Hijrah
11 Julai 2008 Masihi
01 – Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.
02 – Orang – orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.
03 – Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.
04 – Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.
05 – Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
06 – Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.
07 – Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
08 – Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.
09 – Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.
10 – Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.