Fikratul Ummah – Ogos 2013
MUQADDIMATUL KALAM
Assalamu‘alaikum warahmatullahi wa barakatuh…
Salam Aidilfitri kepada semua pembaca Fikratul Ummah yang budiman. Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu. Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kepada Zat Yang Maha Menghidupkan kerana sekali lagi majalah bulanan FU berpeluang untuk bertemu dengan para pembaca dibulan yang istimewa, bulan kemenangan ini. Sidang redaksi Fikratul Ummah tetap setia untuk meneruskan kewajipan kami dalam mendakwahkan Islam kepada sekalian manusia.
Pembaca yang dikasihi,
Walaupun Syawal disambut sebagai tanda kemenangan setelah berpuasa dan beramal selama sebulan dibulan Ramadhan, namun sehingga hari ini, umat Islam masih dibelenggu oleh pelbagai masalah kehidupan akibat tiadanya penerapan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan negara. Umat Islam hari ini hidup dalam sistem kapitalis yang beraqidahkan sekularisme yang telah menghanyutkan umat ini jauh daripada kehidupan berkah yang dirahmati Allah S.W.T. Dalam sistem yang rosak ini, para penguasa sering membuat keputusan berdasarkan akal mereka semata-mata tanpa merujuk kepada hukum Allah. Natijahnya, sedar atau tidak rakyat terus menerus dizalimi.
Atas kesedaran ini, sidang redaksi FU tidak jemu-jemu mengungkapkan realiti semasa yang sedang berlaku dalam rangka menyedarkan umat Islam akan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam mengembalikan kehidupan Islam yang syumul. Allah S.W.T berfirman, “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?” [TMQ Fushshilat (41):33]
Akhir kalam, kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir & Batin kepada semua pembaca setia FU. Kami dengan berbesar hati mengucapkan jazakumullah khayran kepada para pembaca yang setia menunggu keluaran FU setiap bulan dan istiqamah dalam pengkajian setiap isu yang dipaparkan. Semoga istiqamahnya kalian dalam mengkaji Islam melalui tulisan-tulisan dalam FU ini diberkati Allah dan dibalas dengan ganjaran yang berlipat ganda, insyaAllah.
Wassalamu`alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
رَبَّنَا لاَ تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِيْنَ
وَ نَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِيْنَ
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Kau jadikan kami difitnah oleh orang-orang zalim dan selamatkanlah kami demi rahmatMu dari (cengkaman) orang-orang kafir” [TMQ Yunus (10):85-86].
KEMERDEKAAN YANG MEMBELENGGU
Sepertimana tahun sebelumnya, tahun ini rakyat Malaysia meraikan hari nasional, iaitu ulang tahun “kemerdekaan” dalam suasana sambutan hari raya. Sejak Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan daripada pihak British, ia dianggap satu anugerah yang patut dihargai kerana masyarakat dikatakan bebas daripada cengkaman penjajah yang zalim. Hakikatnya kita hanya dapat merasakan ketiadaan penjajah British secara fizikal namun pemikiran dan amalan hidup warisan penjajah tetap wujud dan membarah dalam masyarakat.
Belenggu Wanita
Dalam kesibukan berhari raya dan ditambah pula dengan propaganda bulan “kemerdekaan”, mata yang celik pasti dapat melihat hakikat sebenar bahawa umat Islam hari ini sedang melalui situasi pahit dan terhina yang sama sekali berlawanan daripada hakikat kemenangan dan kemerdekaan yang sebenar. Di negeri-negeri umat Islam, Deen-al-Islam tidak diamalkan dengan menyeluruh. Malah, dalam banyak aspek kehidupan, amalan atau kebiasaan masyarakat yang tidak selari dengan Islam sering dipertahankan sebagai cara hidup, sama ada amalan itu diwarisi turun-temurun, ataupun amalan baru yang terbentuk akibat kemodenan.
Wanita pada zaman moden dieksploitasi sebagai pelaris produk-produk kapitalis. Tubuh badan mereka diperalatkan untuk menarik perhatian pelanggan khususnya lelaki demi mengaut keuntungan semaksimum mungkin. Dek kerana kebiasaan ini, wanita tidak lagi malu mempertontonkan bentuk tubuh mereka di khalayak ramai, malah merasa hebat dan bangga berbuat demikian. Penyertaan dalam pertandingan seperti Miss World atau Ratu Cantik dianggap sebagai sesuatu yang bermaruah bagi wanita kerana ia dikatakan dapat mengetengahkan kemampuan dan penglibatan wanita dalam masyarakat.
Amalan atau sistem pemerintahan negara yang tidak selari dengan Islam juga mengakibatkan berleluasanya praktis penindasan terhadap wanita. Contohnya di Jordan dan Pakistan, “pembunuhan untuk menjaga maruah keluarga” atau honour killing dilakukan terhadap anak gadis oleh ahli keluarganya sendiri apabila gadis itu ditakuti mencemarkan nama keluarganya kerana bergaul bebas [http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tikammatiisteriuntukjagamaruah/Article/index_html]. Sedangkan ajaran Islam mengajarkan pemeliharaan pergaulan, kawalan masyarakat, beserta ‘uqubat kepada lelaki dan wanita yang melanggar batasan pergaulan Islam. Selain itu, negara-negara Arab dan Pakistan juga turut merekodkan banyak kes penderaan terhadap isteri, meskipun ajaran Islam mewajibkan isteri dilayan dengan penuh rasa cinta dan belas kasihan.
Dalam kalangan komuniti Islam yang dilanda kemiskinan dan rendah taraf pendidikannya, para Muslimah membanting tulang demi sesuap nasi dengan melakukan pelbagai pekerjaan yang sebahagian besarnya menyalahi fitrah dan peranan sebenar mereka sebagai gadis, isteri atau ibu sehingga ada yang bekerja dalam sektor maksiat sebagai penghibur dan pemuas nafsu lelaki. Ada juga yang meninggalkan keluarga selama bertahun-tahun untuk menjadi pembantu rumah di luar negara.
Perjuangan Yang Membelenggu
Setelah berlaku begitu banyak penindasan terhadap wanita, perjuangan feminisme, iaitu perjuangan hak-hak wanita, dianggap sebagai jawapan yang tepat oleh sebahagian Muslimah. Segelintir Muslimah yang tersesat dek tebalnya pengaruh sekularisme, menyertai kumpulan feminis ekstrem seperti Femen yang menzahirkan protes terhadap apa sahaja yang mereka fikirkan sebagai penindasan kepada wanita termasuk syariat Islam. Di Timur Tengah juga telah muncul gerakan feminis yang berteraskan sekularisme yang mengambil kesempatan daripada kebangkitan dunia Arab untuk memperjuangkan nasib mereka.
Namun feminisme yang lebih berbahaya ialah yang bertopengkan Islam iaitu mereka menafsirkan Al-Quran dengan penafsiran songsang demi membenarkan prinsip-prinsip kufur seperti liberalisme dan demokrasi. Mereka juga mengelirukan umat Islam dengan nama-nama dan slogan-slogan yang seolah-olah Islami, padahal hakikatnya kufur. Contohnya boleh dilihat dalam perjuangan al-musawah (kesetaraan) yang diperjuangkan oleh Sisters in Islam. Hakikatnya mereka juga adalah sekularis dan liberalis yang memperdagangkan ayat-ayat Allah dengan harga yang murah demi menjayakan agenda kuffar.
Pemimpin-pemimpin negeri umat Islam pula menunjukkan sokongan kepada perjuangan feminis dengan memperkenalkan agenda reformasi yang kononnya membela nasib wanita. Contohnya menggalakkan penglibatan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja dan pemerintahan negara demi menyambut seruan menuntut kesetaraan gender. Sebenarnya apa yang mereka lakukan hanyalah menambahkan masalah kepada wanita kerana menjauhkan kaum wanita daripada fitrah mereka.
Idea kesetaraan gender diperjuangkan dan amat disokong oleh para kapitalis kerana apabila semakin ramai wanita yang bekerja seperti lelaki, maka semakin tinggilah sumbangan mereka kepada pendapatan negara yang diukur dengan keluaran dalam negara kasar (GDP – gross domestic product). Menurut perkiraan kapitalisme, bilangan wanita berkerjaya mesti ditingkatkan selari dengan perkembangan penduduk lebih-lebih lagi di negara membangun yang ekonominya sedang berkembang pesat, digelar Emerging Economies. Pertambahan penduduk akan meningkatkan permintaan terhadap sumber yang kian menyusut akibat kadar kepenggunaan yang meningkat apabila penduduk di sesuatu negara semakin maju (Data dan unjuran dari Credit Suisse). Lihat juga Global Summit of Women http://www.globewomen.org/summit/2013/2013presentations.html)
Jelas sekali bahawa konsep kapitalisme telah menjerut manusia kepada penghambaan terhadap sistem ciptaan manusia sendiri. Sedangkan Islam sebaliknya mengajar bahawa Allah S.W.T menyediakan sumber alam yang cukup untuk menampung kehidupan manusia, dan ekonomi hendaklah diatur agar kekayaan bumi dapat diagih dengan saksama kepada seluruh penduduk bumi; bukannya dengan memperhambakan sebahagian besar manusia agar dapat memuaskan nafsu sebahagian kecil manusia lain, hinggakan kaum wanita pun menjadi mangsa kepada kerakusan sistem ini.
Bagaimana Memerdekakan Muslimah
Perjuangan ‘membebaskan’ Muslimah tidak sekali-kali akan berjaya melalui perjuangan feminisme, atau dengan menempuh jalan-jalan ciptaan kuffar seperti liberalisme dan demokrasi. Malah, sebaliknya ia semakin membelenggu Muslimah. Sebaliknya, Islam yang dimomokkan sebagai ajaran yang membelenggu wanita itulah sebenarnya yang membebaskan wanita daripada pengabdian kepada sesama manusia dan meletakkan semua, baik lelaki mahupun wanita, di tempat mereka yang mulia. Perhatikan firman Allah Ta’ala ini,
“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya” [TMQ al-A’raf (7):157].
Ternyata Islam telah membebaskan manusia baik lelaki mahupun wanita, ke jalan hidup yang benar dan sejahtera yang bersesuaian dengan fitrah hidup mereka. Maka tidak hairanlah apabila generasi terdahulu memperjuangkan Islam hingga menang, hinggakan takbir hari raya dan laungan kemerdekaan mereka benar-benar bermaksud kemenangan dan kemerdekaan daripada cengkaman kuffar.
Kekuatan dan kemenangan Islam amatlah dirasai ketika umat Islam melaungkan takbir hari raya selepas memenangi perjuangan dalam bulan Ramadhan di Badar (Tahun 2 Hijrah), Fathu Makkah (8 H), al-Buwayb (31 H), ‘Amuriah (213 H) dan ‘Ain Jalut (658 H). Kemenangan ini dirayakan oleh seluruh umat Islam baik Muslim mahupun Muslimah, dengan keluarnya mereka dari rumah untuk berhimpun bersama pemimpin mereka dalam acara solat ‘Eid pada pagi raya, bukannya sambutan “merdeka raya” yang tidak bermakna seperti yang berlaku hari ini.
Sesungguhnya satu-satunya jalan bagi umat Islam untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu kehinaan yang dipasang oleh penjajah kufur adalah dengan kembali secara keseluruhan kepada Islam. Allah S.W.T berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan…” [TMQ al-Baqarah (2): 208].
Kembali kepada Islam secara keseluruhan menuntut perjuangan Islam yang seratus peratus berasaskan konsep-konsep Islam, bukannya konsep-konsep ciptaan manusia. Ini bermakna, kita hendaklah menegakkan sistem politik, ekonomi, sosial dan pendidikan Islam sebagai ideologi yang mengatur kehidupan manusia dalam hubungannya dengan Allah S.W.T, dirinya dan sekelilingnya.
Khatimah
Pertembungan antara dua ideologi, iaitu Islam dengan kufur, semakin sengit pada akhir zaman ini. Pejuang ideologi kufur memainkan propaganda bahawa Islam yang mengajarkan penyerahan total kepada Allah S.W.T membelenggu penganutnya dengan kekolotan dan kemunduran. Malang sekali apabila umat Islam yang buta menerima propaganda ini lalu turut sama memperjuangkan agenda kufur ini malah menyalutnya dengan label Islami.
Oleh itu, wahai sekalian Muslimah, tinggalkanlah semua perjuangan yang tidak berasaskan Islam atau yang hanya sekadar bersalut istilah-istilah Islami. Ayuh! Kembalikan kehidupan Islam sepertimana sewajarnya. Semoga kesedaran hakiki yang penuh rasa ketakwaan hanya kepadaNya mampu untuk membawa para Muslimah sekalian dan umat Islam secara keseluruhannya kepada satu perjuangan yang akhirnya akan membuahkan kemenangan dan kemerdekaan hakiki, khususnya menjelang Idulfitri, Insya Allah.
Bacaan Lanjut:
1. Demokrasi Mengorbankan Perempuan. http://hizbut-tahrir.or.id/2013/03/04/demokrasi-mengorbankan-perempuan/
2. Demokrasi Menghinakan Perempuan. http://hizbut-tahrir.or.id/2009/04/11/demokrasi-menghinakan-perempuan/
3. Khilafah Melindungi Perempuan dari Kemiskinan dan Eksploitasi. http://hizbut-tahrir.or.id/2013/02/03/khilafah-melindungi-perempuan-dari-kemiskinan-dan-eksploitasi-4/
NAFSIYAH: MERAIH KEMENANGAN DENGAN KETAKWAAN
Ucapan Perutusan Syawal Oleh: Ustazah Aisyah Rahmat, Ketua Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia.
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan rahmatNya, sekali lagi kita menyambut ketibaan Syawal tahun ini. Dengan izinNya jua, kita berjaya melalui bulan Ramadhan dengan penuh rasa ketakwaan kepada Allah S.W.T. Ketaatan dan ketakwaan yang diraih daripada ibadah berpuasa kita di bulan Ramadhan wajar kita buktikan di hadapan Allah S.W.T di sepanjang masa selain Ramadhan, apatah lagi di bulan Syawal iaitu bulan kemenangan bagi umat Islam. Ketaatan dan ketakwaan ini mestilah dibuktikan dengan melakukan sekurang-kurangnya tiga perkara:
Pertama, setiap Muslim mestilah menjaga dan meningkatkan kuantiti dan kualiti taqarrub ilallah, menjauhi perkara-perkara syubhat dan memperbanyak amalan-amalan kebajikan. Cara ini diharapkan mampu menjaga ketakwaan individu setiap Muslim. Penjagaan ketakwaan ini malah akan sempurna jika masyarakat dan negara turut sama berperanan dalam menggalakkan dan melaksanakan hukum Allah bukannya menggalakkan dan melaksanakan sistem kufur seperti yang ada sekarang.
Kedua, setiap Muslim mestilah melibatkan diri atau bergabung dalam organisasi dakwah Islam yang benar-benar ikhlas lillahi ta’ala untuk menegakkan agamaNya. Dengan keterlibatan bersama kelompok orang-orang yang bertakwa, seorang Muslim itu akan sentiasa mendapat nasihat dan sokongan tatkala imannya lemah dalam mengharungi cabaran dan tentangan dalam hidupnya. Dia juga akan menjadi lebih kuat menjaga keimanan dan ketakwaannya berbanding dalam keadaan bersendirian atau bersama dengan kelompok orang-orang yang sentiasa hidup dalam kemaksiatan dan kemungkaran.
Ketiga, seorang Muslim mestilah menyedari bahawa ketakwaan bukan hanya diwujudkan dan dijaga dalam kehidupan individu sahaja, malah mesti diwujudkan dan dijaga dalam kehidupan masyarakat dan negara juga. Masyarakat dan negara yang bertakwa adalah masyarakat dan negara yang tegak atas dasar aqidah Islam dan menjadikan syariah Islam sebagai satu-satunya aturan untuk mengatur kehidupan. Ketakwaan masyarakat dan negara inilah yang akan mendidik individu-individu yang hidup di dalamnya agar bertakwa.
Melihat kepada realiti hari ini di mana umat Islam hidup dalam masyarakat yang mengamalkan maksiat dan kemungkaran serta negara yang mengamalkan sistem selain sistem yang berdasarkan aqidah Islam, adalah mustahil untuk mewujudkan individu, masyarakat dan negara yang bertakwa secara sekali gus. Jadi, keadaan masyarakat dan negara hari ini mestilah diubah menjadi masyarakat dan negara Islam. Tujuan ini hanya akan dapat dicapai jika syariah Islam diterapkan secara keseluruhan melalui pemerintahan Khilafah Islamiyah. Ini adalah kerana, hanya sistem Khilafah Islamiyah sahajalah yang berdiri atas aqidah Islam yang akan menjadikan Islam sebagai satu-satunya aturan untuk mengatur kehidupan masyarakat.
Wahai Muslimah sekalian!
Marilah kita bersegera dalam usaha untuk menegakkan Khilafah Islamiyah. Dengannya nanti seluruh umat Islam akan hidup dalam suasana ketakwaan dan kemenangan di dunia dan di akhirat. Sambutlah kemenangan dengan syariah dan Khilafah.
SERIKANDI TELADAN
HINDUN BINTI ‘UTHBAH: MERDEKA DARIPADA KEJAHILAN DAN MENUJU KEPADA ISLAM
Muqaddimah
Sudah bertahun lama hatinya tidak tunduk kepada perintah Allah S.W.T, juga tidak terpanggil untuk menyahut seruan Rasulullah S.A.W. ke arah kemakrufan. Sudah bertahun lama jugalah beliau membenci agama Islam dan menghabiskan masanya dalam permusuhan yang sangat besar kepada Rasulullah S.A.W., Islam dan kaum Muslimin seluruhnya. Siang dan malam, beliau sentiasa memikirkan rencana-rencana untuk memerangi Rasulullah S.A.W. dan kaum Muslimin lebih-lebih lagi setelah kaum kerabatnya turut terkorban ketika peperangan Badar.
Namun demikian, kegelapan hidup yang beliau lalui menjadi terang ketika mana kebenaran datang menyelubungi dirinya dan kebatilan lenyap meninggalkan dirinya. Allah S.W.T. telah mengizinkan beliau untuk mendapat hidayah dengan memeluk agama yang suci ini (agama Islam) sehingga beliau terus melupakan semua kesyirikan dan kesombongan yang ada padanya ketika zaman jahiliyah. Hal ini membenarkan firman Allah S.W.T. dalam surah Yunus ayat 25 yang bermaksud, “Allah menyeru manusia ke Darussalam (syurga) dan menunjuki orang yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (Islam)”.
Wanita ini ialah Hindun binti ‘Uthbah bin Rabiah bin Abdi Syams al-Abasiyah al-Qurasyiyah. Beliau merupakan isteri kepada Abu Sufyan bin Harb, antara lelaki yang berkuasa di Mekah dan ibu kepada Mu’awiyah bin Abu Sufyan iaitu Khalifah pertama Bani Umayyah. Beliau antara serikandi daripada kalangan wanita Quraisy yang tajam fikiran dan mendalam kecerdasan mindanya. Hal ini dikatakan sendiri oleh az-Zahabi bahawa, “Hindun adalah salah seorang wanita Quraisy terbaik dan terpandai”. Beliau mempunyai keinginan yang tinggi, fasih dan jelas dalam berbahasa, ahli syair serta berani dalam setiap aspek. Beliau lahir sebagai bangsawan Quraisy sehingga menjadikan beliau angkuh dengan kesenangan yang beliau kecapi (ketika jahiliyah) dan sangat keras keinginannya.
Zaman Jahiliyah
Nama Hindun binti ‘Uthbah amat terkenal dalam lipatan sejarah sama ada sebelum keIslamannya mahupun setelah keIslamannya. Kebencian terhadap Islam sudah mula bersarang dalam hatinya sejak dari awal munculnya Rasulullah S.A.W. bersama dakwahnya. Kebencian itu berubah menjadi dendam apabila ayah, bapa saudaranya dan saudara kandung lelakinya di bunuh dalam peperangan Badar sehingga beliau bernazar untuk memakan hati si pembunuh itu.
Kaum wanita Quraisy turut sama menyimpan dendam terhadap kaum Muslimin atas pembunuhan kaum kerabat mereka. Maka, ketika perang Uhud, beberapa orang wanita Quraisy menyatakan diri akan bergabung dengan para lelaki dan Hindun binti ‘Uthbah mengambil kedudukan di barisan paling hadapan para wanita ini kerana beliaulah yang paling terbakar dendam ketika itu. Beliau sentiasa memberikan semangat kepada kaum lelaki untuk mara ke hadapan medan peperangan melalui syair-syairnya. Dalam peperangan ini juga, Hindun telah berjanji kepada Wahsyi, hamba Jubair bin al-Muth’im untuk menghadiahkannya perhiasan, emas dan harta lain jika dapat membunuh Hamzah bin Abdul Muthalib kerana dia telah membunuh orang yang paling dicintai iaitu ayahnya, ‘Uthbah bin Rabiah.
Ibnu Ishaq berkata, “Hindun dan para wanita Quraisy mencincang-cincang korban dari sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. dan memotong telinga-telinga dan hidung-hidung mereka yang kemudian dijadikan sebagai gelang kaki, kalung dan cincin lalu diberikannya kepada Wahsyi. Hindun juga mengambil hati Hamzah bin Abdul Muthalib dan mengunyahnya namun tidak mampu untuk menelannya.”
Hindun masuk Islam
Akhirnya, setelah mengobarkan api permusuhan selama lebih dari 20 tahun, Allah S.W.T. membuka hati Hindun untuk menerima Islam pada satu malam setelah keislaman Abu Sufyan. Beliau berkata kepada suaminya, Abu Sufyan, “Aku ingin menjadi pengikut Muhammad.” Abu Sufyan membalas, “Semalam aku masih melihat engkau sangat benci mengucapkan kata-kata seperti ini.” Hindun membalas, “Demi Allah! Sebelum malam ini, aku tidak pernah melihat Allah disembah sedemikian baiknya di masjid ini. Demi Allah! Mereka datang hanya untuk solat, berdiri, rukuk dan sujud.” Hal ini berlaku ketika pembukaan kota Mekah yang dihadiri Rasulullah S.A.W dan pasukan kaum Muslimin.
Ketika Allah S.W.T. memberi kemenangan kepada Rasulullah S.A.W. dan kaum Muslimin, penduduk kota Mekah menyedari kebenaran yang selama ini mereka ingkari. Mereka mengetahui bahawa tiada jalan keselamatan selain Islam. Kerana itu mereka bersedia memeluknya dan berkumpul untuk berbai’at (menyatakan janji setia) kepada Rasulullah S.A.W. Pembai’atan ini berlaku bukan sahaja daripada kalangan kaum lelaki, tetapi turut dihadiri kaum wanita. Antara kaum wanita yang berbai’at ialah Hindun binti ’Uthbah yang datang dengan memakai cadar kerana takut dikenali oleh Rasulullah S.A.W. akibat tindakannya terhadap Saidina Hamzah r.a pada masa lalu, namun akhirnya beliau tetap dikenali oleh baginda S.A.W. juga.
Setelah itu, beliau menjadi seorang wanita ahli ibadah, rajin solat malam dan berpuasa. Beliau sangat konsisten dengan status barunya sampai tiba saat yang membawa kegelapan bagi seluruh bumi ini, iaitu ketika Rasulullah S.A.W. wafat. Hindun sangat terpukul, hatinya nyaris hancur kerana merasakan dirinya terlalu lama memusuhi Rasulullah S.A.W. dan baru sahaja boleh menerima Islam. Namun demikian, Hindun tetap mempertahankan keIslamannya dengan baik. Beliau tetap menjadi seorang ahli ibadah dan menjaga janji setia yang pernah diucapkannya di hadapan Rasulullah S.A.W.
Beliau merasakan tidak cukup menunaikan janji setia kepada Rasulullah S.A.W hanya sekadar dengan tidak menyekutukan Allah S.W.T sahaja. Beliau rasa terpanggil untuk bersama kaum Muslimin yang lain untuk menyertai jihad fi sabilillah dan dengan izin Allah S.W.T., beliau berkesempatan menyertai peperangan Yarmuk. Dalam peperangan ini, beliau memainkan peranan yang tidak kalah hebatnya.
Ibnu Jarir menyatakan, “Pada hari itu, kaum Muslimin bertempur habis-habisan. Mereka berhasil menewaskan pasukan Romawi dalam jumlah yang sangat besar. Sementara itu, kaum wanita menghalau setiap tentera Muslim yang terdesak dan mundur dari medan perang. Mereka berteriak, ‘Kalian mahu pergi ke mana? Apakah kalian akan membiarkan kami ditawan oleh pasukan Romawi?’ Siapa pun yang mendapat kecaman yang pedas seperti itu, pasti kembali menuju ke kancah pertempuran.”
Tentera Muslim yang sebelumnya tadi hampir melarikan diri, kembali bertempur sekali gus hal ini membangkitkan semangat pasukan yang lain. Mereka benar-benar terbakar oleh kecaman pedas yang diteriakkan oleh kaum wanita, terutamanya Hindun binti ’Uthbah. Dalam suasana seperti itu, Hindun menuju barisan tentera sambil membawa tongkat pemukul tabuh dengan diiringi oleh wanita-wanita Muhajirin. Hindun membaca bait-bait syair yang pernah dibacanya dalam perang Uhud ketika zaman jahiliyahnya dahulu.
Subhanallah! Kisah sahabiyah kali ini membenarkan apa yang dikatakan Rasulullah S.A.W. dari Abu Hurairah r.a di mana baginda bersabda, “Manusia itu ibarat logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyah, terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham (Islam)” [HR Bukhari dan Muslim no. 1540].
Khatimah
Demikianlah kehebatan Hindun binti ‘Uthbah. Ternyata agama yang dibencinya dahulu telah memuliakannya dengan sebenar-benar kemuliaan. Ketika Allah S.W.T membukakan hatinya untuk menerima Islam, maka terserlahlah keperibadiannya yang menonjol dalam dunia kewanitaan. Di jalan Allah, dia tidak lagi menumpahkan darah tanpa hak, tiada lagi sifat liarnya dan hatinya menjadi tenteram bersama Islam. Beliau berusaha sedaya-upaya untuk menenggelamkan noda-noda jahiliyahnya dan menampilkan dirinya sebagai susuk sahabat wanita yang sangat istimewa. Allah S.W.T. membersihkan jiwanya dari kedengkian, membebaskan hatinya dari kebencian, menyingkap fikirannya dari tabir jahiliyah, dan melepaskan pengetahuannya dari kebatilan sehingga, beliau tidak lagi mengikuti keyakinan yang menyimpang dan mempraktikkannya dalam kehidupan nyata.
Sungguh, inilah erti sebenar kemerdekaan yang patut semua umat Islam kini faham, iaitu keluar dari pemikiran jahiliyah/sekular menuju pemikiran Islam serta keluar dari ketundukan kepada sistem jahiliyah/demokrasi menuju ketundukan kepada Allah S.W.T. Ketundukan ini bukan semata-mata dari aspek hubungan manusia dengan Allah (aqidah) dan dengan diri sendiri (ibadah mahdhah) sahaja, malah turut juga meliputi aspek hubungan manusia dengan manusia lain yang mana ianya merangkumi sistem uqubat (hukum-hakam jenayah) dan mu’amalat (interaksi antara manusia). Erti sebenar kemerdekaan juga bermaksud bebasnya umat Islam daripada batas sempadan dan belenggu negara-bangsa sekarang kepada negara yang satu yang diwajibkan ke atas umat Islam iaitu Khilafah Islamiyah. Ya, inilah erti sebenar kemerdekaan menurut Islam!
Wallahu’alam.
Sumber:
1)70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad S.A.W. Abu Azka al-Madani. Harun Arrasyid Hj Tuskan. Al-Hidayah.
2) Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam Jilid II. Abu Muhammad Abdul Malik Bin Hisyam al-Muafiri. Darul Fikr.
3) http://sunnah.com/riyadussaliheen/18 diakses pada 11 Julai 2013
4) http://doandzikir.wordpress.com/2012/06/07/biografi-hindun-binti-utbah/ diakses pada 7 Julai 2013
5) http://www.majalah-alkisah.com/index.php/dunia-islam/1718-hindun-binti-utbah-akhirnya-rasulullah-memuliakannya diakses pada 10 Julai 2013
FIKIH : PUASA QADHA DAN PUASA SUNAT, MANA SATU YANG PATUT DIDAHULUKAN?
Soalan:
Antara puasa qadha (ganti) bulan Ramadhan dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, yang mana patut didahulukan?
Jawapan:
Pengertian dan Hukum Berpuasa
Pengertian puasa (saum) dari segi bahasa ialah “menahan diri”. Dari segi istilah syarak, puasa bermaksud “menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari”. Puasa merupakan kewajipan kepada setiap orang Islam berdasarkan nas yang jelas daripada Al-Quran dan hadis. Sebagaimana firman Allah S.W.T yang berbunyi :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa” [TMQ al-Baqarah (2):183].
Ayat ini menjelaskan bahawa setiap orang beriman, baik lelaki mahupun perempuan, jika sudah sampai umur, maka wajib berpuasa pada bulan Ramadhan. Bagi sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana keimanannya, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya. Sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W, “Siapa saja yang berpuasa Ramadhan kerana keimanan dan keikhlasan semata-mata mengharapkan redha Allah akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” [HR al-Bukhari].
Puasa Qadha Bulan Ramadhan
Puasa qadha ialah puasa yang ditinggalkan semasa bulan Ramadhan atas sebab-sebab tertentu seperti perempuan kedatangan haid dan nifas, perempuan yang mengandung dan menyusukan anak, orang yang sakit, musafir dan sebagainya. Bagi sesiapa yang tidak dapat mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan hendaklah dia menggantikan puasanya pada hari-hari lain, sebagaimana firman Allah S.W.T.
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa ganti) sebanyak hari yang ditinggalkan itu, pada hari-hari yang lain dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin. Barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” [TMQ al-Baqarah (2):183-184].
Mengqadha puasa sah dilakukan secara berturut-turut atau berselang tanpa ada pengutamaan atas salah satu daripada keduanya. Puasa juga sah diqadha secara langsung setelah hari raya Idul Fitri. Puasa juga sah diakhirkan hingga bulan Syaaban, beberapa hari sebelum datangnya Ramadhan yang berikutnya. Semua itu boleh dilakukan dan tidak ada halangan atau dosa di dalamnya. Dalil atas hal itu adalah firman Allah S.W.T:
“Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa ganti) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain” [TMQ al-Baqarah (2):184].
Ayat ini menetapkan qadha puasa secara mutlak: “maka (wajiblah baginya berpuasa ganti) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain”, tanpa menyebutkan batasan (taqyid) dan pengkhususan (takhsis) apa pun, sehingga qadha puasa ini bersifat umum tanpa takhsis mutlak dan tanpa taqyid, bagaimanapun caranya dilakukan maka hal itu di bolehkan.
Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah disunatkan bagi seorang Muslim untuk mengerjakannya setelah selesai puasa Ramadhan. Bagi sesiapa yang mengerjakan puasa ini maka (pahalanya) seolah-olah dia telah berpuasa setiap hari sepanjang tahun. Dari Abu Ayub al Anshari r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diikutinya dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka (ganjarannya) seperti berpuasa ad-dahru (puasa tiap hari sepanjang tahun)” [HR. Muslim [2758], Abu Dawud, Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan ad.Darimi].
Apa yang sering menjadi persoalan adalah, puasa yang mana patut didahulukan? Apakah puasa qadha Ramadhan atau puasa sunat enam hari? Untuk membincangkan perkara ini, terdapat dua pendapat yang akan dikemukakan.
Pendapat pertama: Boleh melakukan puasa sunat enam hari terlebih dahulu sebelum mengqadha puasa Ramadhan. Pendapat ini berdasarkan perbuatan Aisyah (isteri Rasulullah) yang pernah mengakhiri hutang puasa Ramadhannya hingga ke bulan Syaaban.
Dari Khuzaimah, Tirmidzi dan Ahmad dari Aisyah r.a, dia berkata,
“Aku tidak mengqadha puasa Ramadhan-ku kecuali pada bulan Syaaban, hingga Rasulullah S.A.W dimakamkan.”
Tindakan Aisyah ini menunjukkan bolehnya berpuasa sunat Syawal terlebih dahulu walaupun masih memiliki hutang puasa Ramadhan. Hal ini sesuai dengan nas kerana puasa qadha boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja berdasarkan keumuman dalil “…maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain…” [TMQ al-Baqarah (2):184].
Pendapat kedua: Mesti mengqadha puasa Ramadhan terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan pada awal risalah ini, yang berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari pada bulan Syawal maka (ganjarannya) seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah S.A.W menyatakan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari pada bulan Syawal” yang (boleh) membawa pengertian bahawa puasa Ramadhan perlu digenapkan (dengan menqadha hari-hari yang ditinggalkan, jika ada), kemudian barulah diikuti dengan puasa sunat enam Syawal.
Kesimpulan
Sekiranya diteliti dan diperhalusi, maka tidak ada masalah untuk mengerjakan yang mana dahulu, kerana tidak ada nas yang mengutamakan (melebihkan darjat) salah satu dari keduanya untuk dilaksanakan terlebih dahulu. Pendapat pertama disokong oleh keumuman dalil Al-Quran manakala pendapat kedua dikuatkan atas aspek ‘kebahasaan’ sesuatu hadis. Namun, seseorang itu seharusnya bersegera mengqadha puasanya kerana ia adalah “hutang” kepada Allah yang wajib dibayar tatkala ia masih ada masa, kekuatan, kelapangan dan kemudahan untuk mengerjakannya kerana ia tidak tahu bilakah kesakitan atau kematian akan menimpanya yang menyebabkan hutangnya mungkin tidak berbayar.
Ini berdasarkan sebuah hadis di mana seorang lelaki berjumpa dengan Rasulullah S.A.W, lalu dia berkata: “Ya Rasulullah sesungguhnya ibuku telah mati dan dia ada berhutang puasa sebulan puasa. Adakah aku perlu mengqadakan puasanya?” Rasulullah S.A.W menjawab: “Ya, hutang Allah lebih patut untuk dibayar” [Hadis sahih Bukhari dan Muslim].
Puasa qadha juga diutamakan sehinggakan sekiranya seseorang meninggal dunia sebelum mengqadha puasanya, maka warisnya wajib berpuasa untuknya. Rasulullah S.A.W bersabda, “Siapa meninggal sedangkan ia (masih) dalam kewajipan berpuasa, maka walinya (kerabatnya) berpuasa untuknya” [HR Bukhari dan Muslim].
Rujukan:
1. Tuntutan puasa berdasarkan Qur’an dan hadis. Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah. 3,169, 171, 208
2. Shaum yang menghapus dosa. (al-wa’ie) no 74 oktober 2006. 59