Forum Kecantikan di Ipoh Mengangkat Isu Kecantikan Menurut Islam
Forum bermula dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu Surah Al-Ahzab ayat 31-36 yang dibacakan oleh saudari Nasuha. Forum pada kali ini telah menampilkan dua aktivis Hizbut Tahrir Malaysia iaitu Ustazah Amani Abdullah dan Ustazah Nurain Abdul Rahman.
Forum telah dijalankan sebanyak dua pusingan. Pada pusingan pertama, Ustazah Amani selaku ahli panel pertama telah mengungkap secara jelas akan bahayanya menjadikan citra perempuan Barat sebagai citra perempuan ideal bagi kaum perempuan khususnya Muslimah. Ustazah Nurain selaku ahli panel kedua pula mendedahkan tindakan pihak sekular-kapitalis dalam mempengaruhi kaum Muslimah agar menerima konsep kecantikan yang diwar-warkan mereka dan menjelaskan bahawa idea-idea tersebut telah disebarkan ke negeri-negeri Muslim.
Pusingan kedua forum dirancakkan lagi apabila Ustazah Amani menjelaskan bahaya mitos kecantikan kepada hadirin dengan mengungkapkan satu-persatu agenda kufar untuk mencegah kembalinya Islam sebagai panduan hidup kaum Muslimin. Seterusnya Ustazah Nurain menjelaskan bagaimana Muslimah sewajarnya menilai diri mereka dan tampil cantik sesuai ketentuan syarak. Hadirin dimaklumkan bahawasanya seorang muslimah sejati seharusnya tidak merasa terbelenggu dengan rasa rendah diri akibat dari penampilan fizikal, perihal kehidupan peribadi dan mentaliti diri yang diacu oleh pemikiran yang bersumber dari aqidah sekularisma.
Kehangatan forum jelas terasa apabila para hadirin tidak melepaskan peluang untuk mengajukan persoalan kepada ahli panel.
Dikesempatan ini, pihak MHTM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para hadirin serta ahli jawatankuasa selaku tenaga penggerak yang bekerjasama dalam usaha mencerahkan pemikiran umat ini sebagai satu bentuk kewajipan dakwah yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Semoga forum kali ini membawa mesej yang jelas akan kedudukan seorang muslim di sisi Allah bilamana ia taat dan menjalankan segala yang diperintahkan oleh Penciptanya berdasarkan firmanNya:
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu.” [TMQ al-Hujurat (49]: 13]