Glasgow 2014 – Kelalaian Yang Merugikan
Wajarkah kita begitu asyik bertemasya sewaktu saudara seakidah kita sedang berdepan dengan bedilan bom, serangan udara dan ancaman tentera rejim Zionis di Gaza di sepanjang masa? Adakah cukup dengan hanya memakai sarung tangan yang bertuliskan “selamatkan Gaza” sebagai tanda solidariti semata-mata? Jelaslah bahawa umat Islam secara umumnya telah dilalaikan dengan pesona dunia sehingga gagal untuk meletakkan apakah kewajipan dan keutamaan mereka dalam kehidupan. Sungguh menghairankan apabila para penguasa umat Islam sanggup menghantar kontinjen atlet untuk menghadiri temasya yang dianjurkan oleh negara kuffar bekas penjajah utama tanah kaum Muslimin sedangkan pada saat ini sepatutnya mereka menghantar ketumbukan bala tentera untuk membebaskan Palestin daripada kezaliman entiti haram Israel.
Negeri-negeri kaum Muslimin begitu ghairah mengeluarkan belanja yang begitu besar dalam melatih dan membangunkan atlet-atlet untuk meraikan ‘laghwun munadzzhomun’, sedangkan pada hakikatnya ia bukanlah satu keperluan bahkan menjauhkan umat daripada kebangkitan yang sebenar. Benar, senaman dan aktiviti bersukan itu merupakan satu keperluan dalam memastikan tahap kesihatan serta kecergasan kita berada dalam keadaan yang baik. Namun, keperluan tersebut bukanlah dalam bentuk industri sukan yang bermotifkan keuntungan dalam sistem kapitalis atau dijadikan kerjaya yang mendatangkan pendapatan di mana gajinya pula jauh lebih besar dan lumayan berbanding mana-mana bidang lain yang diperlukan umat.
Sedarlah wahai kaum Muslimin, sesungguhnya kita sudah terlalu lama terpesona dengan kehidupan duniawi yang dicorakkan oleh kaum kuffar sehingga mengabaikan kewajipan utama dan matlamat hidup kita. Apakah hujah kita di hadapan Allah di Hari Pengadilan kelak sewaktu kita diminta pertanggungjawaban lantaran kealpaan kita di dunia yang fana ini? Sudah sampai masanya untuk kaum Muslimin sedar dan kembali semula ke landasan perjuanagan yang sebenar. Wallahu a’lam.