Golongan Ibu Tunggal Jadi Bahan Kempen

Dalam keghairahan pemerintah dan pembangkang berkempen dalam pesta demokrasi setiap 5 tahun ini, pelbagai janji terus dihamburkan di sana sini. Terbaru, para ibu tunggal dijanjikan dengan kad diskaun untuk membeli barang-barang keperluan mereka jika Barisan Nasional diberi semula mandat oleh rakyat pada PRU-13 kali ini[1]. Semua orang faham bahawa ini adalah antara umpan pilihanraya yang telah sekian lama digunakan oleh pemerintah untuk memancing undi. Malahan perkara ini telah ditempelak oleh pembangkang dengan menyatakan bahawa tindakan Najib ini adalah sebahagian daripada politik wang dan SPRM serta SPR telah diminta untuk bertindak terhadapnya [2].  Isu ibu tunggal sering dimainkan oleh pemerintah dan pembangkang. Masing-masing cuba untuk menonjolkan diri sebagai pembela golongan ini tanpa melihat apakah tindakan sebenar yang sepatutnya dilakukan oleh mereka. Memang benar, ibu-ibu tunggal merupakan golongan yang perlu dibantu, akan tetapi mereka bukan satu-satunya golongan yang perlu diberi fokus, sebaliknya perlu dilihat rakyat per individu secara keseluruhan. Daripada statistik setiap tahun, kita menyaksikan jumlah kes perceraian yang semakin meningkat yang akhirnya membawa kepada penambahan jumlah golongan ibu tunggal ini. Sebab-sebab kepada perceraian ini langsung tidak diberi perhatian dan diselesaikan memandangkan inilah punca sebenar kepada peningkatan dan kesengsaraan golongan ibu tunggal ini. Tidak dinafikan, kes-kes seperti kematian suami adalah sebahagian daripada penyumbang, namun jumlahnya adalah terlalu kecil berbanding dengan kes-kes perceraian.

Institusi kekeluargaan perlu diambil perhatian serta sistem sosial dalam masyarakat yang sedang rosak dan semakin parah harus dibuang serta digantikan dengan sistem sosial Islam. Sistem pergaulan serta sistem sosial yang parah inilah yang menghantar kepada meningkatnya jumlah perceraian yang berlaku saban tahun. Menurut statitik pada tahun 2009 daripada JAKIM,  dalam tempoh setiap 15 minit akan berlaku 1 pasangan Islam bercerai  di Malaysia! [3] Angka ini pastinya amat merisaukan semua pihak. Apabila diteliti kepada sebab-sebab perceraian yang berlaku, kebanyakannya adalah disebabkan oleh lemahnya pemahaman dan pelaksanaan Islam di kalangan umat Islam dalam keluarga dan masyarakat. Antaranya, pergaulan yang tiada batas antara lelaki dan perempuan yang biasa diamalkan semasa bujang masih lagi terus diamalkan sehingga selepas berkahwin, di samping masalah ekonomi dan lain-lain.

Segala kebobrokan yang kita saksikan ini hanyalah sebahagian daripada simptom-simptom kepada masalah utama negara. Punca utama kepada seluruh masalah ini adalah kerana gagalnya pemerintah dalam menerapkan dan melaksanakan hukum-hakam Islam dalam pemerintahan. Kesan daripada kegagalan ini bukan sahaja tidak akan menyelesaikan segala masalah yang timbul, malah akan menjuruskan masyarakat kepada kehancuran dan yang pastinya akan mengundang murka Allah. Siapakah yang mampu membimbing, menerapkan dan menguatkuasakan sistem pergaulan dan sistem sosial Islam jika bukan pemerintah negara itu sendiri? Sama-samalah kita melakukan perubahan yang hakiki dengan menyeru kepada penerapan hukum Islam secara kaffah (menyeluruh) yang pastinya akan menyelamatkan umat ini daripada kehancuran. Wallahu a’lam.

Rujukan:
1.    Utusan Online, http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130419/dn_02/Ibu-tunggal-dapat-kad-diskaun#ixzz2QurjyMZN
2.    Harakah Daily, http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/18448-bagi-umno-wanita-layak-terima-kad-diskaun-sahaja
3.    Berita Harian Online,  http://www.bharian.com.my/bharian/articles/1perceraiansetiap15minit_Mashitah/Article/index_html