Gubal Undang-undang Petroleum – Nik Aziz Keliru

Gubal undang-undang baru petroleum

KOTA BHARU 18 Nov. – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendesak agar undang- undang mengenai petroleum digubal semula bagi mengembalikan hak dan keadilan kepada kerajaan negeri Kelantan. Beliau berkata, peruntukan yang ada selama ini tidak mengambil kira kaedah keadilan asasi dan hanya mementingkan ‘maslahah’ sebelah pihak semata-mata.

”Dengan mengetepikan kaedah keadilan asasi, ia akan menimbulkan perasaan dendam, penindasan dan kezaliman,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.  Beliau mengulas isu royalti petroleum yang dituntut Kelantan yang menimbulkan perdebatan hangat di Dewan Rakyat semalam.  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa menggulung perbahasan semalam menegaskan, tindakan kerajaan Pusat memberikan wang ihsan kepada Kelantan adalah mengikut lunas undang-undang berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Menurut Mohamed Nazri, kerajaan sedia berhadapan tindakan mahkamah oleh kerajaan Kelantan yang bertegas mendakwa layak mendapat royalti dan bukannya wang ihsan.  Nik Abdul Aziz berkata, sama seperti balak dan logam, petroleum adalah kurniaan Allah secara semula jadi di bumi Kelantan tanpa sedikit pun campur tangan manusia.  ”Maka negeri ini berhak menjadi tuan punya kepada kurniaan itu sama seperti balak, logam dan lain-lain yang berada di muka bumi atau di perut bumi.  ”Sebarang perselisihan dan pertikaian yang timbul dalam perkara ini mestilah diselesaikan dengan kaedah keadilan asasi,” ujar beliau.  Dalam hal itu katanya, kerajaan Pusat boleh melaksanakan kaedah supaya sebahagian hasil dapat dimiliki bersama seperti dalam bentuk cukai pendapatan, namun hak pemilik sebenar mesti diambil kira.

Sumber: Utusan Malaysia 19/11/09

Gubal Undang-Undang Baru Petroleum Atau Terapkan Sistem Ekonomi Islam? Nik Aziz Keliru

Agak pelik apabila Nik Aziz mengesyorkan penyelesaian isu minyak di Kelantan dengan kaedah keadilan asasi. Apakah yang beliau maksudkan dengan keadilan asasi itu? Apakah ianya bermaksud penyelesaian secara Islam atau akal manusia?  Dalam pandangan sistem ekonomi Islam, harta kekayaan yang ada di bumi ini tidaklah bebas untuk dimiliki oleh individu, sebagaimana yang ada dalam pemahaman sistem ekonomi kapitalisme. Pandangan Islam juga tidak seperti sosialisme, yang memandang bahawa harta kekayaan yang ada di bumi ini hanyalah untuk dimiliki oleh negara. Di dalam sistem ekonomi Islam, status kepemilikan terhadap seluruh harta kekayaan yang ada di bumi ini dapat dikategorikan kepada 3 bahagian:

Pertama: Kepemilikan individu, iaitu hukum syara’ yang berlaku bagi zat atau manfaat tertentu, yang memungkinkan bagi yang memperolehnya untuk memanfaatkannya secara langsung atau mengambil kompensasi (’iwadh) dari barang tersebut.

Kedua: Kepemilikan umum, iaitu izin asy-syar’i kepada suatu komuniti untuk bersama-sama memanfaatkan suatu benda.

Ketiga: Kepemilikan negara, iaitu harta yang tidak termasuk kategori milik umum melainkan milik individu, namun barang-barang tersebut terkait dengan hak kaum muslimin secara umum.

Dari pembahagian di atas Islam telah mengkategorikan petroleum sebagai harta milik umum (milkiyyah al-’ammah) dalam erti kata syara’ telah memberi izin untuk rakyat menggunakan dan memanfaatkannya secara bersama tidak sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan sekular Kapitalis hari ini yang memilik individukan petroleum kepada kepada syarikat swasta seperti Petronas. Dalam kedudukan hari ini  rakyat hanya ’digula-gulakan’ dalam bentuk wang ihsan ataupun royalti. Justeru itu jika isu minyak di Kelantan diselesaikan dengan penyelesaian Islam maka sudah pasti tidak akan timbul isu wang ihsan mahupun royalti.

Hari ini para pemimpin sekular tidak akan menerapkan Islam. Apa yang kita sebagai umat Islam perlu adalah Daulah Khilafah yang akan menerapkan Islam secara syumul. Penerapan syumul ini akan mewujudkan kesejahteraan dan rahmat bagi seluruh alam. Berbeza dengan sistem kapitalisme hari ini yang diterapkan hanya untuk mensejahterakan kroni-kroni tertentu sahaja!

Wahai seluruh umat Islam!  Petroleum adalah milik seluruh umat Islam. Di dalam Islam, Asy-Syaari’ (Allah Subhanahu wa Ta’ala) telah menetapkan bahawa petroleum adalah termasuk dalam hak milik awam (milkiyyah al-‘ammah), dan bukannya hak milik negara atau negeri. Hak milik awam atau harta benda awam (public properties) adalah suatu ‘aset’ yang mana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan pemilikan(ownership)nya kepada semua Muslim secara sama rata. Allah membenarkan setiap individu muslim ‘memanfaatkannya’ (menggunakannya), tetapi setiap individu itu dilarang ‘memilikinya’. Di dalam Islam, aset (harta benda awam) ini dapat digolongkan kepada tiga kategori:-

(1) Keperluan awam (public utilities), yang mana masyarakat bergantung kepadanya di dalam kehidupan;

(2) Aset atau sumber alam yang sifat (semula jadi) kejadiannya tidak membolehkan ia dimiliki oleh individu secara perseorangan (contohnya sungai, tasik, laut, terusan, jalan raya, tempat letak kereta awam, masjid, musolla, Mina, Arafah, Muzdalifah dan seumpamanya); dan

(3) Bahan galian atau mineral yang banyak atau berlebih-lebihan dan bekalannya tidak putus (contohnya petroleum, gas, emas, bijih timah dan yang seumpamanya)

Semua aset di atas adalah hak milik awam (milkiyyah ‘ammah) yang mesti dikongsi bersama oleh anggota masyarakat dan tidak boleh (haram) dimiliki oleh mana-mana individu, syarikat swasta mahupun negara, apatah lagi dimiliki untuk dikaut keuntungannya (sebagaimana berlaku sekarang). Petroleum termasuk ke dalam ketegori yang ke-3, iaitu bahan galian dalam kuantiti yang banyak. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan perkara ini dalam satu hadis.

Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud]. Anas r.a pula meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas r.a tersebut dengan tambahan, “wa tsamanuhu haram” (dan harganya adalah haram). Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api” [HR Ibnu Majah]. Air, padang ragut dan api (tenaga) adalah tiga perkara yang Rasulullah SAW benarkan bagi semua orang untuk berkongsi di dalamnya dan baginda melarang mana-mana orang menghalangi orang lain dari menggunakannya. Tidak ada seorang manusia pun boleh ‘mengindividukan’ atau menswastakan suatu aset yang Allah telah sediakan kepada awam. Desakan Nik Aziz itu tidak akan ada nilainya jika Islam tidak dijadikan asas.