Gus Dur diberi rawatan

JAKARTA 12 Ogos – Bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid (gambar) yang mengalami masalah kesihatan menjalani rawatan susulan di Hospital Cipto Mangunkusumo (RSCM) di Jakarta hari ini, selepas beberapa hari pulang ke kediamannya di Ciganjur.
 

“Rawatan dan pemantauan ke atas keadaan kesihatannya masih belum tamat,” kata pembantu perubatannya, Banbang Susanto yang dihubungi melalui telefon.

Katanya, bekas presiden itu, yang lebih dikenali sebagai Gus Dur, dirawat oleh sekumpulan doktor diketuai seorang pakar neurologi, Prof. Yusuf Misbach.

Gus Dur sebelum ini dibawa ke RSCM kerana keadaan kesihatannya tidak stabil selama tiga hari.

Selain rawatan hemodialisis yang dijalaninya secara rutin, Gus Dur dirawat di RSCM sejak 1 Julai.

Prof. Yusuf Misbach berkata, Gus Dur sedang menderita penyakit neurologikal yang mana dia akan merasa sakit apabila kulitnya disentuh. – Agensi

Bertaubatlah kepada Allah!

Musibah yang ditimpakan Allah ke atas hamba-hamba-Nya adalah supaya hamba tersebut kembali sedar dan bertaubat kepada-Nya, sebagaimana firman Allah, yang maksudnya, ”Telah nampak kerosakan di darat dan laut akibat daripada perbuatan manusia sendiri, supaya Kami merasakan kepada mereka akan sebahagian yang mereka lakukan dan supaya mereka kembali (bertaubat dan patuh kepada-Nya)”. Sekiranya musibah tersebut hanya terkena kepada mana-mana individu maka individu tersebut seharusnya segera kembali kepada Allah dan menyesali segala tindak-tanduknya selama ini dalam mengabaikan segala suruhan dan larangan Allah. Kata Saidina Umar, ”Hisablah dirimu sebelum dirimu dihisab oleh Allah”. Buat Gus Dur bekas presiden Indonesia ini, ibaratnya adalah seperti nasi sudah menjadi bubur, kuasa sudah terlepas dari tangan, harapan dan cita-cita yang menggunung hanya menjadi angan-angan kosong saat ini. Apa yang sepatutnya beliau lakukan adalah bergegas untuk bertaubat dengan taubat nasuha dan memperbaiki semua amalan buruk dan batilya yang telah lalu dengan melipatgandakan kebaikan dan dakwah mengajak umat kembali kepada Islam dengan  menegakkan semula Khilafah Islamiyyah. Jika dahulu  beliau menzalimi para pendakwah dan membuat fitnah ke atas mereka, maka sekarang beliau haruslah kembali berhadapan dengan masyarakat dan menyatakan kebenaran yang cuba disembunyikannya dahulu dan berusaha serta sanggup berkorban masa, tenaga, harta, hatta nyawanya, demi menegakkan deen Islam yang suci ini sehinggalah beliau kembali  menemui Allah dalam keadaan hati yang tenang kerana telah tunduk patuh kepada semua perintah –Nya ketika hidupnya…bukan sebaliknya berkorban segalanya demi mendapat hidup yang selesa dan ’selamat’ di dunia yang fana ini dalam keadaan sombong dan takabbur kepada-Nya.