Had tempoh PM: kosmetik dalam sebuah sistem yang rosak

Cadangan kerajaan untuk meminda perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sedang dicanang sebagai satu kejayaan reformasi dan langkah bijak untuk mengelakkan salah guna kuasa. Para pemain demokrasi nampaknya sekali lagi berusaha untuk menukar drebar, cumanya kali ini dengan mengehadkan tempoh pemanduan seorang drebar yang sedang memandu sebuah kereta yang rosak, tanpa melihat kepada kerosakan keretanya yang sudah parah.

Di sebalik kerajaan Madani berusaha masuk bakul angkat sendiri dengan cadangan mereka, apakah yang perlu kita fahami daripada isu ini?:

  1. Masalah Utama Bukan “Tempoh”, Tetapi “Sistem”

Rosaknya negara ini bukan berpunca daripada berapa lama seseorang itu memegang jawatan, tetapi berpunca daripada sistem dan hukum yang diterapkan. Selagi pemimpin tersebut memerintah dalam kerangka sistem demokrasi dengan segala macam hukum kufurnya — yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia, bukannya di tangan syarak — maka kerosakan akan terus berlaku, sama ada dia memerintah selama 2 tahun mahupun 20 tahun. Mengehadkan tempoh jawatan dalam sistem yang batil tidak akan mengubah sifat kebatilan dan kerosakan sistem tersebut. Lebih-lebih lagi apabila orang yang memimpin dalam sistem itu sememangnya tidak layak memimpin.

  1. Percanggahan dengan Islam

Mengehadkan tempoh jawatan nombor satu negara adalah konsep asing yang lahir dari rahim sistem Republik Barat. Dalam usaha Barat untuk membendung pemimpin yang korup daripada terus berkuasa, maka mereka datang dengan idea pengehadan tempoh kepimpinan. Mereka berpandangan bahawa seseorang yang memegang jawatan terlalu lama akan cenderung korup dan akhirnya menjadi diktator. Mereka berpegang kepada falsafah bahawa “power corrupt, absolute power corrupt absolutely”. Atas dasar itu, mereka tidak mahu membenarkan seseorang terlalu lama memegang jawatan tertinggi negara, lalu mereka membuat undang-undang sedemikian, yang secara murni terhasil dari akal mereka semata-mata.

Dalam Islam, jawatan ketua negara (Khalifah) tidak mempunyai tempoh tertentu, dan tidak boleh dihadkan kepada tempoh tertentu, kerana tidak ada nas yang membenarkannya dihadkan sedemikian. Malah, nas yang ada menunjukkan sebaliknya.

Seorang Khalifah itu dibaiah untuk memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, dan selama mana dia berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam pemerintahannya, serta tidak gugur daripadanya tujuh syarat kelayakannya sebagai Khalifah, maka selama itulah dia akan menjadi Khalifah. Tidak ada seorang pun boleh menjatuhkannya, memberontak terhadapnya atau mengehadkan tempoh kekuasaannya, kecuali dia dengan sukarela meletak jawatan.

Sejarah turut membuktikan hal ini dengan sangat jelas, yang sekali gus menjadi nas untuk kita – bahawa Rasulullah (saw) memegang jawatan ketua negara sehingga wafat, Abu Bakar memegang jawatan Khalifah sehingga meninggal, Umar, Uthman dan Ali pun begitu juga memegang jawatan Khalifah sehingga terbunuh (meninggal). Oleh yang demikian, membuat undang-undang untuk menyekat tempoh kuasa pemimpin dengan had masa tertentu, walaupun dilihat baik pada mata manusia, namun adalah jelas menyalahi syarak.

  1. Mahkamah Mazalim sebagai badan pengawas Khalifah

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana jika seseorang Khalifah itu korup atau melakukan kezaliman atau kemaksiatan, apakah dia akan terus sahaja dibenarkan memegang jawatan dan tidak boleh dibuang? Di manakah letaknya keadilan jika begitu?

Jawapannya ialah, Islam mempunyai mekanisme “semak dan imbang” yang jauh lebih ampuh berbanding demokrasi. Dalam sistem pemerintahan Islam (Khilafah), terdapat Majlis Umat yang berfungsi untuk memuhasabah Khalifah, dan lebih kuat dari itu terdapat Mahkamah Mazalim yang berfungsi mengawasi tugas Khalifah dan berkuasa memecat Khalifah jika terbukti Khalifah melakukan kefasikan, kemaksiatan atau kezaliman. Dengan kata lain, seorang Khalifah boleh dipecat serta-merta oleh Mahkamah Mazalim jika terbukti dia telah melanggar hukum syarak secara nyata.

Dalam sebuah pemerintahan Islam, rakyat tidak perlu menunggu “tamat penggal” dan terus menanggung penderitaan di bawah kezaliman Khalifah, tidak sebagaimana sistem demokrasi di mana rakyat terpaksa bersabar dengan segala kezaliman penguasa sehingga tamat penggal atau sehingga ke tarikh pilihan raya umum. Itu pun jika pemimpin yang baru itu seorang yang baik. Apa yang sering terjadi dalam sistem demokrasi ialah pemimpin yang baru biasanya lebih buruk daripada yang sebelumnya, sehingga rakyat tidak pernah dapat keluar daripada penderitaan.

  1. Solusi Kosmetik yang ilusif untuk menutup kebatilan

Laungan “semak dan imbang” (check and balance) dalam demokrasi lebih banyak bersifat ilusi berbanding realiti. Dalam demokrasi, seorang Perdana Menteri akan mempunyai kuasa yang cukup besar dan bersifat mencengkam apabila dia mempunyai sokongan majoriti di parlimen yang membolehkannya melakukan apa sahaja tanpa halangan. Tambahan lagi, pasukan polis, tentera, SPRM, Imigresen, kastam dan kesemua jentera kerajaan berada di bawah kawalannya. Malah, mahkamah sendiri sering tidak bebas dengan campur tangan kuasa eksekutif daripada seorang Perdana Menteri.

Jadi, realitinya pemusatan kuasa kepada seorang individu, layaknya pemerintahan diktator, sentiasa berlaku di bawah demokrasi. Tempoh dua penggal (lebih kurang 10 tahun) sebenarnya adalah cukup lama jika berada di bawah pemerintahan diktator, namun tempoh tersebut terlihat demokratik kerana hadnya ialah 10 tahun, berbanding tiada had. Di sinilah munculnya ilusi. Kezaliman tetap kezaliman walaupun selama dua hari, tidak semestinya dua penggal.

Malah, jika selama tempoh dua penggal tersebut sistem demokrasi berjalan dengan baik dan lancar sekali pun, tetaplah ia bukan sebuah kebaikan kerana demokrasi meletakkan kedaulatan di tangan rakyat (as-siyadah li sya’bi), bukannya di tangan syarak (as-siyadah li syar’ie). Inilah kebatilan utama sistem demokrasi apabila ia memberikan “hak ketuhanan” kepada manusia iaitu manusia boleh membuat hukum dengan mengetepikan hak Allah sebagai Pembuat Hukum.

Kesimpulan

Sebagai Muslim, kita tidak seharusnya terpesona dengan reformasi tempelan sebegini. Mengehadkan tempoh Perdana Menteri tidak akan menyelamatkan negara daripada sebarang masalah selagi sistem yang digunakan adalah sistem buatan manusia, yang mencampakkan hukum wahyu. Pindaan ini hanyalah usaha kosmetik untuk membaiki imej penguasa yang semakin pudar di mata rakyat, di samping usaha untuk mencantikkan sistem demokrasi itu sendiri yang dipenuhi kudis dan kurap.

Tempoh sepenggal atau dua penggal hakikatnya langsung tidak akan menghalang lahirnya pemimpin yang menyalahguna kuasa, yang korup atau zalim atau boneka kapitalis di masa-masa akan datang, ia cuma memastikan penzalim atau boneka tersebut bertukar tangan apabila kehabisan penggal!

Penyelesaian sebenar hanyalah dengan mencampakkan sistem demokrasi ke dalam tong sampah sejarah dan kembali menegakkan Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah sebagai satu-satunya sistem pemerintahan berteraskan wahyu. Hanya Khilafah yang mampu melahirkan pemimpin yang bertakwa, yang takutkan Allah lebih daripada takut hilang jawatan, dan yang memerintah bukan untuk meraih dunia dalam dua penggal, tetapi untuk meraih keredhaan Allah (swt) semata-mata.

Wallahu a’lam.