Hak Wanita Afghan: Mengapa Mengajak Pada Acuan Model Pemerkasaan Demokrasi, Tapi Tidak Pada Model Islam Yang Murni?
Dunia dikejutkan dengan berita Amerika Syarikat telah ‘mengangkat kaki’ dari Afghanistan dan dengan itu secara rasminya Taliban telah kembali mengambil tampuk pimpinan Afghanistan setelah 20 tahun meninggalkan negara itu. Sejak itu, semua mata dunia tertumpu kepada negara Afghanistan, malah Taliban diperhatikan bagi setiap tindak tanduk tindakannya dalam mengendalikan negara tersebut. Malah tidak kurangnya ada yang ingin menjadi penganalisis masa depan rakyat Afghanistan.
Tidak ketinggalan Majlis Perwakilan Ampang, Zuraida Kamaruddin pada 20hb Ogos yang lalu telah menyatakan hasrat beliau ingin ke Afghanistan sekiranya diberi peluang, tujuannya adalah untuk memperkenalkan pemodenan dan pemerkasaan wanita kepada wanita Afghanistan1. Beliau menggambarkan bahawa wanita Afghanistan lebih berpeluang menimba ilmu dan menceburkan diri dalam pelbagai bidang seperti bidang teknologi dan sains seperti mana Amerika memerintah Afghanistan. Sementara Taliban pula digambarkan akan menerapkan undang-undang outdated yang bakal menyekat aktiviti semua wanita dan kanak-kanak Afghanistan. Faktor ini jugalah yang menyebabkan mata dunia lebih tertarik untuk mengetahui apa yang akan berlaku kepada golongan ini dibawah pimpinan Taliban.
Zuraida ingin Afghanistan belajar daripada Malaysia berkaitan pemodenan dan pemerkasaan wanita iaitu dengan mengoptimumkan peranan wanita dalam politik, ekonomi, pendidikan dan sosial. Persoalannya, adakah Malaysia, sebagai sebuah negara demokrasi wajar dijadikan contoh atau model terkait perkara ini? Walhal, Malaysia sendiri mengambil model pemodenan dan pemerkasaan wanita yang bercerminkan Barat iaitu seorang wanita dianggap berjaya apabila dapat membina dan berada di kemuncak kerjaya yang tertinggi agar menyumbang kepada faktor ekonomi negara. Hakikatnya stigma pemodenan Barat ini telah mengundang kembali masalah terhadap wanita di Malaysia. Memetik laporan berita Malaysia Gazette.com pada 6 Julai 2021, satu kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPMKM-5) telah dilaksanakan dan didapati 68.2 peratus atau hampir enam juta wanita di negara Malaysia dikategorikan sebagai ‘keluarga sandwic’ iaitu mereka yang menanggung bebanan menyara anak dan ibu bapa mereka serentak. Dalam kajian lain, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati prevalens kemurungan adalah tinggi dalam kalangan wanita (2.6 peratus) berbanding lelaki (2.0 peratus)2. Beginilah hasil pemerkasaan wanita dan kesannya kepada wanita.
Inikah model yang hendak diambil dan diimplemenkan ke dalam negara Afghanistan? Adakah dengan ini barulah wanita Afghanistan dikatakan seorang yang dapat memajukan diri mereka dan up to date ? Menjadi maju dengan model pemodenan dan pemerkasaan wanita mengikut acuan Barat ? Apa yang lebih utama, adakah dengan ini beliau bermaksud bahawa Islam itu menafikan hak Wanita dan outdated ? Situasi ini boleh digambarkan seperti ketam mengajar anaknya berjalan apabila ada individu yang berusaha untuk menawarkan penyelesaian dari prinsip demokrasi, yang lahir dari akal fikiran manusia semata. Bukan makin lurus jalan yang diajarkan, malah lebih menyimpang daripada ketetapan yang telah disediakan oleh Sang Pencipta wanita itu sendiri, Al Khaliq.
Sesungguhnya, kejahilan pemimpin dan ahli politik dalam memahami ajaran Islam dengan mendasar adalah berbahaya dan mengundang bahana kepada umat. Tidakkah mereka ini sedar bahawa terlalu banyak dalil nas syariat dan juga bukti empirik menunjukkan bahawa Islam memberi hak wanita yang sewajarnya dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan dan sosial?
Ketetapan Islam adalah sebaik-baik hak bagi wanita
Pelaksanaan syariat Islam sebagai dasar negara di Madinah pada zaman Rasulullah dan era kekhilafahan menjadi bukti kukuh yang dipuji-puji dalam peradaban manusia sebagai model negara terbaik dalam memartabatkan wanita. Wanita dalam era tersebut berkecimpung secara aktif dalam menyumbang pada pembangunan peradaban Islam baik dari segi sains teknologi, politik, pendidikan, mahupun ekonomi.
Dari aspek politik, wanita boleh terlibat dalam dunia politik, iaitu politik Islam yang bertujuan mengatur segala urusan umat (‘ria’yah asy-syu’un al-ummah’). Itulah politik yang mesti diberi faham kepada wanita Afghan dan seluruh wanita lainnya. Inilah satu-satunya model politik yang mesti mereka rangkul dan ceburi. Bukan politik dari acuan demokrasi kapitalisme yang diwariskan oleh sang penjajah Barat.
Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 104, yang bermaksud: “Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”
Inilah dalil yang mengetengahkan tentang kewajipan berpolitik sebagai sebahagian daripada dakwah Islam. Justeru itu, dengan mengambil seruan ini, maka tugas mengajak kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran merupakan kewajipan atas semua umat Islam termasuklah wanita. Politik Islam turut menyertakan penglibatan wanita dalam menyatakan yang hak dan mencegah kemungkaran disekitarnya agar syariat Islam diterapkan secara seluruhnya. Inilah platform politik yang benar bagi umat Islam, yakni menjadikan Islam sebagai tujuan utama berpolitik dan menjadikan ideologi Islam sebagai platform melaksanakan politik negara. Politik wanita sama sekali tidak boleh diukur melalui platform negara demokrasi yang mementingkan kebebasan dan mencampur adukkan perjuangan antara yang hak dengan batil. Demokrasi menjadikan prinsip sekular, misalnya seperti yang disediakan oleh CEDAW sebagai prinsip perjuangan bagi wanita. Alhasil ramainya muslimah hari ini keliru antara pencapaian politik yang dibenarkan dan tidak dibenarkan oleh syarak, serta terjerumus dalam memperjuangkan hak wanita dari kaca mata `model kemajuan’ wanita Barat.
Seterusnya terkait isu pendidikan, ia merupakan satu perkara yang mesti disediakan oleh pemerintah kepada semua rakyatnya. Pendidikan yang disediakan bukanlah bersifat selektif. Sebagaimana lelaki, wanita juga tidak terkecuali untuk diberikan hak kepada pendidikan yang sewajarnya. Dalam sistem Islam yang benar, pendidikan mestilah diberikan kepada semua golongan rakyat tanpa dibezakan jantina, status diri, etnik mahupun ras, kaya ataupun miskin. Ini kerana menuntut ilmu adalah kewajipan bagi lelaki dan wanita. Sebagaimana sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang bermaksud:
”Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim.” [HR Ibnu Adi dan Baihaqi].
Pendidikan merupakan aspek penting kepada kaum wanita kerana melalui ilmulah mereka dapat melaksanakan peranan sebagai ummun wa rabbatul bayt dan pencetak generasi masa depan yang berjaya. Wanita sebagai ibu juga berperanan sebagai ‘sekolah’ pertama anak-anak. Oleh itu, pendidikan yang dilaksanakan oleh pemerintah mestilah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Bahkan dengan ilmu dan tsaqafah Islam yang benar jugalah para wanita akan tahu hak-hak mereka secara syarie. Hanya dengan pemahaman yang benar terhadap hak syarie wanitalah maka, individu (baik wanita mahupun lelaki), masyarakat dan negara akan menghormati dan memartabatkan wanita. Sekaligus perangkaan polisi negara terhadap hak-hak dan pemerkasaan wanita akan berjalan atas landasan yang benar – yakni landasan syarak.
Dalam bidang ekonomi juga, Islam sama sekali tidak menyisihkan wanita dan membenarkan wanita terlibat seluas-luasnya dalam sektor ekonomi. Wanita berhak kepada kepemilikan harta individu. Wanita boleh melaksanakan muamalat secara syarie. Wanita boleh bekerja dalam pelbagai sektor selagi sektor tersebut tidak mengekploitasi wanita, tidak menggugat fitrah mereka dan mematuhi hukum-hukum syarak lain seperti hukum pergaulan di tempat kerja. Namun apa yang paling utama adalah, disebalik rancaknya wanita berkecimpung dalam dunia kerjaya dan perekonomian, peranan Islami wanita mestilah tetap didahulukan. Peranan utama mereka sebagai ummun wa rabbatul bayt tidak boleh dikesampingkan hanya demi mengejar kerjaya semata-mata. Apa yang perlu kita faham adalah wanita tidak wajib bekerja untuk menafkahi dirinya sendiri, tetapi itu adalah tanggungjawab wajib ke atas para lelaki sama ada seorang ayah ataupun seorang suami.
Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka” [TMQ an-Nisa’ (4): 34].
Berbeza dengan situasi pemerkasaan wanita dalam demokrasi, wanita diperkasa sehingga sebahagian dari mereka hilang fitrah diri sebagai wanita. Ada yang menganggap rumah tangga sebagai beban, anak-anak terabaikan, diekspoitasi di ranah kerjaya baik dari segi tenaga mahupun maruah, dan malah menjadi mangsa tunggangan pasangan biawak hidup. Wanita menuntut hak bekerja namun terjun ke ranah pekerjaan tanpa mempeduli ketetapan syariat ke atas mereka, sehingga mereka rentan menjadi mangsa ketidakadilan, kesalahan seksual dan masalah sosial dilapangan kerja. Inilah kepincangan yang terjadi dalam dunia demokrasi.
Islam membuka ruang kepada para wanita untuk bekerja secara langsung mahupun tidak langsung bagi menyumbang kemahiran dan kepakaran yang dimilikinya, disamping mengaplikasi ilmu mereka demi kemaslahatan umat. Walaupun hukum bekerja bagi wanita adalah mubah, namun itu tidak menghalang mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara dalam masa yang sama fitrah dan peranan asal wanita secara syarie tetap terpelihara. Islam juga membuka ruang dan peluang ini seluasnya agar wanita dan seluruh masyarakat mencapai kesejahteraan hidup yang hakiki. Hal ini bukan untuk menjana keuntungan dari tenaga wanita atau atas dasar kepentingan membangun ekonomi negara seperti yang dilaungkan oleh para politikus demokrasi pada hari ini.
Kesimpulan
Oleh itu sedarlah muslimah sekalian, bukan hanya wanita Afghanistan yang diberikan hak oleh-NYA tetapi seluruh wanita di dunia ini telah ditetapkan hak mereka mengikut ketetapan syariat tanpa ada sebarang diskriminasi yang berlaku. Malah martabat wanita lebih dimuliakan dengan Islam. Laungan memperkasakan wanita dari dunia demokrasi hanyalah satu slogan ilusi yang memesongkan kemuliaan dan kesejahteraan hakiki. Justeru, marilah bersama mengembalikan pemahaman tentang pemerkasaan wanita dari konsep yang benar, yakni kaca mata syarak. Ayuh bersama martabatkan wanita dengan Syariah, bukan prinsip hak wanita acuan demorkasi.
Dr Ainul Amali
(Lajnah I’lamiyyah MHTM)
Sumber: