Hakim akui pendakwaan cacat tapi kes diteruskan

SEREMBAN 8 Ogos – Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, YA Puan Ruzita Binti Ramli telah menolak permohonan bantahan awal yang difailkan dalam kes yang melibatkan salah seorang anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Jamaluddin Bin Maidin Syed.

Jamaluddin didakwa di bawah Seksyen 50 (iv) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2019 atas kesalahan mencela, menghina, dsb agama Islam…dengan perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis, atau dengan isyarat, atau dengan penyertaan zahir, atau dengan apa-apa perbuatan, aktiviti atau kelakuan, atau dengan apa cara lain sekalipun – mana-mana fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh telah memfailkan bantahan awal kerana wujud ketidakaturan dalam pendakwaan setelah pendakwa gagal mengemukakan sanksi dan keizinan Ketua Pendakwa Syarie sebelum memulakan pendakwaan. Tertuduh diwakili oleh firma guaman MA @ Associates.

Dalam penghakimannya, hakim mengakui bahawa terdapat kecacatan dalam pendakwaan kes ini kerana pendakwa gagal mengemukakan sanksi dan keizinan daripada Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan sebelum memulakan pendakwaan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Seksyen 119 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2019.

Setelah membacakan fakta kes dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak-pihak, hakim bagaimana pun menyatakan bahawa kecacatan tersebut telah diselamatkan oleh Seksyen 211 Enakmen Tatacara Jenayah (Negeri Sembilan) 2003 kerana ia tidak menimbulkan suatu kegagalan keadilan dalam prosiding ini. Beliau kemudian menetapkan 4 September 2023 untuk kes ini diteruskan.

HTM telah menjelaskan berkali-kali sebelum ini bahawa dakwaan yang dikenakan oleh jabatan agama Islam negeri terhadap ahli-ahlinya di seluruh Malaysia adalah hasil fatwa fitnah yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama ke atas Hizbut Tahrir.

Walaupun telah dijelaskan dan HTM mendesak mereka menarik balik fatwa fitnah tersebut, namun setakat ini tidak ada satu negeri pun yang berbuat demikian. Sebaliknya anggota HTM terus dipantau dan diambil tindakan undang-undang kerana dikatakan melanggar fatwa.

Bagaimana pun, kesemua anggota HTM yang sedang melalui proses mahkamah tidak mengaku bersalah dan mereka semua kini sedang dibicarakan atas pertuduhan fitnah yang jelas menyalahi syarak yang dikenakan ke atas mereka oleh pihak berkuasa agama.