Perbicaraan kes Muslimah HTM bermula

Bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor hari ini menjadi saksi atas perbicaraan kes tiga orang Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dan dua yang lain.

Mereka didakwa oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas kesalahan “menghina pihak berkuasa agama” kerana dikatakan bertindak berlawan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor ke atas Hizbut Tahrir.

Dalam kenyataannya di luar bangunan mahkamah, Ustaz Abdul Hakim Othman melahirkan rasa kesal dengan pendakwaan ini kerana ia berpunca daripada fatwa yang penuh dengan fitnah, pembohongan, kesalahan fakta dan kekeliruan ke atas Hizbut Tahrir.

Apa yang lebih dikesali menurut Jurucakap HTM itu ialah perbicaraan kes ini bermula pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah yang merupakan bulan yang mulia di mana Allah telah bersumpah pada, yang juga merupakan bulan haji di dalam Islam.

Bulan ini sepatutnya dipenuhi dengan segala amalan kebaikan, sebaliknya pihak JAIS melakukan perbicaraan ke atas para pendakwah yang tidak bersalah, kata beliau. Pihak JAIS seharusnya memikirkan dosa dan beban yang akan mereka tanggung di akhirat kelak atas kes fitnah ini, ujar Ustaz Hakim.

Setelah membuat tawaran terbuka untuk mengadakan muzakarah, perbincangan mahu pun perdebatan dengan pihak berkuasa agama Selangor dalam rangka mencari kebenaran, Abdul Hakim menegaskan, “Saya yakin yang kami berada di pihak yang benar, dan Allah akan pasti memberi kemenangan kepada pihak yang benar.”

JAIS melakukan serbuan dan tangkapan terhadap Muslimah HTM pada 28/07/2019, dan pendakwaan telah dilakukan pada 29/01/2020. Namun kes telah tertangguh atas beberapa faktor sehinggalah hari ini ditetapkan sebagai hari pertama perbicaraan.

Semua tertuduh diwakili oleh Tuan Musa Awang dari Tetuan Musa Awang & Associates.

Perbicaraan disambung pada 5 Oktober 2022 dengan sambungan keterangan utama oleh SP1 (Saksi Pendakwa yang pertama) iaitu Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penguatkuasaan, Unit Pengurusan Penguatkuasaan JAIS.