Hanya Islam Yang Relevan Selamanya Dan Bukan UMNO!

altUMNO terus relevan sejak 64 tahun lalu
 
SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo menegaskan UMNO masih tetap relevan pada hari ini walaupun keadaan politik dan keinginan rakyat yang telah berubah sejak pilihan raya umum yang lalu.

Menurutnya, sekarang sudah tiba masanya UMNO perlu bertukar bukan hanya menjadi sebuah pertubuhan politik tetapi menjadi satu pertubuhan yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat tidak kira agama dan kaum.

Katanya, sebagai parti politik yang memiliki kuasa paling lama dalam dunia, rakyat dan ahli mengharapkan UMNO mampu bertindak lebih dari apa yang dilakukan sekarang untuk menjamin kesejahteraan negara.

“UMNO seharusnya sudah mula bergerak ke arah bukan hanya menjadi parti politik semata-mata, tetapi menjadi parti yang benar-benar diperlukan rakyat. Selama lebih 60 tahun UMNO memimpin, sudah tiba masa parti tertua di Malaysia ini merakyatkan.  UMNO, selain membawa ahli-ahlinya yang begitu ramai ke satu tahap yang baru dan kekal relevan mengikut peredaran zaman,” katanya ketika diminta mengulas Sambutan Ulang Tahun Ke-64 UMNO di sini hari ini.

Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Besar turut menyarankan UMNO menangani sendiri masalah yang dihadapi rakyat tanpa meminta bantuan dari pihak kerajaan.

Sumber: Sinar Harian 12/05/10

Hanya Islamlah Yang Relevan Untuk Selama-lamanya

Sungguh memualkan sebenarnya apabila membaca kata-kata luahan dari seorang Muslim yang bernama Khir Toyo.  Bagaimana bisa seorang Muslim seperti Khir Toyo masih terus mahu mengatakan UMNO tetap relevan sedangkan hakikatnya dari sudut pandangan Islam, mana-mana parti yang bukan berasaskan Islam adalah sebenarnya tidak pernah relevan. Apalah ertinya UMNO berbangga dengan usianya yang telah menjangkau usia 64 tahun namun perjuangannya masih terus bergelumang dengan najis sekular dan ashobiyyah. Faktanya ialah meskipun UMNO telah berkuasa lebih dari 50 tahun, tidak ada langsung hukum Islam yang menyentuh persoalan hubungan manusia dengan manusia yang pernah diterapkan oleh mereka.  Tambahan pula, bukankah ashobiyyah itu telah diharamkan oleh Islam melalui lisan nabinya?

Sabda Rasulullah SAW “Tidaklah termasuk golongan kami barangsiapa yang menyeru kepada ashobiyyah (fanatisme kelompok/grup/golongan/partai/suku/bangsa/warna kulit/bahasa). Dan tidaklah termasuk golongan kami barangsiapa yang berperang atas dasar ashobiyyah (fanatisme kelompok). Dan tidaklah termasuk golongan kami barangsiapa yang terbunuh atas nama  ashobiyyah (fanatisme kelompok).” [HR Abu Dawud]. 

Justeru itu ayat al-Quran mana dan hadith manakah yang diimani oleh Khir Toyo dan kawan-kawan sekularnya yang lain untuk terus hidup dengan perjuangan sekular ashobiyyah mereka itu? Bukankah Allah telah menjelaskan kepada seluruh umat manusia bahawa hanya Islamlah satu-satunya mabda yang benar? Firman Allah SWT: “Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”. [TMQ Ali Imran (3) : 85].

Oleh kerana itu sewajarnya Khir Toyo dan kawan-kawannya meninggalkan perjuangan ashobiyyah mereka kerana perjuangan yang berasakan Islam sahajalah yang tetap kekal relevan sehingga ke hari kiamat. Mungkin Khir Toyo dan rakan-rakannya merasakan UMNO masih relevan kerana telah “banyak berjasa” kepada mereka dan kroni-kroni mereka dengan habuan dunia yang menipu ini tetapi yakinlah bahawa kehidupan akhirat adalah yang paling baik dan paling kekal. Yang relevan hanyalah perjuangan untuk menegakkan Islam dan menerapkannya dalam kehidupan secara keseluruhan. Apa-apa sahaja pemikiran dan perjuangan yang tidak berasaskan Islam tidak akan pernah diredhai Allah dan tidak akan pernah ‘relevan’ dalam dunia yang fana’ ini. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya agama (yang diridhai) di sisi Allah hanyalah Islam”. [TMQ Ali Imran (3) : 19]. Nabi SAW berjuang untuk menghapuskan ashobiyyah namun hari ini masih ada di kalangan umatnya yang terus bergelumang dengan perjuangan yang diharamkan ini. Sedarlah KHir Toyo, sedarlah UMNO…kembalilah ke pangkal jalan…