Hapuskan LGBT Dengan Syariat Islam

Nampaknya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak begitu serius di dalam memerangi sebarang pemikiran yang menyeleweng seperti liberalisme dan pluralisme serta berjanji untuk mempertahankan ajaran suci Islam baik dari segi akidah, ibadah, muamalat dan akhlak. Ini diluahkan olehnya semasa ditanya berkenaan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) oleh wartawan. Beliau akan memastikan golongan tersebut tidak akan mendapat tempat di negara ini.

Persoalannya, dengan apakah Najib akan pertahankan kesemuanya itu? Apakah dengan hanya berkata-kata? Kesemuanya itu memerlukan bantuan penuh penguatkuasaan daripada kerajaan, jika tiada sokongan tenaga sumber, kata-katanya itu tidak akan ke mana-mana. Cita-cita dan keazamannya itu hanya akan tinggal kata-kata sahaja tanpa dapat direalisasikan. Akhirnya, semua pihak terutamanya musuh-musuh Islam akan pasti mentertawakanya. Jika benar Najib serius ingin menjadi hero Islam di abad ini maka mahu tidak mahu beliau mesti menerapkan syariat Islam secara kaffah di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Najib perlu berani membuang perlembangan ciptaan kuffar peninggalan penjajah dan menggantikannya dengan undang-undang Islam. Adakah Najib bersedia? Namun, amat malang bagi umat Islam di Malaysia kerana fakta menunjukkan bahawa sehingga hari ini sudah masuk tahun ke-3 Najib menjadi orang yang paling berkuasa di Malaysia, tetapi kita terus melihat Najib tetap setia dan patuh menjalankan dan mempertahankan undang-undang thaghut ciptaan manusia yang diketuai oleh Lord Reid. Sedangkan idea dan cara hidup kuffar Barat seperti lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) serta liberalisme dan pluralisme hanya akan mampu dihindari dan dihapuskan dengan penerapan sistem, undang-undang Islam dan perlembagaan Islam. Bukan hanya dengan kenyataan lisan semata-mata. Untuk itu jika Najib benar-benar ikhlas dalam usahanya merpertahankan kesucian Islam maka beliau wajib menyahut perintah Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata” .
[TMQ Al Baqarah (2) : 208].
 
Firman Allah lagi:

“maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran”.[TMQ al-Maaidah (5) : 48].

Jika beliau terus berdolak dalih maka selayaknya Najib akan terus mengundang murka Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”. [TMQ Ash Shaff (61) : 2-3].

Sumber: Utusan Malaysia 25/06/2012