Hari Nakbah: Malapetaka akan hanya berakhir dengan berakhirnya negara haram Israel

Pada 15 Mei setiap tahun, Hari Nakbah disambut bagi memperingati tragedi hitam yang menimpa penduduk Palestin lebih daripada tujuh dekad yang lalu ekoran penubuhan negara haram Israel pada 14 Mei 1948. Tragedi yang tercetus pada 1948 menyebabkan lebih daripada 10,000 orang penduduk Palestin terbunuh, manakala sebahagian yang lainnya kehilangan harta dan tempat tinggal, serta ada yang terpaksa menyelamatkan diri dengan menjadi pelarian selama berdekad-dekad lamanya.

Setelah peperangan pada 1948 tamat, lebih daripada 700,000 warga Palestin diusir daripada tanah kelahiran mereka, dan jumlah tersebut kini telah mencecah jutaan orang setelah beberapa generasi hidup sebagai pelarian. Manakala 154,000 orang penduduk Palestin terpaksa hidup di bawah pemerintahan tentera di dalam negara haram Israel selama 18 tahun sejak kewujudan entiti haram Israel, dan kemudiannya didiskriminasi serta seringkali ditindas oleh pendatang Yahudi.

Dalam tempoh tersebut juga, musibah demi musibah terus melanda umat Islam di tangan tentera rejim Zionis dan pendatang haram Yahudi. Antara tragedi yang pastinya tidak akan luput daripada ingatan termasuklah insiden pembunuhan beramai-ramai di perkampungan Deir Yassin. Siri pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh kumpulan militan Yahudi dan tentera rejim bertujuan untuk merampas tanah dan menakut-nakutkan penduduk Palestin agar mereka melarikan diri. Kesannya, lebih daripada 400 buah bandar dan perkampungan Palestin ditinggalkan oleh warganya bagi menyelamatkan diri daripada kekejaman Yahudi. Kekejaman ini bukanlah tercetus secara rawak, sebaliknya dilakukan secara sistematik dan terancang untuk jangka panjang bagi menghapuskan bangsa Arab di Palestin serta mengusir mereka di bawah Pelan Dalet yang dirancang seawal tahun 1944 lagi.

Kini, setelah lebih daripada 70 tahun berlalu, keadaan masih tidak lagi berubah, bahkan sehingga ke hari ini, umat Islam di Palestin masih lagi hidup tertindas di bawah cengkaman rejim Yahudi. Sekatan-sekatan jalan dan tembok pemisah dibina bagi menyekat pergerakan mereka, tidak ubah seperti hidup dalam penjara besar. Tentera rejim sesuka hati bertindak menahan dan memenjarakan penduduk Palestin tanpa dibicarakan. Kediaman dan kebun-kebun zaitun dimusnahkan bagi membina penempatan haram Yahudi tanpa sebarang pampasan. Nyawa mereka turut terancam pada bila-bila masa sahaja di tangan tentera rejim dan pendatang Yahudi yang lengkap bersenjata. Manakala generasi pelarian Palestin yang bertebaran di negara-negara lain pula masih dinafikan hak untuk kembali ke tanah air mereka.

Pelbagai usaha telah dilakukan bagi membela nasib yang menimpa umat Islam di Palestin, namun kemelut ini masih berpanjangan. Saban tahun, tentera rejim Yahudi mengepung dan mengebom umat Islam di Gaza. Atas kesedaran dan solidariti, pelbagai sumbangan telah dikutip bagi membina semula rumah-rumah dan fasiliti yang dimusnahkan. Bantuan kemanusiaan disalurkan bagi meringankan beban mereka. Keprihatinan umat Islam yang menghulurkan bantuan tersebut adalah perbuatan yang terpuji, namun tidak dapat menamatkan kitaran kekejaman daripada berulang saban waktu.

Kemelut ini akan berterusan selagi mana negara haram Israel masih wujud dan bebas melakukan kekejaman ke atas umat Islam Palestin sesuka hati mereka. Di saat umat Islam berusaha menyalurkan bantuan, para pemerintah Muslimin pula gagal mengambil sebarang tindakan tuntas untuk menamatkan kitaran kekejaman ini. Tatkala wujud kempen-kempen bagi memboikot produk keluaran ‘Israel’, sebahagian negara-negara umat Islam masih lagi menjalin hubungan ekonomi dengan ‘Israel’. Jelaslah bahawa mereka tidak lebih daripada sekadar beretorika semata-mata dengan mengeluarkan kenyataan mengutuk kekejaman Israel setiap kali Gaza diserang. Berhentilah daripada memberikan alasan bagi menjustifikasikan tindakan penguasa-penguasa ini, kerana jika benar mereka mempunyai keazaman politik bagi membela umat Islam di Palestin pastinya mereka mampu untuk melakukan lebih daripada sekadar mengeluarkan kecaman semata-mata.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya malapetaka yang menimpa umat Islam di Palestin akan hanya berakhir dengan berakhirnya kewujudan negara haram ‘Israel’. Selagimana Israel masih wujud, maka selagi itulah umat Islam di Palestin akan terus tertindas dan dinafikan hak untuk kembali ke tanah air mereka. Malangnya sehingga ke saat ini, tragedi sebegini akan terus berulang akibat ketiadaan sebuah kepemimpinan yang ikhlas untuk menyatukan umat ini serta mengerahkan segenap upaya bagi membebaskan Palestin sepertimana Salahuddin al-Ayubi yang membebaskan Al-Quds daripada cengkaman tentera Salib suatu ketika dahulu.