Hari Nakbah – Derita Muslim di Palestin Berlarutan Tanpa Pembelaan Khilafah

Tanggal 15 Mei yang lalu merupakan ulangtahun ke-66 peringatan Hari Nakbah, yang menjadi titik tolak kepada penderitaan umat Islam di Palestin di bawah cengkaman rejim Zionis Israel. Hari Nakbah adalah titik hitam bagi umat Islam di Palestin dan di seluruh dunia setelah negara haram Israel ditubuhkan secara rasminya pada 14 Mei 1948 atas tajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Peristiwa pembunuhan di Deir Yasin pada 9 April 1948 merupakan sebahagian daripada tragedi yang masih segar dalam ingatan umat Islam sehingga ke hari ini. Pembunuhan, penindasan dan pengusiran kaum Arab Muslim dari kampung halaman mereka berterusan sehingga ke hari ini.

Meskipun terdapat sebilangan kaum Muslimin yang ikhlas ingin melakukan pembelaan, namun kesemua usaha yang dilakukan menemui kegagalan lantaran perpecahan umat dan juga pengkhianatan para penguasa kaum Muslimin yang tunduk akur kepada tekanan daripada AS yang merupakan sekutu rapat dan juga pelindung rejim Zionis.

Sehingga ke hari ini, nasib umat Islam di Palestin masih tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Bahkan jutaan warga Palestin masih menduduki kem-kem pelarian yang terletak di negara-negara kaum Muslimin berhampiran dalam keadaan yang serba daif serta diberikan layanan kelas kedua oleh saudara seakidah mereka.

Mereka turut menerima kesan buruk daripada krisis yang melanda Syria akibat serangan bom udara dan kepungan oleh tentera rejim Basyar. Tragedi yang menimpa mereka di Kem Yarmouk misalnya menyebabkan sebilangan besar pelarian Palestin terpaksa melarikan diri ke Lubnan dalam keadaan serba kekurangan.

Mereka yang menetap di wilayah Palestin yang dijajah pula menghadapi penghinaan dan penindasan meskipun menetap di bumi sendiri. Kawasan kediaman milik umat Islam diceroboh sesuka hati oleh tentera pengganas Yahudi, bahkan ada yang dirobohkan demi membuka ruang untuk pembinaan penempatan haram Yahudi. Saban hari, umat Islam Palestin terpaksa melalui pelbagai sekatan jalan demi menjalani kehidupan seharian. Pembinaan tembok pemisah yang dibina semenjak tahun 2002 telah menghadkan lagi kebebasan mereka untuk bergerak di samping mengukuhkan lagi penjajahan rejim Zionis di kawasan tersebut.

israel-nakbahMeskipun pelbagai usaha telah dilakukan oleh umat Islam untuk menamatkan penderitaan yang melanda, namun kesemuanya menemui kegagalan demi kegagalan. Kebanyakan usaha yang dilakukan hanya tertumpu kepada penyelesaian terhadap simptom-simptom masalah ‘mangsa’, iaitu warga Palestin, melalui pelbagai misi kemanusiaan dan bantuan makanan. Boleh dikatakan hampir tiada usaha yang dilakukan bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan masalah dasar dan dalam menangani ‘pemangsa’ iaitu rejim Zionis itu sendiri yang menjajah tanah Palestin, yang merupakan sebahagian daripada tanah umat Islam. Jika ada pun, kebanyakannya tidak lebih dalam bentuk kecaman dalam forum-forum antarabangsa dan juga kempen boikot yang tidak sedikitpun menggentarkan rejim Zionis yang sepenuhnya mendapat pembelaan daripada AS.

Meskipun usaha membantu ‘mangsa’ itu merupakan suatu tindakan yang murni, namun penyelesaian sedemikian tidak akan mampu menamatkan penderitaan yang menimpa umat Islam di Palestin. Sudah tiba masanya untuk umat Islam mengambil tindakan yang tuntas terhadap ‘pemangsa’ yang rakus menindas, menzalimi dan membunuh warga Palestin.

Semoga Allah menyegerakan kembalinya Daulah Khilafah yang akan menyatukan umat Islam di seluruh dunia dan Khalifah akan menggerakkan ketumbukan bala tenteranya yang ikhlas bagi membebaskan bumi Palestin yang dijajah. ‘Salahuddin al-Ayyubi’ yang kedua akan merealisasikan janji Nabi bahawa kaum Yahudi akan diperangi sepenuhnya dan seterusnya melancarkan jihad akbar bagi membebaskan tanah-tanah kaum Muslimin yang lain yang terjajah. Sesungguhnya hari yang dijanjikan itu sudah semakin hampir, insyaallah.