Himpunan Hari Belia Negara Yang Lagha…

altHimpunan Hari Belia lakar sejarah
PUTRAJAYA 29 Mei – Himpunan Sejuta Belia sempena sambutan Hari Belia Negara 2011 yang berakhir hari ini berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mengubah wajah Putrajaya kepada lautan belia.

Sambutan tiga hari itu turut berjaya mencipta pelbagai rekod termasuk penganjuran kejohanan futsal terbesar, permainan cak lempung tanpa henti selama 36 jam, penerbangan mengelilingi negara 24 jam, persembahan pemain gendang paling ramai dan sebagainya. Sambutan tahun ini turut memperlihatkan kesungguhan pemimpin negara untuk mendekati belia sehinggakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta beberapa menteri Kabinet hanya bersila di atas pentas ketika menghadiri Majlis Pelancaran Hari Belia Negara 2011, semalam. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penganjuran Sambutan Hari Belia 2011 bukan sahaja mencapai sasaran dari segi jumlah pengunjung tetapi turut berjaya mendekatkan hati belia dengan Putrajaya. “Saya melihat sambutan tahun ini hebat dengan dengan semua gerai dan aktiviti yang diadakan berjaya menarik kunjungan orang ramai. Sambutan Hari Belia Negara telah menjadi satu jenama baru di Putrajaya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Sambutan tahun ini turut mencuri perhatian antarabangsa apabila Timbalan Gabenor Jawa Barat, Dede Yusuf bercadang membawa konsep Hari Belia Negara di Putrajaya balik ke negara beliau. “Saya fikir idea ini sangat bernas di mana kita dapat melihat belia saling berpadu tenaga menjayakan aktiviti di samping berhibur mengikut cara tersendiri,” katanya. Presiden Persatuan Asrama Belia (MYHA) Malaysia, Khairul Annuar Mansor pula berkata, sambutan Hari Belia Negara perlu diadakan selama seminggu pada tahun depan untuk menghimpunkan lebih ramai belia.

Sumber : Utusan Online, 30/05/2011
 

Himpunan Hari Belia Negara Yang Lagha…


Angka 1 adalah amat sinomin dengan Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Malah dengan angka 1 ini juga, Hari Belia Negara di lancarkan dengan matlamat mungumpulkan 1 juta belia di Putrajaya. Golongan belia merupakan generasi pelapis bagi negara, malahan golongan inilah yang akan menggalas tugas membangunkan negara pada masa hadapan. Namun, dalam keghairahan golongan belia ini berkumpul di Putrajaya, mereka disogokkan dengan pelbagai aktiviti yang tidak berfaedah seperti bermain cak lempung tanpa henti selama 36 jam, bermain gendang paling ramai, malah ada aktiviti berunsurmaksiat. Sebagai contoh, pada malam harinya, diadakan konsert oleh para artis tempatan malahan ada yang di import terus dari luar negara untuk dihidangkan kepada para belia. Apakah budaya hedonisme dan pergaulan bebas sebegini yang ingin digalakkan oleh pemimpin untuk diterima pakai oleh para belia? Ataupun mungkin ada agenda yang lebih utama untuk melakukan indoktrinisasi terhadap para belia untuk menompang kerajaan UMNO-BN yang penuh dengan pengkhianatan terhadap suruhan Allah & Rasul ini? Malah Perdana Menteri tanpa berselindung mengatakan bahawa 1 juta belia yang berkumpul ini adalah untuk mempertahankan Putrajaya semasa ucapan perasmiannya. Sejarah apakah yang ingin dilakarkan dengan mengumpulkan 1 juta belia dan menghidangkan mereka dengan pelbagai aktiviti yang lagha (sia- sia) dan maksiat?

Dalam sejarah Islam, belia merupakan golongan yang banyak berperanan dalam mengembangkan Islam. Semasa awal dakwah Rasulullah di Mekah, golongan pemuda inilah yang banyak membantu Rasulullah dalam menyampaikan Islam. Malah, dalam sejarah Islam juga, khalifah yang terkenal dengan jolokan Penakluk Konstantinople, iaitu Muhammad Al Fatih menjawat jawatan sebagai Khalifah semasa berusia 19 tahun dan beliau menakluk Konstantinople ketika baru berusia 23 tahun. Inilah contoh belia hasil daripada didikan akidah Islam yang diterapkan oleh negara dan bukannya belia yang hebat dalam berasksi di jalanan ataupun hebat dalam pertandingan nyanyian. Lebih malang lagi, aktiviti sebegini dikendalikan oleh negara demi melestarikan tujuan politik sekular mereka. Ambillah sejarah Islam sebagai iktibar untuk para pemuda-pemudi dalam mengharungi kehidupan ini dan bukannya menyogokkan mereka dengan aktiviti yang bakal merosakkan serta menjerumuskan mereka ke arah maksiat. Semoga para belia sedar akan permainan kotor para pemimpin ini, dan bersama- samalah menuju kepada perubahan yang sebenar dengan mengembalikan Islam dalam kehidupan. Ayuh belia! Tegakkan Syariah, Dirikan Khilafah!