Hizbut Tahrir bergerak secara intelektual, tidak pernah dan tidak akan sama sekali gunakan kekerasan

Kumpulan-kumpulan yang cenderung menyebarkan ideologi pengganas dan menentang pembentukan kerajaan secara demokrasi berpelembagaan kini dalam radar pihak berkuasa, menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sebuah kenyataan yang dipetik media. Ayob Khan turut menyatakan antara kumpulan yang berada dalam pemerhatian ialah Hizbut Tahrir yang secara terang menolak demokrasi berpelembagaan.

“… Hizbut Tahrir, contohnya, mereka mempromosikan sebuah negara Islam yang menolak demokrasi… kalau mereka tidak terlibat dengan demokrasi, sudah tentulah mereka akan beralih kepada pendekatan ekstrem ataupun militan. Tapi mereka belum terlibat dalam sebarang aktiviti (atau) aksi keganasan,” ujarnya lagi [Sumber: Bernama, 5/11/2019].

Komen:

Meskipun Ayob Khan tidak menuduh Hizbut Tahrir sebagai sebuah kumpulan pengganas, dan dalam masa yang sama mengakui bahawa kumpulan-kumpulan yang dipantau (termasuk Hizbut Tahrir) tidak terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan, namun beliau seolah-olah cuba untuk menggambarkan bahawa mana-mana kumpulan atau individu yang menolak demokrasi berperlembagaan sebagai kumpulan yang cenderung kepada pemikiran ekstrem dan militan.

Bahkan dalam rakaman kenyataan yang dipetik di atas, Ayob Khan menggunakan perkataan ‘belum’ terlibat dengan aktiviti atau aksi keganasan, seakan-akan cuba menempelkan persepsi bahawa Hizbut Tahrir akhirnya akan beralih kepada aktiviti keganasan pada masa akan datang.

Persoalannya, apakah yang menjadi sandaran atau tolok ukur oleh Ayob Khan dalam menentukan sama ada sesebuah pandangan itu ekstrem ataupun tidak? Adakah kerana Hizbut Tahrir berusaha untuk mengembalikan semula Khilafah Islam sepertimana yang diwarisi daripada Rasulullah SAW dan diteruskan oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin, maka ia dianggap sebagai berpegang kepada pemikiran ekstrem?

Di samping itu, apakah Ayob Khan mempunyai sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Hizbut Tahrir akan terlibat dengan aktiviti militan dan melakukan aktiviti keganasan sepertimana andaian yang dibuat olehnya itu?

Hizbut Tahrir merupakan sebuah parti politik Islam yang berpegang kepada pendekatan dakwah secara intelektual dalam membangkitkan umat Islam ke arah mengembalikan semula kehidupan Islam melalui penegakan semula Khilafah dan penerapan syariah. Thariqah (metode) yang ditempuh oleh Hizbut Tahrir ini merupakan tabanni (pendirian rasmi yang dipegang untuk diamalkan oleh seluruh anggotanya) semenjak penubuhannya lagi pada tahun 1953. Hizbut Tahrir mengambil thariqah ini dengan meneladani apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat radhiallahu ‘anhum. Hizbut Tahrir tidak mempunyai sebarang sayap ketenteraan, apatah lagi merancang untuk mendirikan khilafah melalui jalan keganasan.

Justeru, sekiranya ada sekalipun bekas anggota Hizbut Tahrir yang melakukan sebarang aktiviti keganasan, maka jelas bahawa mereka melanggar tabanni yang dipegang oleh Hizbut Tahrir dan sudah terkeluar daripada kutlah (kelompok) ini. Bahkan, sewaktu ISIS mula-mula berkuasa sehinggalah ke hari ini, Hizbut Tahrir secara konsisten menolak tindakan kumpulan tersebut yang menggunakan kekerasan dalam ‘mendirikan Khilafah’. Bahkan Hizbut Tahrir tidak pernah mengiktiraf Khilafah Islam yang diisytiharkan oleh ketua ISIS, Abu Bakar al-Baghdadi yang dilaporkan telah terbunuh ketika diserbu oleh pasukan khas Amerika Syarikat baru-baru ini.

Cubaan untuk mengaitkan Hizbut Tahrir dengan aktiviti keganasan atau cenderung membawa ideologi keganasan bukanlah suatu perkara baharu. Bahkan pada tahun 2017, Menteri Koordinator Bidang Politik Hukum dan Keamanan Indonesia pada waktu itu, Wiranto, turut mendakwa Hizbut Tahrir di Indonesia (HTI) sebagai organisasi yang ‘dekat dengan ISIS’ [Detik.com, 17/5/2017]. Terdahulu, pada 2005 Zeyno Baran, seorang penganalisis telah mendakwa bahawa Hizbut Tahrir merupakan “conveyor belt to terrorists” (tali sawat penyampai kepada (yang melahirkan) pengganas) [Fighting War of Ideas, Foreign Affairs, 2005]. Namun, sehingga ke hari ini masih tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan Hizbut Tahrir dengan mana-mana kumpulan pengganas ataupun sebarang aktiviti keganasan.

Bahkan ketika dalam rancangan temubual “Sembang Online” bersama Utusan Online pada bulan Mac 2019, pakar rujuk Institut bagi Kajian Belia (IYRES), Ahmad el-Muhammady mengatakan bahawa Hizbut Tahrir adalah kumpulan yang radikal, tetapi ‘non-violent’ kerana tidak pernah terlibat dengan sebarang aksi keganasan. Ketika menjelaskan mengenai apakah Hizbut Tahrir mempunyai pemikiran yang radikal, beliau berkata ia bergantung kepada apakah yang dimaksudkan sebagai radikal. “…Kalau kita maksudkan radikal itu sebagai menolak demokrasi, dan tidak menerima sistem pilihan raya yang diamalkan negara kita,.. Ya, maka ia adalah kumpulan radikal…”, ujarnya ketika menjawab soalan dalam temubual tersebut.

Hizbut Tahrir bergerak secara terbuka melalui program yang dianjurkan di samping aktiviti-aktiviti dakwah lain yang dijalankan oleh para anggotanya. Bahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui anggotanya yang bertugas di Cawangan Khas seringkali hadir ke program-program anjuran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM). Mereka juga seringkali menghubungi anggota HTM dan sebagai balasan, mereka telah diberikan layanan mesra dan baik.

Penulisan ini dihasilkan bukanlah kerana ingin menjawab sebagai pihak yang bersalah dan cuba membela diri, kerana Hizbut Tahrir jelas tidak pernah melakukan aktiviti keganasan dan tidak akan sama sekali menggunakannya dalam mencapai objektif perjuangannya. Selain daripada cuba dikaitkan dengan aktiviti keganasan dan menyebarkan ideologi keganasan, Hizbut Tahrir turut difitnah sebagai membawa ajaran sesat oleh segelintir pihak berkepentingan yang berada dalam beberapa institusi agama di negara ini.

Namun semua itu tidak sedikitpun mengakibatkan para anggotanya berhenti daripada melaksanakan kewajipan yang terpikul di bahu mereka. Bahkan ujian dan halangan tersebut menjadi pendorong yang meneguhkan lagi iltizam untuk meneruskan misi selaku hamilud dakwah dalam merealisasikan kewajipan yang telah sekian lama tertangguh ini.