Hospital Seharusnya Tempat Menyelamatkan Nyawa, Bukan Tempat Mengancam Nyawa

altKarat punca siling Hospital Serdang runtuh
KUALA LUMPUR 30 Jan. – Struktur siling yang berkarat dikatakan menjadi punca siling lobi utama Hospital Serdang dekat sini runtuh secara tiba-tiba malam tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hasil siasatan awal mendapati selain struktur siling yang berkarat, terdapat juga kesan keretakan pada bahagian itu.

“Pihak kami akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar. Tindakan segera akan diambil bagi memastikan keselamatan kakitangan hospital dan orang ramai terjamin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Siling berukuran 10 meter itu runtuh di bahagian lobi utama hospital berkenaan tengah malam tadi dan hampir mengenai dua keluarga yang sedang duduk di lokasi tersebut.

Dalam pada itu Tiong Lai memberitahu, beliau akan mengarahkan pihak hospital dan Bahagian Kejuruteraan Jabatan Kesihatan untuk segera membaiki runtuhan itu kerana bimbang runtuhan akan berulang yang boleh membahayakan nyawa pengunjung.

“Saya bersyukur kerana kejadian ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Supritendan Baharudin Mustapha memberitahu, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Laporan berhubung kejadian ini dibuat di pondok polis di hospital itu malam tadi. Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan,” katanya

Sumber: Utusan Online 31/01/11

Hospital Seharusnya Tempat Menyelamatkan Nyawa, Bukan Tempat Mengancam Nyawa

Bukan setakat sekali dua siling jatuh atau bocor, tetapi sudah kerap kali kita dengar. Sebelum ini, negara digemparkan dengan kejadian runtuh bumbung Stadium Sultan Mizan di Terengganu yang sehingga kini masih belum selesai. Kejadian itu menampakkan ada sesuatu yang tidak kena. Semuanya ini menunjukkan bahawa struktur binaan yang digunakan tidak kukuh. Mengapa tidak kukuh? Sudah tentulah akibat daripada kegagalan pihak pemerintah memantau kerja-kerja pegawai peringkat bawahan. Pegawai peringkat bawahan yang bertanggungjawab menyelia kerja-kerja pembinaan tidak meneliti sepenuhnya bagaimana pembinaan dilakukan. Namun, terdapat juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa wujudnya penyelewengan di peringkat atasan sehingga peruntukan yang sampai kepada kontraktor tidak mencukupi sehingga mereka terpaksa menggunakan bahan-bahan yang tidak kukuh atau tidak mengikut piawai. Adakah ia benar? Ia masih belum dapat dibuktikan dengan dokumen-dokumen yang kukuh walaupun hal ini sudah menjadi perbualan mulut orang ramai.

Di dalam kes Hospital Serdang; apakah pemerintah tidak mengambil peduli terhadap penyelewengan yang berlaku di dalam aspek keselamatan dalam rekabentuk serta meluluskan spesifikasi bahan- bahan tidak kukuh yang digunakan sehingga siling hospital yang baru ini boleh runtuh? Atau apakah kontraktor yang dilantik merupakan kontraktor- kontraktor kroni yang terlepas daripada pemantauan dan hanya memikirkan keuntungan semata- mata tanpa mengambil kira keselamatan dan nyawa pengguna?

Ingatlah wahai para pemimpin! Sungguhpun kalian enak bernaung dan bersantai di bawah bumbung yang bernilai jutaan ringgit di kediaman kalian, ingatlah bahawa siksaan Allah SWT di hari akhirat  pasti berbeza dengan apa yang kalian sedang nikmati ketika ini. Telah terbukti kalian gagal menjamin keselamatan dan keperluan rakyat, tunggulah azab Allah di akhirat nanti sebagai balasan ke atas kealpaan kalian dalam melayani keperluan umat. Sungguh, balasan Allah adalah seadil-adil balasan.