HTM anjur Munaaqashah: Hubungan Khilafah dan Alam Melayu sempena Kempen Rejab 1444H

Hubungan antara Khilafah dan Alam Melayu telah tercatat dan tersimpan rapi dalam catatan sejarah umat Islam berkurun lamanya. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada fakta-fakta ini telah disembunyikan daripada pengetahuan umat Islam khasnya di rantau ini.

Bahkan catatan berhubung dokongan umat Islam di rantau ini kepada Khilafah Uthmaniyah tatkala berhadapan dengan Perang Dunia Pertama serta keruntuhannya turut disembunyikan daripada pengetahuan umum dan tidak banyak dibahaskan melainkan dalam kalangan ahli akademik semata-mata.

Justeru, demi mengingatkan umat Islam berkenaan hubungan erat yang suatu ketika dahulu pernah terjalin sebelum idea negara bangsa membarah dalam tubuh umat ini, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan program Munaaqashah yang membawa tajuk “Hubungan Khilafah dan Alam Melayu”.

Program yang berlangsung pada pagi Ahad (29 Januari) lalu membawakan perbincangan berhubung sejarah hubungan Khilafah dan Alam Melayu yang disampaikan oleh dua orang pembentang iaitu Sdr Abbas dan Dr. Norazlan Shah, di samping menghadirkan Sdr Razi Salleh yang berperanan sebagai moderator program.

Pembentang pertama, Sdr. Abbas membentangkan mengenai fakta-fakta jelas yang menunjukkan adanya hubungan yang erat antara Khilafah dengan Alam Melayu sejak dari awal kemasukan Islam ke rantau ini. Di samping itu, beliau turut memberikan penjernihan terhadap beberapa kekeliruan yang seringkali timbul dalam merungkai catatan sejarah. Antaranya termasuklah berhubung peranan Acheh yang mempunyai hubungan secara langsung dengan Khilafah Uthmaniyyah dalam membantu kesultanan di rantau ini dalam menghadapi kuasa-kuasa kolonialis Barat.

Manakala pembentang kedua, Dr. Norazlan Shah yang tampil dengan busana Melayu tradisional pula membawakan persepsi dan pemahaman masyarakat Melayu terhadap Khilafah khasnya ketika Perang Dunia Pertama serta setelah keruntuhannya. Beliau turut menampilkan petikan daripada akhbar Neracha yang menunjukkan bahawa terdapat usaha yang berterusan bagi meningkatkan kesedaran umat Islam di Tanah Melayu berhubung perkembangan semasa Khilafah Uthmaniyyah meski berhadapan dengan sekatan daripada penjajah British.

Program kemudiannya diteruskan dengan sesi soal-jawab sebelum ditutup dengan penggulungan daripada kedua-dua pembentang.

Untuk rekod, program ini merupakan yang ke-2 daripada siri Munaaqashah yang diadakan secara mingguan bersempena Kempen Rejab 1444H. Siri pertama telah berlangsung pada 22 Januari lalu dengan membawakan tajuk “Kedatangan Islam Ke Tanah Melayu: Apa Yang Perlu Anda Tahu” yang menampilkan Sdr. Ishan dan Ustaz Abdul Hakim sebagai pembentang.