HTM bantu mangsa banjir

qmu htmDalam usaha qadha’ masolih al-ummah (menunaikan kemaslahatan umat), Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menghantar pasukan sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Kelantan, negeri yang terjejas teruk dengan bencana alam kali ini.

Lebih awal, HTM, telah mengumpulkan sumbangan dari orang ramai di depan pejabatnya di Khilafah Centre, Bandar Baru Bangi dan juga lain-lain cawangan HTM di seluruh Malaysia. Alhamdulillah sumbangan dari orang-ramai yang prihatin datang mencurah-curah, sama ada dalam bentuk barangan atau wang ringgit.

Dua misi bantuan telah dihantar ke Kelantan dengan misi pertama membawa sumbangan sebanyak 1 lori (1 tan) penuh bersama 8 sukarelawan termasuk seorang doktor dan seorang mekanik. Manakala misi kedua yang lebih besar bertolak 3 hari kemudian membawa sebanyak 2 lori (3 tan dan 5 tan masing-masing) yang sarat dengan muatan sumbangan, berserta 25 orang sukarelawan.   

Di sepanjang misi bantuan yang dijalankan, para sukarelawan HTM melihat dan mendengar sendiri keadaan, kesusahan dan luahan mangsa banjir yang tidak dipedulikan oleh pihak berwajib. Baik semasa air bah sedang naik, mahupun setelah surut, ternyata bantuan lebih banyak datang dari individu dan NGO-NGO berbanding pemerintah. Ramai yang bersabung nyawa menyelamatkan diri sendiri dan juga jiran-jiran tatkala air deras menaiki kediaman masing-masing. Setelah berjaya pindah ke tempat yang selamat, ramai di kalangan mangsa yang tidak cukup makan dan minum serta menjalani hidup dengan penuh kesukaran dan kedaifan.

Ramai yang tinggal sehelai sepinggang dan ramai yang harta benda mereka rosak sama sekali kerana gagal diselamatkan dalam banjir terbesar dan terburuk dalam sejarah ini. Itulah antara penderitaan yang dialami oleh mangsa yang tidak dapat diceritakan sepenuhnya di sini.

Sungguh menyedihkan melihat keadaan mangsa dan rumah-rumah mereka kesan ditenggelami air dengan lumpur yang begitu tebal dan barangan yang musnah berselerakan, di samping kenderaan yang sudah diselaputi lumpur sepenuhnya. Ada yang kehilangan rumah dan ada yang rumah mereka rosak sepenuhnya. Ramai mangsa yang meluahkan kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap pemerintah yang tidak mempedulikan nasib mereka.

Antara pengalaman yang paling mengharukan pasukan sukarelawan ialah apabila melihat berapa ramai mangsa yang berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan di belakang lori setiap kali lori berhenti untuk mengagihkan bantuan, tidak ubah seperti keadaan manusia yang kebuluran.

Sesungguhnya secebis bantuan yang dihulurkan oleh HTM hasil dari sumbangan orang-ramai ini hanya dapat memenuhi hajatul udhawiyah mereka dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu sahaja. Mereka memerlukan banyak bantuan untuk memulihkan kehidupan mereka semula dan ini adalah tanggungjawab pemerintah secara mutlak.

Qadha’ masolih al-ummah yang dilakukan oleh HTM hanyalah bersifat sementara kerana sesungguhnya di bahu pemerintahlah terletaknya beban hukum untuk mengurus dan menjaga kemaslahatan rakyatnya. Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya pemimpin itu adalah pemelihara dan dia akan disoal (dihisab) darihal pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari]

Pemerintah harus ingat bahawa kesemua mangsa banjir yang tidak dipedulikan ini akan bangkit di akhirat dan akan menjadi saksi terhadap pengkhianatan pemerintah terhadap amanah mereka darihal pemeliharaan ke atas rakyatnya. Para anggota HTM yang menjadi sukarelawan juga akan turut bersaksi betapa buruknya ri’ayah pemerintah ke atas rakyatnya dalam hal ini.

Semoga Allah menggantikan pemerintah yang mengkhianati amanah ini dengan pemerintah yang bertakwa dan menjaga amanahNya sebaiknya.

{gallery}/stories/dalam_negara/banjir{/gallery}