HTM Berjaya Perjelas Isu Ru’yah & Hisab Kepada Umat
BANGI 6 September – Untuk ke sekian kalinya, Khilafah Centre telah menganjurkan Munaqashah yang bertajuk “Ru’yah & Hisab- Penjelasan Waqi’ & Fiqh (Matla’ syar’iyyah atau Matla’ Assabiyah)” yang memaparkan penjelasan dan kupasan menyeluruh mengenai realiti dan hukum syarak berhubung penetapan tarikh satu Ramadhan dan juga satu Syawal.
Perbincangan yang dipengerusikan oleh Ustaz Abu Arsyad itu menghadhirkan dua orang penceramah iaitu Ust Hafiz Ismail yang membentangkan realiti hisab/falak (ilmu astronomi) dan penceramah kedua adalah Presiden HTM sendiri iaitu Ustaz Abdul Hakim Othman, yang menyampaikan persoalan dan penyelesaian fiqh tentang perbezaan awal dan akhir Ramadhan.
Kehadiran adalah sangat menggalakkan sehingga memenuhi ruang seminar yang terbatas kepada 120 orang sahaja itu, sehingga melimpah ke ruang belakang. Khilafah Centre adalah pusat percambahan pemikiran umat yang terletak di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor. Di samping itu, aktiviti lain yang diadakan adalah pameran dan juga penjualan buku-buku dan CD-CD Islam.
Pembentang pertama telah menjelaskan secara terperinci untuk memberi kefahaman kepada peserta yang hadhir berkenaan pembentukan hilal (anak bulan) yang menjadi elemen penting dalam perkiraan bulan untuk tahun qamariyyah. Peserta dijelaskan tentang bagaimana dan bila berlakunya ijtima’ (conjunction), apakah yang dimaksudkan dengan sinodis, irtifa’, azimut, imkanuru’yah dan beberapa perkara lain lagi yang terkait dengan putaran bumi dan bulan serta kaedah pencerapan hilal secara astronomi. Sejarah dan perkembangan hisab juga telah disentuh sepintas lalu. Ketepatan dan keterbatasan hisab telah dijelaskan di penghujung pembentangan dan bagaimana ia berperanan dalam penentuan awal dan akhir Ramadhan.
Dalam pembentangan pertama ini juga, peserta disajikan dengan persembahan multimedia yang memaparkan pergerakan hilal serta lahirnya hilal pada setiap awal bulan, alat-alat yang digunakan seterusnya memaparkan bagaimana umat Islam berpuasa dan berhari-raya pada tarikh-tarikh yang berbeza di seluruh dunia.
Selesai pembentangan, para peserta juga dihidangkan dengan video tentang perpecahan dan penderitaan umat Islam setelah jatuhnya Daulah Khilafah di Turki pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924M) dan usaha-usaha Hizbut Tahrir di seluruh dunia untuk menyatukan semula umat Islam di bawah naungan Khilafah. Video yang dimainkan semasa rehat itu telah menyentuh emosi hadirin sehingga masing-masing tidak berganjak dari kerusi sehinggalah ke sesi pembentangan kedua.
Ustaz Abdul Hakim sebagai pembentang kedua telah menerangkan secara mendalam hukum Islam berkenaan penentuan awal dan akhir Ramadhan. Penjelasan telah didasarkan kepada dalil-dalil al-Quran dan Sunnah dan bagaimana umat Islam terkeliru di dalam pengambilan dalil sehingga berlakunya perbezaan pendapat. Seterusnya Ustaz Hakim menjelaskan bahawa satu-satunya cara yang syar’ie untuk menentukan awal dan akhir Ramadhan hanyalah dengan ru’yatul hilal (melihat anak bulan) dan tidak boleh dengan hisab semata-mata sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam sekarang. Hisab hanya digunakan untuk menentukan kedudukan serta waktu yang tepat untuk melihat anak bulan dan bukannya untuk menentukan awal atau akhir Ramadhan itu sendiri.
Pembentang kedua juga menjelaskan secara panjang lebar berhubung persoalan matla’ (tempat melihat anak bulan) dan kesalahan umat Islam yang mengambil matla’ berdasarkan batas sempadan negara-bangsa. Akhirnya pembentangan disimpulkan dengan penjelasan bahawa perbezaan yang wujud sekarang ini sebenarnya adalah kerana faktor politik semata-mata di mana pemerintah sekular negara-bangsa merasakan mereka berhak, lalu merekalah yang menjadi penentu kepada tarikh awal dan akhir Ramadhan, bukan lagi syarak.
Justeru, penyelesaian hakiki kepada perbezaan ini adalah dengan umat Islam kembali kepada hukum syara’ yang benar dan perlunya kepada satu institusi politk antarabangsa yang akan mennyatukan umat Islam. Institusi politik ini tidak lain adalah Daulah Khilafah yang akan menjadi pemersatu umat dalam segala hal, termasuklah di dalam penetapan awal dan akhir Ramadhan yang menjadi syiar kepada Islam.
Di kesempatan ini, pihak Khilafah Centre ingin merakam penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program ini. Semoga Munaqashah ini dapat memberi kefahaman yang benar kepada umat Islam dan mendapat keredhaan Allah SWT. Amin ya Rabbal ‘alamin.