HTM Desak Myanmar Hentikan Segera Pembantaian Ke Atas Muslim Rohingya

demo_rohingya-2KUALA LUMPUR 18 Nov. – Kebiadapan dan kekejaman terbaru yang dilakukan oleh tentera Myanmar ke atas umat Islam Rohingya sepertimana yang telah dilaporkan oleh pelbagai media antarabangsa telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) pada hari ini telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan demonstrasi aman dan penyerahan memorandum bantahan ke Kedutaan Myanmar bagi mendesak kerajaan Myanmar untuk menghentikan kekejaman tersebut dengan serta merta.

Demonstrasi yang bertemakan ‘Solidariti Umat Islam Untuk Rohingya’ itu dimulakan dengan seruan selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Ustaz Umar Hussein yang merupakan AJK Pusat HTM menyampaikan mengenai perkembangan terbaru yang menimpa umat Islam di Myanmar dan seterusnya mengajak para jemaah agar bersama-sama berarak ke Kedutaan bagi menzahirkan solidariti umat Islam sekaligus membantah dan mendesak Kerajaan Myanmar agar menghentikan kekejaman ke atas Muslim Rohingya. Seruan tersebut telah disahut oleh para jemaah dengan gema laungan takbir dan tahlil. Dianggarkan seramai seribu orang daripada pelbagai latar belakang termasuklah daripada komuniti Rohingya sendiri yang telah mendapat informasi awal telah menyertai demonstrasi aman tersebut.

Peserta demonstrasi kemudiannya bergerak perlahan-lahan diiringi dengan laungan kalimah-kalimah toyyibah sambil memegang sepanduk dengan mesej tertentu beserta panji dan bendera sebenar umat Islam (al-Liwa’ dan ar-Rayah) ke Kedutaan Myanmar yang terletak di Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur. Perarakan sejauh 2 kilometer itu berjalan secara tertib dan aman dengan kawalan sepenuhnya oleh jawatankuasa keselamatan HTM sendiri.

Setibanya di kawasan berhampiran dengan kedutaan, kelihatan pihak berkuasa PDRM yang telah bersiap sedia menunggu kehadiran demonstran dan telah mengadakan sekatan jalan untuk menuju ke Kedutaan. Pihak PDRM meminta kerjasama daripada HTM untuk mengarahkan demonstran agar berkumpul di Jalan Madge kira-kira 200 meter dari Kedutaan sementara menunggu proses penyerahan memorandum oleh delegasi HTM. Permintaan PDRM itu ditunaikan oleh HTM dengan senang hati.

Sambil menunggu proses penyerahan memorandum, Ustaz Umar Hussein memberikan ucapan yang bersemangat dan mengingatkan kepada para demonstran agar mengekalkan disiplin yang baik di sepanjang demonstrasi ini. Beliau turut menjelaskan bahawa adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk sentiasa memperhatikan urusan umat Islam yang lain tidak kira di mana mereka berada dan hakikat persaudaraan yang terbina di atas landasan akidah itu tidak pernah putus meskipun pihak kuffar Barat telah berhasil memecahbelahkan umat Islam berdasarkan Negara Bangsa  sejak runtuhnya Khilafah pada tanggal 3 Mac 1924.

Tambah beliau, kita tidak dapat lagi berharap kepada para pemerintah umat Islam yang ada pada hari ini termasuk badan antarabangsa seperti OIC untuk menghantar bantuan ketenteraan bagi menyelamatkan Muslim Rohingya di sana dan membalas kebiadaban rejim Myanmar itu. Satu-satunya harapan yang tinggal adalah dengan mewujudkan kembali Negara Khilafah yang akan mengembalikan semula kemuliaan Islam beserta penganutnya dan menghancurkan segala kezaliman.

Deligasi HTM yang diketuai oleh Ustaz Mu’adz Abu Thalhah dengan diiringi oleh pegawai PDRM bertugas kemudiannya bergerak ke Kedutaan untuk proses penyerahan memo bantahan. Sepertimana yang telah dijangka, pihak kedutaan enggan memberikan kerjasama. Tidak ada seorang wakil pun yang dihantar keluar untuk menerima memo bantahan apatah lagi untuk menjemput wakil HTM yang hadir untuk masuk bagi membincangkan permasalahan yang telah ditimbulkan oleh kerajaan mereka. Ustaz Mu’adz yang juga merupakan Pimpinan Pusat HTM tetap bersabar dengan kebiadaban yang mereka tunjukkan itu dan memutuskan untuk meletakkan sahaja memo bantahan tersebut ke dalam peti surat bangunan Kedutaan.

Di dalam sidang media yang diadakan di hadapan bangunan Kedutaan, beliau menyatakan kekesalan di atas sikap yang tidak professional yang ditunjukkan oleh pihak Kedutaan sekaligus mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Kerajaan Myanmar yang telah membunuh orang awam, wanita dan kanak-kanak Muslim Rohingya. Seluruh umat Islam perlu segera sedar akan punca kepada segala permasalahan yang melanda umat Islam hari ini adalah kerana umat Islam telah kehilangan satu-satunya negara yang mereka sepatutnya bernaung di bawahnya iaitu Negara Khilafah yang telah terbukti selama lebih seribu tahun melindungi darah, harta dan kehormatan umat Islam serta menerapkan hukum hakam Islam secara menyeluruh.

Delegasi HTM kemudiannya bergerak semula ke tempat berkumpulnya para demonstran. Ustaz Mu’adz kemudiannya menyampaikan sedikit sebanyak apa yang berlaku di Kedutaan tadi dan menyatakan bahawa objektif demonstrasi aman ini telah pun tercapai meskipun pihak Kedutaan telah menunjukkan sikap pengecutnya. Beliau turut mengingatkan kepada semua yang hadir bahawa usaha ini bukan berakhir di sini sahaja, kita perlu berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menegakkan kembali Negara Khilafah al-Rasyidah ‘ala minhaj an-Nubuwwah, kerana itulah penyelesaian yang paling tuntas untuk mengakhiri segala kekejaman dan penindasan ke atas umat Islam, bukan sahaja di bumi Arakan tetapi di seluruh dunia.

Demonstrasi yang cukup bermakna itu kemudiannya diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Abdurrahman Imtiyaz. Sebuah bacaan doa yang menyayat hati sehingga ramai yang menitiskan air mata. Para demonstran mengambil kesempatan untuk bergambar sebelum bersurai dengan aman.

HTM mengucapkan jazakumullahu khairan katsira kepada semua yang telah terlibat dalam menjayakan demonstrasi aman tersebut, semoga usaha kecil ini dapat menjadi hujah buat semua di hadapan Allah kelak.

Berikut adalah foto dan kandungan memo bantahan yang telah diserahkan kepada Kedutaan Myanmar,

MEMORANDUM BANTAHAN DARIPADA HIZBUT TAHRIR MALAYSIA
KEPADA KERAJAAN MYANMAR
ATAS PEMBANTAIAN YANG SEDANG BERLAKU KE ATAS MUSLIM ARAKAN 

(Terjemahan) 

Untuk ke sekian kalinya, dunia sedang menyaksikan serangan dan pembantaian kejam ke atas kaum Muslimin di Myanmar, yang kali ini dilakukan dengan cukup sistematik. Tanpa ada perikemanusiaan sedikit pun, pasukan tentera rejim yang beragama Buddha, menyerbu dan memusnahkan kampung-kampung yang dihuni oleh majoriti Muslim di wilayah Rakhine. Penyembelihan dan pengusiran secara sistematik oleh tentera rejim ini dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan oleh mereka yang tak dikenali ke atas pasukan polis, yang mana rejim terus melontarkan tuduhan ke atas Muslim Rohingya. Hakikatnya, kebanyakan Muslim Rohingya yang dibunuh oleh rejim, ditembak dalam keadaan mereka tidak bersenjata, termasuklah wanita dan kanak-kanak yang tidak berdaya yang turut ditembak. Sungguh memalukan apa yang dilakukan oleh tentera rejim yang menyerang orang awam yang tidak berdaya, itu pun jika mereka ada perasaan malu!

Rejim Myanmar telah berusaha menutup pembantaian yang mereka lakukan, namun berita dan kebenaran mengenainya amat nyata. Pembunuhan dan penyembelihan yang dilakukan oleh junta tentera dan ekstremis Buddha ke atas kaum Muslimin Arakan, dengan kebenaran dan kerjasama pihak rejim, sungguh biadab untuk diterima oleh mana-mana manusia. Tidak ada orang yang waras yang boleh menerima kekejaman seperti itu, apatah lagi kaum Muslimin, yang merupakan saudara kepada Muslimnya yang lain tanpa mengira bangsa mahupun tempat tinggal. Apa yang berlaku di Arakan menunjukkan dengan jelas akan kebencian dan niat rejim untuk membunuh kaum Muslimin Rohingya, hanya kerana agama mereka adalah Islam.

Kami mahu kamu tahu bahawa kami (umat Islam di Malaysia) turut merasakan kesakitan dan penderitaan saudara-saudara kami di Arakan dan kami tidak akan berdiam diri terhadap jenayah dan kekejaman kamu. Sebagai saudara seakidah, apa yang dirasai oleh seseorang Muslim turut dirasai oleh saudaranya yang lain.

Kami dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya jenayah yang tidak berperikemanusiaan yang berlaku di Myanmar dan menuntut tanpa syarat dan serta merta, supaya pembunuhan, pemerkosaan, tangkapan dan penyeksaan ke atas saudara-saudara kami dihentikan segera, dan hak-hak kaum Muslimin di Arakan dikembalikan kepada mereka. Kami ingin mengingatkan kamu bahawa selama lebih 1300 tahun Islam menguasai dunia di bawah Khilafah dan telah memberikan keamanan dan kesejahteraan kepada Muslim dan juga non-Muslim. Selama lebih seribu tahun, Muslim dan non-Muslim hidup bersama dan harmoni dalam Negara Khilafah. Di bawah Islam, hak-hak dan keamanan kaum non-Muslim dijaga rapi dan siapa sahaja yang melanggarnya akan dihukum sewajarnya. Bagaimana pun, layanan yang diterima oleh Muslim Myanmar bertentangan 180 darjah dengan layanan yang Islam berikan ke atas non-Muslim. Apa yang dilakukan oleh rejim dan ektremis Buddha  ke atas Muslim Rohingya selama ini langsung tidak dapat diterima dan melampaui batas-batas kemanusiaan.

Kami dengan ini mengingatkan rejim Myanmar bahawa apa yang berlaku di Arakan, pembantaian, penangkapan, penyeksaan dan pengusiran ke atas kaum Muslimin, pembakaran rumah-rumah mereka, penafian hak-hak mereka dan segala macam bentuk kekejaman dan diskriminasi, tidak akan sekali-kali dilupakan oleh kaum Muslimin di seluruh dunia. Kemurkaan Allah dan kemarahan kaum Muslimin ke atas kamu tidak akan terhenti kecuali kamu menghentikan jenayah tidak berperikemanusiaan ini. Jika kamu tidak menghentikannya dan tidak bertaubat kepada Tuhan sekalian alam, azab yang pedih daripada Allah SWT pada hari Kiamat yang tidak dapat kamu bayangkan, azab yang kekal selama-lamanya, menanti kamu. Kami dengan ini mengingatkan kamu sekali lagi, hentikanlah segera pembantaian, pemerkosaan, penangkapan dan penyeksaan ke atas saudara-saudara Muslim kami. Kembalikan hak kaum Muslimin dan berbuat baiklah kepada mereka, nescaya Khilafah yang akan muncul nanti juga akan berbuat baik kepada kamu. Dan jika kamu memeluk islam, ini lebih baik bagi kamu.