HTM Kunjungi Ibu Pejabat PSM

KUALA LUMPUR 9 Sep – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) buat julung kalinya telah membuat kunjungan ke ibu pejabat Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Brickfields malam tadi.

Delegasi HTM yang diketuai oleh Ketua Pimpinan Pusat HTM, Ustaz Muadz Abu Thalhah telah disambut mesra oleh Pengerusi PSM, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj dan beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat yang lain.

Dalam pertemuan tersebut HTM turut di wakili oleh Ustaz Muhammad Amin (Pimpinan Pusat), Ustaz Abdul Hakim (Jurucakap), Dr. Fauzi dan Sdr. Fariq (Anggota Pejabat Media), manakala PSM turut diwakili oleh Mr. Arulchelvan (Timbalan Pengerusi), Mr. Sivarajan Arumugam (Setiausaha Agung), Mrs. Soh Sook Hwa (Bendahari), Mrs. Mohanarani Rasaiah (AJK Pusat) dan Sdr Nik Aziz Afiq (Ketua Pemuda).

Perjumpaan diawali dengan delegasi HTM memperkenalkan dan menjelaskan latar belakang penubuhan Hizbut Tahrir, sejarah kemasukannya ke Malaysia serta perjuangan Hizbut Tahrir di seluruh dunia. Turut dijelaskan ialah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia dan termasuk di Malaysia.

Setelah itu, pihak PSM pula turut memberikan penjelasan mengenai latar belakang dan perjuangan yang dibawa oleh parti tersebut.

Dalam pertemuan yang berlangsung sekitar dua jam itu, beberapa isu semasa tanah air telah disentuh dan HTM menjelaskan penyelesaian Islam terhadap setiap isu. Antara persoalan yang dibincangkan termasuklah isu ketidakstabilan politik yang berlaku sekarang, isu kepemilikan, pendirian Hizbut Tahrir berhubung wanita, tadbir urus tanah menurut Islam, hudud dan juga fatwa fitnah terhadap Hizbut Tahrir.

Agak banyak persoalan yang dilontarkan oleh Dr Kumar yang kelihatan teruja untuk mengetahui lebih mendalam pendirian Hizbut Tahrir dalam beberapa perkara, apatah lagi setelah Ustaz Abdul Hakim menjelaskan mengenai Islam sebagai sebuah mabda’ (ideologi) yang bermaksud Islam bukan sekadar agama yang mengurus persoalan spiritual semata-mata, tetapi Islam merupakan sebuah way of life (cara hidup) yang merangkumi seluruh aspek politik, pemerintahan, ekonomi, pendidikan, kesihatan, muamalat dan sebagainya.

Tatkala menjelaskan semua itu, Jurucakap HTM itu turut mempelawa anggota Jawatankuasa Pusat PSM yang non-Muslim, untuk mengkaji tentang Islam dan memasuki Islam apabila meyakini kebenaran akidah yang dibawa oleh Islam. Namun Abdul Hakim menjelaskan bahawa tidak ada paksaan untuk masuk ke dalam agama Islam sebagaimana telah dimaklumi oleh ramai non-Muslim.

Kedua-dua belah pihak saling bertukar pandangan serta menjelaskan pendirian masing-masing secara terbuka dalam suasana yang tertib dan baik, walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam beberapa perkara.

Pertemuan diakhiri dengan penyerahan dan pertukaran beberapa dokumen, buku dan artikel yang diterbitkan oleh kedua-dua parti.