HTM Serah Memorandum Bantahan Ke JAIS

SHAH ALAM 23 Ogos – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) hari ini menyerahkan Memorandum Bantahan ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung penangkapan yang dilakukan JAIS ke atas Muslimah HTM pada 28/07/2019. Lebih 50 ahli dan penyokong HTM berhimpun di depan ibu pejabat JAIS di bangunan Sultan Idris Shah, bagi menyuarakan bantahan berkenaan.

Delegasi HTM yang diketuai oleh Jurucakapnya, Ustaz Abdul Hakim Othman memasuki bangunan pejabat kira-kira jam 3.05 petang dan menunggu lebih kurang 10 minit sebelum wakil JAIS turun ke bahagian lobi untuk menerima Memorandum Bantahan tersebut. Memorandum tersebut telah diterima dengan baik oleh Pn. Siti Aisyah Binti Tusimin, Penolong Pengarah, Seksyen Komunikasi Korporat, Unit Korporat JAIS yang berjanji akan menyampaikannya kepada pihak pengurusan tertinggi JAIS.

Dalam Memorandum Bantahan tersebut, HTM membantah sekeras-kerasnya tangkapan yang dilakukan oleh JAIS ke atas Muslimah HTM sewaktu berlangsungnya suatu majlis ilmu bertajuk “Ayuh Kekalkan Momentum Ramadan” di Kompleks PKNS Shah Alam. Tangkapan tersebut tidak mematuhi prosedur dan undang-undang dan melanggar hukum syarak. Memorandum turut menjelaskan bagaimana pegawai penyiasat JAIS telah mengambil keterangan dengan cara yang kasar terhadap Muslimah HTM yang ditangkap dan juga para saksi, merampas telefon bimbit mereka ketika soalsiasat dijalankan, melakukan intimidasi, salah laku dan tidak berakhlak.

Dalam himpunan aman lebih kurang setengah jam itu, ahli dan penyokong HTM membawa banner dan poster dengan pelbagai mesej yang ditujukan kepada JAIS, antaranya berbunyi “Wahai Pihak Berkuasa Agama! Berlaku Adillah Kepada Hizbut Tahrir! Ayuh Muzakarah, Jangan Fitnah”, “Kami Pendakwah, Bukan Penjenayah. Tangkapan Dan Intimidasi Oleh JAIS Sungguh Memalukan”, Dakwah Tugas Mulia”, “Majlis Ilmu Sepatutnya Dibantu, Bukan Dihalang”, “Pegawai Penyiasat Wajib Mematuhi Hukum Syarak”, “Wahai JAIS! Guna Kuasa Yang Ada Untuk Membantu Dakwah, Bukan Menghalang” dan banyak lagi.

Isi kandungan Memorandum antara lain menyeru dan memuhasabah pihak berkuasa agama Selangor untuk menarik balik fatwa yang sarat dengan fitnah, pembohongan, pemesongan fakta dan kekeliruan ke atas Hizbut Tahrir. “Jika mereka (pihak berkuasa agama) ingin mengetahui tentang Hizbut Tahrir, mereka seharusnya menjemput Hizbut Tahrir untuk bermuzakarah, bukannya dengan memfitnah”, jelas Ustaz Hakim semasa di wawancara.

Dalam wawancara selepas penyerahan memorandum tersebut, Abdul Hakim mengharapkan semua pihak berkuasa agama samada Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam Selangor, Jawatankuasa Fatwa Selangor dan JAIS sendiri akan memandang serius himpunan dan bantahan yang dilakukan oleh HTM pada hari ini, dan akan bertindak sewajarnya untuk menarik balik fatwa fitnah ke atas Hizbut Tahrir.  “Telah banyak kali kita menyeru pihak berkuasa agama agar menarik balik fatwa fitnah tersebut tetapi tidak diendahkan. Jadi kita harap dengan bantahan dan himpunan hari ini akan menyebabkan mereka bertindak” tegas Jurucakap HTM itu.

Perhimpunan bersurai dengan aman sekitar jam 3.30 petang.

Dalam serbuan JAIS pada 28/07/2019 itu, empat orang telah ditangkap iaitu dua orang Muslimah HTM dan dua orang lagi anak kepada pemilik premis yang tidak ada kena mengena dengan Hizbut Tahrir. Seorang lagi Muslimah HTM ditangkap semasa memberi keterangan kepada JAIS pada 31/07/2019, yang menjadikan keseluruhan jumlah yang ditangkap ialah lima orang.